Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Tiada kenaikan yuran pengajian IPT – Noraini

NILAI, 30 JUN: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini menegaskan tiada kenaikan yuran pengajian dikenakan kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pihaknya turut meminta pihak universiti supaya tidak mengenakan yuran bagi aktiviti lain kerana kebanyakan pelajar kini tidak berada di kampus akibat penularan pandemik Covid-19 ini.

“Dari awal kita telah maklumkan bahawa tiada kenaikan (yuran pengajian), dan bil berkaitan aktiviti lain memang kementerian sudah minta supaya tidak dicajkan walaupun universiti mempunyai autonomi mengenai yuran dan saya difahamkan ada universiti yang berikan diskaun,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin Mega di Universiti Sains Islam Malaysia di ini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Pertubuhan Kebajikan Komuniti Prihatin Malaysia (Prihatin) menyarankan KPT mengkaji semula jumlah yuran pengajian di semua IPT berikutan penularan wabak Covid-19.

Mengulas perkara lain, Noraini berkata setakat ini kira-kira 30 peratus pensyarah universiti telah menerima suntikan vaksin Covid-19 dengan sebahagiannya melibatkan tenaga pengajar fakulti perubatan dan pergigian.

“Keutamaan pelajar lain selepas ini tertumpu kepada mereka yang berada di kampus kerana tiada akses Internet untuk pengajian dalam talian serta pelajar tahun akhir,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Graduan cadang kerajaan tangguh sesi pembelajaran fizikal di IPT

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Kerajaan dicadang menangguhkan sesi pembelajaran secara fizikal di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara ketika ini, selain mengekalkan pembelajaran secara dalam talian dan jarak jauh.

Presiden Persatuan Graduan Muda Malaysia (Graduan) Lee Seang Hock berkata, langkah itu penting bagi memastikan keselamatan dan kesihatan mahasiswa terjaga, dalam tempoh kritikal penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata kehadiran kuliah di kampus perlu ditangguhkan, bagi mengelak sebarang aktiviti fizikal secara berkumpulan, yang mempunyai risiko jangkitan amat tinggi.

“Kemasukan ke IPT, yang melibatkan pergerakan puluhan ribu mahasiswa dari pelbagai kawasan adalah amat berisiko dan membimbangkan semua pihak.

“Oleh itu, alternatif harus dijalankan melalui pembelajaran secara dalam talian, iaitu kaedah pendidikan yang telah disokong oleh pakar kesihatan dan pakar pendidikan, bagi menjamin kelangsungan ilmu dalam kalangan mahasiswa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee turut mencadangkan agar lebih banyak kelonggaran diberikan kepada mahasiswa dari segi kehadiran kelas dan tugasan akademik, memandangkan terdapat golongan yang menghadapi kekurangan infrastruktur dan kesukaran berkomunikasi di platform dalam talian.

Selain itu, beliau menyeru Kementerian Pengajian Tinggi dan IPT, supaya memberi perhatian kepada kesihatan mental dan status kewangan mahasiswa, yang mungkin terjejas sepanjang tempoh penularan wabak Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Zon merah: IPT disaran tangguh daftar pelajar secara bersemuka

PUTRAJAYA, 27 SEPT: Kementerian Pengajian Tinggi menyarankan semua institusi pengajian tinggi (IPT) menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari kawasan zon merah secara bersemuka di kampus masing-masing yang dijadualkan bermula Oktober ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berkata sebaliknya, proses pendaftaran dan pembelajaran bagi kumpulan pelajar terbabit boleh dilakukan secara dalam talian.

“Para pelajar boleh pulang ke kampus masing-masing mengikut tatacara operasi piawai (SOP) sedia ada setelah keadaan kembali pulih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi pelajar yang bukan dari kawasan zon merah, kemasukan ke IPT kekal mengikut kalendar akademik IPT masing-masing.

Noraini turut menasihati pelajar agar mengamalkan langkah pencegahan Covid-19 ketika berada di kampus masing-masing sekalipun semua IPT telah diarah memastikan pelaksanaan aktiviti akademik di kampus mematuhi sepenuhnya SOP.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tokoh Pendakwah sifatkan perkembangan Islam Selangor menakjubkan

Tokoh Pendakwah Selangor 2013

SHAH ALAM, 8 OKT: Tokoh Pendakwah Selangor 2013 menyifatkan perkembangan Islam di Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat sebagai menakjubkan berikutan kerancakkan penganjuran program-program bercorak keagamaan di negeri ini.

Menurut Shah Kirit Kakulal Govindji, keadaan itu didorong oleh kesungguhan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti dan semua pihak terlibat dalam menyebarkan kefahaman sebenar Islam.

