Categories
SELANGOR SUKANKINI

NGU INPENS bangkit juarai Wakandisk Ultimate Challenge 2019

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 MAC: Pasukan NextGen Ultimate (NGU) yang mewakili Kolej Antarabangsa INPENS (INPENS) mempamerkan aksi cemerlang apabila menjuarai Wakandisk Ultimate Challenge 2019 selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan wakil UiTM Rembau, Panthera Ultimate 6-5 dalam saingan akhir yang berlangsung, di Padang Tualang, UiTM Dengkil, pada 16 Mac lalu.

Kapten Pasukan NGU, Mohammad Aizzuddin Safri berkata, beliau gembira dengan kemenangan yang diraih memandangkan ini merupakan penyertaan sulung NGU dalam pertandingan luar INPENS.

Lebih membanggakan, pasukan bimbingan Adi Asymawi itu baru ditubuhkan dua bulan lalu dan menjalani latihan intensif setiap petang sebagai persediaan pertandingan.

“Selepas ini, NGU akan menyertai lebih banyak pertandingan sama ada di peringkat IPT atau nasional. Kami akan berusaha sebaiknya mengharumkan nama INPENS, sekali gus membawa imej bahawa pelajar INPENS bukan sahaja berkebolehan dalam bidang TVET, malahan kami mempunyai keupayaan bersukan setaraf IPT lain,” katanya.

Wakandisk Ultimate Challenge 2019 disertai lapan pasukan daripada pelbagai intitusi pengajian seluruh Malaysia.

Sukan piring terbang yang turut dikenali sebagai ‘frisbee’ ini juga adalah sukan terbaru yang diperkenalkan di INPENS dan mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 40 pelajar sejak ditubuhkan, hujung Januari lalu.

Categories
SELANGOR

Proses pemilihan MPP INPENS lancar

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA SELANGOR, 13 MAC: Proses pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kolej Antarabangsa INPENS (INPENS) sesi 2019, pada 10 Mac lalu berjalan lancar, sekali gus membuktikan demokrasi subur diamalkan, di institusi itu.

Eksekutif Hal Ehwal Pelajarnya, Nur ‘Adnin Syamil Halik Bassah berkata, proses pemilihan yang berlangsung pada 10 Mac lalu berjalan tanpa sebarang gangguan.

Katanya, proses kiraan undi dijalankan dengan disaksikan kesemua 44 calon yang bertanding.

“Seramai 314 atau 59.92 peratus pelajar turun mengundi dengan menggunakan kaedah sama yang diamalkan dalam pilihan raya umum. Pelajar turut dicalitkan kuku dengan dakwat biru tanda sudah mengundi.

“Ini sekali gus memberikan peluang kepada pelajar yang kebanyakannya berusia bawah 21 tahun untuk merasai sendiri pengalaman mengundi ketika pilihan raya,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Pelajarnya, Nahar Sharif berharap supaya barisan MPP membawa satu anjakan baharu terhadap graduan INPENS.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua calon. Kepada yang menang, selamat memikul amanah dengan penuh dedikasi.

“Diharap MPP akan membawa satu anjakan baharu dalam memastikan graduan kemahiran INPENS menjadi rebutan dalam kalangan industri mega,” katanya.

Sebanyak 20 kerusi dipertandingkan membabitkan lima kerusi umum dan 15 kerusi sektor dalam pemilihan itu.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

INPENS terima sumbangan dua kereta Myvi bagi tujuan pembelajaran

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 12 DIS: Kolej Antarabangsa INPENS (IIC) Kuala Selangor menerima sumbangan dua kenderaan model Myvi daripada syarikat Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) bagi tujuan latihan dan penyelidikan, di institusi teknologi automotif itu.

Ketua Eksekutifnya, Ahmad Zabri Mohd Yaman berkata, INPENS adalah antara 25 institusi kemahiran di Malaysia yang terpilih menerima sumbangan berkenaan bagi memantapkan kemahiran pelajar dalam perindustrian automobil.

