Categories
AGENDA NASIONAL

Perlindungan takaful, insurans ringan beban pemilik ketika musibah

SHAH ALAM, 9 FEB: Perlindungan takaful dan insurans bencana rumah serta kenderaan penting bagi memastikan masyarakat tidak terbeban jika ditimpa musibah.

Inisiatif itu juga menjimatkan kos pengguna untuk membaiki semula harta benda yang rosak, kata
pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Antarabangsa Majlis Perancang Kewangan Malaysia.

“Kita tidak tahu bila bencana berlaku. Macam kejadian banjir baru-baru ini, kali terakhir pada 1970-an. Jadi bila ditimpa musibah dan kebetulan masa itu tiada wang, kita tidak perlu risau.

“Kena ambil insurans sebagai persediaan. Kos perlindungan tidak mahal pun. Kalau kita mampu beli barangan mahal, kena ada rasa tanggungjawab terhadap barang kita. Kena terapkan pengurusan risiko untuk mudahkan diri,” kata Anuar Shuib.

Beliau bercakap dalam program Bual Bicara bertajuk Insurans Bencana Alam: Pilihan atau Wajib? yang disiarkan di YouTube SelangorTV dan Facebook Media Selangor malam tadi.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menganggarkan kerugian sekitar RM1.4 bilion susulan bencana itu termasuk kos baik pulih infrastruktur kira-kira RM400 juta.

Jumlah itu dikira secara kasar melibatkan 100,000 rumah atau keluarga yang terjejas dengan anggaran kerosakan paling minimum RM10,000.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: 496 ketua kampung dapat perlindungan insurans

HULU LANGAT, 29 MAC: Seramai 496 ketua kampung di negeri ini mendapat perlindungan insurans sejak diperkenal Kerajaan Selangor tahun lalu.

EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi, Borhan Aman Shah berkata perlindungan termasuk kos rawatan di hospital akibat kemalangan.

“Jika mereka meninggal dunia akibat kemalangan pampasan yang diterima waris ialah RM15,000. Bagi kematian biasa pula layak menerima RM5,000.

“Selain itu, mereka juga menerima manfaat Kad Peduli Sihat. Kad ini untuk mereka menerima rawatan di klinik,” katanya.

Terdahulu, Borhan menyampaikan manfaat bantuan khairat kematian kepada waris ketua kampung di Kampung Sesapan Minangkabau di Beranang di sini.

Beliau juga turut menyampaikan bantuan yang sama di Kampung Jalan Kebun di Shah Alam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Syarikat insurans perluas bantuan tunai disebab kesan sampingan vaksin

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Sebahagian besar syarikat insurans hayat di negara ini memperluaskan bantuan kewangan kepada pemegang polisi yang mendapat kesan sampingan atau komplikasi sehingga dimasukkan ke hospital susulan pemvaksinan Covid-19.

Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) berkata perlindungan itu termasuk kos dimasukkan ke hospital yang memerlukan dari segi perubatan dan munasabah susulan kesan sampingan pemvaksinan Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Sejumlah syarikat insurans hayat turut menawarkan program bantuan tunai untuk kesan sampingan di bawah dana vaksin Covid-19 masing-masing atau program bantuan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, bantuan itu termasuk pembayaran semula bil perubatan kepada pesakit Covid-19 dan sokongan pemvaksinan pasca Covid-19 bagi kemasukan ke hospital susulan kesan sampingan vaksin; bantuan perubatan dan manfaat kematian khas; pendapatan kemasukan ke hospital; dan bantuan tunai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mark O’Dell menasihatkan pemegang polisi untuk menghubungi syarikat insurans masing-masing bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai bantuan yang ditawarkan sekiranya mereka mendapat kesan sampingan daripada vaksin Covid-19.

Sambil memuji usaha proaktif kerajaan untuk melindungi rakyat, beliau turut menggesa rakyat Malaysia memainkan peranan masing-masing bagi memerangi Covid-19 dengan membuat pendaftaran bagi program imunisasi itu di aplikasi MySejahtera.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

JMB disaran ambil insurans tampung kos luar jangka

SEPANG, 9 MAC: Badan pengurusan bersama (JMB/MC) disaran mengambil insurans kediaman bagi melindungi tempat tinggal dari insiden luar jangka termasuk bencana alam.

Dato’ Menteri Besar berkata perlindungan bagi menanggung kerosakan harta benda selain caj penyelenggaraan perlu dititkberatkan pentabir bangunan dan penduduk.

“(Skim insurans) memang perkara yang bagus tetapi perlu ikut kemampuan JMB sama ada boleh dapatkan dana dari persatuan penduduk atau sebaliknya, ia bergantung,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau yang ditemui selepas meninjau kawasan bencana sekitar Bandar Baru Salak Tinggi semalam turut memuji Pangsapuri Dahlia Court yang tidak berdepan masalah untuk membaiki kerosakan akibat ribut.

