Categories
AGAMA EKONOMI NASIONAL

Invest Selangor kekal yakin dengan prospek ekonomi 2022

SHAH ALAM, 1 DIS: Invest Selangor Bhd, cabang pelaburan kerajaan negeri Selangor kekal optimistik tetapi berhati-hati terhadap prospek ekonomi negeri untuk 2022.

Ketua pegawai eksekutifnya Datuk Hasan Azhari Idris berkata ini kerana Covid-19 telah membawa banyak cabaran baharu khususnya kepada rantaian bekalan kebanyakan industri.

“Bekalan terhad bahan mentah, alat ganti dan komponen terutamanya dalam industri elektrik dan elektronik telah menghalang penghantaran tempahan baharu banyak barangan elektronik di seluruh dunia.

“Bagaimanapun kami kekal positif tetapi berhati-hati dalam mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negeri bagi 2022,” katanya kepada Bernama hari ini.

Hasan Azhari berkata Selangor adalah penyumbang terbesar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia, menyumbang secara purata 24 peratus setahun.

Justeru, kata beliau pertumbuhan ekonomi negeri memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan.

Tahun lepas, negeri itu merekodkan pertumbuhan ekonomi lebih perlahan sebanyak 2.09 peratus di tengah-tengah penguncupan KDNK negara keseluruhan sebanyak 5.6 peratus disebabkan oleh pandemik dan perintah kawalan pergerakan.

Hasan Azhari berkata meskipun di sebalik situasi pandemik bermula pada awal 2020, Selangor berjaya memperoleh tempat teratas sebagai destinasi pelaburan terbaik Malaysia untuk sektor pembuatan, dengan jumlah pelaburan bernilai RM18.4 bilion tahun lepas.

“Untuk 2021, sasaran awal kami untuk pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan dan pembuatan ialah RM12 bilion.

“Bagaimanapun, kami telah menilai semula (sasaran) ini kerana ketidakpastian pandemik, penyebaran varian baharu dan sekatan berpanjangan dalam aktiviti ekonomi serta perjalanan telah banyak menjejaskan. rancangan kami untuk 2021.

“Kami berharap keadaan akan semakin baik pada tahun 2022 dan kami akan dapat merancang aktiviti penglibatan dan promosi kami dengan lebih baik,” kata Hasan Azhari.

Baru-baru ini Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Selangor merekodkan nilai pelaburan lebih tinggi sebanyak RM4.64 bilion dari Januari hingga Jun 2021 berbanding RM3.39 bilion pada separuh pertama 2020.

Jumlah projek pembuatan yang diluluskan  pula sebanyak 122, sama seperti tahun lepas.

Amirudin berkata, sebanyak 9,179 pekerjaan telah diwujudkan dalam tempoh separuh pertama tahun ini manakala pelaburan tempatan dan asing masing-masing meningkat kepada RM4.06 bilion dan RM576.98 juta.

Jumlah itu meningkat berbanding 5,001 pekerjaan diwujudkan, RM1.82 bilion pelaburan tempatan dan RM1.55 bilion pelaburan asing pada separuh pertama 2020 .

– BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Invest Selangor bantu peniaga F&B tembusi pasaran tempatan, Asean

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Invest Selangor Berhad bersama tiga pasar raya membawa produk usahawan makanan dan minuman (F&B) menembusi pasaran tempatan dan Asia Tenggara.

Pasar raya itu ialah AEON CO (M) Sdn Bhd, Lulu Group Retail Malaysia dan ST Rosyam Mart Sdn Bhd melalui Program Pembeli Pasar Raya 2021, yang julung kali diperkenalkan.

EXCO perdagangan dan perindustrian berkata usaha itu bagi membantu peniaga sektor terbabit menjadi pembekal selain memiliki jaringan dalam pasaran antarabangsa.

