Categories
AGENSI SELANGOR

MBI sumbang RM35,000 bina kemudahan dua sekolah di Gombak

GOMBAK, 24 FEB: Sebanyak RM35,000 disumbangkan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI hujung tahun lalu bagi program infrastruktur di dua sekolah di daerah ini.

Jumlah itu merangkumi RM20,000 di Sekolah Rendah Agama An Nasihin, Kampung Sungai Kertas dan RM15,000 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Samudra, kata ketua tanggungjawab sosial korporatnya.

Menurut Ahmad Azri Zainal Nor, bantuan itu bagi membina tandas guru dan membaiki pagar serta bumbung di sekolah agama berkenaan manakala pembinaan susur gajah di sekolah kebangsaan.

“Kita adakan lawatan di sekolah berkenaan untuk melihat perkembangan hasil sumbangan yang diberikan pada tahun lepas iaitu pembinaan tandas, pembaikan pagar dan bumbung. Alhamdulilah semua selesai.

“Kita harap sumbangan itu dapat beri kemudahan kepada guru kerana sebelum ini tiada tandas guru dan juga dari sudut keselamatan sebab keadaan pagar sebelum ini tidak baik,” katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, Ahmad Azri berkata pihaknya turut meluluskan peruntukan RM10,000 kepada SK Taman Samudra bagi pembangunan pusat sumber.

MBI memperuntuk RM1.68 juta tahun ini melalui Program Kembali ke Sekolah (Back To School) yang akan memanfaatkan seramai 16,800 murid sekolah rendah.

Categories
PBT SELANGOR

MBSJ lulus RM500,000 urus bantuan banjir, baiki infrastruktur

SUBANG, 29 DIS: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) meluluskan peruntukan segera RM500,000 untuk menguruskan bencana banjir dan membaiki infrastruktur terjejas.

Datuk Bandarnya berkata perbelanjaan itu antaranya meliputi penyediaan barang keperluan di 24 pusat pemindahan sementara (PPS) dan makanan kepada sukarelawan.

Menurut Noraini Roslan, sebanyak RM8,000 turut diagihkan kepada sekolah dijadikan PPS, RM10,000 kepada masjid dan RM5,000 untuk surau melaksanakan pembaikan segera.

“Kita mempunyai peruntukan RM1.59 juta untuk pengurusan bencana dan perbelanjaan luar jangka selain
Tabung Amanah MBSJ dengan RM69,000 dibelanjakan bagi membantu kakitangan terjejas banjir,” katanya.

Bercakap pada mesyuarat penuh MBSJ secara hibrid hari ini, katanya, keperluan asas turut diagihkan ke pusat operasi Kampung Tengah, Kampung Kenangan, Kampung Seri Aman dan Bukit Lanchong.

Jelasnya, perbelanjaan juga meliputi sewaan jentera untuk menguruskan sisa sampah banjir dan pembaikan segera infrastruktur seperti jalan raya bernilai RM150,000 dan RM120,000 untuk saliran.

Dalam pada itu, Noraini berkata MBSJ akan mendapatkan bantuan pakar untuk mengenal pasti penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir dengan kos berpatutan.

“Kerajaan Negeri minta untuk membaiki kunci air bernilai RM30 juta dan RM15 juta bagi saliran, ini perlu dikaji kerana perkembangan semasa dan selepas banjir berbeza.

“Mungkin boleh melambatkan aliran air di peringkat hulu ke bawah dengan kos lebih rendah,” katanya lagi.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
ADN SELANGOR

Belanjawan 2022 diharap tambah peruntukan naik taraf infrastruktur tangani banjir

SHAH ALAM, 10 NOV: Belanjawan 2022 diharap dapat menambah peruntukan menaik taraf infrastruktur di kawasan terjejas banjir termasuk Meru, kata wakil rakyatnya.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata perkara itu perlu diberi tumpuan dalam usaha menangani kejadian banjir berulang di beberapa kawasan negeri ini.

