Categories
AGENDA NASIONAL

94 peratus penduduk dewasa negara lengkap vaksin

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Jumlah populasi dewasa di Malaysia yang lengkap menerima vaksin Covid-19 kini mencecah 21,993,417 orang atau 94 peratus setakat 11.59 malam tadi, demikian menurut data Kementerian Kesihatan di portal COVIDNOW.

Dalam tempoh sama, sebanyak 97.3 peratus populasi dewasa atau 22,756,938 individu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Semalam, sejumlah 207,541 dos vaksin diberikan melibatkan golongan dewasa dan remaja yang menjadikan kumulatif dos vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancar sejak 24 Feb lepas meningkat kepada 48,046,427.

Sementara itu, 9,139 dos penggalak kepada kumpulan sasar turut diberikan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan dos penggalak diberikan kini 30,756.

Bagi kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, setakat semalam 940,960 individu atau 29.9 peratus telah melengkapkan suntikan vaksin manakala 2,483,693 individu atau 78.9 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menerusi PICK bagi golongan itu yang bermula 8 Sept lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

89.1 peratus penduduk dewasa negara lengkap vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Sebanyak 20,856,337 atau 89.1 peratus daripada populasi dewasa di negara ini sudah lengkap menerima dos vaksinasi Covid-19 setakat malam tadi.

Peningkatan sebanyak 0.3 peratus kadar vaksinasi lengkap bagi dewasa berbanding sehari sebelum itu (6 Okt) 88.8 peratus menjadikan sasaran untuk mencapai 90 peratus kadar vaksinasi di negara ini kini berbaki 0.9 peratus.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi portal COVIDNOW, 94.6 peratus atau 22,153,302 individu bagi populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Selain itu, sejumlah 196,647 dos suntikan vaksin diberikan semalam (7 Okt) bagi golongan dewasa melibatkan 108,092 individu bagi suntikan dos pertama dan 88,555 individu bagi suntikan lengkap menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 45,204,479.

Setakat semalam, sebanyak 147,938 atau 4.7 peratus individu bagi golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun sudah melengkapkan suntikan vaksin manakala 68.5 peratus atau 2,156,346 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Pada 22 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti merentas negeri akan dibenarkan apabila 90 peratus golongan dewasa telah melengkapkan vaksinasi Covid-19 mereka.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM tidak lagi tumpu imuniti kelompok, luaskan vaksin atasi varian Delta

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak lagi menggunakan formula konvensional yang menilai imuniti kelompok berdasarkan capaian sekurang-kurangnya vaksinasi 80 peratus penduduk dewasa dalam usaha membendung Covid-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pakar kesihatan dunia kini telah berhenti menggunakan formula berkenaan dan fokus memvaksinasi sebanyak mungkin populasi penduduk kerana penularan varian Delta menyebabkan sasaran imuniti kelompok sebelum ini iaitu 80 peratus, terjejas.

“Saya sebagai Menteri KKM, saya tidak lagi guna terma herd immunity. Pada waktu kita mulakan program vaksinasi, kita guna formula konvensional untuk kira herd immunity yang didapati bahawa 80 peratus (penduduk dewasa) vaksinasi baru capai herd immunity.

“Tapi pada masa itu sebelum penularan varian Delta. Delta pada dasarnya menjejaskan pengiraan imuniti kelompok dan ia adalah sukar untuk menyatakan bila kita dapat (capai) herd immunity, sebab itu kita jangan lagi melihat dengan herd immunity, kita kena lihat liputan itu (vaksinasi) seluas mungkin,” katanya ketika menggulung Usul Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau memberi penjelasan itu apabila Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bangun dan mempersoalkan mengapa kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19 di Malaysia masih tinggi sedangkan kadar vaksinasi penduduk dewasa melebihi 80 peratus.

Pada Selasa, negara mencapai 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksin, lebih awal daripada sasaran melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan sejak 24 Feb, dalam usaha membendung penularan Covid-19 di seluruh negara.