“Program ini juga menunjukkan Selangor bersedia memasuki pasaran antarabangsa dengan meluaskan pasaran produk keluaran tempatan,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Sebelum itu, beliau menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama antara Invest Selangor bersama ketiga-tiga pasar raya terbabit di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Chang Khim berkata pasar raya terbabit bertanggungjawab ke atas prestasi pembekal sebaik sahaja kontrak jualan dan pembekalan ditandatangani.

“Pasar raya berkenaan juga dikehendaki memberi maklum balas mengenai prestasi pembekal kepada Invest Selangor secara berkala,” katanya lagi.

Ekspo Antarabangsa Selangor (makanan dan minuman) sebahagian program Sidang Kemuncak Perniagaan (SIBS) 2021 selama empat hari mulai 18 November, yang berlangsung secara hibrid.

Sebanyak RM11 juta diperuntuk meliputi pembangunan dan penyelenggaraan portal perniagaan, selain pemasaran dan pembangunan bagi sembilan acara utama.

Acara diadakan termasuk Persidangan Perniagaan Asean Selangor, Konvensyen Digital Ekonomi dan Bandar Pintar Selangor serta Ekspo Selangor Penyelidikan dan Pembangunan dan Inovasi 2021.

Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

500 pempamer sertai sidang perniagaan, sasar 10,000 pengunjung

SHAH ALAM, 16 NOV: Invest Selangor Berhad menyasarkan 10,000 pengunjung ke Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 selama empat hari mulai Khamis.

Bakal disertai 500 pempamer, cabang pelaburan negeri itu mengingatkan orang ramai untuk mendaftar awal susulan kehadiran terhad selain perlu lengkap dos vaksin.

“Pempamer luar negara juga perlu mengikuti peraturan bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),” kata Unit Komunikasi Korporatnya ketika dihubungi.

SIBS 2021 berlangsung antara 18 hingga 21 November secara hibrid di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan bakal dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sebanyak RM11 juta diperuntuk meliputi pembangunan dan penyelenggaraan portal perniagaan, selain pemasaran dan pembangunan bagi sembilan acara utama.

Sidang kemuncak itu menampilkan lima pameran berlainan selain tiga persidangan antarabangsa dengan penglibatan sekurang-kurangnya 150 peserta bagi setiap acara.

Selangor menjadi negeri pertama menganjur dan memimpin sidang tersebut secara maya pada 14 hingga 17 Oktober tahun lalu dengan mengumpulkan pemain industri utama.

Acara diadakan termasuk Ekspo Antarabangsa Selangor (makanan dan minuman), Persidangan Perniagaan Asean Selangor, Konvensyen Digital Ekonomi dan Bandar Pintar Selangor.

Categories
AGENSI SELANGOR

Invest Selangor peruntuk RM11 juta jayakan sidang perniagaan 2021

SHAH ALAM, 17 OKT: Invest Selangor Bhd, cabang pelaburan oleh Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM11 juta untuk keseluruhan pembangunan dan pengurusan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2021 (SIBS 2021) yang akan bermula secara hibrid – maya dan fizikal, pada 18 hingga 21 Nov ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Hasan Azhari Idris berkata peruntukan itu merangkumi, antaranya pembangunan dan penyelenggaraan portal perniagaan, selain pemasaran dan pembangunan bagi sembilan acara utama dan acara yang diadakan secara serentak pada SIBS 2021.

“Tujuan utama kami menganjurkan SIBS pada tahun ini adalah untuk membantu usahawan dan komuniti perniagaan kita memulakan semula perniagaan dan aktiviti rangkaian mereka selepas kawalan pergerakan selama kira-kira satu setengah tahun.

“Memandangkan Selangor sering dilihat sebagai enjin ekonomi Malaysia, kami berasa perlu untuk memainkan peranan dalam menyediakan peluang seumpama ini kepada mereka,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurutnya, peruntukan itu turut meliputi pengiklanan dan promosi, sewaan dewan besar, dewan persidangan dan pameran dan lain-lain lagi.