“Melalui sumbangan ini, INPENS mampu menambah baik dan memantapkan pembelajaran lebih efektif kepada pelajar, khususnya dalam sektor teknologi automotif sejajar keperluan dan permintaan tenaga mahir, di Malaysia.

“Justeru, saya menyarankan kepada pelajar terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya mengambil peluang untuk mendaftar di INPENS untuk menimba ilmu kemahiran di sini kerana pengambilan akan dibuka, pada Januari depan,” katanya.

Sumbangan itu disampaikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Dato’ Aminar Rasyid Salleh pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kenderaan Perodua 2018, di sini, baru-baru ini.

Terdahulu, jalinan kerjasama PERODUA dilihat mampu membantu INPENS untuk terus tuntas memartabatkan Pendidikan Teknikal dan Kemahiran Vokasional (TVET), sekali gus meningkatan kualiti kemahiran tenaga mahir, di Selangor.

Pelbagai program dijalankan kedua pihak terbabit termasuk bengkel Total Productive Maintenance Workshop (TPM) sebagai satu sistem atau kaedah yang diguna pakai bagi memelihara dan meningkatkan kualiti produk.

Ahmad Zabri berkata, perkongsian ilmu dalam kaedah pencegahan, penambahbaikan kelengkapan peralatan mesin dan jentera juga didedahkan dalam bengkel itu yang secara langsung memberi pengalaman baharu.

Katanya, matlamat utama bengkel itu adalah untuk mengelakkan risiko kerugian besar kepada syarikat akibat tidak memahami prosedur pengendalian mesin dan jentera yang betul.

Categories
SELANGOR

TAP: INPENS jangka perantis bertambah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 OKT: Kolej Antarabangsa Inpens (INPENS) menjangkakan pertambahan perantis bagi program ‘Technician Apprenticeship’ (TAP), pada sesi kemasukan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zabri Mohd Yaman berkata, hal itu kerana modul perkembangan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu didorong industri berkaitan.

Katanya, kolej berkenaan turut menyahut cabaran Kerajaan Negeri untuk melatih daya sumber manusia berkualiti dan sesuai permintaan serta permintaan pasaran industri.

“Kita berharap bukan hanya pelajar tetapi INPENS sendiri bukan hanya pusat kemahiran untuk melatih pelajar tercicir tetapi ke hadapan dan berkualiti tinggi.

“Dengan peluang diberikan, pelajar juga harus mempunyai kebolehan dalam bidang akademik,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran program TAP, di Hotel Concorde, di sini.

Terdahulu, seramai lapan pelajar INPENS menyertai program TAP, bermula September lalu untuk berkongsi sumber dan kemahiran, sekali gus merapatkan jurang kemahiran antara institut latihan dengan industri motosikal.

Menerusinya, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd menawarkan peluang pekerjaan selepas tamat pengajian dan melahirkan juruteknik mahir serta mampu memberi perkhidmatan kepada pelanggannya.

Salah seorang perantis TAP, Anis Syahmi Mohamad Sowarna berkata, peluang yang diberikan itu tidak akan dipersia, malah ia pasti akan membantunya meningkatkan kecekapan kemahiran kerjanya kelak.

“Saya gembira dengan peluang diberikan. Enam bulan dalam program itu pastinya memberi lebih banyak peluang untuk belajar dan memahami kemahiran dalam jabatan motosikal, alat ganti, pemasangan serta perkhidmatan pelanggan,” katanya.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

‘Jom Masuk INPENS’ dedah pembelajaran kemahiran impak tinggi

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA SELANGOR, 1 OKT: Kolej Antarbangsa INPENS (INPENS) hari ini melancarkan program ‘Jom Masuk INPENS’ bertujuan memberi peluang kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 untuk meninjau suasana pembelajaran, di kolej berkenaan.

Ketua Eksekutifnya, Ahmad Zabri Mohd Yaman berkata, program yang berlangsung selama 10 hari sehingga 9 Oktober itu mempelawa kehadiran calon SPM 2018 daripada 19 sekolah, di sekitar daerah Kuala Selangor.