Menurut Amirudin, pihaknya juga bersedia menghulurkan dana bagi membantu pangsapuri terbabit jika tuntutan insurans lewat diterima.

Kejadian ribut pada 6 Mac merosakkan 105 buah rumah meliputi Taman Dahlia (19), Taman Seroja (17), Pangsapuri Taman Dahlia (12) dan Pangsapuri Seroja Hill (tujuh).

Selain itu, Kampung Baru Pekan Salak (20) dan Kampung Salak Tengah (tujuh). Turut terjejas Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Salak Tinggi, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seroja, SK Salak dan SK KLIA.

Categories
NASIONAL

Syarikat insurans digalak wujud pelan bagi penyakit mental

 

IPOH, 23 Mei: Syarikat penyedia insurans di negara ini disaran mewujudkan pelan liputan insurans untuk pesakit mental kerana bilangan individu yang mengalami masalah tersebut semakin ramai terutama dalam kalangan remaja.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata ​​​​​​syarikat di beberapa negara telah menyediakan liputan insurans bagi lima penyakit mental iaitu masalah depresi; gangguan bipolar, skizofrenia; gangguan obsesif-kompulsif (OCD) dan sindrom tourette.

“Mengikut data daripada Tinjauan Mobiliti Kesihatan Kebangsaan pada 2015, kira-kira 29.2 peratus daripada 4.2 juta penduduk Malaysia yang berusia 16 tahun dan ke atas mengalami pelbagai penyakit mental.

“Bagi tahun 2017 pula, seramai 17.7 peratus perempuan dan 18.9 peratus lelaki yang berumur dari 13 hingga 17 tahun mengalami depresi manakala 42.3 peratus perempuan dan 37.1 peratus lelaki mengalami keresahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Pameran Kebudayaan di Sekolah Menengah Poi Lam (SUWA) di sini hari ini.

Dr Lee mengulas gesaan aktivis sosial dan penaung Persatuan Psikiatri Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye supaya Kementerian Kesihatan memberi fokus kepada lebih ramai pengamal perubatan selain mencadangkan agar liputan insurans disediakan bagi rawatan dan penjagaan kesihatan mental.

Menjelas lanjut, Dr Lee berkata masalah mental tidak boleh lagi diabaikan serta perlu ditangani oleh semua pihak dan bukan hanya Kementerian Kesihatan sahaja.

Beliau berkata kos rawatan bagi pesakit mental agak tinggi dan boleh mencecah hingga ratusan ringgit bagi setiap kali sesi konsultasi. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Cadangan insurans kelompok bagi atasi kerugian petani akibat bencana

TUMPAT, 28 OKT: Insurans berkelompok akan dicadangkan bagi mengatasi masalah petani yang mengalami kerugian akibat pelbagai bencana terutamanya banjir, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) Datuk Mohd Sallehuddin Hassan.

Katanya sebelum ini, kementerian akan menggunakan tabung bencana membantu petani yang berdepan pelbagai masalah selepas bencana terutamanya banjir.

“Bagi tahun akan datang, kementerian bakal memperkenalkan insurans kelompok dan menilai kaedah mana yang lebih sesuai untuk insurans berkenaan.

“Kajian mengenai perkara berkenaan kini sudah di peringkat akhir perbincangan dan dijangka akan dibentangkan di Parlimen tahun hadapan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Agroprenuer Muda Jajahan Tumpat di sini, hari ini.

Mengulas mengenai program berkenaan, Mohd Sallehhuddin berkata MoA mensasarkan sekurang-kurangnya 1,000 peserta menyertai Program Agroprenuer Muda yang dijalankan kementerian itu.

“Ini satu usaha yang dilakukan kerajaan untuk menarik perhatian golongan belia menceburi bidang pertanian selain sebagai pengganti kepada mereka yang sudah berusia.

“Setakat ini, hanya 30 peratus golongan muda menceburi bidang pertanian dan kita mahu lebih ramai lagi memohon menyertainya,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Ambil insurans ketika ke luar negara – Wan Azizah

KUALA LUMPUR 1 OGOS: Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyarankan agar rakyat Malaysia mengambil insurans perjalanan ketika melancong ke luar negara bagi memudahkan urusan sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan orang ramai supaya memeriksa keadaan cuaca di negara yang ingin dilawati sebagai langkah keselamatan.

 

“Rakyat Malaysia yang hendak merancang sukan lasak perlu memeriksa cuaca,” katanya kepada pemberita di Masjid Ar Rahimah, Kampung Pandan di sini, semalam.