“Alhamdullilah saya lihat perkembangan Islam di Selangor khususnya sejak lima tahun ini adalah satu perkembangan yang cukup baik dengan program yang disusun Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti dan sebagainya.

“Usaha dakwah dan latihan yang disediakan untuk kader-kader baru sebagai satu program yang menyeluruh, malah mereka mempunyai pelan tindakan untuk lima tahun akan datang, apa hasil yang kita boleh perolehi dalam masa 10 tahun, 20 tahun akan datang.

“Program dakwah di Selangor juga dijalankan dengan mempunyai wawasannya, bukan sekadar memenuhi syarat, saya amat terharu dan gembira dengan perkembangan ini,” ujar Shah Kirit yang memeluk Islam pada 1996.

Selain itu menurut Shah Kirit, Selangor juga semakin banyak melahirkan tokoh pendakwah muda dari pelbagai lapisan dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam dan di kalangan saudara baru.

Penerima Anugerah Tokoh Pendakwah Wanita, Datin Aminah Zakaria pula berkata usaha gigih Kerajaan Negeri bagi memperbanyakkan program keIslaman wajar dicontohi negeri-negeri lain.

“Saya harap Kerajaan Negeri dapat meningkatkan usaha mengilmukan masyarakat Selangor ini dan saya doakan segala langkah, perbelanjaan yang digunakan Kerajaan Negeri untuk menyebar dakwah ini mendapat ganjaran maksima dari Allah dan minta Allah terima segala amal pihak pentadbir Kerajaan Negeri, pegawai, kakitangan dan rakyat Selangor semua, semuga dapat keberkatan Allah,” kata beliau.

Dalam Program Muzakarah Pendakwah dan Penolong Pendaftar Nikah Negeri Selangor yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, seramai tiga orang menerima anugerah Tokoh Pendakwah.

Shah Kirit yang mempunyai pengalaman berdakwah di serata dunia merupakan Duta Dakwah Saba Islamic Media Sdn Bhd dan beliau pernah menerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Kebangsaan 2012, Tokoh Saudara Muslim Muslimin dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2010 dan Tokoh Saudara Kita Maal Hijrah 2011 Negeri Selangor.

Aminah yang merupakan Yang Dipertua Persatuan Muslimah Malaysia (Salimah) juga turut terkenal sebagai penyampai ceramah mengenai ‘Fiqh Wanita’ di stesen radio Ikim fm dan beberapa slot bimbingan wanita dalam rancangan Al-Hidayah di TV3.

Beliau juga kerap mendapat undangan untuk menyampaikan ceramah agama di serata dunia termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom, Brunei dan Singapura.

Manakala penerima anugerah Tokoh Penolong Pendaftar Nikah Selangor, Aziz Mahmood merupakan seorang bekas Guru Penolong Kanan di Sekolah Kebangsaan Seri Lanang.

Beliau yang juga memegangan jawatan Timbalan Nazir di Masjid At-Tawqwa, Pekan Banting kini juga aktif sebagai penceramah kursus Haji.

Ketiga-tiga tokoh terbabit masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000, sijil, piala iringan dan sepersalinan pakaian yang disampaikan Exco Hal Ehwal Islam Negeri Selangor, Sallehin Mukhyi.

Categories
SELANGOR

Program Hadiah Anak Masuk Universiti Capai Sasaran

hadiah anaka masuk uSHAH ALAM 2 OKT: Program Hadiah Anak Masuk Universiti, yang merupakan salah-satu daripada Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dipuji dalam Laporan Audit Negara kerana mencapai sasaran pemberian bantuan secara keseluruhan.

Siasatan Jabatan Audit Negara mendapati 87.8 peratus golongan sasar menerima manfaat daripada program MES itu. Paling menarik perhatian Audit adalah prestasi sangat baik yang dicatatkan pada 2010 (99.9% dari 7,699 pemohon), 2011 (93.1% dari 7,167 pemohon) dan 2012 (98.6% dari 7,887).

Bilangan-penerima-wang

“Semakan Audit mendapati prestasi Program adalah baik kerana bilangan penerima wang hadiah bagi bulan Julai 2008 hingga 2012 adalah tinggi iaitu 32,130 (87.8%) daripada 36,600 penerima yang disasarkan.

“Analisis Audit selanjutnya juga mendapati prestasi Program bagi tahun 2010 hingga 2012 berada pada tahap sangat baik iaitu 93.1% hingga 99.9%,” menurut laporan itu.

Program Hadiah Anak Masuk Universiti telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri mulai 1 Julai 2008 dan bertujuan untuk meringankan beban pelajar bagi menampung yuran dan perbelanjaan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Dari Julai 2008 hingga 2012, sebanyak RM36.60 juta tela diperuntukkan dan RM32.13 juta telah dibelanjakan untuk menjayakan program ini.

