Categories
AGENDA NASIONAL

259,000 pelajar lepasan SPM dapat tawaran ke IPTA

BATU PAHAT, 16 JULAI: Kira-kira 259,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditawarkan ke universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan institusi latihan kemahiran awam bagi sesi akademik 2021/2022.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Dr Husaini Omar berkata sesi akademik 2021/2022 akan bermula September depan.

Katanya, bagi pemohon yang tidak berjaya mendapat tawaran, mereka boleh mengemukakan permohonan rayuan dalam tempoh 11 hari mulai hari ini hingga 26 Julai.

“Kebiasaannya, tawaran ini diberikan berpadanan dengan keputusan yang diperolehi, semakan surat tawaran boleh dilakukan melalui sistem UPUOnline dan surat tawaran boleh dicetak mulai esok hingga 26 Julai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini hari ini.

Semalam, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan keputusan permohonan kemasukan ke universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan institusi latihan kemahiran awam boleh disemak secara dalam talian bermula hari ini.

Mengulas mengenai PPV Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Husaini berkata sehingga kini, sebanyak 40 PPV IPT telah beroperasi di seluruh negara dalam usaha membantu negara mencapai imuniti kelompok dengan lebih pantas.

“Di PPV UTHM kita mengadakan kerjasama dengan Hospital Pakar Putra Batu Pahat dan ia melibatkan sukarelawan daripada UTHM. Selain itu, pusat vaksin ini mampu memberi vaksin kepada 3,000 penerima setiap hari,” katanya.

PPV UTHM beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 8 malam mulai semalam hingga 15 Nov ini.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Halal International Selangor perkenal program latihan di empat IPTA

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 SEP: Komitmen untuk Selangor terus menerajui industri dan perdagangan halalan toyyiban global diperluaskan lagi dengan kolaborasi bersama empat universiti tempatan.

Empat Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang terdiri daripada Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Mara (UITM) menandatangani perjanjian kolaborasi dengan Central Spectrum (M) Sdn Bhd.

Majlis menandatangani kerjasama Halal International Selangor dengan universiti (5)Ketua Pegawai Eksekutif Halal International Selangor (HIS), Mahmoud Abbas, berkata kolaborasi itu bertujuan memperkenalkan program latihan yang diperakui oleh Halal Technical Competent Person (HTCP) di universiti berkenaan.

“Ditawarkan dalam lima peringkat iaitu untuk perkhidmatan dan perdagangan halal domestik juga global.

“Peserta akan didedahkan dengan ilmu praktik yang penting berkenaan pematuhan syariah, stadard Halal Malaysia serta pendedahan teknikal dan komersial oleh pakar industri halal,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu adalah Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Seri Mohamad Adzib Mohd Isa dan Pengerusi Central Spectrum, Datuk Raja Idris Raja Kamarudin.

Majlis menandatangani kerjasama Halal International Selangor dengan universiti (1)Beliau berkata, HIS mahu menjadikan ia sebagai landasan komuniti terulung bagi pasaran global dengan membuka peluang pasaran sedia ada. Jadi bagi memperluaskan lagi, kami mahu IPT terbabit sama. Kursus pendek selama satu hingga dua minggu sedang dijalankan.

“Kali ini, kami mahu jadikan ia program pembelajaran selama setahun setengah,” katanya.

HIS adalah inisiatif Central Spectrum (M) Sdn Bhd yang dilancarkan pada 2014 di Selangor untuk menyediakan kemudahan infrastruktur bagi menyahut dan memenuhi permintaan perusahaan dalam perniagaan halal global.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pendapatan isi rumah RM3,000 layak terima hadiah masuk universiti

Hadiah-Anak-Masuk-Universiti

SHAH ALAM 24 OKT : Mesyuarat Exco Kerajaan Selangor meluluskan had kelayakan Hadiah Anak Masuk Universiti daripada pendapatan seisi rumah RM1,500 kepada RM3,000 sebulan.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Manusia, Dr Halimah Ali, berkata pelaksanaan skim itu dipersetujui memandangkan status kewangan negeri yang kukuh dan sudah berkuatkuasa, pada Mei lalu.

Dr Halimah berkata, kelulusan had kelayakan itu adalah pelaksanaan manifesto pertama kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

hadiah anaka masuk u“Pada asalnya, kita mahu memasukkan pelaksanaan ini dalam rangka kerja 2014 tetapi dengan kebijaksanaan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjaga kewangan Kerajaan Selangor, membolehkan usaha ini dilaksana lebih awal.

“Penerima yang layak adalah anak Selangor yang menerima tawaran diploma dan ijazah sarjana muda dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Swasta (IPTS),” katahya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, semalam.

Katanya, skim berkenaan adalah salah satu daripada program pro rakyat di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

“Hadiah RM1,000 diberi kepada anak Selangor daripada keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah untuk memudahkan mereka melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi awam atau swasta yang diiktiraf kerajaan.

“Sehingga kini, jumlah yang direkodkan mencatat lebih RM35.7 juta dibelanjakan dengan kira-kira 35,722 peserta mendapat manfaat daripada program Hadiah Anak Masuk Universiti ini,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dibantu Adun PR, penuntut IPTA optimis

100_3240BATU CAVES 2 SEPT : Bantuan pendidikan RM1,000 dari Adun Batu Caves, Amiruddin Shari menghadirkan ceria dalam hidup anak gadis, Faezatul Haslina Hashim, 20, untuk meneruskan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Biarpun kehilangan bapa tersayang seminggu lalu namun bantuan melalui peruntukan kepada Adun itu menguatkan semangatnya untuk menimba ilmu dalam bidang Falsafah Usuluddin di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Saya amat terharu apabila permohonan mendapatkan bantuan pendidikan ini mendapat perhatian Amiruddin dalam tempoh kurang sebulan,” katanya.

Faezatul menerima bantuan pendidikan itu daripada Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Batu Caves, Shaharuddin Abu Bakar pada Jumaat lalu.

Beliau menambah bantuan itu akan digunakan sebaik mungkin bagi menampung pengajiannya di UKM

“Saya melanjutkan pelajaran ke UKM atas nasihat arwah bapa yang berpesan agar tidak menyambung pengajian di Mesir memandangkan keadaan di negara itu yang tidak stabil selain terpaksa menjaga ibu dan dua adik yang masih bersekolah,” katanya.

Menurut Faezatul, beliau dinasihatkan oleh pejabat DUN Batu Caves supaya memohon bantuan Skim Hadiah Anak Masuk Universiti yang disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk anak-anak Selangor.

“Saya juga dimaklumkan Kerajaan Negeri menyediakan bantuan sama bagi pelajar yang berjaya ke institusi pengajian tinggi yang ternyata benar-benar membantu rakyat Selangor,” kata Faezatul.