Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Mahathir pemimpin sebenar dunia Islam – Imran Khan

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan hari ini menyuarakan kekagumannya terhadap rakan sejawatannya dari Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dianggapnya sebagai seorang pemimpin yang sebenar.

Imran Khan berkata Dr Mahathir adalah contoh seorang pemimpin yang berpendirian teguh, terutama untuk kebaikan Islam dan umat Islam.

“Sesungguhnya ada perbezaan di antara seseorang yang menjawat jawatan dan seorang pemimpin. Pemimpin sentiasa mempunyai sistem kepercayaan dan ideologi.

“Seorang pemimpin sentiasa mempunyai pendirian yang teguh, dan itu sebabnya kita amat menyayangi dan menghormati Perdana Menteri Dr Mahathir,” katanya, merujuk yang kepada kelantangan Dr Mahathir bersuara mengenai India.

Imran Khan, yang menyampaikan ceramah bertajuk ‘Visi untuk Keamanan dan Keselamatan Serantau’ di Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) di sini hari ini, berkata demikian ketika ditanya oleh seorang hadirin mengenai langkah India menghentikan pembelian minyak sawit Malaysia, berikutan kritikan Dr Mahathir berhubung tindakan India di Kashmir dan undang-undang kerakyatannya yang baharu.

Bekas bintang kriket itu berkata Dr Mahathir juga dilihat sebagai suri teladan dan negarawan di dalam dunia Islam yang mengubah nasib ramai.

“Kita telah melihat bagaimana Malaysia menjalani pembaharuan dan membangun di bawah kepimpinan Dr Mahathir. Tetapi apa yang saya suka mengenai Malaysia ialah ia mempunyai masyarakat yang sangat beradab dan bertamadun.

“Saya dapati terdapat keharmonian antara agama dan kumpulan etnik di sini, yang saya fikir adalah ciri-ciri masyarakat bertamadun.

“Di era kegemilangan Islam dahulu, orang ramai dengan pelbagai agama hidup aman bersama. Terdapat toleransi dan penerimaan …dan anda melihat di Malaysia orang ramai hidup dalam suasana harmoni, dan pada pendapat saya ia benar-benar sesuatu yang perlu dikagumi,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Imran Khan berkata 1.3 bilion umat Islam di dunia perlu menyuarakan pandangan mereka mengenai isu Kashmir, terutamanya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Pada pandangan saya, keadaan boleh menjadi lebih parah, jika anda tinjau sejarah, apabila ada orang yang mencetuskan api nasionalisme melampau dan menghalakan kebencian kepada komuniti lain, ia biasanya akan membawa kepada pertumpahan darah,” katanya.

Perdana menteri itu juga berkata Pakistan sentiasa bersedia untuk berdamai dengan sebuah negara India yang percaya kepada kemakmuran dan pembasmian kemiskinan di rantau berkenaan.

Beliau berkata antara perkara pertama yang dilakukannya selepas menjadi Perdana Menteri adalah menghubungi rakan sejawatannya dari India.

“Sebilangan besar penduduk miskin tinggal di kawasan tertentu India dan cara terbaik kita dapat mengurangkan kemiskinan di kawasan itu adalah jika kedua-dua negara memulakan hubungan yang baik.

“Tahap ketegangan ketika ini semakin berkurangan, dan sekiranya kita mengurangkan perbelanjaan untuk sektor pertahanan, suasana akan jadi lebih makmur,” katanya, namun menyatakan bahawa Pakistan terus ditolak oleh negara jirannya itu.

Dalam sesi ceramah itu juga Imran Khan turut mengetengahkan visinya mengenai Pakistan, yang menurutnya diilhamkan dari kejayaan Nabi Muhammad SAW membangunkan Madinah sebagai negara Islam pertama dengan kebajikan rakyat dan kedaulatan undang-undang sebagai prinsip utama.

Beliau berkata Pakistan telah memulakan usaha menjadi negara kebajikan, di mana buat pertama kali dalam sejarah negara, insurans kesihatan diberikan kepada segmen masyarakat yang paling lemah, yang memberi manfaat kepada enam juta keluarga.

Perdana Menteri itu turut berkata universiti-universiti di dunia Islam perlu melakukan penyelidikan terperinci mengenai kota Madinah sebagai resipi untuk membina sebuah negara yang berjaya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Mahathir, Imran Khan bertemu di Putrajaya

PUTRAJAYA, 4 FEB: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan mengadakan pertemuan di Perdana Putra di sini hari ini bagi membincangkan kerjasama dua hala sedia ada antara Malaysia dan Pakistan.

Wisma Putra dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan kedua-dua pemimpin dijangka bertukar pandangan mengenai isu global dan serantau yang mempunyai kepentingan bersama.

Imran Khan tiba di Malaysia malam tadi untuk lawatan kerja dua hari.

Ini merupakan lawatan kerja kali kedua bekas bintang kriket itu ke Malaysia sejak menjadi Perdana Menteri pada Ogos 2018.

Lawatan pertamanya pada November 2018.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Imran Khan tiba di Malaysia untuk lawatan kerja dua hari

SEPANG, 4 FEB: Perdana Menteri Pakistan Imran Khan, tiba di sini malam tadi untuk lawatan kerja dua hari ke Malaysia.

