Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL

Invest Selangor giat adakan sesi perkongsian, tarik pelabur

ISKANDAR PUTERI, 25 SEPT: Invest Selangor Bhd, agensi penggalakan pelaburan langsung asing dan domestik bagi Selangor, kini giat mengadakan sesi perkongsian dan jalinan dengan penggiat industri di negara ini sekali gus menarik pelabur tempatan ke negeri berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Hasan Azhari Idris berkata sejajar ketidaktentuan iklim ekonomi akibat pandemik Covid-19, program sedemikian turut menjadi pendekatan baharu dalam menjalin hubungan antara para pemain industri Selangor dan di serata negara ini.

“(Menerusi program itu) Invest Selangor berkongsi inisiatif-inisiatif Kerajaan Negeri Selangor khususnya Hab Perniagaan Selangor (SBH) yang menyediakan platform rangkaian maya bagi membolehkan komuniti perniagaan berhubung tanpa kehadiran fizikal,” katanya kepada Bernama selepas program ‘Selangor Initiatives and Opportunities’ (Inisiatif dan Peluang di Selangor) di sini, baru-baru ini.

Program sehari hasil kerjasama dengan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Johor itu disertai seramai 40 pemain industri di bawah naungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Johor Bahru (JBCCI).

Johor adalah negeri kedua program itu selepas Sabah pada awal tahun ini dan seterusnya di Pulau Pinang pada 29 September 2020.

Mengulas selanjutnya, Hasan Azhari berkata SBH merangkumi tiga komponen utama iaitu Program Promosi Pelaburan Invest Selangor – portal hos semua webinar dan persidangan maya anjuran Invest Selangor dan mesyuarat maya dengan rakan kongsi yang berpotensi atau para pelabur di seluruh rantau ini.

Komponen kedua adalah Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor secara maya yang juga alternatif dalam talian bagi Sidang Kemuncak Tahunan Perniagaan Antarabangsa Selangor meliputi Ekspo Antarabangsa Selangor, Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor dan Bandar Pintar Selangor serta Konvensyen Ekonomi Digital.

Menurutnya, komponen ketiga adalah Hab Maya Majlis Teknologi Maklumat dan e-dagang Selangor (SITEC) iaitu hab maklumat dan webinar program majlis itu bagi mengembangkan capaiannya merangkumi khalayak antarabangsa.

“Selain itu pada program perkongsian ini, Invest Selangor memaklumkan peserta mengenai inisiatif pembangunan industri halal di Selangor seperti membantu usahawan menuju ke arah Pensijilan Halal Malaysia termasuk menerusi kelas bimbingan.

“Kita juga berkongsi usaha meningkatkan ekosistem keusahawanan seperti mendapatkan bantuan dana dan membantu mereka beralih kepada sistem digital khususnya memulakan perniagaan menerusi platform e-dagang Lazada dan Shopee,” katanya.

Malah, ini termasuk kejayaan kempen Selangor e-Bazaar Raya bersama Shopee pada Mei-Jun lepas yang membantu kira-kira 6,400 usahawan baharu menyertai Shopee.

Hasan Azhari juga menyifatkan Selangor mempunyai tarikan sebagai destinasi perniagaan di negara ini didorong oleh faktor seperti mencatat pertumbuhan 6.7 peratus tahun lepas, dilengkapi infrastruktur seperti pelabuhan dan lapangan terbang serta modal insan dan sumber tenaga mahir.

Ini turut membantu merealisasikan visi Selangor sebagai negeri pintar menjelang 2025, katanya.

“Negeri ini turut melahirkan kira-kira 66,000 graduan setahun menerusi lebih 160 institusi pengajian tinggi awam, swasta, kolej serta pusat latihan industri. Secara umumnya, Selangor mempunyai ekosistem industri yang lebih baik berbanding negeri lain

“Pada program kali ini misalnya, peserta yang hadir agak kagum dengan perkongsian berhubung landskap pelaburan kita, inisiatif dan peluang yang ada serta bagaimana mengukuhkan rangkaian perniagaan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA AGENSI SELANGOR

Invest Selangor kenal pasti kawasan industri baharu

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Invest Selangor Bhd kini dalam proses menukar status beberapa kawasan di Selangor yang berpotensi dibangunkan sebagai kawasan perindustrian yang baharu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Hasan Azhari Idris, beberapa kawasan dikenal pasti di daerah Klang, Kuala Langat dan Sepang dengan kerjasama pemaju swasta.

