Categories
AGENDA GLOBAL

14 individu cedera insiden letupan luar gereja di Makassar

JAKARTA, 28 MAC: Kejadian letupan bom di luar pintu masuk Gereja Katedral di Makassar, Sulawesi Selatan hari ini yang dipercayai dilakukan oleh pengebom bunuh diri, mencederakan 14 orang setakat tengah hari tadi.

Setakat 12.30 tengah hari waktu Indonesia Barat, polis Indonesia belum mengesahkan jumlah mereka yang terbunuh dalam kejadian kira-kira 10.20 pagi waktu Indonesia bahagian tengah itu.

Menurut Ketua Divisi Hubungan Masyarakat Polis Indonesia Argo Yuwono, dua suspek yang menunggang sebuah motosikal cuba memasuki kawasan gereja berkenaan sebelum ditahan pengawal keselamatan gereja.

“Pengawal keselamatan menahan mereka dan sejurus kemudian berlaku letupan. Polis masih menyelidik jumlah bahagian-bahagian tubuh yang hancur akibat letupan itu (jumlah yang terbunuh dalam kejadian berkenaan),” katanya dalam sidang media di Jakarta.

Letupan itu turut melibatkan beberapa pengguna jalan raya yang sedang melalui jalan berkenaan.

Berdasarkan video yang tersebar di media sosial, bahagian tubuh yang berkecai bertaburan di kawasan berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sindiket edar dadah dalam sejadah tumpas, 12 ditahan

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Sindiket pengedaran dadah antarabangsa menggunakan taktik menyorokkan dadah dalam barang keagamaan tumpas apabila polis menahan 12 lelaki termasuk warga Taiwan dan seorang wanita di sekitar Lembah Klang, Isnin lepas.

Semakan polis mendapati lelaki warga Taiwan berusia 30 tahun itu merupakan dalang sindiket yang aktif sejak November tahun lepas dan berperanan sebagai ahli kimia untuk memproses dadah jenis ketamin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Razaruddin Husain berkata tangkapan dibuat selepas pihaknya menyerbu sebuah syarikat kurier di Cheras dan menemui lima kotak yang diisytihar mengandungi tikar sejadah pelbagai warna untuk dihantar ke Indonesia.

“Pemeriksaan di dalam kotak menemukan ketulan kristal yang disyaki dadah jenis Methamphetamine dianggarkan seberat 4.12 kilogram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

“Susulan siasatan lanjut, kami manahan 13 individu di enam lokasi sekitar Kuala Lumpur serta Selangor termasuk dua makmal memproses dadah dan merampas pelbagai jenis dadah serta bahan kimia di samping peralatan dipercayai untuk memproses dadah.

“Hasil tangkapan ini, kami berjaya merampas dadah jenis ketamin, syabu, erimin 5 dan ekstasi dianggarkan berat 96.1 kg dengan nilai kira-kira RM4.9 juta,” katanya.

Razaruddin berkata modus operandi sindiket itu menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengedarkan dadah di pasaran antarabangsa, antaranya di New Zealand, Korea Selatan, Indonesia dan Taiwan.

“Semakan mendapati suspek warga Taiwan itu dikehendaki oleh pihak berkuasa negaranya atas kesalahan mencuri dan cubaan bunuh… kami akan bekerjasama dengan polis di sana untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata ujian air kencing mendapati 12 daripada mereka yang ditahan itu positif dadah dan 10 orang mempunyai rekod jenayah lampau.

Kesemua mereka yang berusia 18 hingga 35 tahun itu direman hingga Ahad ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Indonesia masuki fasa kedua proses vaksin Covid-19

JAKARTA, 16 FEB: Bermula esok, Indonesia melaksanakan fasa kedua proses pemvaksinan Covid-19 untuk pekerja ‘publik’ melibatkan sasaran 38.5 juta orang, termasuk golongan warga emas di republik berkenaan.

Pekerja publik itu terdiri daripada golongan pendidik, peniaga pasar, tokoh agama, wakil rakyat, pegawai pemerintah, tentera, polis, pengawal keselamatan, pemadam (bomba), pekerja berkaitan industri pengangkutan awam, atlet sukan, wartawan dan pekerja sektor pelancongan (kakitangan hotel, restoran dan pusat pelancongan).

Indonesia sebelum ini melaksanakan fasa pertama pemvaksinan menggunakan vaksin Sinovac dari China bermula 13 Januari lepas, memfokuskan suntikan vaksin kepada petugas kesihatan, selain kepimpinan utama negara, yang kemudiannya suntikan itu turut diberikan kepada warga emas bermula 8 Februari lepas.