Justeru, Khairy berkata program PICK kini giat melaksanakan vaksinasi terhadap remaja berusia 12 hingga 17 tahun manakala bagi golongan kanak-kanak, KKM sedang menunggu laporan ujian klinikal vaksin Pfizer untuk golongan itu.

Dalam pada itu, Khairy berkata walaupun pada ketika ini penularan kes masih tinggi namun berdasarkan indikator-indikator penting ia mula menunjukkan trend penurunan dan memberikan sinar ke arah proses pemulihan negara yang lebih baik.

Beliau berkata jika dibandingkan dengan sebulan lepas, iaitu pada 23 Ogos, jumlah penggunaan katil adalah sebanyak 14,942 kes tetapi pada hari ini, ia telah menurun kepada 10,321.

“Jumlah keperluan ICU (unit rawatan rapi) adalah sebanyak 1,542 kes tetapi hari ini menurun kepada 1,114 kes. Purata kes kematian bagi tempoh tujuh hari pada Ogos pula adalah 251 kes dan kini menurun kepada 106 kes.

“Berdasarkan kes aktif semasa yang dicatatkan pula, 83 peratus daripada keseluruhan kes adalah kategori 1 dan 2 yang hanya memerlukan kuarantin di rumah; 10.7 peratus kes dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC); kemasukan ke hospital (5.1 peratus) manakala kes yang memerlukan bantuan alat pernafasan dan rawatan rapi adalah 0.5 peratus,” katanya.

Khairy berkata bagi memastikan penularan dalam negara dapat dikawal seterusnya mengelakkan wabak di luar kawalan, KKM akan terus memantapkan strategi kesihatan awam dalam melandaikan keluk Covid-19 dan memutuskan rantaian transmisi menerusi pelan Find, Test, Trace, Isolate and Support (FTTIS).

Katanya, KKM sedang menyiapkan strategi ujian saringan kebangsaan atau National Testing Strategy untuk memastikan sesuatu kawasan itu boleh beralih ke fasa mitigasi dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) yang akan menentukan tahap jangkitan di kawasan mereka.

Mengulas mengenai kuarantin kendiri di rumah dan kebimbangan mengenai kematian di luar hospital (BID), Khairy berkata KKM kini berusaha mengenal pasti punca sebahagian besar kes BID tidak berada di bawah kawalan KKM dan fasiliti kesihatan lain.

“KKM amat mengambil berat mengenai keadaan ini. Setakat Ogos lepas sebanyak 2,417 kes BID direkodkan, tetapi yang ketara ialah 2,200 kes atau 68 peratus tidak berada di bawah KKM atau di bawah mana-mana pantauan fasiliti kesihatan swasta.

“Untuk membuat rakyat lebih yakin dengan kuarantin rumah, jika mereka berada di bawah pantauan KKM kita akan hantar peralatan seperti pulse oxymeter dan memastikan mereka sentiasa boleh dihubungi supaya jika ada red flag kita pastikan mereka tidak terlewat dihantar ke hospital,” katanya.

Mengenai tunggakan pelaporan kes kematian, Khairy berkata perkara itu tidak hanya berlaku di Malaysia, malah turut berlaku di negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan India.

“Di Malaysia, tunggakan pelaporan ini berlaku di seluruh negara, namun kesannya amat ketara di Lembah Klang memandangkan pada akhir Julai lepas hingga pertengahan Ogos, Lembah Klang mengalami peningkatan kes yang signifikan sekali gus mengakibatkan beban kerja yang tinggi dan kekangan di lapangan dari segi sumber terutamanya sumber manusia,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksinasi untuk remaja boleh diperluas ke negeri capai imuniti kelompok

KOTA BHARU, 11 SEPT: Suntikan vaksin Covid-19 terhadap remaja boleh diperluas ke negeri-negeri lain yang telah mencapai imuniti kelompok, kata Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata bagaimanapun tumpuan ketika ini diberikan untuk memastikan golongan dewasa divaksin terlebih dahulu menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Pendirian kita di JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19) ialah (sebelum) suntikan kepada remaja, kita selesaikan dahulu PICK, kerana kita perlu capai imuniti kelompok dalam kalangan penduduk dewasa.