“Saya berharap Kerajaan Negeri dapat tumpukan kepada pembaikan infrastruktur dan kerja pembersihan parit di kawasan yang kerap berlaku banjir kilat,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau berharap Kerajaan Negeri dapat membina lebih banyak sekolah agama dan membaik pulih masjid serta surau usang, selain penawaran insentif potongan cukai bagi menarik ramai pelabur ke Selangor.

Pada 8 Oktober lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi sesi taklimat Belanjawan 2022 memaklumkan semua ADN dan pimpinan komuniti Selangor terlibat dalam penyediaannya.

Malah, Belanjawan 2022 juga melibatkan wakil rakyat pembangkang dan bebas dalam membincangkan intipati belanjawan yang lebih konstruktif demi manfaat rakyat.

Pembentangan Belanjawan Selangor akan dilaksanakan pada 26 November ini dan dibahas dalam tempoh seminggu sebelum diluluskan pada Disember.

Categories
AGENDA NASIONAL

RM3.8 bilion bangun infrastruktur, dua di Selangor

SHAH ALAM, 6 NOV: Hampir RM3.8 bilion disalurkan bagi pembangunan insfrastruktur termasuk dua projek di Selangor.

Menteri kewangan berkata ia meliputi pembinaan Jambatan Ketiga Klang fasa dua dan fasa tiga projek lingkaran Pulau Indah.

“Kerajaan juga akan memperkasa Orang Asli di Hulu Selangor dan melakasana inisiatif keusahawanan orang kelainan upaya (OKU) dikendalikan Komuniti Belia Selangor (SAY) bagi membiayai golongan terjejas Covid-19,” kata Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau mengumumkan perkara berkenaan ketika pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Belanjawan itu dirangka berdasarkan tiga matlamat induk iaitu Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Perniagaan dan Ketahanan Ekonomi.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Belanjawan 2021: MBSA tingkat kualiti infrastruktur, keselamatan

SHAH ALAM, 29 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memberi penekanan untuk meningkatkan kualiti infrastruktur dan keselamatan tahun depan seiring matlamat Shah Alam Bandar Raya Pintar.

Datuk bandar berkata antara projek bakal dilaksana ialah pembinaan 30 unit gerai serba guna dan gerai makan di Kampung Baru Subang, Seksyen U6 dengan anggaran peruntukan RM4.5 juta.

“MBSA juga bercadang membina lot kedai dua tingkat di Jalan Pulau Angsa A Seksyen U10 (RM3 juta), gerai di Seksyen U20 Bandar Baru Sungai Buloh (RM500,000) serta kompleks perniagaan dan tempat letak kereta di Seksyen 17 (RM1 juta).

“Cadangan lain ialah menaik taraf padang bola Seksyen 19 dan membina jejantas di Persiaran Institut di Seksyen 7,” kata Dato’ Haris Kasim selepas membentangkan Belanjawan MBSA 2021 di Wisma MBSA hari ini.

Beliau berkata belanjawan turut memperuntuk masing-masing RM1 juta bagi pemasangan dan penggantian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan panas dan pembelian perkakasan pusat kawalan pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.

MBSA membentangkan anggaran Belanjawan 2021 berjumlah RM498.82 juta dengan jangkaan defisit RM28.06 juta.

Haris berkata RM396.14 juta diguna bagi perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan RM130.74 juta, manakala defisit ditampung menggunakan rizab PBT itu.

Categories
SELANGOR

ADN optimis isu infrastruktur Kuala Langat dipertingkat

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 12 APRIL: Masalah infrastruktur di daerah Kuala Langat diharap dapat ditingkatkan selaras statusnya yang bakal dinaik taraf kepada perbandaran, tahun ini.

Ahli Dewan Negeri Banting, Lau Weng San berkata, langkah itu penting bagi memberi tarikan kepada orang luar untuk hadir ke daerah berkenaan, pada masa akan datang.