Menurut kenyataan Biro Komunikasi dan Pelayanan Masyarakat, Kementerian Kesihatan Indonesia, bagi fasa kedua itu yang mensasarkan 38.5 juta orang itu dijangka selesai pada Mei 2021, melibatkan lebih 16.9 juta pekerja publik dan lebih 21.5 juta warga emas.

Indonesia sebelum ini menyasarkan suntikan vaksin Covid-19 kepada lebih 182 juta penduduk republik itu, yang dijangka selesai sepenuhnya sebelum berakhir 2021.

Berdasarkan data disiarkan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) di laman twitter rasminya, @BNPB_Indonesia semalam, sebanyak 1,096,095 orang menerima suntikan vaksin pertama, manakala 482,685 orang menerima suntikan kedua.

Setakat semalam, kes positif Covid-19 di Indonesia berjumlah 1,223,930 orang, dengan 1,032,065 pesakit sembuh, manakala jumlah kematian akibat virus itu kini meningkat kepada 33,367 orang.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Indonesia beri suntikan vaksin Covid-19 kepada warga emas

JAKARTA, 8 FEB: Indonesia yang telah memulakan proses vaksinasi Covid-19 sejak 13 Januari lepas untuk golongan berusia 18 tahun hingga 59 tahun, kini turut memberikan suntikan vaksin itu kepada mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

Menteri Kesihatan Indonesia Budi Gunadi Sadikin dalam satu kenyataan berkata keputusan memberikan vaksin kepada golongan berkenaan yang bermula hari ini adalah berikutan data terkini merekodkan separuh daripada mereka yang meninggal dunia akibat virus itu adalah dalam kalangan golongan berusia.

Program vaksinasi Indonesia yang menyasarkan suntikan kepada lebih 182 juta penduduk itu dijangka diselesaikan sepenuhnya sebelum berakhir tahun ini.

Presiden Indonesia Joko Widodo menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Sinovac dari China bagi meningkatkan keyakinan rakyatnya terhadap vaksin berkenaan.

Menurut data yang disiarkan di laman rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, covid19.go.id., setakat hari ini, sebanyak 814,585 orang telah menerima suntikan pertama vaksin manakala 171,270 orang telah menjalani suntikan kedua.

Kes positif Covid-19 di Indonesia kini meningkat kepada 1,166,079 kes dengan tambahan 8,242 kes baharu dalam tempoh 24 jam manakala jumlah kematian akibat virus itu setakat ini sebanyak 31,763 orang dengan 207 lagi kematian dicatatkan dalam tempoh berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Jangkitan Covid-19 di Indonesia lepasi angka satu juta

JAKARTA, 26 JAN: Jangkitan Covid-19 di Indonesia hari ini melepasi angka satu juta kes, ketika proses vaksinasi virus itu sedang dilaksanakan di seluruh republik berpenduduk hampir 290 juta orang itu.

Menurut data yang disiarkan di laman rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, covid19.go.id. hari ini, republik itu merekodkan 13,094 lagi kes baharu dalam tempoh 24 jam, menjadikan kes positif keseluruhan kini meningkat kepada 1,012,350 kes.

Bagaimanapun 820,356 pesakit yang dijangkiti virus itu dinyatakan telah sembuh.

Sejak kes pertama dikesan pada 2 Mac 2020, jumlah kematian keseluruhan akibat virus itu kini meningkat kepada 28,468 orang, dengan tambahan 336 lagi kematian dalam tempoh 24 jam lepas.

Presiden Indonesia Joko Widodo sebelum ini mengarahkan proses vaksinasi yang bermula 13 Januari lepas, dengan menyasarkan lebih 182 juta penduduk di republik itu, diselesaikan sebelum berakhir tahun ini.

Vaksinasi itu tidak diberikan kepada mereka yang berusia 12 tahun ke bawah, dan 60 tahun ke atas, serta mereka yang mempunyai risiko kesihatan seperti ibu mengandung, dan mereka yang berpenyakit kritikal seperti sakit jantung dan sebagainya.

Pada 6 Disember 2020, Indonesia menerima sebanyak 1.2 juta dos vaksin Covid-19 dari China, sebanyak 1.8 juta dos lagi vaksin diterima pada 31 Disember lepas, manakala 15 juta lagi vaksin diterima pada 12 Januari lepas.

Selain vaksin Sinovac dari China, pemerintah Indonesia juga telah memeterai perjanjian membeli 426 juta lagi dos vaksin dari Astrazeneca, Pfizer, dan Novovax.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19 di Indonesia semakin membimbangkan, hampir 13,000 kes sehari

JAKARTA, 15 JAN: Jangkitan Covid-19 di Indonesia terus meningkat dan membimbangkan apabila merekodkan kes baharu melepasi angka 12,000 kes untuk tempoh 24 jam.

Selepas mencatatkan 11,557 kes semalam, jumlah kes hari ini direkodkan tertinggi setakat ini apabila mencatatkan 12,818 kes baharu.