“Tetapi ada negeri-negeri tertentu yang boleh kita percepatkan kerana ada keperluan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Dr Adham berkata suntikan vaksin Covid-19 terhadap remaja menggunakan vaksin jenis Pfizer-BioNTech dibuat berdasarkan data klinikal yang selamat, berkesan dan berkualiti.

“Kita tumpukan kepada remaja bermula dengan golongan berumur 16 dan 17 tahun dan remaja yang ada komorbid,” katanya.

Ditanya mengenai suntikan dos ketiga vaksin penggalak, Dr Adham berkata beliau bersama-sama Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang bertindak sebagai pengerusi bersama JKJAV akan membuat keputusan mengenai perkara itu.

Mengulas mengenai pembangunan vaksin sendiri, beliau berkata pihaknya sedang menyediakan pelan hala tuju dan mengumpul saintis di dalam dan luar negara bagi tujuan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes dijangka terus naik sebelum 80 peratus divaksin hujung Oktober

PUTRAJAYA, 6 OGOS: Kes harian Covid-19 dijangka terus meningkat sebelum kadar vaksinasi negara mencapai 80 peratus pada hujung Oktober ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.

Beliau berkata pada masa ini peningkatan kes baharu adalah disebabkan negara berdepan dengan varian-varian baharu seperti Delta.

“Mengambil contoh kadar vaksinasi di Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak yang tinggi menunjukkan kes baharu menurun, tetapi yang lebih kita tekankan di sini (Labuan dan Sarawak) adalah kadar kemasukan ke dalam wad unit rawatan rapi (ICU) dan kadar kematian menunjukkan penurunan yang ketara.

“Kita jangka kalau kita dapat buat perkara serupa di Semenanjung, lebih-lebih lagi di tempat hotspot yang sedang mengalami wabak yang meningkat terutamanya di Lembah Klang, dengan peningkatan kadar vaksinasi kita akan dapat lihat penurunan (kes).

“Penurunan kes mungkin mengambil masa sedikit tetapi yang lebih penting kita nak lihat penurunan dari segi kemasukan pesakit-pesakit yang serius ke wad, maknanya mereka yang memerlukan ICU dan mereka yang meninggal dunia, itu kita harap dapat turunkan,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Mohd Shafiq Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) merangkap Komander Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley Datuk Dr Chong Chee Kheong dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Beliau berkata hingga 22 Julai lepas, KKM telah mengesan sejumlah 409 kes varian yang membimbangkan (VOC) berkaitan virus Covid-19 di Malaysia iaitu 189 kes bagi varian Delta, 206 kes bagi varian Beta dan 14 kes bagi varian Alpha.

“Pada bulan ini kita menjangkakan jumlah penjujukan genom akan meningkat sebab kita telah menubuhkan konsortium tujuh makmal di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan di universiti.

“Ia akan meningkatkan lagi 1,000 penjujukan genom sebulan dan dengan itu kita akan dapat lebih terperinci lagi maklumat tentang penyebaran varian-varian di dalam negara kita,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penerima Selvax Komuniti harap imuniti kelompok terbentuk lebih awal

BANTING, 5 OGOS: Seorang pekerja pembersihan berharap imuniti kelompok dapat terbentuk lebih awal bagi membolehkannya bekerja semula dan menjana pendapatan.

Warganegara Indonesia, Suriani, 52, berkata buat masa ini beliau berdepan masalah kewangan dan hanya bergantung kepada bantuan yang diberikan orang ramai.

Warganegara Indonesia, Suriani

“Apabila diberitahu berkenaan program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti, saya tidak melepaskan peluang. Ini kerana hingga kini saya tidak menerima lagi tarikh janji temu vaksin sejak berdaftar pada Julai lalu.

“Saya harap semua masyarakat yang layak menerima vaksin datang mendapatkan suntikan supaya dapat menjalani kehidupan normal dan bekerja seperti biasa,” katanya.

Pekebun warga Bangladesh, Mohd Shamsul Alam

Pekebun warga Bangladesh, Mohd Shamsul Alam, 36, pula berkata awalnya beliau khuatir tidak dapat vaksin kerana ia diberikan kepada masyarakat setempat sahaja.

