Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Tauke kebaya raih jualan RM7.1 juta di sebalik pandemik

Foto HAFIZ OTHMAN

SHAH ALAM, 3 JUN: Tujuh tahun lalu, pasangan suami isteri Shafrizal Abd Ghani, 41 dan Intan Farhana Ahmadudin, 38, terpaksa menelan cacian pelanggan.

Gara-gara tidak sempat menyiapkan tempahan baju kurung dan kebaya untuk sambutan Aidilfitri, mereka tiada pilihan selain memulangkan wang pendahuluan keseluruhan kira-kira RM10,000.

Pun begitu, di sebalik kecaman, mereka menebalkan muka menghubungi setiap pelanggan untuk memohon maaf.

“Memang kecam tidak ingat punya. Kami hanya tebal muka waktu itu. Tapi kami balas reaksi semua pelanggan. Siap telefon mereka,” kata Shafrizal sambil mengenang detik sukar itu.

Namun, bekas pengurus besar yang meninggalkan gaji besar untuk menceburi perniagaan menjadikan peristiwa tersebut sebagai pengajaran.

Terus mengorak langkah, mereka yang bermodal RM12,000 pada 2012 kini mampu menjana jualan RM7.1 juta sekalipun berdepan pandemik Covid-19.

Shafrizal Abd Ghani dan isteri Intan Farhana Ahmadudin memeriksa stok pakaian dan kualiti fabrik sebelum dijual kepada pelanggan

Malah, mereka tersenarai antara syarikat mencatat jualan dalam talian tertinggi oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).

Jenama Inhanna berjaya juga menembusi pasaran negara jiran antaranya Indonesia, Brunei dan Singapura.

Tiada pengalaman

Shafrizal dan Intan memulakan perniagaan di rumah menggunakan wang simpanan mereka, hanya cukup-cukup buat menampung pembelian stok awal dan kos promosi.

Ketika itu, mereka belum lagi membangunkan jenama Inhana sebaliknya membeli pakaian siap daripada pemborong.

Demi mengejar impian, Shafrizal mengorbankan jawatan di sebuah syarikat teknologi maklumat. Isterinya pula berhenti sebagai ejen insurans pada 2012.

Selepas setahun, berbekal sedikit keuntungan dan semarak keyakinan, mereka membina jenama sendiri.

“Masa inilah cabaran sebenar bermula sebab kami berdua tidak ada latar belakang dalam rekaan fesyen tetapi berbekal keyakinan terhadap cita rasa isteri yang bagus dalam fesyen, kami beranikan diri,” kata Shafrizal.

Seiring populariti jenama Inhanna yang kian berkembang, mereka meningkatkan pengeluaran dengan melantik syarikat pengeluar tekstil terkenal untuk menjahit kebaya rekaan mereka secara pukal. Kualiti lebih kemas dan cantik menepati piawaian.

Pada 2015, mereka bersama 10 kakitangan berpindah ke pejabat baharu yang lebih luas dan selesa. Mereka juga menambah produk dengan memperkenal baju kurung.

Berbanding sebelumnya, pemasaran tertumpu di laman sesawang sendiri, mereka turut meneroka pasaran melalui media sosial terutama Facebook secara serius. Hasilnya, permintaan melonjak tiga kali ganda. Saban tahun, jualan produk terus meningkat. Pada 2019, mereka mencatat jualan sebanyak RM6.3 juta.

Cabaran PKP

Mereka juga berjaya mengharungi cabaran gelombang pertama Covid-19, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) paling ketat pada Mac 2020.

“Sebelum Covid-19 menyerang kami sudah belanjakan RM2 juta sebagai persiapan kempen raya 2020 tetapi tiba-tiba wabak menyerang dan PKP.

“Siapa tidak cemas? Alhamdullilah kami tidak panik. Kami lancar strategi pemasaran untuk menggembirakan pelanggan dengan menggalakkan pelanggan tetap bergaya di pagi Syawal walau tidak beraya di kampung,” katanya.

Antara koleksi pakaian yang dijual di butik Inhana

Selain itu, sesuai dengan suasana ekonomi tidak menentu, Inhana turut memberi promosi istimewa kepada pelanggan mereka.

Walau awalnya sedikit suram tetapi jualan meningkat hingga RM7.1 juta pada 2020 berbanding RM6.3 juta pada 2019.

Shafrizal juga yakin sasaran jualan tahun ini berjumlah RM7.5 juta mampu dicapai. Setakat April, jualan raya mencatat RM1.5 juta.

Jenama Inhanna ada kira-kira 50 rekaan kebaya dan baju kurung dengan rekaan tersendiri tetapi tetap mengekalkan ciri-ciri tradisional.

Mereka turut memperkenal produk untuk lelaki, baju Melayu teluk belanga yang diberi nama Nusa.

Kini, mereka mempunyai 18 kakitangan dan menyewa empat lot kedai di Seksyen U5, Shah Alam. Mereka juga akan berpindah ke premis milik sendiri bernilai RM3.8 juta yang dijangka siap pada 2023.