Katanya, inisiatif itu diwujudkan untuk menarik minat belia Selangor menceburi dunia kemahiran memandangkan jumlah graduan kemahiran di negara ini masih jauh ketinggalan berbanding negara serantau.

“INPENS selaku institusi kemahiran di bawah Kerajaan Selangor berperanan memberi latihan kemahiran dengan standard industri, sekali gus menjayakan agenda negeri menyediakan sumber daya manusia berkemahiran dalam industri berimpak tinggi,” katanya.

Selain melawat persekitaran INPENS, pelajar sekolah itu turut dibawa ke sektor kemahiran untuk melihat dengan lebih dekat peralatan pembelajaran dan hasil produk kemahiran yang ada.

Pelajar turut diberikan taklimat kursus dan pendedahan berkenaan peluang kerjaya graduan kemahiran sebelum memulakan lawatan.

INPENS bakal membuka sesi kemasukan seterusnya, pada Januari 2019 dan sebarang pertanyaan berkenaan kemasukan boleh dibuat di talian 03-3281 2617 / 03-3281 2619.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerjasama INPENS-DAIKIN lahir graduan berkemahiran tinggi

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 SEPT: Kerjasama Kolej Antarabangsa INPENS (INPENS) bersama syarikat pengeluar produk industri memberi impak positif bagi melahirkan graduan berkemahiran tinggi, di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri melihat usaha dirintis INPENS sewajarnya digalakkan dalam menghadapi perkembangan revolusi industri 4.0.

“Saya sangat gembira apabila INPENS menjalin kerjasama dengan DAIKIN iaitu syarikat pengeluar penghawa dingin, Hong Leong Yamaha (motosikal) dan Perodua (automotif) bagi membantu pelajar dalam bidang pengkhususan tertentu.

“Ia akan membantu kebolehpasaran kelahiran graduannya kerana mereka bukan hanya dilatih secara umum tetapi juga diberikan pengkhususan pada sesuatu bidang,” katanya kepada media selepas Majlis Konvokesyen INPENS 2018 Kali Ke-22, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan sijil dan diploma kepada 594 graduan INPENS yang menamatkan pengajian mereka di kolej berkenaan.

Turut hadir, EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau dan Ketua Eksekutif INPENS, Ahmad Zabri Mohd Yaman.

Amirudin berkata, sebagai institut pengajian tinggi di bawah Kerajaan Negeri, INPENS sentiasa memberi tumpuan bagi meningkatkan kualiti pendidikan dalam memastikan penghasilan pelajar memenuhi pasaran industri.

“Fokus sebegini (kerjasama dengan pihak berkaitan) sedikit sebanyak memberi nilai tambah kepada lulusan daripada INPENS,” katanya.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

INPENS tubuh pusat operasi alumni

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 17 JUN: Kolej Antarabangsa Inpens (INPENS) melancarkan bilik sekretariat alumni berfungsi sebagai pusat operasi Sekretariat Alumni INPENS International College (ALIIC), baru-baru ini.

Ketua Eksekutif INPENS, Ahmad Zabri Mohd Yaman berkata, bilik itu diwujudkan sebagai tanda penghargaan penyertaan bekas pelajar yang aktif dalam persatuan alumni.

Katanya, hal itu dilihat mampu meletakkan INPENS ke tahap lebih berprestij.

“Bilik sekretariat ini juga dilengkapi kemudahan komputer berinternet.

“Pada masa akan datang, kita akan menyediakan kemudahan lain seiring keperluan ALIIC yang semakin bertambah keahliannya saban tahun.

“Mereka perlu merasa bangga dengan sekolah dan tempat pengajian kerana di situlah bermulanya langkah kehidupan yang serba mencabar,” katanya dalam kenyataan.

ALIIC mempunyai 1,889 ahli alumni berdaftar sejak ia mula bergerak aktif, pada 2014.