“Namun, saya berasa lega apabila warga asing juga dibenarkan dengan syarat bekerja di Banting, mempunyai pasport dan surat majikan.

“Petugas di sini membantu dan memudahkan penerima terutama warga asing kerana kami tidak begitu fasih berbahasa Melayu dan menulis,” katanya.

Warga emas S Jodhy

Manakala warga emas S Jodhy, 66, berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang mengadakan proses vaksin tanpa janji temu kerana menunggu lama sejak beberapa bulan lalu.

“Semua anak-anak saya telah mendapatkan vaksin dan kaedah secara terus membantu mempercepatkan vaksin kepada warga emas yang terdedah dengan jangkitan Covid-19.

“Pada awalnya memang rasa gementar tetapi sebagai rakyat Malaysia menjadi tanggungjawab untuk memastikan penularan wabak dapat dihentikan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Benarkan swasta beli vaksin, bantu cepat imuniti kelompok

SHAH ALAM, 26 JUN: Kerajaan disaran membenarkan sektor swasta membuat perolehan vaksin dengan syarikat farmaseutikal luar negara bagi mempercepat sasaran imuniti kelompok.

Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan Elizabeth Wong berkata ketika ini peratusan rakyat disuntik masih rendah khususnya di Selangor dan dibimbangi menjejaskan usaha menurunkan kes Covid-19.

“Walaupun kita nampak setiap hari angka (dos suntikan) lebih 100,000 tetapi untuk mencapai imuniti kelompok akan mengambil masa lebih enam bulan, ini satu fakta.

“Jadi, lebih bagus sekiranya banyak pihak terlibat dalam program vaksinasi dan kerajaan harus beri sedikit kelonggaran seperti benarkan hospital atau pihak luar (swasta) bawa vaksin secara rasmi ke dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara melawan wabak, melangkau politik yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Sementara itu, Elizabeth meminta kerajaan memperkenal kit ujian kendiri Covid-19 dan dijual dengan harga lebih murah bagi memudahkan individu membuat saringan awal tanpa perlu hadir ke fasiliti kesihatan.

“Ujian Covid-19 sangat penting kerana kita boleh mengelak jangkitan daripada merebak. Misalnya, jika kit tersebut dijual RM10, orang biasa (kurang mampu) boleh bayar. Mereka juga boleh kuarantin sendiri di rumah sekiranya positif,” katanya.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Analisis: Banyak cabaran namun imuniti kelompok masih boleh dicapai

Oleh Nina Muslim

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Ketika pandemik Covid-19 masih menghantui dunia, imuniti kelompok dilihat sebagai penyelamat untuk mengekang penularan koronavirus maut ini dan diharap dapat memberi kebebasan untuk kembali kepada kehidupan normal.

Malaysia yang sebelum ini menyasarkan populasi seperti warga tua dan Orang Kurang Upaya (OKU) memutuskan untuk fokus kepada imuniti kelompok selepas beberapa minggu pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK)

Namun, banyak halangan yang perlu ditangani termasuk keengganan sesetengah orang untuk mengambil vaksin serta kemungkinan mutasi koronavirus membuatkan vaksinasi sebagai sia-sia.

Sebagus mana Malaysia berjaya menangani cabaran ini akan menentukan satakat mana penduduk di negara ini dapat menjalani kehidupan normal

Sebelum itu, apa yang dimaksudkan dengan imuniti kelompok? Mengapa kita memerlukannya?

Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim, ahli jawatankuasa eksekutif, Kempen Medical Mythbusters’ Strategic Planning Vaccination, mengibaratkan imuniti kelompok sebagai satu set payung.

Beliau menggambarkan, mereka yang menerima vaksin, atau dijangkiti dan pulih kemudiannya, sebagai orang yang memakai payung. Koronavirus itu adalah hujan.

“Jika jumlah orang yang secukupnya membuka payung mereka, tak perlu semua orang …tetapi semua akan dilindungi daripada dibasahi hujan, ” katanya.

