Categories
AGENDA NASIONAL

Indeks keluaran industri naik 1.5 peratus pada Februari 2021

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia berkembang 1.5 peratus tahun ke tahun pada bulan Februari 2021, dipacu oleh peningkatan 4.5 peratus dalam indeks pembuatan, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin bagaimanapun berkata indeks perlombongan dan elektrik, masing-masing menguncup 6.0 peratus dan 5.8 peratus.

Output sektor pembuatan pula berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 4.5 peratus pada bulan Februari 2021, tambahnya.

“Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada bulan Februari 2021 adalah produk peralatan elektrik dan elektronik (10.3 peratus), produk petroleum, kima, getah dan plastik (8.9 peratus) dan kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (3.2 peratus),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah industri berorientasikan eksport menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan sebanyak 5.8 peratus manakala industri berorientasikan domestik meningkat 1.8 peratus

Sementara itu, Mohd Uzir berkata output sektor perlombongan menguncup 6.0 peratus pada bulan Februari 2021 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya, disebabkan oleh penurunan dalam indeks minyak mentah dan kondensat (-11.5 peratus) serta indeks gas asli (-1.6 peratus).

Output sektor elektrik menyusut 5.8 peratus pada bulan Februari 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Indeks pengeluaran perindustrian Malaysia melonjak 18.2 peratus pada Mei

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia melonjak 18.2 peratus pada Mei 2020 berbanding bulan sebelumnya, memandangkan lebih banyak aktiviti ekonomi dibuka oleh kerajaan, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan IPP pada Mei 2020 didorong kenaikan dalam kesemua indeks iaitu indeks pembuatan (25.9 peratus), indeks elektrik (13.7 peratus) dan indeks perlombongan (0.4 peratus).

Beliau berkata bagaimanapun, bagi perbezaan tahun ke tahun, IPP merosot 22.1 peratus pada Mei 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya berikutan penurunan ketara dalam kesemua indeks iaitu indeks pembuatan (-23.2 peratus), indeks perlombongan (-22.2 peratus) dan indeks elektrik (-10.3 peratus).

Output sektor pembuatan pada Mei 2020 menguncup 23.2 peratus berdasarkan pertumbuhan tahun ke tahun selepas mencatatkan penurunan 37.2 peratus pada April 2020, katanya dalam laporan IPP Malaysia Mei 2020 yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata subsektor utama yang mendorong kepada penurunan dalam sektor pembuatan pada Mei 2020 ialah produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (-45.1 peratus), kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (-38.5 peratus) serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik (-24.3 peratus).

Output sektor perlombongan menguncup 22.2 peratus pada Mei 2020 berbanding tempoh yang sama 2019 disebabkan penurunan dalam indeks minyak mentah dan kondensat (-22.2 peratus) serta indeks gas asli (-22.2 peratus), katanya.

Output sektor elektrik juga menguncup 10.3 peratus pada Mei 2020 berbanding bulan yang sama 2019

Sementara itu, semasa sidang media secara maya hari ini, Mohd Uzir berkata perdagangan borong dan runcit merekodkan nilai jualan sebanyak RM84.4 bilion, melonjak 26.3 peratus pada Mei 2020.

Beliau berkata dalam melangkah maju, pembukaan semula hampir kesemua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat memberi kesan positif ke atas sektor itu pada Jun 2020.

Langkah kerajaan membenarkan premis perniagaan memulakan kembali operasi dan pembukaan sempadan antara negeri akan melancarkan rantaian ekonomi keseluruhan sekali gus memangkin pertumbuhan ekonomi, katanya.

“Selain itu, inisiatif kerajaan seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat akan turut membantu menaikkan perbelanjaan isi rumah dan seterusnya meningkatkan jualan runcit,” katanya.

– BERNAMA