ALIIC bukan sahaja ditubuhkan untuk mengeratkan hubungan sesama alumni tetapi medan penganjuran aktiviti alumni, peluang kerjaya, program ziarah dan keusahawanan.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Biasiswa IKTISASS ke INPENS

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA SELANGOR, 4 JUN: Biasiswa Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) bakal ditawarkan kepada pelajar dari Selangor yang layak untuk mengikuti program kemahiran, di Kolej Antarabangsa INPENS (INPENS), bermula Julai ini.

Jurucakap INPENS berkata, pembiayaan pengajian di bawah program itu diberikan kepada anak Selangor berkelayakan seperti syarat ditetapkan.

“Antara syaratnya ialah anak Selangor atau bemastautin di negeri ini lebih 10 tahun, lulus Sijil Pelajaran Malaysia sekurang-kurangnya lima mata pelajaran serta pendapatan bulanan isi rumah bawah RM5,000,” katanya.

Pengambilan bagi kemasukan Julai tahun ini ke INPENS dibuka sekarang dan mereka berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari laman sesawang www.inpens.edu.my

Selain itu, ia juga boleh didapati melalui facebook INPENS INTETNATIONAL COLLEGE, Instagram inpens, whatsapp 019-3424111 atau hubungi 03-32812621.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

INPENS jadi hab pendidikan tahap tinggi TVET jaya Industri 4.0

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA SELANGOR, 2 JUN: Kerajaan Negeri akan menjadikan Kolej Antarabangsa INPENS (INPENS) sebagai hab pendidikan kemahiran menawarkan pengajian tahap tinggi Latihan Pendidikan teknikal dan Vokasional (TVET) dalam usaha menjayakan Industri 4.0.

Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, pendekatan itu adalah sama seperti mana diamalkan di Jerman dan Jepun akan ia akan banyak membari manfaat kepada kolej berkenaan.

“Langkah ini akan membuka ruang kepada INPENS untuk bekerjasama dengan lebih banyak industri bersatus multinasional sebagai galakan menyemarakkan gelombang Industri 4.0,” katanya dalam majlis perasmian Program Kasih Ramadan bersama pelajar INPENS di sini, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Eksekutif INPENS, Ahmad Zabri Mohd Yaman menyambut baik hasrat Kerajaan Negeri disuarakan Ganabatirau itu.

Beliau juga berkata, pemintaan terhadap kemasukan ke INPENS meningkat dengan drastik sejak beberapa tahun lebelakangan ini.

“Faktor peningkatan ini adalah kerana kebolehpasaran graduan kemahiran dalam pelbagai industri berimpak global selain peluang keusahawanan tinggi.

“Oleh itu INPENS komited dalam menaik taraf prasarana, mengerat hubungan dengan industri dan menambah nilai tenaga pengajar,” katanya.

INPENS kini membuka tawaran pembiayaan Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (Smart Selangor) kepada mereka berkelayakan mengikuti kemahiran elektrik dan automotif bermula Julai ini.

Mereka memenuhi syarat, boleh membuat permohonan secara terus ke kampus INPENS atau memohon secara atas talian di www.inpens.edu.my.

=EZY=

Categories
SELANGOR SUKANKINI

INPENS raih gangsa Pertandingan Silat Antarabangsa

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 4 APR: Kolej Antarabangsa Inpens (INPENS) berjaya meraih pingat Gangsa dalam Pertandingan Silat Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kali ke-9 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor UPSI, Tanjung Malim pada 20 hingga 25 Mac lalu.

INPENS dalam kenyataannya berkata, selain hanya fokus dalam bidang berkemahiran, INPENS juga menggalakkan graduannya aktif dalam bidang kokurikulum.

“Menjadi hasrat INPENS untuk turut melahirkan graduan seimbang dalam pencapaian akademik dan kokurikulum.

“Pingat Gangsa tersebut diraih melalui Airish Azmar Abdul Rahman dari Sektor Teknologi Automoti,” katanya.

Katanya, ia merupakan penglibatan tahun kedua INPENS selepas penampilan sulung pada tahun lalu.

