Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Mahathir dibenar keluar IJN hari ini, masih perlu pemeriksaan susulan

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada 8.40 pagi tadi.

IJN dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata Dr Mahathir baru-baru ini dimasukkan ke institut itu untuk rawatan perubatan dan dibenarkan keluar hari ini dan beliau akan menjalani pemulihan di rumah.

“Tun Dr Mahathir akan menjalani pemeriksaan susulan bagi meneruskan rawatan perubatannya apabila diperlukan dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mengucapkan terima kasih kepada semua atas keprihatinan dan doa mereka apabila Dr Mahathir dimasukkan ke IJN.

Semalam, media melaporkan Dr Mahathir masih menjalani proses pemulihan di IJN dan dibenarkan pulang pada 2 Feb, tetapi perlu kembali ke institut itu untuk fisioterapi dan rawatan lanjut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kesihatan Dr Mahathir semakin baik

SHAH ALAM, 25 JAN: Kesihatan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) bertambah baik.

Anaknya Datin Paduka Marina Mahathir berkata bapanya sudah berselera menjamah makanan dan boleh berseloroh bersama ahli keluarga.

“Beliau meminta orang ramai supaya tidak terlalu bimbang dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan.

“Dr Mahathir akan terus mendapat rawatan di IJN bawah pengawasan pakar tempatan. Buat masa ini IJN tidak membenarkan pelawat selain dari ahli keluarga,” katanya menerusi kenyataan.

Marina berkata mereka sekeluarga terharu dan menghargai doa dari semua pihak.

Dr Mahathir dirawat di Unit Rawatan Koronari (CCU) IJN sejak Khamis lalu. Sebelum ini pada 7 Januari beliau dimasukkan ke institut berkenaan bagi menjalani prosedur perubatan elektif dan dibenar keluar enam hari kemudian.

Pada 16 Disember tahun lalu beliau turut dimasukkan ke IJN untuk pemeriksaan perubatan menyeluruh dan pemantauan lanjut sebelum dibenarkan keluar pada 23 Disember.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hadi Awang sesak nafas, dirawat di IJN

KUALA TERENGGANU, 16 FEB: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berada dalam keadaan stabil dan memerlukan rehat selepas dilapor mengalami sesak nafas malam tadi.

Perkara tersebut disahkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk Muhammad Khalil yang juga anak Abdul Hadi melalui laman Facebooknya.

“Saya baru bercakap dengan ayahanda Tuan Guru sebentar tadi. Keadaan beliau stabil dan perlukan rehat. Mungkin kepenatan kerana jadual yang padat.

“Mohon doa dari semua semoga beliau terus sihat untuk berkhidmat kepada ummah,” katanya.

Terdahulu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam laman Facebooknya menyatakan Abdul Hadi dimasukkan ke Hospital Putrajaya malam tadi selepas dilapor sesak nafas sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.

“Marilah kita bersama mendoakan kesembuhan kepada Tuan Guru dan kembali sihat seperti sedia kala,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

IJN tingkat Pusat Serangan Jantung

KUALA LUMPUR, 25 APR: Institut Jantung Negara (IJN) mengumumkan peningkatan Pusat Serangan Jantung yang menawarkan rawatan kecemasan kepada mereka yang mengalami serangan jantung.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub berkata, kolaborasi dengan First Ambulance akan membolehkan pesakit menerima rawatan secepat mungkin.

“Sebaik saja seseorang itu menghubungi nombor kecemasan Pusat Serangan Jantung IJN, sistem akan menyelaras.

Serentak itu, ECG pesakit akan juga dipancarkan dari ambulans ke IJN membolehkan doktor meneliti keadaan,” katanya selepas mengumumkan peningkatan Pusat Serangan Jantung, semalam.

Ditubuhkan pada 1995, pusat itu menyediakan rawatan 24-jam kepada mereka yang diserang sakit jantung dengan melakukan rawatan kecemasan menyelamat nyawa.

Prosedur utama dijalankan oleh pusat itu ialah ‘Percutaneous Coronary Intervention’ (PCI) yang telah terbukti berjaya menyekat kerosakan jantung yang serius atau maut akibat serangan jantung.

Sementara itu, Dr Mohd Azhari berkata, rakyat Malaysia mengalami serangan jantung pada usia lebih muda berbanding negara-negara lain di rantau ini – pada awal usia 58 tahun.

Katanya, data Kementerian Kesihatan mencatatkan 13,000 kematian pada 2017 berbanding hanya kira-kira 8,700 pada 2007.

– BERNAMA