Katanya, sidang kemuncak perniagaan serantau itu akan menampilkan lima pameran berlainan dengan lima pengkhususan berbeza dan menurutnya Invest Selangor menjangka kira-kira 500 pempamer akan menyertai pameran tersebut.

Selain itu, beliau berkata Invest Selangor akan menganjurkan tiga persidangan antarabangsa dengan penglibatan sekurang-kurangnya 150 peserta bagi setiap acara.

Selain pameran dan persidangan, Hasan Azhari berkata SIBS 2021 akan turut mengadakan pertandingan chef antarabangsa yang disertai chef daripada Persatuan Chef Profesional, kolej kulinari dan institusi pengajian tinggi.

Menurutnya, memandangkan SIBS 2021 adalah acara hibrid, pameran dan persidangan itu akan turut melibatkan wakil maya mereka di portal perniagaan www.selangorbusinesshub.my.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tumpu sektor aeroangkasa, peluang kerja rakyat tempatan

SHAH ALAM, 13 OKT: Peluang kerja dalam sektor aeroangkasa, pengilangan dan elektronik untuk rakyat tempatan antara tumpuan Jelajah Selangor Bekerja 2021 hujung bulan ini.

Bakal dianjurkan secara hibrid, senarai syarikat terlibat dalam program itu sedang dikenal pasti Invest Selangor Berhad selaku penganjur bersama, kata ketua pegawai eksekutifnya.

“Kalau kita lihat sekarang kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing, jadi kita harap rakyat tempatan ambil peluang yang selama ini dimonopoli golongan itu,” kata Dato’ Hasan Azhari Idris.

Beliau bercakap pada pelancaran Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Hasan berkata pihaknya juga akan menganjurkan Pameran Penerbangan Selangor 2021 di Subang SkyPark Regional Aviation Centre mulai 25 hingga 27 November.

“Kita akan bekerjasama dengan pengurusan sumber manusia dan majikan sektor aeroangkasa untuk buka peluang pekerjaan,” katanya lagi.

Agensi penggalak pelaburan negeri itu buat julung kalinya bekerjasama dalam jelajah enam siri bermula 23 Oktober hingga 27 November.

Berikut tarikh dan lokasi jelajah:

1. Dewan Jubli Perak, Pejabat SUK Selangor (23 Oktober)

2. Stadium Tertutup, Kuala Selangor (30 Oktober)

3. Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu (6 November)

4. Dewan Demesne, Hulu Langat (13 November)

5. Dewan Meranti, Paya Jaras (20 November)

6. Dewan Jubli Perak, Pejabat SUK Selangor (27 November)

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SELANGOR

Pameran Penerbangan Selangor 2021 dianjak ke November

SHAH ALAM, 22 JUN: Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2021 yang dijadual berlangsung pada Ogos ini akan dianjak ke 25 hingga 27 November, umum Invest Selangor Berhad (Invest Selangor).

Agensi penggalakan pelaburan asing dan domestik itu memaklumkan penjadualan semula pameran berikutan sekatan pergerakan susulan keadaan semasa wabak Covid-19 di negara ini.

“Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penangguhan SAS 2021 ini adalah usaha berjaga-jaga bagi memastikan pameran diadakan selamat kepada semua peserta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pameran julung kali itu sepatutnya berlangsung pada 12 hingga 14 Ogos di Skypark Subang dengan menyasarkan sebanyak 30 pempamer serta 5,000 pelawat.

Pada 30 Oktober tahun lalu, Dato’ Menteri Besar berkata SAS 2021 mengalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan menyediakan platform kepada syarikat tempatan serta usahawan industri kecil dan sederhana meneroka bidang itu.

Amirudin berkata inisiatif itu seiring sasaran Selangor sebagai pemain utama aeroangkasa menjelang 2030.