“Dalam perkataan lain, sekiranya kita mencapai ambang tertentu imuniti dalam komuniti, sebagai contoh, 70 hingga 80 peratus populasi divaksinasi, perlindungan ini boleh merangkumi 100 peratus komuniti, ” tambahnya.

Bagaimanapun, untuk sampai ke ambang berkenaan perlu menempuh pelbagai kesukaran.

Malaysia meletakkan sasaran mencapai vaksinasi sehingga 80 peratus populasi atau sekitar 24 juta menjelang Februari 2022. Ini bermakna hampir semua ornag dewasa dan kanak-kanak di atas umur 12 tahun di negara ini perlu divaksinasi.

Warga emas Maimun Abu Bakar, 78, (berkerusi roda) dibantu adiknya Sarimah Abu Bakar, 55, (kanan) ketika dijemput oleh petugas Pejabat Daerah Marang untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Utama Majlis Daerah Marang bagi menerima dos pertama vaksin Covid-19 ketika ditemui di Kampung Seberang Marang pada 21 Jun 2021. Foto BERNAMA

Sasaran ini nampak seperti cita-cita besar. Apakah imuniti kelompok ini hanya satu impian?

Pakar kesihatan positif ianya boleh dicapai dan Malaysia akan dapat mencapai imuniti kelompok tetapi persoalannya ialah BILA?

Boleh capai sasaran 

Menurut Profesor Madya Dr Rafdzah Ahmad Zaki, pakar perubatan kesihatan awam di Universiti Malaya, vaksinasi perlu dilaksanakan secepat mungkin bagi menjamin imuniti kelompok bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai.

“Imuniti kelompok bergantung kepada peratus populasi yang sudah divaksinasi. Lagi cepat kita capai liputan tertinggi, lagi pantas kita capai imuniti. Jadi ia bergantung kepada jumlah vaksin yang ada serta proses pengedaran, ” katanya.

Di sebalik beberapa masalah di peringkat awal, Malaysia kini berada di landasan yang betul untuk mengatasi tarikh akhir Februari 2022. Untuk 7 Jun hingga 13 Jun, purata lebih 130,000 dos vaksin diberi setiap hari. Ia mencapai rekod 215,876 suntikan pada 15 Jun, dan dilihat dapat mencapai sasaran purata harian 300,000 menjelang hujung Ogos 2021.

Penghantaran dua dos vaksin Pfizer/BioNTech, AstraZeneca/Oxford University dan SinoVac – mencukupi untuk memberi dos penuh kepada lebih 100 peratus populasi, kini lebih konsisten. Malaysia juga merancang untuk membeli vaksin satu dos vaksin CanSino dan Johnson&Johnson (J&J).

Dalam masa yang sama, terdapat kerisauan kadar pendaftaran vaksinasi (59.1 peratus setakat 15 Jun, hampir lima bulan selepas PICK dilancarkan), mungkin berpunca daripada keengganan sesetengah orang untuk divaksin.

Perkara ini mendapat perhatian berat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baru-baru ini menyuarakan idea menjadikan vaksinasi sebagai mandatori.

Bagaimanapun, jika dilihat daripada sambutan orang ramai untuk divaksinasi, kadar pendaftaran yang dibangkitkan tadi mungkin tidak tepat.

Menurut kajian global oleh National Library of Medicine National Institutes of Health, Amerika Syarikat, Malaysia adalah antara negara yang mencatat kadar penerimaan vaksin Covid-19 tertinggi di dunia iaitu 94.3 peratus. Kebimbangan mengenai Covid-119 dalam kalangan anggaran 74 peratus rakyat Malaysia oleh IPSOS mungkin juga sebab mencetuskan minat untuk vaksinasi.

Contohnya, program pemilihan vaksin AstraZeneca/Oxford University yang mendapat sambutan hangat, di sebalik laporan berlaku darah beku dalam kalangan mereka yang mengambil vaksin ini,. Sekiranya dapatan kajian ini benar, besar kemungkinan Malaysia dapat mencapai sasaran imuniti kelompok, jika pun ada golongan yang enggan untuk divaksinasi.

Cabaran utama

Isu yang perlu diberi perhatian dan dianggap cabaran terbesar ialah akses kepada vaksin.

