Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kerajaan jangka umum pelan induk ekonomi digital Oktober

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Kerajaan menjangka mengumumkan Pelan Induk Ekonomi Digital pada Oktober depan sebagai satu inisiatif mengembangkan semua sektor termasuk bukan pembuatan di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata pada tahun lepas, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah memperkenalkan dasar Industry4WRD, tetapi ia hanya melibatkan sektor pembuatan.

“MITI telah membuat keputusan untuk mengembangkan dasar tersebut kepada bidang bukan pembuatan.

“Jadi, kerajaan telah hampir habiskan kajian mengenai Revolusi Industri 4.0 ini, dan ia akan dicantumkan dengan ekonomi digital,” katanya selepas melancarkan majlis Program “Menjana Ekonomi Digital @ Pasarman.com” di sini, hari ini.

Mustapa berkata dengan adanya pelan tersebut, sudah pastinya sektor lain akan dapat diperkembangkan dengan lebih pesat lagi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MIDA konsisten bantu PKS laksana industri 4.0

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memahami kesukaran yang dihadapi oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk melaksanakan Industri 4.0 yang berdepan dengan tempoh ekonomi mencabar.

MIDA bekerjasama dengan PKS untuk membantu mereka meningkatkan penggunaan teknologi mereka ke arah menjadi juara serantau atau global.

Industri 4.0 pada dasarnya merujuk kepada trend ke arah automasi dan pertukaran data dalam teknologi pembuatan dan proses termasuk Internet of Things, pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan.

Pengarah Eksekutif Penggalakan Pelaburan MIDA, Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata, selain agensi kerajaan, PKS, yang merangkumi 98.5 peratus daripada perniagaan negara, juga boleh bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan IT, penyepadu sistem dan sektor swasta.

“Kami mengakui bahawa pada masa ini, kebanyakan PKS sama ada di peringkat Industri 2.0, 2.5 atau 3.0, kami boleh membantu dengan menggalakkan mereka melaksanakan Dasar Kebangsaan mengenai Penilaian Kesediaan Industri 4.0 atau (Industry4WRD-RA),” katanya kepada pemberita pada seminar di sini, hari ini.

Penilaian itu, yang dilancarkan pada Oktober tahun lepas, bertujuan memacu transformasi digital sektor pembuatan dan perkhidmatan yang berkaitan di negara ini. Sebanyak RM210 juta diperuntukkan untuk menyokong program penilaian ini bagi tempoh antara 2019 dan 2021.

Kerajaan menyasarkan untuk menilai 500 syarikat pada tahun ini dan 500 lagi tahun depan.

“Kami mahu PKS kita melihat luar Malaysia dan dengan adanya platform digital, pasaran menjadi tanpa sempadan. Pasaran ASEAN sahaja terdiri daripada asas penduduk sebanyak 650 juta orang,” katanya.

Pada seminar untuk meningkatkan kesedaran mengenai dasar kerajaan dan kemudahan untuk Persatuan Rangkaian Usahawan India Malaysia (1MINE), Sivasuriyamoorthy berkata, insentif utama yang disediakan oleh MIDA sejak dua tahun lepas termasuklah Elaun Modal Automasi untuk syarikat melaksanakan automasi dan robotik.

“Mereka boleh menuntut elaun ini daripada kerajaan dan selain itu, kami juga mempunyai Dana Strategik Pelaburan Domestik (DISF) sebahagian besarnya untuk 60 peratus syarikat milik rakyat Malaysia. Kami telah memperluaskan DISF untuk merangkumi industri 4.0,” katanya.

Sementara itu, Presiden 1MINE, Datuk S Gopinath berkata, persatuan itu kini mendidik 200 ahlinya untuk tidak menjalankan perniagaan secara konvensional, tetapi memanfaatkan trend Industri 4.0 pada masa ini.

“Mereka tidak akan ke mana-mana jika tidak berubah dan perlu mendapat pengiktirafan sebagai usahawan India di negara ini,” katanya. – BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Belanjawan berpaksikan Industri 4.0 rangsang lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi

KUALA LUMPUR 6 NOV: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjangka melihat lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi dilaksanakan di Malaysia susulan tumpuan besar kepada revolusi perindustrian keempat (Industri 4.0) dalam Belanjawan 2019 dan pelancaran pelan tindakan Industri 4.0 yang dikenali sebagai Industry4WRD baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Azman Mahmud dalam satu kenyataan berkata syarikat dalam sektor pembuatan perlu mengambil kesempatan daripada semakan semula mekanisme dan insentif cukai serta inisiatif untuk menggalakkan penerimaan pakai Industri 4.0.

“Syarikat-syarikat itu perlu memanfaatkan kemudahan bagi pengeluaran plastik mesra alam berasaskan bio-resin dan bio-polimer, insentif bagi perusahaan kecil dan sederhana serta pemudahan bagi aktiviti logistik dan pengangkutan (dalam Belanajwan 2019,” katanya.