Menurut data yang disiarkan di laman rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, covid19.go.id. hari ini, kes positif keseluruhan di republik itu kini meningkat kepada 882,418 kes, manakala jumlah keseluruhan kematian bertambah kepada 25,484 orang selepas merekodkan 238 lagi kematian.

Provinsi Jakarta kekal provinsi tertinggi jangkitan virus itu iaitu 220,434 kes manakala provinsi Jawa Timur menjadi provinsi paling tinggi kes kematian keseluruhan iaitu 6,779 orang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Kes positif di Indonesia lepasi 11,000 dua hari berturut-turut

JAKARTA, 14 JAN: Indonesia mencatatkan kes baharu Covid-19 melepasi angka 11,000 untuk tempoh dua hari berturut-turut, menjadikan kes keseluruhan di republik itu kini meningkat kepada 869,600 kes.

Menurut data yang disiarkan di laman rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, covid19.go.id. hari ini, kes positif baharu Covid-19 di republik itu direkodkan tertinggi setakat ini iaitu 11,557 kes, selepas mencatatkan 11,278 kes semalam.

Jumlah keseluruhan kematian di republik itu kini sebanyak 25,246 orang, selepas merekodkan 295 lagi kematian dalam tempoh 24 jam.

Provinsi Jakarta kekal provinsi tertinggi jangkitan virus itu iaitu 217,893 kes selepas mencatatkan 3,165 kes baharu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Jangkitan baharu Covid-19 di Indonesia lepasi 11,000 kes

JAKARTA, 13 JAN: Indonesia mencatatkan jumlah tertinggi jangkitan baharu Covid-19, selepas merekodkan lebih 11,000 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Rekod kematian bagi virus itu juga tertinggi selepas mencatatkan 306 lagi kematian, menjadikan kematian keseluruhan di seluruh republik itu kini 24,951 orang.

Menurut data yang disiarkan di laman rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, covid19.go.id. hari ini, kes positif baharu Covid-19 bagi tempoh 24 jam itu adalah sebanyak 11,278 kes, menjadikan kes keseluruhan meningkat kepada 858,043 kes.

Provinsi Jakarta kekal provinsi tertinggi jangkitan virus itu iaitu 214,728 kes selepas mencatatkan kes harian tertinggi setakat ini iaitu 3,476 kes baharu.

Provinsi Jawa Timur kekal provinsi tertinggi jumlah kematian keseluruhan iaitu 4,255 kematian, dengan 94 lagi kematian dalam tempoh 24 jam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Jokowi individu pertama terima suntikan vaksin Covid-19 di Indonesia

JAKARTA, 13 JAN: Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) hari ini menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 di republik itu bagi meningkatkan keyakinan rakyatnya terhadap vaksin berkenaan.

Majlis “Suntikan Perdana” di Istana Presiden di Bogor itu, disiarkan secara langsung menerusi Youtube Sekretariat Presiden, hari ini.

Jokowi diberikan suntikan vaksin Sinovac pada jam 9.40 pagi waktu Indonesia barat, sebelum diikuti beberapa menteri kabinetnya serta Ketua Polis Indonesia, Idham Azis dan Panglima Tentera Indonesia, Hadi Tjahjanto.

Proses vaksinasi itu akan diteruskan ke provinsi-provinsi lain secara serentak mulai esok, dengan keutamaan diberikan kepada petugas kesihatan, pemimpin setempat dan seterusnya, rakyat Indonesia.

Pada 11 Januari lepas, Badan Pengawas Obat dan Makanan Indonesia (BPOM) meluluskan penggunaan vaksin Sinovac dari China bagi membolehkan proses suntikan vaksin di republik itu, bermula hari ini.

Pada 16 Disember lepas, Jokowi mengumumkan vaksin Covid-19 itu akan diberikan secara percuma kepada rakyat republik berkenaan dengan menyasarkan suntikan kepada 182 juta penduduk daripada jumlah penduduk Indonesia yang hampir 290 juta.

Suntikan tidak termasuk kanak-kanak dan mereka yang berusia 60 tahun ke atas serta golongan berisiko seperti ibu mengandung dan sebagainya.

Sebelum itu, pada 6 Disember lepas, Indonesia menerima sebanyak 1.2 juta dos vaksin Covid-19 dari China dan sebanyak 1.8 juta dos lagi vaksin diterima pada 31 Disember lepas, manakala 15 juta lagi vaksin diterima semalam.

Kerajaan Indonesia juga telah memeterai perjanjian membeli 426 juta lagi dos vaksin dari Astrazeneca, Pfizer dan Novovax.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Operasi cari pesawat Sriwijaya Air di perairan Kepulauan Seribu

JAKARTA, 10 JAN: Pihak berkuasa Indonesia hari ini meningkatkan operasi mencari pesawat Sriwijaya Air yang disahkan terhempas di perairan Kepulauan Seribu semalam.