Pesawat khas dari Karachi yang membawa Imran Khan bersama delegasi peringkat tinggi negara itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10.15 malam.

Ketibaan bekas bintang kriket itu disambut Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu selaku menteri pengiring di Kompleks Bunga Raya KLIA.

Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Pakistan di Malaysia Amna Baloch.

Ini merupakan lawatan kerja kali kedua Imran Khan ke Malaysia sejak menjadi Perdana Menteri pada Ogos 2018.

Imran Khan akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini bagi membincangkan kerjasama dua hala sedia ada dan bertukar pandangan mengenai isu global dan serantau yang mempunyai kepentingan bersama.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Dr Mahathir negarawan Malaysia, dunia Islam – Imran Khan

ISLAMABAD, 23 MAC: Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menyifatkan rakan sejawatnya, Pertana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai negarawan Islam yang telah merubah Malaysia menjadi sebuah model teladan untuk dunia Islam.

Beliau berkata, Pakistan berbangga dengan cara Malaysia membangun dan meningkatkan taraf hidup rakyatnya di bawah kepimpinan Dr Mahathir.

“Kami mengikuti rapat kerana Pakistan sentiasa memiliki hubungan baik dengan Malaysia. Kami mengagumi anda kerana itu,” katanya pada sidang media bersama Dr Mahathir selepas perbincangan dua hala delegasi Malaysia-Pakistan di sini, semalam.

Imran berkata, beliau dan Pakistan juga mengagumi Dr Mahathir kerana tegas dalam isu-isu membabitkan dunia Islam, yang mana malangnya amat sedikit pemimpin Islam bersikap seperti itu.

“Seperti memerangi keganasan, bagaimana ia telah menjejaskan dunia Islam. Bagaimana Islamophobia menular di dunia Barat. Bagaimana umat Islam dilayan disebabkan perjuangan politik yang mengelirukan dan disengajakan.

“Apa juga jenayah yang dilakukan oleh seorang penganut Islam maka keseluruhan 1.3 bilion umat Islam di seluruh dunia akan dipersalahkan dengan jenayah itu. Ini digambarkan oleh insiden pembunuhan di Christchurch, di mana seorang pengganas menembak mati orang yang tidak bersalah, wanita dan kanak-kanak di dalam masjid, tanpa ada rasa kesal. Kami di dunia Islam telah memerhatikan anda mengambil pendirian dalam hal-hal yang melibatkan umat Islam,” katanya.

Sementara itu, Imran berkata, dalam dunia Islam terdapat dua pemimpin yang menonjol dalam isu-isu antarabangsa dan telah mentransformasi masyarakat, iaitu Dr Mahathir dan Presiden Turki sekarang, Recep Tayyip Erdogan.

“Kami telah melihat Malaysia melalui transformasi dan bagaimana taraf hidup dan pendapatan per kapita rakyatnya meningkat. Kini tenaga kerja warganegara Pakistan sudah mula pergi ke Malaysia…peluang-peluang pekerjaan diwujudkan agar tenaga kerja dari Pakistan akan pergi ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Dr Mahathir dan Erdogan adalah dua contoh teladan bagaimana kenegarawanan boleh merubah negara dan rakyat.

“Semasa krisis ekonomi melanda Asia Tenggara pada 1998, Malaysia adalah satu-satunya negara yang berjaya keluar daripada krisis itu menggunakan jalan penyelesaiannya sendiri. Kami, Pakistan, kini sedang menghadapi situasi ekonomi yang sukar… dan banyak yang perlu dilakukan untuk keluar daripada kesulitan ini,” katanya.

Imran juga berkata, beliau dan Dr Mahathir telah membincangkan pelbagai cara bagaimana boleh maju dan salah satu daripada sebabnya ialah pelaburan langsung asing (FDI) dan pemindahan teknologi.

“Kami sudah memikirkan untuk mendapatkan FDI dan pemindahan teknologi. Di samping itu, satu bidang yang kami boleh mendapat pulangan dengan cepat ialah mempelajari pengalaman Malaysia dalam industri pelancongan. Daripada apa yang kami diberitahu, Malaysia menjana hampir US$22 bilion daripada pelancongan.

Pakistan yang mempunyai sumber yang banyak tidak menjana apa-apa daripada pelancongan. Kami telah berbincang tentang bagaimana untuk mendapatkan bantuan Malaysia bagi membangunkan industri pelancongan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

PM: Malaysia-Pakistan kongsi maklumat perangi rasuah

ISLAMABAD, 22 MAC: Malaysia dan Pakistan boleh berkongsi maklumat dalam usaha untuk memerangi rasuah, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, segala bentuk rasuah perlu dihentikan memandangkan ia akan meningkatkan kos.

Dr Mahathir juga bersetuju dengan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan bahawa rasuah boleh menjadikan sesebuah negara jatuh miskin.

