Categories
EXCO SELANGOR

Lebih 2,000 jalani rawatan tibi melalui bantuan RM800

KLANG, 29 FEB: Lebih 2,000 pesakit tuberkulosis (tibi) kini menjalani rawatan penuh selama enam bulan melalui insentif Kerajaan Selangor dengan RM800 seorang, kata EXCO Kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2020 bagi mendapatkan rawatan penyakit terbabit.

Katanya, beliau menggalakkan orang ramai ambil peluang ini bagi memastikan kesihatan orang sekeliling terpelihara kerana tibi mampu merebak.

“Kematian berpunca tibi amat tinggi jumlahnya jika dibandingkan denggi tetapi kematiannya bukan dalam kadar segera, ia berlaku secara perlahan-lahan. Sebab itu pentingnya rawatan dari awal,” katanya selepas merasmikan Karnival 3W (Kesihatan, Kebajikan, Wanita) di Taman Rakyat, Taman Sri Andalas, di sini hari ini.

Insentif itu bagi meringankan beban kos rawatan yang ditanggung selain memastikan pesakit melengkapkan semua sesi rawatan di hospital.

Pesakit boleh mendapatkan borang permohonan insentif itu di hospital dan klinik kerajaan atau pusat khidmat masyarakat.

Bayaran insentif dibuat menerusi tiga transaksi iaitu RM200 bagi dua bulan pertama, RM200 (dua bulan seterusnya) dan RM400 sehingga selesai rawatan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan Negeri sedia pertimbang cadangan insentif pesakit tibi

SHAH ALAM, 13 OGOS: Kerajaan Negeri sedia menilai cadangan supaya insentif sebanyak RM500 diberikan kepada pesakit tibi supaya mereka boleh menyempurnakan sesi rawatan selama enam bulan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, selain itu, Kerajaan Negeri juga akan mencari langkah susulan supaya penyakit itu dapat dicegah terutama berkaitan gaya hidup seharian golongan yang terdedah penyakit itu.

“Perkara itu masih dalam penilaian kita, sebab baru dengar sekali. Jika ia berkesan dan sebagainya, perlu ada susulan di peringkat Kerajaan Negeri untuk mengawal serta menangani masalah penyakit tibi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Sesi Kedua Dialog Bajet 2020 dengan tema Membudaya Komuniti Sihat Ke Arah ‘Selangor Maju Bersama’ di Hotel Concorde, hari ini.

Amirudin menjelaskan, aspek kesihatan antara yang bakal diberikan tumpuan dalam belanjawan tahun hadapan dan Kerajaan Negeri akan menilai semua pandangan yang dikemukakan.

Cadangan pemberian insentif itu dikemukakan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Dr B Venugopalan ketika sesi pembentangan pertama mengenai penyakit tibi.

Menurut Dr Venugopalan, pada tahun 2018 Selangor merekodkan 5,071 kes dengan 367 kematian.

Daripada jumlah itu, 553 kes atau 11 peratus daripadanya cicir rawatan selama enam bulan.

Turut mengambil bahagian dalam sesi pembentangan kali ini adalah Pakar Perubatan Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Dr Siti Sara Yaacob dengan tajuk ‘Sokongan Program Kesihatan Mental Untuk Remaja Dan Peranan Komuniti.