Kementerian Perhubungan, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS), polis Indonesia (Polri), Tentera Indonesia (TNI) dan agensi lain berkaitan dalam kenyataan bersama memaklumkan operasi pencarian bermula 6 pagi tadi adalah bagi mencari bangkai pesawat di perairan berkenaan.

“Data jumlah personel yang terlibat dalam operasi setakat pagi ini sebanyak 326 personel, jumlah kapal 38 unit, dua helikopter dan dua pesawat udara, masing-masing dari BASARNAS, TNI, Polri, Kementerian Perhubungan, Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) dan lain-lain.

“Kapal-kapal tersebut dilengkapi dengan peralatan seperti Multibeam Echosounder dan Remotely Operated Vehicle (ROV) untuk mengesan dan mencari bangkai pesawat, selain pasukan penyelam,” menurut kenyataan itu.

Pesawat jenis Boeing 737-500 yang membawa 62 penumpang dan anak kapal itu dilaporkan terputus hubungan selepas berlepas dari Jakarta menuju ke Pontianak pada 2.36 petang waktu Indonesia Barat, sebelum disahkan terhempas di perairan Kepulauan Seribu, Jakarta.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tumpas sindiket seludup dadah ke Indonesia, rampas syabu lebih RM1 juta

JOHOR BAHRU, 29 DIS: Polis Johor menumpaskan sindiket pengedaran dadah ke Indonesia dan merampas syabu bernilai RM1.07 juta, menerusi empat serbuan di Muar dan bandar raya ini pada 26 dan 27 Dis.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, empat lelaki warga tempatan berusia 30 hingga 41 tahun, turut ditahan dalam operasi khas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Johor Bahru dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor bermula pukul 6.30 petang sehingga 6.30 pagi itu.

Katanya, suspek yang ditahan masing-masing dipercayai berperanan sebagai ‘runner’ dan penjaga dadah.

Menurutnya, modus operandi sindiket itu adalah dengan menyembunyikan dadah di tempat penyimpanan tayar dan peralatan membaiki kenderaan.

“Sindiket ini dikesan beroperasi sejak awal Disember ini, yang mana modus operandi sindiket adalah dengan menyembunyikan dadah dalam kenderaan bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Kemudian, dadah ini dihantar ke Indonesia dengan menggunakan bot melalui jalan laut untuk kegunaan pasaran tempatan di negara itu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ayob Khan berkata turut dirampas dalam serbuan itu adalah dua kenderaan, serta tiga liter air ketum dan daun ketum bernilai RM34.80 serta peralatan memproses ketum yang mana ia dikenal pasti untuk pasaran tempatan.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif methamphetamine, namun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 27 Dis untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Korban Covid-19 di Indonesia lepasi angka 20,000

JAKARTA, 21 DIS: Jumlah kematian kumulatif akibat Covid-19 di Indonesia kini melepasi angka 20,000 manakala kes positif baharu terus melebihi angka 6,000 kes setiap hari sejak minggu lepas.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman Twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia hari ini, 205 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian keseluruhan kini meningkat kepada 20,085 orang, manakala 6,848 kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam, menjadikan kes positif keseluruhan melonjak kepada 671,788 kes.

Provinsi Jakarta terus mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 164,557 kes, dengan jumlah kematian keseluruhan 3,087 orang.

Bermula 18 Disember lepas, pemerintah Jakarta mewajibkan mereka yang keluar dan masuk ke provinsi berkenaan perlu menjalani ujian swab test atau ujian rapid antigen.

Sementara itu, Menteri Kewangan Indonesia Sri Mulyani Indrawati dipetik agensi berita Antara, berkata kos pembiayaan vaksin untuk rakyat Indonesia dianggarkan mencapai Rp54.44 trilion.

Pada 16 Disember lepas, Presiden Indonesia Joko Widodo mengumumkan vaksin Covid-19 akan diberikan secara percuma kepada rakyat republik berkenaan.

Indonesia menerusi Lembaga Biologi Molekuler Eijkman (LBM) badan di bawah Kementerian Riset dan Teknologi Indonesia telah bekerjasama dengan syarikat biofarmaseutikal dari China, iaitu Sinovac Biotech untuk melakukan penyelidikan vaksin Covid-19.

Menerusi kerjasama itu, Indonesia juga membangunkan vaksin Merah Putih dan dijangka mampu mengeluarkan 290 juta dos vaksin menjelang pertengahan 2021.

Pada 6 Disember lepas, Indonesia turut menerima 1.2 juta dos vaksin Covid-19 dari China, manakala 1.8 juta dos lagi vaksin itu akan diterima pada awal Januari 2021.

-BERNAMA