Katanya, beliau optimis Kerajaan Negeri memberi fokus sewajarnya bagi menyelesaikan isu penyelenggaraan jalan dan infrastruktur di beberapa kawasan sekitar Kuala Langat dalam masa terdekat.

“Isu yang kita hadapi di setiap daerah Kuala Langat ini kebanyakan sama antaranya masalah infrastruktur seperti jalan raya, jalur lebar, dewan orang ramai dan pelbagai kemudahan awam yang sememangnya perlu dipertingkatkan.

“Oleh itu, saya optimis Kerajaan Negeri dapat memfokuskan isu itu, sekali gus membawa lebih banyak peluang pelaburan dan pekerjaan ke daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Pejabat Tanah / Daerah Kuala Langat, di sini, hari ini.

Terdahulu, MMKN itu dipengerusikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bersempena siri Jelajah Maju Bersama ke Kuala Langat.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Azmi Diron dan EXCO Kerajaan Negeri.

Categories
SELANGOR

Hampir RM1 juta baik pulih infrastruktur Kampung Chempaka

PETALING JAYA, 31 JAN: Sejumlah RM925,682.01 diperuntukkan untuk membaik pulih beberapa infrastruktur bagi kemudahan penduduk, di Kampung Chempaka di sini.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, ia membabitkan baik pulih pasar besar dengan kos RM678,686.01, tandas awam (RM209,196) dan gelanggang bola keranjang (RM37,800).

Katanya, peruntukan bagi pasar besar dan tandas awam dibiayai sepenuhnya Majlis Bandaraya Petaling Jaya, manakala gelanggang bola keranjang di bawah peruntukan Ahli Parlimen Damansara.

“Kerja membaik pulih pasar besar membabitkan beberapa penggantian seperti menukar lantai dan meja konkrit, kerja pendawaian, mengecat, sistem pengudaraan lebih baik juga pembersihan longkang.

“Manakala tandas awam yang lama diroboh dan kita bina yang baru berkonsep mesra pengguna dan Orang Kelainan Upaya, sementara gelanggang bola keranjang pula dicat dan digantikan lantai serta bumbung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program naik taraf Kampung Chempaka, di Balai Raya Kampung Chempaka di sini, semalam.

Katanya, kerja pembaikan pasar yang bermula sejak 3 September tahun lalu dijangka siap sepenuhnya, pada 18 Mac ini sementara tandas awam dan gelanggang bola keranjang akan siap, pada 15 Februari ini.

Pada masa sama, beliau berharap penambahbaikan kesemua infrastruktur berkenaan bakal meningkatkan daya tarikan orang ramai untuk berkunjung ke Kampung Chempaka.

“Kampung Chempaka adalah salah satu daripada tiga kampung baharu masyarakat Cina, di kawasan Petaling Jaya dan penting bagi kita untuk memelihara tradisi serta keindahannya.

“Justeru, saya bertekad bukan hanya untuk mengekalkan kewujudan kampung ini, namun infrastruktur kemudahan awam perlu dipertingkatkan supaya masyarakat gembira dan selesa,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kekuatan infrastruktur, faktor ekonomi domestik Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 SEPT: Selangor sebagai negeri penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) percaya kekuatan infrastruktur adalah faktor utama perkembangan ekonomi domestik, di negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, asas dalam aspek ekonomi iaitu jalan raya adalah penyumbang kepada peningkatan taraf hidup penduduk setempat.

Katanya, dengan adanya infrastruktur jalan raya yang lengkap, ia akan menaikkan tahap ketersampaian di sesuatu kawasan, sekali gus memberi kesan positif sama ada daripada aspek perniagaan, pendidikan, keselamatan dan sosio ekonomi.

“Mengambil contoh Empayar Rom yang diperluaskan dengan jaringan jalan raya merentasi wilayah dan benua serta infrastruktur yang tercanggih ketika itu, membolehkan ia masih digunakan sehingga kini.

