Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBPJ guna fungsi infra merah, kawal jumlah pengunjung bazar Ramadan

PETALING JAYA, 10 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperkenalkan Sistem Headcount (kiraan kepala) menggunakan fungsi infra merah di dua lokasi bazar Ramadan tahun ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berkata sistem berkenaan diperkenal untuk mengawal jumlah pengunjung bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Jelas beliau, dua lokasi itu adalah di bazar Ramadan SS 6/1, Kelana Jaya dan Seksyen 4 Kota Damansara.

“Sistem Headcount ini adalah bagi memastikan pengunjung terkawal iaitu tidak lebih dua orang pada satu-satu masa di setiap petak peniaga bazar. Dalam kiraan mudah, sekiranya MBPJ menyediakan 30 petak di sesuatu lokasi.

“…jumlah pengunjung dibenarkan masuk ke bazar hanya 60 orang pada satu-satu masa. Ini merupakan tatacara operasi piawai (SOP) kita bagi memastikan tidak berlaku kesesakan yang menjadi punca penularan wabak,” katanya.

Kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menunjukkan fungsi sistem Headcount (kiraan kepala) menggunakan fungsi infra merah. Foto: Facebook Majlis Bandaraya Petaling Jaya

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Usahawan Petaling Jaya 2021-2030 dan Sesi Cabutan Bertuah Undi Petak Bazar Ramadan 2022 di Dewan Sivik MBPJ di sini hari ini.

Menurutnya, sistem itu turut dilengkapi paparan papan pemuka di pintu masuk bazar Ramadan bagi memaparkan maklumat jumlah keberadaan pengunjung di bazar pada tempoh tertentu.

Beliau menjelaskan setakat ini hanya dua lokasi bazar Ramadan dipilih untuk mengguna pakai sistem tersebut kerana kawasan itu yang sering menjadi tumpuan saban tahun.

“Pada tahun lalu, kedua-dua bazar ini mencatat jumlah tertinggi kehadiran pengunjung iaitu sejumlah 38,887 orang dari bazar Ramadan SS 6/1, Kelana Jaya manakala 29,187 individu di Seksyen 4, Kota Damansara,” katanya.

MBPJ meluluskan permohonan 611 peniaga bazar Ramadan pada tahun ini di 20 lokasi sekitar Petaling Jaya yang akan beroperasi mulai 3 April sehingga 2 Mei jam 4 petang hingga 7 malam.