“Justeru itu, ini adalah masa yang terbaik untuk melakukan perancangan bagi menerima potensi kemasukan pelaburan baharu apabila ekonomi kembali pulih setelah pandemik Covid-19 berakhir,” katanya semasa program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.

Hasan Azhari berkata semua kawasan berkenaan dijangka mampu menampung permintaan industri berikutan kedudukan pintu masuk pelabuhan dan lapangan terbang yang strategik di negeri itu.

“Kita akan terus memposisikan Selangor sebagai destinasi perniagaan terulung di Malaysia dan tidak akan berhenti merencanakan peluang-peluang yang ada di sebalik cabaran Covid-19 ini,” ujar beliau.

Menyentuh mengenai kesiapsiagaan para usahawan Malaysia ke arah sektor e-dagang, Hasan Azhari berkata peningkatan yang ketara dapat dilihat dari segi penggunaan bagi keperluan survival setelah Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

“Sebagai contoh, negeri Selangor menyasarkan 5,000 usahawan menyertai program e-bazar pada bulan Ramadan yang lepas tetapi program itu berjaya menarik 8,400 usahawan dengan jualan mencecah lebih RM300 juta,” katanya.

Beliau turut berharap semua syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan untuk menerokai pasaran yang lebih luas melalui digitalisasi ekonomi.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Hab Perniagaan Selangor pacu pertumbuhan usahawan kecil

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Hab Perniagaan Selangor (SBH) bakal menjadi perintis untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh dunia dalam menjalinkan hubungan dengan komuniti perniagaan dan memacu pertumbuhan perniagaan mereka ketika tempoh pandemik Covid-19 ini.

Walaupun menghadapi sekatan dan sumber terhad semasa krisis tersebut, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata hab perniagaan itu memudahkan syarikat perniagaan di Selangor untuk berhubung dengan pihak berkepentingan selain daripada rakan niaga.

“Ini seiring dengan visi untuk menjadi negara pintar di Asean menjelang 2025 namun ia tidak akan menggantikan aktiviti fizikal pada masa depan kerana kita masih perlu menghadiri persidangan di luar negara dan bertemu orang ramai.

“Usaha ini membantu menambah aliran perniagaan ketika ini,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran SBH di sini hari ini.

Dato’ Teng Chang Khim berucap pada Majlis Perasmian Hab Perniagaan Selangor di Kuala Lumpur pada 11 September 2020. Foto Facebook Invest Selangor

Chang Khim berkata inisiatif itu dimulakan lima tahun lepas menerusi Ekspo Antarabangsa Selangor dan seterusnya diperluaskan ke Persidangan Perniagaan Asean Selangor, Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor serta Ekspo Inovasi, Penyelidikan dan Pembangunan Selangor.

“Kami menggabungkan keempat-empatnya dan menjenamakan semula sebagai Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (Selangor International Business Summit). Justeru, tiada penganjuran diadakan tahun ini kerana penularan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata inisiatif itu dilakukan secara maya bersama-sama dengan penubuhan SBH, satu lagi inisiatif pendigitalan oleh Invest Malaysia.

“Semua maklumat tersedia dalam talian untuk mereka dan kami berharap dapat memperluaskan aktiviti kami di sana. Oleh itu, kami berharap dapat maklum balas daripada PKS untuk menambah baik hab itu,” katanya.

Chang Khim juga berharap lebih banyak PKS memanfaatkan peluang itu melalui SBH untuk meneruskan perniagaan mereka ketika ini, mencari rakan kongsi baharu atau mewujudkan perniagaan baharu pada waktu yang mencabar ini.

SBH terdiri daripada tiga komponen utama yang merangkumi Program Promosi Pelaburan Invest Selangor, sebuah portal yang menganjurkan semua persidangan secara maya, webinar yang dianjurkan oleh Invest Selangor dan pertemuan maya dengan rakan kongsi atau pelabur yang berpotensi di seluruh rantau ini.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Invest sasar 3,000 syarikat sertai hab niaga dalam masa setahun

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Invest Selangor Bhd menyasarkan 3,000 perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menyertai inisiatif pendigitalan yang baharu dilancarkannya, Hab Perniagaan Selangor dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Hasan Azhari Idris berkata hab itu akan menyediakan platform rangkaian maya untuk perniagaan di negeri ini dan membendung penguncupan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Hab Perniagaan Selangor dijangka menyediakan satu lagi saluran komunikasi kepada perniagaan untuk turut serta dan menjalin rangkaian dengan pihak yang berkepentingan, khususnya di rantau ini, walaupun wujud sekatan pergerakan akibat pandemik itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan hab itu di sini hari ini.