“Ini membuktikan antara faktor utama perkembangan ekonomi domestik ialah kekuatan infrastruktur. Sebagai negeri penyumbang utama KDNK, Selangor adalah pusat perkembangan ekonomi negara.

“Sebagai negeri termaju di Malaysia, Selangor akan terus menerajui pembangunan yang mampan demi kemudahan rakyat dan kemakmuran negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian ‘stitching’ bagi projek menaik taraf laluan B49 Persiaran Mokhtar Dahari dan lawatan kerjanya, di sini.

Amirudin berkata, perhubungan masyarakat dapat dikekalkan melalui penyediaan jalan berkualiti khususnya jalan yang menghubungkan komuniti dan masyarakat setempat.

“Asas ekonomi Selangor berkembang daripada sektor perkilangan kepada sektor perkhidmatan dan salah satu unsur penting memastikan industri ini dapat berkembang dengan baik adalah melalui sistem perhubungan sama ada komunikasi atau jaringan jalan raya, udara dan air.

“Sesuai dengan gagasan ‘Smart State’ menjelang 2015, Kerajaan Negeri ingin menjadi terungul di rantau ini dalam pelbagai aspek. Oleh itu kita perlu meningkatkan kemudahan infrastruktur dan komunikasi dengan lebih baik dan berkesan,” katanya.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri komited melaksanakan projek infrastruktur dan sistem jalan raya yang efektif demi kepentingan dan kesejahteraan bagi tujuan meningkatkan taraf kehidupan rakyat.

Pada masa sama, beliau mahu pelan projek pembangunan bagi pembinaan jaringan jalan raya mengambil kira perancangan utiliti membabitkan air, elektirk dan jalur lebar disejajarkan supaya sesuatu projek pembinaan dan menaik taraf tidak menelan kos besar.

Terdahulu, Selangor juga ke hadapan dalam aspek aduan kerosakan jalan raya di bawah inisiatif Smart Selangor, aduan kerosakan menjadi mudah dan mesra pengguna.

Dengan menggunakan aplikasi Waze, pengguna boleh melaporkan aduan itu dan kemudiannya akan diterima Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) untuk diambil tindakan selanjutnya.

Sistem itu yang pertama di Malaysia dan bukti Selangor bersedia mendepani cabaran Revolusi Perindustrian 4.0.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kemudahan infrastruktur Selangor 2017 sarat elemen Smart State

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KEPONG, 7 JAN: Pembangunan kemudahan infrastruktur negeri untuk tempoh 2017 mengutamakan penggunaan sistem dan teknologi berteraskan agenda Smart State demi kelangsungan serta kemudahan rakyat.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, penggunaan teknologi yang mencapai tahap ‘Smart State’ akan dilaksanakan secara menyeluruh seiring hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai Smart State, menjelang 2025.

Beliau berkata, usaha itu dijalankan bersama agensi Jabatan Pengairan Selangor dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri menerusi usahasama Menteri Besar Incoporation (MBI) dan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU).

ybzaidy-2“Kerajaan Negeri teruja untuk menyediakan peluang itu menerusi penggunaan teknologi mampan yang kita ada sebagai ‘platform’ yang boleh diberikan kepada rakyat Selangor mencakupi aspek pembangunan infrastruktur negeri.

“Antara pendekatan dan tumpuan yang sedang diberi perhatian termasuk gerak kerja untuk melaksanakan sistem pemantauan sungai secara langsung, sistem hidrologi dan smart traffic light,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang menjalankan perbincangan bersama agensi Kerajaan Negeri lain untuk menyediakan garis panduan menilai pelaksanaan dasar yang dijalankan sepanjang 2016.

Katanya, perbincangan tersebut dijalankan bagi mengenalpasti sebarang gerak kerja yang memerlukan pembaikan demi kesejahteraan masyarakat Selangor.

zaidy-gotong-royong-1Terdahulu, Zaidy yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer ditemui pada Program Gotong-Royong Perdana peringkat Jawatankuasa Kampung Baru Kepong Ulu..