Pada masa sama, INPENS turut menampilkan persaingan sengit apabila dua pesilat wanita berjaya ke suku akhir dan seorang lagi pesilat lelaki turut menjejakkan kaki ke peringkat suku akhir.

=EZY=

Categories
EKONOMI SELANGOR

IKTISASS wadah ‘millenials’ berkemahiran

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 MAC: Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) yang diasaskan Kerajaan Negeri merupakan wadah kepada pembangunan ‘millenials’ berkemahiran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Antarabangsa INPENS, Ahmad Zabri Mohd Yaman berkata, program terbabit bakal melahirkan generasi berkemahiran, berkarektor sekaligus melahirkan tenaga kerja mahir dan profesional.

“Ramai anak muda atau golongan belia ketika ini tidak mengetahui kursus kemahiran yang ditawarkan juga peluang yang disediakan. Jadi, dengan adanya IKTISASS ia akan dapat membuka ruang dan peluang kepada mereka untuk belajar bidang yang diinginkan.

“IKTISASS juga merupakan program yang terbaik kerana ia turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak industri,” katanya kepada Selangorkini.

Pada masa sama, katanya, INPENS turut membuka gerai pameran di Majlis Pelancaran IKTISASS di Sunway Convention Centre pada 24 – 25 Mac ini.

Ahmad Zabri berkata pihaknya menyasarkan lebih 5,000 pengunjung ke booth pameran INPENS.

“INPENS menawarkan bidang utama atau bidang-bidang kemahiran berimpak industri 4.0 antaranya Automotif, Elektrik dan Penyamanan Udara.

“Tidak ketinggalan INPENS juga menawarkan banyak lagi pilihan bidang kemahiran sebagai usaha memangkin kejayaan misi Smart Selangor yang giat dijalankan antaranya elektronik, sistem komputer, motosikal, dandanan rambut, kulinari, pastri, kecantikan dan pembuat pakaian,” katanya.

Terdahulu, INPENS mencatat rekod baru apabila seramai 650 pelajar baharu mendaftar di kolej itu bagi pengambilan pelajar 2018.

Ia mengatasi catatan terdahulu bagi INPENS dengan angka tertinggi direkodkan bagi pengambilan sebelumnya adalah berjumlah 500 pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran.

Perkembangan itu membuktikan kalangan pelajar menyedari TVET adalah bidang yang menjadi keutamaan di banyak industri.

=EZY=

Categories
SELANGOR

‘Dita Creative’ buah tangan terbaru INPENS

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 1 MAC: Kolej Antarabangsa Inpens (INPENS) terus mengorak langkah menerusi pembukaan butik menjahit dalam kampusnya, iaitu Dita Creative.

Institusi itu di laman sesawangnya berkata, butik berkenaan dikelolakan di bawah kursus sektor tekstil dan pakaian INPENS.

Katanya, ia bertujuan mendedahkan pelajar berkenaan rekaan fesyen pembuatan pakaian wanita terkini.

“Pelajar juga akan mengadakan pertunjukan fesyen sebagai salah satu cara menonjolkan bakat masing-masing, di samping diperkenalkan dengan teknik memotong, menjahit dan menguasai mesin jahit terkini supaya mereka didedahkan kepada senario industri fesyen negara ini,” katanya.

Perkataan ‘dita’ yang berasal daripada bahasa Itali bererti jari jemari, sekali gus membawa maksud ‘Jari Jemari Kreatif’ kepada butik berkenaan.

Butik terbabit mula beroperasi, pada awal Februari lalu dan turut mengambil pelbagai tempahan pakaian wanita, lelaki juga kanak-kanak.

Selain itu, tempahan baju bagi sambutan Aidilfitri tahun ini juga mula dibuka kepada umum.

Orang ramai yang berminat untuk menghantar tempahan baju atau mengajukan sebarang pertanyaan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Zalina Rahmat di talian 013-3960104 atau Che Muhamad 019-3646758.