Usaha itu diperkukuh menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Aeroangkasa yang dikendalikan Pejabat Koordinasi Industri Angkasa Selangor Darul Ehsan (S-DAICO).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Usaha Invest Selangor lancar pelan antirasuah wajar dicontohi

SHAH ALAM, 26 MAC: Syarikat atau agensi di negeri ini disaran mencontohi inisiatif Invest Selangor Berhad yang melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2021-2023.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor berkata OACP membantu syarikat menangani isu dalaman berkaitan kelemahan integriti, tadbir urus dan ketirisan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Invest Selangor kerana menjadi anak syarikat Kerajaan Negeri pertama melancarkan OACP.

“Rasuah berlaku di mana sahaja, cuma bagaimana kita harus bertindak atau menyekat isu ini berlaku,” kata Datuk Alias Salim selepas menyaksikan Majlis Melafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) semalam.

Beliau berkata OACP merupakan pelengkap kepada IBR sebagai usaha mencegah rasuah dalam semua organisasi di peringkat persekutuan atau negeri.

Terdahulu Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris mengetuai 66 kakitangan melafaz dan menandatangani IBR.

Invest Selangor turut melancarkan OACP 2021-2023 ke arah menjadi organisasi korporat cekap, bertanggungjawab serta amanah.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor sasar pelaburan sektor perkilangan RM12 bilion

SHAH ALAM, 25 MAC: Invest Selangor Berhad menyasarkan pelaburan sektor perkilangan berjumlah RM12 bilion pada tahun ini.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata unjuran itu mengambil kira langkah berhati-hati pelabur luar dan domestik susulan impak Covid-19 yang belum berakhir.

“Banyak syarikat memperlahankan perancangan untuk menambah nilai pelaburan, kita jangka keadaan in berlarutan sehingga tahun depan.

“Namun tahun lepas pun kita sasar nilai pelaburan sektor perkilangan berjumlah RM12 bilion tetapi kita capai RM18.4 bilion,” kata Dato’ Hasan Azhari Idris.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Melafazkan dan Menandatangani IBR yang disaksikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Datuk Alias Salim.

Pada tahun lepas Selangor berjaya menarik jumlah pelaburan tertinggi sebanyak RM38.7 bilion daripada jumlah keseluruhan RM164 bilion.

Sejumlah RM18.4 bilion daripada jumlah itu melibatkan sektor perkilangan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kakitangan Invest Selangor lafaz ikrar, lancar pelan anti rasuah

SHAH ALAM, 25 MAC: Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Dato’ Hasan Azhari Idris mengetuai 66 kakitangan melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.

Beliau berkata selaku organisasi penggalakan pelaburan, semua kakitangan perlu mengamal serta mengekalkan tahap integriti sekali gus menjadi contoh kepada syarikat lain.

“Invest Selangor menjadi cermin kepada Kerajaan Negeri kerana syarikat ini berurusan dengan pelabur, justeru pegawai dan kakitangannya perlu menonjolkan amalan murni.

“Kita tidak mahu lafaz IBR hanya di bibir sahaja, sematkan dalam hati untuk menolak rasuah serta salah guna kuasa,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Melafazkan dan Menandatangani IBR yang disaksikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Datuk Alias Salim.

Pada majlis sama, Invest Selangor turut melancarkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) 2021-2023, menjadi anak syarikat pertama Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif itu.

OACP bertujuan menangani kelemahan urus tadbir, integriti dan rasuah dalam kalangan warga Invest Selangor ke arah menjadi organisasi korporat cekap, bertanggungjawab serta amanah.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pemain utama aeroangkasa dipelawa sertai Pameran Penerbangan Selangor

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) menjemput semua pemain utama industri aeroangkasa menyertai Pameran Penerbangan Selangor (SAS) pada Ogos ini.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata syarikat terbabit seperti Dassault, Gulfstream, Bell Textron, Leonardo Helicopters, Airbus, Asia Jet dan Systematic Aviation Services.

“Kita berharap syarikat atau pempamer dijemput dapat menyertai SAS. Sama-sama kita berdoa semoga kes Covid-19 terus menurun bagi memastikan perancangan berjalan lancar.