“Kami sangat bimbang tentang rasuah. Anda perlu membayar jumlah tertentu untuk memastikan kerja tertentu dilakukan. Kadang kalanya wang dicuri oleh pegawai dan ini perlu dihentikan,” katanya pada sidang akhbar bersama selepas mengadakan pertemuan.

Terdahulu, Dr Mahathir memulakan lawatan kerja tiga hari ke Pakistan bermula semalam.

Sementara itu, Imran Khan berkata Dr Mahathir membuat kemunculan semula yang hebat sebagai Perdana Menteri untuk memerangi rasuah.

“Kami melihat anda menentang rasuah. Parti saya (Pakistan Tehreek-e-Insaf) memulakan kempen 22 tahun yang lalu memerangi rasuah. Kami sebenarnya percaya negara bukan miskin, tetapi rasuah yang menjadikan rakyat miskin.

“ Rasuahlah yang menghancurkan institusi itu. Rasuah yang mengambil wang yang sepatutnya dibelanjakan untuk manusia, wang haram di bawa ke luar negara. Mereka menjadikan (negara) miskin dan mengalihkan wang untuk pembangunan manusia,” katanya.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

PM Pakistan petik kejayaan pelancongan Malaysia pada WGS

DUBAI, 11 FEB: Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menceritakan kisah kejayaan sektor pelancongan Malaysia dan sumbangannya kepada ekonomi, pada Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia 2019, di sini.

“Pakistan mempunyai potensi pelancongan terbaik. Pada masa ini kami hampir tidak mempunyai aktiviti pelancongan berbanding negara lain.

“Malaysia sebagai contoh, yang mempunyai pantai dan resort pelancongan, mengutip AS$22 bilion (AS$1=RM4.06) setiap tahun manakala Turki dengan pantai dan tapak bersejarahnya menggumpul AS$42 bilion daripada pelancongan,” katanya semasa berucap pada Sidang Kemuncak itu pada Ahad, lapor BERNAMA.

Justeru, Pakistan yang memiliki kawasan pergunungan yang banyak dan monumen bersejarahnya mahu memanfaatkan sektor pelancongan serta meningkatkan ekonomi.

“Separuh daripada puncak tertinggi di dunia terletak di Pakistan. Kami mempunyai kira-kira 1,000km garis pantai serta monumen bersejarah dan bandar-bandar purba,” katanya.

Beliau berkata, Pakistan adalah pusat tumpuan masyarakat Sikh untuk beribadah, dan tapak berkenaan sudah pun dibuka baru-baru ini untuk jemaah mereka.

“Pakistan juga adalah lokasi Buddha tertua di dunia, di Haripur. Terdapat banyak Kuil Sufi di negara ini,” katanya.

Bagi menarik lebih banyak pelancong, Islamabad juga memudahkan rejim visanya.

“Rakyat dari kira-kira 70 negara boleh datang dan mendapatkan visa mereka di lapangan terbang. Pakistan membuka peluang pelancongan dan perniagaan untuk dimanfaatkan. Inilah masanya untuk Pakistan bangkit,” kata bekas pemain kriket terkemuka yang beralih kepada bidang politik.

Categories
GLOBAL

Imran bentuk kerajaan campuran

ISLAMABAD 29 JUL: Parti Imran Khan berkata, pihaknya telah memulakan rundingan dengan parti-parti kecil dan bebas bagi membentuk kerajaan campuran.

Sementara itu, beberapa parti pencabar khususnya Parti Muslim Liga-Nawaz (PML-N) merancang mengadakan bantahan selepas mendakwa wujud peni­puan pengundian.

Imran yang memimpin Parti Tehreek-e-Insaf (PTI) menang 115 kerusi pada pilihan raya yang berlangsung Rabu lalu, kurang berbanding 137 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan majoriti mudah.

Parti telah mula menemui rakan yang berpotensi menyertai kerajaan campuran, menurut jurucakap PTI, Fawad Chaudhry.

“Kita ada menghubungi parti-parti kecil dan anggota bebas, mereka akan menemui ketua parti ma­sing-masing secepat mungkin di sini,” umum Fawad kelmarin sambil memberi­tahu pro­ses rundingan itu akan mengambil masa kira-kira 10 hari.

Kenyataan Fawad itu bagaimanapun disusuli pengumuman oleh parti saingan yang berikrar melancarkan gerakan bantahan, selepas pemerhati asing melahirkan kebimbangan mereka terhadap pilihan raya itu.

Lebih 12 parti yang menamakan mereka sebagai Persidangan Semua Parti (APC) berjanji membantah keputusan pilihan raya berkenaan.

Bagaimanapun, pendirian itu agak berbelah bahagi dengan sebilangan berjanji untuk memboikot Dewan Kebangsaan, manakala yang lain mendesak diadakan pengundian semula.

Parti PML-N mengumumkan menyokong kumpulan APC tetapi Parti Rakyat Pakistan (PPP) mene­gaskan bahawa meskipun mereka menolak keputusan pilihan raya tetapi tetap menyertai proses Parlimen.

Lewat petang kelmarin, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan pemerhati lain menyuarakan kebimbangan selepas tersebar dakwaan tentera menggunakan kuasa bagi menetapkan kemenangan Imran.

SUMBER: AFP