Pada masa sama, program dengan kerjasama Parlimen Selayang dan Pusat Khidmat Dun Taman Templer itu dilaksanakan sebagai inisiatif untuk memberi kesedaran kepada penduduk terhadap isu kebersihan setempat.

Lebih 100 penduduk setempat tidak melepaskan peluang hadir membersihkan persekitaran taman ke arah menjadikan kawasan penempatan penduduk lebih ceria, bersih dan bebas denggi.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pembangunan infrastruktur jadi keutamaan ketua kampung

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 19 DIS: Prospek pembangunan infrastruktur menjadi permintaan utama di kawasan kampung tradisi Selangor bagi tahun 2015 dlama menambah baik kemudahan sedia ada.

Beberapa ketua kampung yang ditemui Selangor Kini memaklumkan, mereka sudah menghantar beberapa permohonan untuk membaik pulih keperluan infrastruktur seperti jalan, longkang dan balai raya selain mengharapkan jumlah peruntukan yang lebih besar.

adnan mohd yatim 66-kg batu cave-webBagi Adnan Mohd Yatim, 66, peruntukan yang besar diharapkan untuk tahun 2015 bagi memudahkan tugas untuk membaik pulih infrastruktur.

“Infrastruktur kita banyak lagi yang terbengkalai. Kalau dapat peruntukan yang lebih sikit, benda ini dapat dibaikpulih seperti longkang, jalan dan sebagainya,” katanya selaku Ketua Kampung Baru Batu Caves.

Ketua Kampung Parit Mahang, Ijok, Baharom Hussien, 52, pula mengharapkan beberapa jalan ladang yang digunakan pengusaha pertanian dapat dibaikpulih bagi memudahkan urusan pengutipan hasil.

Hal itu kerana, harga sawit satu tan yang rendah hanya sekitar RM350 dan akan memeritkan lagi kehidupan pengusaha jika tidak mengutip keluar hasil ladang mereka.

baharom hussien 52 kg parit mahang ijok-web“Mutakhir ini sebahagian daripadanya sudah diperbaiki untuk memudahkan ahli kariah mengambil hasil kelapa sawit. Apabila jalan kurang baik, lori tidak boleh masuk dan hasil tidak boleh keluar,” katanya.

Baharom berkata, penduduk kampung kini semakin merasakan keperitan kehidupan dan berharap program kebajikan yang dilakukan Kerajaan Negeri sebelum ini diteruskan.

Selain itu, katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut membantu membersihkan parit di kawasan sekitar bagi mengelakkan kejadian banjir berulang dan kali terakhir Kampung Parit Mahang berhadapan banjir, pada tahun 2011.

abu hassan bin lebam 67 kg teluk panglima garang-webSementara itu, Abu Hassan Lebam, 67, selaku Ketua Kampung Teluk Panglima Garang berharap Kerajaan Negeri dapat memberikan peruntukan bagi pembinaan balai raya baru di Jalan Bandar Lama.

Katanya, ketiadaan balai raya menyukarkan penduduk untuk menganjurkan pelbagai aktiviti terutama golongan belia.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Maahad Tahfiz Integrasi Sains diwujud di setiap daerah

halimah-01a

BANGI 8 NOV: Kerajaan Selangor mensasarkan untuk mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah sekolah Maahad Tahfiz Integrasi Sains dan sebuah Sekolah Kafa Menengah di setiap daerah di negeri itu.

Rancangan itu dibuat bagi melahirkan modal insan yang bukan sahaja memiliki ilmu duniawi untuk menjana kemajuan Selangor tetapi mempunyai pegangan agama yang mantap.

halimah 02Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali, berkata sehingga kini kerajaan negeri sudah mewujudkan Maahad Tahfiz Intergrasi Sains di tiga buah daerah.