“SAS penting ke arah merealisasikan Serendah, Subang dan Sepang (3S) sebagai kawasan perindustrian khusus aeroangkasa,” kata Dato’ Hasan Azhari Idris pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran SAS 2021 hari ini.

Invest Selangor selaku agensi penggalakan pelaburan asing dan domestik buat julung kali menganjurkan pameran dijadual berlangsung pada 12 hingga 14 Ogos di Skypark Subang menyasarkan sebanyak 30 pempamer serta 5,000 pelawat.

Pada 30 Oktober tahun lalu, Dato’ Menteri Besar berkata SAS 2021 mengalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan menyediakan platform kepada syarikat tempatan serta usahawan industri kecil dan sederhana meneroka bidang itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu seiring sasaran Selangor sebagai pemain utama aeroangkasa menjelang 2030.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor sasar kuasai 70 peratus industri aeroangkasa

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Invest Selangor Bhd menyasarkan 70 peratus daripada keseluruhan syarikat aeroangkasa di Malaysia beroperasi di negeri ini menjelang hujung tahun.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata pelaksanaan Pelan Tindakan Aeroangkasa yang dikendalikan Pejabat Koordinasi Industri Angkasa Selangor Darul Ehsan (S-DAICO) mempercepat sasaran tersebut.

“Penganjuran Pameran Penerbangan Selangor (SAS) pada Ogos ini juga memberi peluang pemain industri menjalin usaha sama dalam bidang pembuatan, penyelenggaraan, pembaikan dan pelbagai lagi.

Dato’ Teng Chang Khim (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris (dua, kanan depan) bergambar bersama penaja selepas melancarkan Selangor Aviation Show 2021 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 22 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Meskipun pelaburan industri ini agak perlahan pada tahun lalu tetapi kita yakin sektor aeroangkasa kembali meningkat bermula tahun ini,” kata Dato’ Hasan Azhari Idris pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran SAS 2021 hari ini.

Pada 18 Mei tahun lalu, Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak 62 peratus syarikat aeroangkasa beroperasi di Selangor dan jumlah tersebut dijangka meningkat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata skop utama sektor aeroangkasa adalah penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih; pembuatan; sistem integrasi; kejuruteraan dan reka bentuk serta pendidikan dan latihan.

Menjelang 2030, aktiviti pembuatan aeroangkasa di Malaysia mengunjurkan pendapatan RM21.2 bilion, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (RM20.4 bilion) manakala kejuruteraan dan reka bentuk (RM13.6 bilion).

S-DAICO membantu syarikat aeroangkasa mengumpul maklumat, khidmat nasihat, peluang pelaburan serta menyelaras dan memantau projek sekaligus menjadikan negeri ini destinasi pelaburan utama.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor lulus pelaburan sektor pembuatan RM17 bilion pada 2019

RAWANG, 9 OKT: Sejumlah RM17 bilion nilai pelaburan sektor pembuatan diluluskan tahun lalu di Selangor, tertinggi dalam negara.

Ketua pengarah eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) berkata nilai itu merangkumi 315 projek dan mewujudkan 21,085 peluang pekerjaan.

“Pelaburan domestik dan luar negara menjadi kejayaan ekonomi Selangor sekali gus menawarkan peluang pekerjaan yang menjamin penduduk negeri ini,” kata Dato’ Hassan Azhari Idris ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Hab Pengedaran Berpusat Daikin Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, pelbagai inisiatif dilakukan Kerajaan Selangor bagi menarik pelabur dan meyakinkan mereka negeri ini destinasi tepat pada peringkat pasaran tempatan serta global.

“Ini termasuk tumpuan terhadap pengurusan proses permohonan bagi memudahkan urusan pelabur yang ditambah baik dan dipermudahkan,” kata beliau lagi.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Selangor menyumbang 24.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019, kekal tertinggi dalam tempoh beberapa tahun.

Beliau berkata angka tersebut meningkat 0.5 peratus berbanding 23.7 peratus yang dicatatkan dalam tempoh sama, dua tahun lalu.