Bagi sektor perkhidmatan, Azman berkata syarikat hab prinsipal (PH) yang mahukan lanjutan kini akan tertakluk kepada kadar cukai, semakan semula ini membolehkan skop syarikat yang lebih meluas untuk mendapat manfaat daripada skim PH seperti syarikat dengan pendapatan tokokan nilai rendah.

“Bagi tempoh jangka panjang, kami percaya skim yang disemak semula ini akan meningkatkan prestasi pelaburan sektor perkhidmatan, kerana pelaburan PH adalah penyumbang terbesar kepada keseluruhan pelaburan langsung asing dalam sektor perkhidmatan di bawah bidang kuasa MIDA,” katanya.

Azman juga gembira dengan prospek sumber pembiayaan alternatif, termasuk penyelarasan banyak dana modal teroka yang diuruskan agensi kerajaan, serta peruntukan RM50 juta untuk kerajaan menubuhkan dana pelaburan bersama bagi melabur bersama pelabur swasta menerusi pendanaan awam ekuiti dan pembiayaan terbuka antara rakan setara.

“MIDA berharap dapat bekerjasama dengan entiti ini bagi membantu syarikat Malaysia yang mempunyai pembiayaan terhad tetapi memiliki potensi tinggi dalam bidang teknologi baharu,” katanya.

Pada masa depan, Azman berkata memandangkan kedudukan fiskal yang lebih realistik dan dapat dicapai di bawah Belanjawan 2019 dan kejelasan dalam hala tuju dasar bagi pelabur, tahun-tahun mendatang dijangkakan positif, terutamanya dengan banyak inisiatif disediakan untuk mewujudkan ekonomi lebih dinamik bagi Malaysia.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

FMM jalin kerjasama dengan kerajaan capai sasaran industri 4.0

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) akan bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha bagi mencapai sasaran dalam industri 4.0.

Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Datuk Soh Thian Lai berkata, sehubungan itu pihaknya akan membantu ahlinya bagi mendapatkan pendedahan dalam bidang berkenaan.

“FMM akan memberikan bimbingan kepada ahli serta bekerjasama pihak berkuasa dan penganjur berkaitan yang memiliki kepakaran teknologi ini.

“Dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan semua agensi kerajaan, kita akan bergerak bersama mencapai sasaran itu,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Polisi Nasional Untuk Industri 4.0 di Dewan Perdana, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di sini, hari ini.

Turut hadir, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dan Timbalannya, Dr Ong Kian Ming.

Mengulas lanjut, Thian Lai berkata, aspek terpenting harus diberikan perhatian bagi pengusaha menceburi industri itu ialah persaingan di mana mereka perlu berusaha dan mampu bersaing pada tahap ASEAN juga antarabangsa.

Katanya, bagi pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS), mereka tiada pilihan dan hanya mempunyai satu pilihan iaitu menceburi industri 4.0.

“Pengusaha IKS dan kumpulan lain lebih berjaya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan agensi kerajaan mengenai bagaimana bagi mendapatkan bantuan dana serta kemudahan lain.

“Modal bagi menceburinya mungkin lebih tinggi dan Permodalan Kemajuan Perusahaan Malaysia Berhad (MIDF) dan agensi lain berkaitan mungkin boleh membantu dalam perkara ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Industri 4.0: Usah harap insentif dan subsidi untuk maju

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Kerajaan tidak akan menyediakan sebarang bentuk subsidi atau insentif kepada pihak berkaitan yang terbabit dalam industri 4.0.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, peluang diberikan kerajaan itu dalam bidang berkenaan perlu dilihat sebagai satu insentif bagi memperoleh lebih pendapatan dan keuntungan.

“Semua orang mahu subsidi dan insentif, mengapa tidak ambil kemudahan dan peluang diberikan ini.

“Apa yang kerajaan terdahulu laksanakan dengan memberi wang kepada rakyat, tidak bekerja pun anda mendapat RM500.

“Jika Malaysia menjadi seperti itu, lama kelamaan mereka tidak boleh berfikir, bergerak dan tidak mampu membantu diri sendiri kerana hanya mengharapkan bantuan subsidi,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Polisi Nasional Untuk Industri 4.0 di Dewan Perdana, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking; Timbalannya, Dr Ong Kian Ming dan Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Datuk Soh Thian Lai.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak berkaitan dalam industri berkenaan harus memikirkan formula bagi meningkatkan hasil dan kecekapan selain berusaha mencapai sasaran dalam industri 4.0.