Wan Azizah berada di masjid itu bagi menziarahi jenazah Siti Nur Ismawida Ismail, 30, yang maut dalam kejadian gempa bumi di Lombok, Indonesia pada Ahad lepas. Jenazah dibawa pulang dari Lombok hari ini.

Timbalan Perdana Menteri tiba kira-kira pukul 6 petang dan menziarah keluarga mangsa sebelum menunaikan solat di masjid berkenaan.

Siti Nur Iesmawida dilaporkan terkorban dihempap runtuhan tembok bangunan dalam kejadian gempa bumi 6.4 skala Richter yang menggoncang wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok pada pukul 5.47 pagi Ahad.

Beliau berada di Indonesia kerana menyertai misi pendakian di gunung berapi Rinjani di Lombok Timur.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan Pusat patut dengar maklum balas rakyat sebelum naik tarif insuran kenderaan

SHAH ALAM 8 FEB: Kerajaan Pusat patut mendapatkan maklum balas dari rakyat terlebih dahulu mengenai kenaikan tarif insurans kenderaan sebelum keputusan kelulusan itu diperolehi.

Mantan Timbalan Gabenor Bank Negara, Dr Rosli Yaakop, berkata satu konsultan pengguna berkenaan isu ini perlu diwujudkan bagi memberi penerangan mengenai kenaikan kadar itu.

kenderaanKatanya, kenaikan tarif insurans kenderaan terus membebani rakyat apabila Bank Negara Malaysia (BNM) telah meluluskan pelarasan kadar baharu dengan anggaran peningkatan sekitar RM2 hingga RM23.

“Rakyat hanya membayar insurans kenderaan pada setiap tahun tetapi sebagai pengguna tindakan tidak memaklumkan kepada mereka berhubung cadangan kenaikan tarif adalah suatu yang tidak wajar.

“Perkara ini telah lama berlaku, apabila berlakunya kenaikan tarif insurans kenderaan ia hanya dilaporakan dalam akhbar dan itu pun setelah mendapat kelulusan,” katanya dipetik Harakah Daily.

Dr Rosli YaakopJelas Dr Rosli lagi, situasi sekarang BNM hanya menghantar notis pelarasan itu kepada Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) sahaja sedangkan rakya tidak mendapat apa-apa notis makluman.

“Setiap tahun tidak ada pengurangan apabila rakyat memperbaharui insurans kenderaan mereka, walaupun hanya tempoh setahun sekali tetapi ia turut membebani rakyat.

“Kita tahu pemilik kenderaan sentiasa mengharapkan kadar bayaran insurans mereka berkurangan setiap tahun tetapi itu tidak pernah berlaku sebaliknya mereka tetap membayar pada kadar yang sama,” kata beliau.

Beliau berkata, Kerajaan Pusat dan BNM perlu mencari mekanisma di mana sebelum cadangan kenaikan tarif dilakukan, rakyat perlu dimaklumkan agar mendapat maklum balas daripada mereka.

“Pandangan rakyat perlu diambil kira, dan mereka tidak perlu dibebankan demi kepentingan syarikat insurans dalam negara ini,” kata beliau yang merupakan pakar ekonomi.

BNM melalui satu laporan mengatakan kadar tarif baharu itu akan berkuatkuasa pada 15 Februari ini ke atas setiap kenderaan baharu yang dibeli atau insurans yang diperbaharui semula.

Pelarasan itu merupakan kali ketiga sejak 2012, selepas BNM membenarkan peningkatan premium setiap tahun antara 2012 hingga 2015.

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tarif Insurans Kenderaan Naik Mulai Esok

INSURANS NAIK 01

SHAH ALAM, 14 FEB: Pemilik kenderaan di seluruh negara bakal berhadapan kenaikkan tarif insurans kenderaan bermula esok 15 Februari 2013.

Penstrukturan ini akan melibatkan motosikal, kereta, bas dan teksi dan setiap kenaikan adalah berbeza mengikut risiko kemalangan kenderaan terbabit melalui kriteria rekod kemalangan serta keadaan kenderaan semasa.

Wartawan Tv Selangor menghubungi beberapa ejen insurans bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung berita berkenaan.

Berdasarkan maklumat yang diberi kenaikan ini sebanyak RM12 bagi setiap RM1,000 nilai insurans yang dibayar pengguna.

Bagaimanapun kenaikan ini bergantung kepada syarikat insurans sama ada akan menaikan esok ataupun syarikat boleh menangguhkan sehingga Mac depan.

Kenaikan secara berperingkat sehingga tahun 2015 bermula pada tahun 2012 dan ini merupakan tahun kedua kenaikan ini berlaku

Berdasarkan laporan beberapa media pada Februari 2011, perkara ini pernah diumumkan sendiri oleh Penolong Gabenor Bank Negara, Abu Hassan Alshari.