Penerima-pinjaman

Dalam pada itu, Laporan Audit juga turut membuat beberapa syor bagi meningkatkan kejayaan program ini, termasuk meletakkan proses pengesahan dan perakuan yang ketat, serta memperkemaskan pemberian hadiah.

Categories
SELANGOR

Kemelut hutang PTPTN perlu diatasi segera

ptptn studentSHAH ALAM, 11 SEPT : Kemelut pelajar universiti tidak akan diberikan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ekoran badan itu gagal mengutip semula hutang perlu ditangani dengan segera.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata kelewatan Kerajaan Pusat bertindak akan menjejaskan peluang pelajar melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Masalah pendidikan mesti diatasi sepertimana dinyatakan Menteri Pelajaran dalam majlis pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 baru-baru ini.

“Fokus dalam perkara ini penting, bukan sahaja kerana ia melibatkan majoriti pelajar Bumiputera, tetapi akses dan kemudahan perlu diberikan jika Kerajaan Pusat tidak mahu peluang pelajar lain terjejas,” tegas beliau.

Halimah berkata demikian bagi mengulas laporan media yang menjelaskan sekurang-kurangnya 15,000 pelajar tidak akan mendapat pinjaman PTPTN jika perbadanan itu gagal memperoleh kutipan semula pinjaman kira-kira RM300 juta yang sudah dikeluarkan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Halimah : IPT Selangor Tingkat Kemudahan OKU

SHAH ALAM, 13 DIS: Kerajaan Negeri Selangor akan meningkatkan aksesbiliti bagi kemudahan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) milik Kerajaan Negeri.

Tindakan tersebut diambil setelah mendapat ‘input’ dari wakil golongan itu dalam Majlis Pelancaran Hari Mahasiswa dengan tema Mahasiswa Cemerlang Tonggak Negara yang diadakan malam tadi.

Demikian menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Dr Halimah Ali ketika ditemui TV Selangor selepas majlis pelancaran itu.

“Memang kita sengaja mencari mahasiswa dari golongan OKU malam ini supaya kita nak dengar input dari mereka.

“Jadi bila kita dah dengar, kita kaji memang ada keperluan, mungkin ameniti yang diperlukan tidak mencukupi dan tidak mesra OKU seperti mana kita mahu sebelum ini Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mesra OKU dan ini kita akan implimentasikan di IPT Kerajaan Negeri pula.

“Kita akan mengambil tindakan supaya aminiti itu mencukupi untuk golongan OKU,” kata Halimah.

Sebelum itu, dalam ucapan oleh mahasiswa OKU, Mohd Abdullah Mohd Yusof, selain berterima kasih atas jemputan Kerajaan Negeri untuknya meluahkan pandangan, beliau juga menyarankan agar Kerajaan Negeri mengambil langkah meningkatkan aksesbiliti bagi golongan tersebut dalam IPT milik Kerajaan Negeri.

Menurutnya lagi langkah tersebut bukan sahaja membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap golongan OKU, malah akan menjadi model kepada Kerajaan Pusat dan negeri lain.

Categories
NASIONAL

Pendidikan Percuma: AMK Cadang Jumpa MB Selangor

SHAH ALAM 27 APR : Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia bercadang mengadakan pertemuan empat mata dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi membincangkan berkenaan pendidikan percuma.

Menerusi satu kenyataan Setiausaha AMK, Julailey Jemadi menjelaskan pertemuan ini bertujuan berbincang dan menyampaikan sumbang saran tentang dasar pendidikan percuma, khususnya di Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat.

“AMK melihat isu ini sebagai urusan yang wajar disegerakan untuk membuktikan bahawa pentadbiran dan tatakelola kerajaan Pakatan Rakyat mampu melaksanakannya, walaupun dilemparkan dengan pelbagai tohmahan,”katanya.

Menurutnya lagi, isu ini sudah mendapat perhatian dari pelbagai pihak, bukan sahaja di peringkat kerajaan pusat dan negeri-negeri, malah wacana ini dibicarakan pada peringkat akademik, Universiti dan para ibu bapa di seluruh negara.

“Surat sudah dihantar kepada Pejabat Menteri Besar. Diharapkan  Menteri Besar mempunyai ruang untuk berdiskusi. AMK  yakin, setelah empat tahun mentadbir negeri Selangor. Menteri Besar mampu sekali lagi mendepani isu ini dengan merangka satu dasar pendidikan percuma, khususnya di semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang dimiliki kerajaan negeri,”katanya.

Dalam kenyataan itu juga, AMK akan  sentiasa berada di belakang kepimpinan Menteri Besar dalam meneruskan agenda merakyatkan ekonomi dan pendidikan di negeri Selangor.

AMK juga yakin Selangor mampu menjadi model dan peneraju pendidikan percuma di peringkat nasional.