Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan #Selangor2022: Penggiat pelancongan cadang diskaun cukai pintu, bangkit pasca Covid-19

SHAH ALAM, 23 NOV: Pengurangan cukai pintu premis perniagaan antara diharapkan penggiat industri pelancongan melalui Belanjawan #Selangor2022 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.

Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Selangor berkata insentif itu wajar dipertimbangkan berikutan sektor berkenaan baharu sahaja kembali bernafas selepas terjejas teruk akibat Covid-19.

Gopalan Mariappan menjelaskan cadangan diskaun cukai pintu premis perniagaan juga sudah dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum ini.

“Walaupun dilihat agak sukar, namun kita amat berharap agar Kerajaan Negeri boleh teliti cadangan untuk beri diskaun cukai pintu yang dibayar pengusaha premis pelancongan kepada PBT.

“Sekarang adalah masa untuk pemain industri memulakan semula perniagaan dengan kelonggaran diberikan dalam fasa Pelan Pemulihan Negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 9 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan berjumlah RM2.55 juta bagi kelangsungan industri pelancongan.

Inisiatif terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 meliputi geran bantuan kewangan berjumlah RM1 juta kepada penggiat industri dan baucar pelancongan Selangor 2.0.

Bantuan lain termasuk program latihan pembelajaran pendigitalan pelancongan Selangor dan bantuan kewangan tunai buat 16 persatuan pelancongan negeri.

Malah, penghujung tahun lalu, seramai 553 penggiat sektor pelancongan menerima bantuan khas sekali bayar sebanyak RM1,000 selain menawarkan 10,000 baucar subsidi pelancongan bernilai RM200 setiap satu.

Diikuti awal Februari tahun ini, Amirudin mengumumkan penguatkuasaan pengecualian duti hiburan bermula 18 Mac hingga 31 Disember melibatkan kesan kewangan berjumlah RM26.35 juta bagi meringankan beban pengusaha sektor berkenaan.

Beliau turut memaklumkan cukai itu dikurangkan dari 25 kepada lima peratus selama lima tahun mulai 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026 dengan impak RM21.04 juta setahun.

Belanjawan #Selangor2022 yang dijadual dibentang di Dewan Negeri Selangor bakal memberikan tumpuan kepada usaha membantu rakyat merancakkan semula ekonomi pasca wabak Covid-19.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MPKS diharap pacu imej baik industri pelancongan, tingkat ekonomi setempat

SHAH ALAM, 7 OGOS: Dato’ Menteri Besar berharap Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) memacu imej baik industri pelancongan kawasan itu bagi memenuhi citarasa pelanggan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penambahbaikan tahap keselamatan dan perkhidmatan produk pelancongan diyakini meningkatkan sumber ekonomi penduduk setempat serta negeri.

“Kuala Selangor yang terletak di utara Selangor telah menjadi pilihan utama rakyat tempatan dan luar negara kerana terkenal dengan produk eko pelancongan.

“Malah, Kuala Selangor merupakan permulaan untuk Kerajaan Negeri meneruskan pembangunan mengikut kesesuaian dan kepentingan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena pengisytiharan MPKS secara maya hari ini.

Amirudin juga merakamkan ucapan tahniah kepada semua kumpulan pengurusan dan warga pihak berkuasa tempatan (PBT) itu yang bekerja keras bagi mendapatkan status perbandaran.

“Saya percaya dengan pengalaman serta kepimpinan yang dipertua, seluruh warga kerja akan lebih bersemangat untuk terus memacu kegemilangan ini pada masa depan,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Promosi di media sosial, Tourism Selangor bantu industri pelancongan

SHAH ALAM, 17 JUN: Tourism Selangor mengadakan kempen mempromosikan produk keluaran industri pelancongan di media sosial.

Pengurus komunikasi korporatnya berkata inisiatif itu diambil dalam membantu industri terbabit untuk menjana pendapatan.

