Penduduk Serah Memo Pada MBI

IPOH, 18 JAN – Penduduk dan peniaga Pasar Jelapang di Perak menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap keadaan bangunan pasar dan persekitarannya yang kotor menerusi memorandum diserahkan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) semalam.

Memorandum yang mengandungi kira-kira 2,000 tandatangan itu mengharapkan tindakan segera diambil MBI bagi menangani masalah itu yang didakwa dihadapi sejak sekian lama.

Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), M Sarasvathy berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk dan peniaga di pasar itu yang berharap MBI melakukan tindakan segera mengubahsuai bangunan pasar dan membersihkan kawasan persekitarannya.

Beliau berkata, pasar tersebut merupakan kawasan tumpuan penduduk berhampiran yang mengunjunginya saban hari untuk membeli barangan keperluan harian.

“Penduduk dan peniaga berharap Datuk Bandar Ipoh (Datuk Roshidi Hashim) mengambil kira masalah ini dan melakukan tindakan segera bagi mengatasinya. Premis pasar ini adalah kawasan dikunjungi orang ramai pada setiap hari terutama mereka dari kawasan berhampiran iaitu Taman Jati, Taman Meru, Taman Puncak Jelapang dan Kampung Jelapang.

“Berikutan itu satu memorandum dengan tandatangan orang ramai telah diserahkan kepada MBI bagi menyatakan perkara ini,” katanya dalam satu menyataan kepada TVSelangor hari ini.

Sarasvathy menjelaskan antara isu yang dikemukakan dalam memorandum itu adalah penyediaan jalan bertar di sekeliling pasar, paip air untuk setiap peniaga, masalah lantai berlubang dan lampu yang tidak mencukupi selain longkang pecah, masalah air bertakung dan bau busuk.

Menurutnya lagi, ia termasuk masalah troli sampah yang diletakkan di hadapan pasar yang perlu dialihkan ke kawasan lain serta zink pasar yang bocor.

“MBI perlu memberi perhatian terhadap masalah ini demi kepentingan penduduk dan peniaga di pasar Jelapang ini.

“Kita juga meminta Datuk Bandar Ipoh membuat tinjauan di kawasan ini bagi mendapat gambaran sebenar,” katanya.

Categories
SELANGOR

Projek RM37 Juta Perbaiki Aliran Trafik Seri Kembangan

SERDANG,12 JANUARI : Penduduk di kawasan Seri Kembangan boleh menarik nafas lega apabila Kerajaan Negeri Selangor memperuntukan RM37 juta bagi membaiki lalulintas di kawasan itu yang selama ini sesak teruk.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pembinaan jalan sehala di seluruh kawasan Seri Kembangan dijangka dapat mengatasi masalah persimpangan dua hala yang begitu banyak.

“Pengajaran kesesakan yang berlaku begini akan memberi kita peluang untuk mengingatkan Pihak Berkuasa Tempatan dan perancang bandar supaya meneliti perancangan-perancangan masa depan,” kata Abdul Khalid semasa ucapan perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Sistem Sirkulasi Lalulintas di Seri Kembangan.

Menteri Besar berharap penduduk bersabar dan dapat memberi kerjasama apabila berlaku kesesakan semasa projek memperbaiki aliran trafik ini berjalan.

“Anggaran kos melebihi RM37 juta, tetapi projek ini akan dilaksanakan secara berfasa dan fasa pertama ialah pembinaan jalan yang baru dipersimpangan dan juga jalan bertingkat serta mengubah jalan-jalan yang berkaitan.

“Dengan ini, masalah kesesakan aliran trafik dapat dikurangkan. Seri Kembangan adalah tempat yang mempunyai rekod yang mempunyai banyak persimpangan dalam jarak yang begitu dekat,” kata Abdul Khalid.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Selangor, Datuk Abdullah Abdul Rahman.

Sementara itu, Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berkata, kesesakan jalan raya yang di hadapi penduduk di Seri Kembangan pada waktu puncak mengganggu perkembangan ekonomi setempat.

” Masalah kesesakan adalah masalah yang kritikal yang dihadapi oleh masyarakat setempat, ini jelas telah menyebabkan rakyat menderita dan hidup dalam satu keadaan yang penuh dengan tekanan,” katanya.

Menurut Ean lagi,masalah kesesakan ini menyebabkan Seri Kembangan yang dahulunya dikenali sebagai ‘Pekan Kasut’ mengalami kemerosotan perkembangan ekonomi.

” Saya yakin dengan kejayaan projek ini akan menambah baik situasi trafik dan memberi manfaat kepada pengguna jalan di masa hadapan,” katanya.