Untuk menangani perkara, kerajaan membuka lebih banyak lapangan untuk vaksinasi di kawasan bandar di samping menggunakan pusat komuniti, kesihatan dan agama. Ribuan diberi vaksin termasuk menerusi kaedah pandu lalu dan unit bergerak.

Dalam masa yang sama, sesetengah komuniti di Malaysia diancam kemungkinan diketepikan. Memandangkan kebanyakan vaksin Covid-19 memerlukan suntikan dua dos, komuniti yang sukar dijangkau, seperti migran dan Orang Asli.

Vaksin satu dos yang baru-baru ini diluluskan kerajaan, dilihat dapat membantu proses vaksinasi untuk mereka di kawasan pedalaman, tetapi migran yang tidak mempunyai dokumen, pelarian dan golongan tidak bernegara, mungkin tidak dapat tampil untuk divaksin kerana risiko ditangkap.

Menteri Penyelaras Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF), Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini memberi jaminan perlindungan untuk mana-mana migran yang tampil untuk mendapatkan suntikan vaksin. Menurut beliau, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta organisasi antarabangsa membantu kerajaan Malaysia untuk usaha berkenaan.

Bagaimanapun, kenyataan terkini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ,mencetuskan persoalan. Beliau beberapa kali mengumumkan gerakan besar-besaran untuk menahan migran yang tidak mempunyai dokumen. Beliau turut berkata migran yang tidak mempunyai dokumen mesti menyerah diri untuk divaksin.

Kenyataan ini tidak disenangi beberapa pemimpin tempatan, NGO dan pakar kesihatan awam.

Ketua Misi, International Organisation for Migration (IOM), Kendra Rinas memberitahu Bernamam, perlu wujud persekitaran yang selamat untuk migran mendapatkan suntikan vaksin.

“IOM, sebagai sebahagian daripada UN dan dalam penyeliaan dengan NG) lain serta kerajaan, bersedia untuk membantu vaksinasi bagi migran, tetapi mereka enggan tampil kerana bimbang ditangkap, ditahan dan diusir, ” kata beliau menerusi WhatsApp.

Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, presiden, Persatuan Kesihatan Awam Malaysia, bersetuju dengan kenyataan itu dan menambah, “Perkara penting adalah untuk melindungi golongan ini di samping melindungi orang awam. Yang penting bagi suntikan, sama ada mereka ini pendatang haram atau tidak.”

Aktivis dan pakar kesihatan awam juga berharap vaksin satu dos yang diluluskan baru-baru ini boleh mengurangkan karenah birokrasi dan menjadikannya mudah untuk memberi vaksin kepada migran.

Dr Zainal berkata, kerajaan perlu menyediakan vaksin berkenaan untuk NGO yang bersedia memberi vaksinasi kepada komuniti migran.

Cabaran varian baharu 

Halangan utama yang mungkin menjadikan sukar untuk Malaysia mencapai imuniti kelompok ialah kemunculan varian baharu yang mungkin mampu mengelakkan daripada perlindungan vaksin.

Menurut Dr Rafdzah, risikonya timbul sekiranya vaksinasi lewat diberi atau sekiranya tidak cukup jumlah yang menerima suntikan vaksin.

“Jika kita melengahkan proses ini, jangkitan akan bertambah. Jika banyak jangkitan, lebih banyak ada varian baharu. Mungkin tiba ketika, vaksin tidak berkesan ke atas varian baharu, menyebabkan sasaran mencapai imuniti kelompok mengambil masa yang lebih panjang, kerana kita perlu mencari vaksin baharu,” katanya.

Jika pun Malaysia mencapai sasaran vaksinasi menjelang hujung tahun ini, mungkin ini tidak mencukupi untuk mengatasi kadar mutasi koronavirus. Kita boleh lihat negara lain sedang bergelut untuk mendapatkan bekalan vaksin yang mencukupi untuk rakyat mereka.

Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam di pusat pemberian vaksin (PPV) MSU Medical Centre, Shah Alam pada 11 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Varian Delta, yang sebelum ini dikenali sebagai varian India, semakin menjadi strain dominan di seluruh dunia kerana kadar jangkitan yang tinggi. Dilaporkan, ia juga boleh mengelakkan daripada perlindungan sesetengah antibodi, yang bermakna suntikan vaksin kurang berkesan untuk menghalang jangkitan dan transmisi berbanding strain terdahulu.

Namun, tidaklah bermakna tidak perlu mengambil vaksin.

Ahli virologi molekular, Dr Vinod Balasubramaniam dari School of Medicine, Monash University Malaysia, berkata, varian baharu menjadikan vaksinasi sebagai amat penting untuk mencegah kematian.

Di UK, kebanyakan kematian berkait dengan strain berkenaan melibatkan juga mereka yang tidak divaksin.

“Virus ini sukar untuk menjangkiti dan hidup serta menjangkiti dari seorang kepada seorang yang lain sekiranya orang itu sudah divaksin,” katanya.

Vaksin untuk kanak-kanak

Kerajaan Malaysia baru-baru ini meluluskan penggunaan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech untuk individu berumur 12 tahun dan ke atas. Langkah ini meningkatkan peluang untuk negara ini mencapai sasaran imuniti kelompok.

“Memberi vaksin kepada populasi lebih muda sudah tentu membantu mencapai imuniti kelompok. Mereka yang berusia 18 tahun ke atas mewakili hanya kira-kira 70 peratus populasi Malaysia. Kita tak mungkin mencapai imuniti kelompok jika hanya fokus kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas sahaja,” kata Dr Rafdzah.

Bagaimanapun, dalam soal kembali kepada kehidupan normal sebelum Covid meskipun negara mencapai sasaran imuniti kelompok, ia seakan sukar dicapai.

Sebahagian besarnya kerana vaksin melindungi jangkitan yang teruk serta kematian. Walaupun sudah divaksin, seseorang itu masih boleh dijangkiti dan menjangkiti orang lain. Ahli sains tidak pasti berapa lama vaksin dapat memberi perlindungan.

Terdapat juga isu kadar vaksinasi yang tidak sama rata di peringkat dunia.

Menurut Dr Amirul, sehingga dunia mencapai paras perlindungan yang sama, akan terus berlaku wabak Covid-19, terutama di kawasan kampung yang komunitinya mungkin tidak semua divaksin.

“Apabila kita bercakap tentang imuniti kelompok, kita bukan bercakap tang penghapusan sepenuhnya virus. Ini sukar dicapai, “katanya.

Menurut Dr Zainal, “Kita tak boleh harap normal tetapi hampir normal. Untuk sesetengah kumpulan, yang divaksin dan orang muda yang sihat, mereka boleh ke sana ke sini tetapi kumpulan paling berisiko dijangkiti, mereka masih perlu berhati-hati dengan tempat awam dan patuh kepada SOP.”

Bagaimanpun, ini tidak bermakna setiap orang akan berada dalam sekatan pergerakan selama-lamanya.

Pakar bersetuju kehidupan hampir normal dapat dijalani sebelum negara mencapai angka 80 peratus divaksin. Seakan kehidupan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan tahun 2020 yang mana rentas negeri, perhimpunan kecil dan kebanyakan aktiviti sosial dibenarkan, dengan beberapa sekatan.

Menurut mereka, sebarang penarikan sekatan bergantung kepada jumlah peratus yang divaksin dan bukan jumlah kes, dengan meletakkannya kepada kadar 50 peratus mendapat dos penuh.

Itu pun, kehidupan tidak akan kembali kepada tahap sebelum Covid.

Dr Vinod menjangka koronavirus akan terus bermutasi, dan bertukar kepada sesuatu yang seakan selesema bermusim, yang masih boleh meragut nyawa mereka yang lemah. Untuk itu, suntikan vaksin tahunan mungkin perlu sebagai perlindungan kepada varian baharu.

“Bagi saya koronavirus ini akan kekal bersama kita. Matlamatnya supaya virus ini tidak membunuh orang yang dijangkitinya dengan serta-merta, ” tambahnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin warga emas dan OKU bermula hari ini, tumpu lokasi pedalaman

SHAH ALAM, 9 JUN: Program pemberian vaksin terhadap warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) terutama di kawasan luar bandar bermula hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu bagi mempercepat imuniti kelompok dan memastikan mereka mendapat suntikan imunisasi.