“Terdapat sesetengah hotel yang mengeluarkan produk dengan membuat tawaran penghantaran makanan kepada pelanggan.

“Kita membantu dengan menguar-uarkan inisiatif penggiat industri ini di media sosial kepada orang ramai,” kata Ahmad Nazri Tashriq Rahmat kepada Selangorkini hari ini.

Beliau berkata agensi itu akan mengumumkan agihan peruntukan sebanyak RM2.55 juta bantuan kewangan kepada golongan tersebut pada 1 Julai hadapan.

“Tourism Selangor akan menjelaskan pelaksanaan bantuan ini dengan lebih terperinci dan dijalankan secara berperingkat,” katanya.

Pada 9 Jun lalu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan empat inisiatif bantuan kewangan sektor pelancongan iaitu geran bantuan kewangan, baucar pelancongan, program latihan digital dan bantuan kewangan kepada persatuan pelancongan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

‘Utamakan Keselamatan’ dalam industri pelancongan, elak kemalangan

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Menguatkuasakan peraturan ‘Utamakan Keselamatan’ yang komprehensif adalah amat penting buat industri pelancongan kerana ia boleh mengurangkan jumlah kecederaan dan kematian, kata Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye.

Lee berkata langkah itu penting kerana terdapat risiko yang boleh berlaku dalam setiap aktiviti di dalam dan luar bangunan, malah media juga menyiarkan banyak berita melibatkan kemalangan.

Justeru, beliau mengingatkan kepada para pelancong agar sentiasa berhati-hati ketika melakukan kegiatan di luar seperti mendaki gunung, selam skuba, selam permukaan (snorkeling), berakit, flying fox dan lompatan bungee.

“Saya juga menggesa pengusaha hotel, penyedia perkhidmatan pelancongan dan pelancong supaya menitikberatkan perkara berkaitan keselamatan dan kesihatan mereka serta secara sukarela memasukkan tatacara operasi piawai (SOP) tambahan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) untuk industri perhotelan.

“Aktiviti yang melibatkan risiko tinggi dan teknikal juga memerlukan Pasukan Tindakan Kecemasan serta pembantu kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan sektor pelancongan domestik dibenarkan beroperasi semula mulai 10 Jun bagi membantu negara mempercepat fasa pemulihan ekonominya.

Lebih-lebih lagi katanya, melaksanakan OSH untuk industri perhotelan melibatkan amalan HIRARC – pengenalpastian bahaya, penaksiran risiko dan kawalan risiko – yang penting untuk semua dalam industri berkenaan bagi memastikan percutian dan aktiviti rekreasi yang dilakukan bebas daripada sebarang kemalangan.

“Kemalangan ini (kecederaan dan kematian melibatkan aktiviti di dalam dan luar bangunan) boleh dicegah dan audit keselamatan awal oleh pengendali industri akan mengenal pasti potensi bahaya ini dan membolehkan tindakan pencegahan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata destinasi pelancongan perlu memastikan penggunaan semua kemudahan di bawah kawalan mereka seperti bot, peralatan, tempat barbeku, trek joging dan tandas adalah bebas risiko.

Selain itu kata Lee, komitmen kepada OSH selain pematuhan terhadap semua SOP untuk pencegahan jangkitan Covid-19 juga mewujudkan suasana yang baik untuk perniagaan bagi pengusaha pelancongan dan pihak lain dan industri perhotelan.

“Pelancong, pemandu pelancong juga boleh terdedah kepada banyak isu OSH, termasuk bahaya fizikal dan psikososial kerana pemandu pelancong mengalami waktu kerja yang panjang dan memenatkan,” katanya.

-BERNAMA

Nazri Aziz : Selangor Negeri ke-2 terima pelancong paling banyak

sinopsis: Kementerian akan bekerjasama memajukan industri pelancongan seperti menggerakkan promosi dan publisiti supaya Selangor lebih dikenali dalam kalangan pelancong khususnya luar negara.