“Mereka perlu mencari kaedah berkesan bagi tujuan itu dengan meningkatkan keuntungan dan dalam masa sama melakukan kerja dengan kos lebih rendah,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tun M: Sasar jadi negara industri tinggi menjelang 2025

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Kerajaan meletakkan sasaran mencapai tahap negara berteknologi industri sepenuhnya atau tinggi menjelang 2025.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sehubungan itu pelbagai pendekatan akan dilaksanakan bagi mencapai sasaran ditetapkan itu.

“Kerajaan menyasarkan bagi mencapainya pada 2025.

“Namun kalau boleh kita berharap mencapai sasaran itu lebih awal,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Polisi Nasional Untuk Industri 4.0 di Dewan Perdana, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking; Timbalannya, Dr Ong Kian Ming dan Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Datuk Soh Thian Lai.

Categories
SELANGOR

Indiustri 4.0 buka peluang pelajar INPENS ceburi pekerjaan

 

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA SELANGOR, 16 MAC: Gelombang Industri 4.0 yang memerlukan lebih tenaga mahir memberi peluang pelajar Kolej Antarabangsa INPENS (INPENS) menggarap lebih peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif menambah peruntukan pembiayaan kepada pelajar kolej itu sebanyak RM5 juta.

Katanya, perkembangan industri itu membuktikan kalangan pelajar menyedari Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi keutamaan di banyak industri.

“Kita percaya pelajar INPENS bersedia menghadapi gelombang ini dan sebagai langkah awal INPENS sudah menjalinkan kerjasama dengan pengiat industri antaranya Perodua dan Daikin.

“Silibus pembelajarannya turut dipertingkatkan sejajar dengan peredaran masa dan kehendak industri.

“Diperingkat Kerajaan Negeri, kita percaya graduan INPENS berkualiti dan mampu bersaing secara positif,” katanya di Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada pelajar INPENS, di sini.

Ganabatirau berkata, sehingga Disember 2017, sejumlah RM27.7 juta sudah dibelanjakan sejak 2008 bagi membiayai pelajar INPENS.

Dalam majlis itu, seramai 349 pelajar menerima surat tawaran bagi sesi Januari 2018.

Sementara itu, Ganabatirau berkata, sehingga Februari lalu, seramai 3,913 pelajar menerima pembiayaan daripada Kerajaan Negeri.

Terdahulu, dalam Belanjawan Selangor 2018, Kerajaan Negeri memberi peruntukan tambahan RM1 juta menjadikan RM5 juta bagi membiayai pelajar INPENS daripada keluarga kurang berkemampuan.

 

 

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

Selangor perintis Industri 4.0, anjakan paradigma baru ekonomi

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 20 MEI: Lawatan kerja Dato’ Menteri Besar Selangor ke Eropah baru-baru ini bakal memberi pelbagai manfaat kepada ekonomi Selangor khususnya melibatkan golongan anak muda dan pengusaha industri kecil dan sederhana (SME) di negeri itu.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata hal ini berikutan perbincangan beliau dengan pelbagai pihak termasuk Lufthansa Technik di Hamburg dan Airbus Defence & Space di Munich yang amat meyakinkan.

“Saya baru pulang dari Bavaria, Jerman jam 7 petang tadi. Bavaria sebuah negeri yang tidak mempunyai sumber asli sama ada gas, petroleum atau bahan mineral lain tetapi muncul sebagai negeri berteknologi tinggi dan mencatatkan KDNK dua kali ganda Malaysia. Inilah nilai knowledge economy yang juga sedang dipelopori oleh Selangor.

“Selangor sedang rancak membangunkan hab industri aeroangkasa. Perbincangan saya dengan Lufthansa Technik di Hamburg dan Airbus Defence & Space di Munich amat meyakinkan.

“Melalui perkongsiaan strategik, anak muda akan diperkasakan dengan ketrampilan teknologi dan memberi anjakan kepada syarikat SME untuk memasuki supply chain industri aeroangkasa,” katanya.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor itu berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Kongres Tahunan AMK dan Wanita KEADILAN 2017 di Dewan Sivik MBPJ di sini, malam tadi.

Jelasnya, Selangor akan terus mempelopori Industri 4.0 yang bakal menjadi paradigma baru dalam sektor ekonomi selaras dengan gagasan Selangor sebagai Smart State.

Katanya, ekonomi negara perlu mendapat suntikan baru melalui ekonomi yang berteraskan penguasaan teknologi tinggi bagi merealisasikan hasrat Wawasan 2020 dan negara berpendapatan tinggi.

Katanya lagi, inisiatif pendidikan merupakan tonggak utama kepada pembinaan Malaysia Baru di mana sistem pendidikan negara perlu dirombak untuk membawa modul pendidikan TVET ke dalam arus perdana pendidikan negara.

“Institusi pendidikan tinggi perlu berdaya saing setaraf dengan universiti terkemuka dunia agar graduan universiti yang berinovasi tidak hanya mencari pekerjaan tetapi juga mencipta pekerjaan,” katanya.

=EZY=