Categories
NASIONAL SELANGOR

Beri Pampasan Seumur Hidup Mangsa Keganasan Polis Di Perhimpunan Bersih

SHAH ALAM 26 JULAI :  Kerajaan digesa agar memberi pampasan seumur hidup kepada  seorang jurutera mekanikal, Asrul Wadi Ahmad,27, sebagai token kebertanggungjawaban dan penyesalan di atas insiden kekejaman polis pada perhimpunan aman Bersih 3.0,tegas Lim Kit Siang.

Kit Siang merupakan Ketua Parlimen DAP berkata, Asrul ditembak dengan kanister gas pemedih mata pada 28 April yang telah mengakibatkan Asrul “buta” dalam diagnosis klinikalnya dan tidak boleh diambil bekerja.

Asrul, dalam keterangannya dalam siasatan SUHAKAM berhubung dengan keganasan dalam perhimpunan Bersih, telah berkongsi kisah dan pengalaman beliau yang menyayat hati apabila terkena tembakan kanister gas pemedih mata semasadalam perhimpunan aman Bersih 3.0.

Sebelum insiden tersebut, penglihatan Asrul sempurna 20/20 tetapi kini tahap penglihatan dalam mata kanannya hanyalah 15 peratus.

Akibatnya, beliau mungkin tidak boleh diambil bekerja sebagai jurutera mekanikal walaupun mendapat ijazah dalam kejuruteraan mekanikal daripada Universiti Tun Hussein Onn dalam bulan Februari.

“Asrul telah berunding dengan dua hospital swasta serta tiga hospital kerajaan dan malangnya telah diberitahu bahawa kecederaan yang dialami pada mata kanannya agak teruk dan penglihatannya tidak dapat dipulihkan semula dengan menggunakan prosedur perubatan,” kata Kit Siang dalam kenyataan medianya.

Menurut beliau ,sekiranya kerajaan tidak bersedia untuk mengambil inisiatif untuk memberi pampasan kepada Asrul, satu kempen di seluruh negara akan dilancarkan

“Ia untuk menuntut Hishammuddin dan kerajaan bertanggungjawab di atas kecederaan kepada mata Asrul dan untuk bertanggungjawab memberi pampasan seumur hidup kepada Asrul,” katanya.