“Kita sedar keterbatasan pusat vaksin mega ini adakalanya sesak dan sukar untuk orang pedalaman mendapat akses. Malahan, konsep ‘outreach’ ini dilaksana bagi mengurangkan risiko kepada golongan tersebut.

“Justeru, Kerajaan Selangor mahu menumpu ke rumah warga emas dan Insya-Allah apabila bermulanya Program Suntikan Vaksin Covid-19 Selangor, kita akan lebih fokus ke kawasan pedalaman yang mana orangnya sukar untuk bergerak,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi program bertajuk Pakej Kita Selangor 2.0: Strategi Tangani Covid-19, Perkukuh Ekonomi di Astro Awani malam ini.

Sebelum ini, Amirudin mengumumkan program vaksinasi bergerak membabitkan 16 pasukan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan akan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan 1,893 individu termasuk kakitangan dari 68 pusat jagaan.

Program itu ditawarkan kepada pusat jagaan kerajaan atau Jabatan Kebajikan Masyarakat, pusat jagaan berlesen di bawah Akta 506 dan Akta 586 serta pusat swasta tidak berlesen.

Hari ini, Amirudin menerusi Pakej Bantuan Kita Selangor 2.0 mengumumkan Kerajaan Negeri melancarkan program Suntikan Vaksin Covid-19 Selangor untuk mempercepat imuniti kelompok rakyat dengan implikasi kewangan RM200 juta.

Categories
ADN AGENDA NASIONAL SELANGOR

Putrajaya disaran beri peluang Selangor urus vaksin, percepat imuniti kelompok

SUBANG, 28 MEI: Kerajaan persekutuan disaran memberi kebebasan kepada Selangor menguruskan program suntikan vaksin Covid-19 bagi mempercepat imuniti kelompok.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara berkata Kerajaan Negeri berupaya berbuat demikian seperti pelaksanaan Program Saringan Komuniti secara besar-besaran ketika ini.

“Kita berharap pihak berkaitan mempertimbangkan cadangan ini apatah lagi program saringan secara percuma yang dilaksanakan pada setiap hari mengesan banyak kes positif.

“Majoriti rakyat mahu cepat terima suntikan vaksin susulan peningkatan kes kebelakangan ini,” kata Shatiri Mansor pada program Saringan Komuniti di Dewan Serbaguna MBSA U5, Subang Bestari semalam.

Pada 19 Mei Dato’ Menteri Besar menjangkakan proses pembelian 2.5 juta dos vaksin dimuktamad pada bulan depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata vaksin itu diagih percuma kepada rakyat selain dijual kepada majikan pada harga kos.

Pada 18 Januari, Kerajaan Selangor mengumumkan hasrat membeli lima juta dos vaksin melalui peruntukan RM100 juta bagi membantu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

SJMC dijadikan pusat pemvaksinan Covid-19

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) dijadikan pusat pemvaksinan Covid-19 di daerah Petaling Jaya, selepas beberapa hospital swasta turut dipilih menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SJMC Trish Hogan dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya mempunyai petugas pemvaksinan terlatih untuk menguruskan pemberian vaksin kepada petugas kesihatan di Selangor yang bermula esok.

Trish berkata adalah penting inisiatif kerjasama awam-swasta ini digunakan sepenuhnya untuk memastikan program pemvaksinan negara berjalan lancar.

“SJMC komited dengan peranan kami dalam menyokong usaha kerajaan untuk mencapai 80 peratus imuniti kelompok di Malaysia yang akan memberi kesan meluas dan positif bagi kita semua,” katanya.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin sebelum ini dilaporkan berkata hospital swasta telah digunakan sebagai pusat pemvaksinan bagi petugas kesihatan swasta untuk Fasa 1 Pogram Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Katanya, kerajaan akan memasukkan lebih banyak hospital swasta bagi Fasa 2 dan 3 seperti yang diumumkan sebelum ini.

– BERNAMA