“Kita mahukan generasi yang mantap Al-Quran kerana itu adalah sumber ilmu yang akan membentuk pembangunan negeri dalam acuan yang murni, selain memiliki kepakaran ilmu sains dan teknologi dalam usaha menjadikan Selangor negeri maju.

halimah 03“Kita komited melahirkan modal insan yang mempunyai gabungan kepakaran ilmu sains teknologi dan kemantapan pegangan agama kerana ini adalah proses perlaksanaan Manifesto Pakatan Rakyat Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu,” katanya pada Majlis Perasmian Kompleks Pendidikan Islam Bangi (KPi Bangi), di sini, hari ini.

Pembinaan KPi Bangi yang dianggarkan menelan kos RM2.7 juta itu turut menerima sumbangan RM240,000 dari kerajaan negeri dan selebihnya hasil sumbangan daripada orang perseorangan, masyarakat Bangi dan kutipan daripada pelbagai aktiviti yang dijalankan.

Penaung KPi Bangi, Dr Tajul Ariffin Noordin, berkata pihaknya masih memerlukan dana tambahan bagi tujuan pembinaan bumbung di Dataran KPi Bangi bagi kemudahan pelajar mengadakan pelbagai aktiviti.

halimah 04KPi Bangi yang mempunyai sebuah bangunan tiga tingkat itu turut memiliki kelengkapan kemudahan asas serba moden seperti auditorium, dewan serba guna, bilik mesyuarat, bilik transit lelaki, bilik tasmi perempuan, makmal komputer, makmal Bahasa Arab, perpustakaan, bilik guru dan tiga buah kelas.

KPi Bangi turut menempatkan Sekolah Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (Taski), Sekolah Agama Kafa dan Sekolah Menengah Kafa Tahfiz (Faiz) itu mempunyai hampir 600 orang pelajar dengan dikendalikan 25 tenaga pengajar. -NFN-

Categories
SELANGOR

Malaysia wajar bina institusi pengajian tinggi sukan

Yunus HairiSHAH ALAM 8 NOV : Kerajaan pusat perlu mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) khusus untuk pembangunan sukan dalam usaha meningkatkan taraf profesionalisme ahli sukan atau atlet di Malaysia.

Exco Belia dan Sukan Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata pembangunan institusi sukan secara terancang memberi peluang kepada atlet negara meneruskan pelajaran di peringkat tertinggi, sekali gus menjadikan sukan sebagai industri penting yang memberi keuntungan kepada negara.

Katanya, atlet juga dapat meningkatkan kemahiran mereka dalam acara dan permainan diceburi secara lebih konsisten dengan kelengkapan fizikal dan saintifik yang lengkap melalui penubuhan IPT sukan itu.

“Kita juga dapat mendidik rakyat bahawa sukan bukan sahaja sekadar aktiviti sampingan tetapi membabitkan masa depan kerjaya yang baik dengan kelulusan sijil ditahap tinggi,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas usul yang dibentangkan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan yang mencadangkan supaya kerajaan pusat mewujudkan kolej universiti sukan bagi melahirkan atlet yang bukan sahaja maju tetapi berintelektual tinggi di Dewan Rakyat, semalam.

Ahmad Yunus berkata, beliau turut mencadangkan kawasan Bukit Jalil dijadikan lokasi pembangunan IPT itu bagi mengurangkan kos pembinaan jika kerajaan pusat bersetuju.

“Mungkin pembangunan IPT pertama sukan negara juga boleh dibuat di Selangor selaku negeri yang menjadi tumpuan pembangunan di Malaysia. Kita juga mempunyai Stadium Shah Alam yang diiktiraf sebagai antara stadium terbaik di negara ini.

“Justeru, saya berharap kerajaan pusat dapat mempertimbangkan cadangan ini dan merealisasikannya, sekurang-kurangnya sebelum tahun 2020,” katanya.

-NFN