Beliau berkata hampir 300 PKS dari 10 negara telah mendaftar dan membuka reruai pameran maya di hab berkenaan.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata inisiatif itu menunjukkan Selangor sentiasa mempunyai perancangan masa depan untuk memudahkan peralihan PKS menjalankan perniagaan dalam norma baharu.

“Selangor tidak berdiam diri dan menunggu krisis ini berakhir. Kami bercadang meningkatkan rantaian nilai, menerajui pendekatan untuk keluar daripada pandemik ini dengan menggunakan pendigitalan sebagai alat,” katanya dalam ucapan pembukaan.

Hab itu merangkumi tiga komponen.

Komponen pertama ialah Program Promosi Pelaburan Invest Selangor, portal yang menjadi hos kepada semua webinar dan persidangan maya anjuran Invest Selangor dan mesyuarat maya dengan rakan kongsi yang berpotensi atau para pelabur di seluruh rantau ini.

Komponen kedua ialah Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor secara maya yang merupakan format alternatif dalam talian bagi Sidang Kemuncak Tahunan Perniagaan Antarabangsa Selangor, merangkumi Ekspo Antarabangsa Selangor, Persidangan Perniagaan Asean Selangor dan Bandar Pintar Selangor dan Konvensyen Ekonomi Digital.

Komponen ketiga ialah Hab Maya Majlis Teknologi Maklumat dan e-dagang Selangor, hab maklumat dan webinar bagi program yang dijalankan oleh majlis itu bagi mengembangkan capaiannya kepada audiens antarabangsa.

Teng berkata inisiatif itu bersesuaian dengan Selangor untuk mencapai visinya sebagai negeri pintar yang utama di Asean menjelang 2025.

“Kira perlu menerima realiti bahawa pandemik ini telah mewujudkan kesan domino kepada ekonomi Asean serta di seluruh dunia.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri akan terus memudahkan dan membantu syarikat-syarikat di Selangor ketika ketidaktentuan ini untuk mengekalkan kehadiran mereka di negeri ini dan mengembalikan keyakinan mereka,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Invest Selangor lancar platform digital mudahkan rujukan pelabur

SEPANG, 24 OGOS: Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) melancar platform digital bulan depan bagi memudahkan pelabur merujuk industri ekonomi negeri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Hassan Azhari Idris berkata platform itu memudahkan pelabur tempatan dan luar negara mendapat maklumat.

“Selepas penularan Covid-19, Invest Selangor lebih memilih konsep maya untuk sebarang urusan termasuk promosi menarik pelabur tempatan dan asing,” katanya ketika menyertai lawatan Dato’ Seri Amirudin Shari ke kilang sarung tangan getah, Hartalega NGC Sdn Bhd semalam.

Tahun lalu, Selangor mencatatkan pelaburan tertinggi dengan nilai RM47.8 bilion diikuti Pulau Pinang (RM33.7 bilion), Johor (RM24.4 bilion) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM21.6 bilion).

Semua negeri itu menyumbang lebih 60 peratus daripada keseluruhan jumlah pelaburan yang diluluskan untuk 2019.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Ikut norma baharu, Invest Selangor anjur seminar secara maya

SHAH ALAM, 27 JUN: Invest Selangor Berhad bakal menganjurkan seminar secara maya membabitkan sektor pengangkutan, mesin dan kelengkapan, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Dato’ Hasan Azhari Idris berkata seminar mengikut norma baharu menyasarkan penyertaan antara 500 hingga 1,000 pemain industri tempatan dan antarabangsa.

“Selepas ini Invest Selangor perlu lakukan lebih banyak pendekatan secara maya dan kita menggiatkan kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia untuk merancakkan ekonomi negeri dan negara” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Invest Selangor Berhad dan Industri Aeroangkasa Malaysia di Bangunan SUK semalam.

Pada 9 Jun lalu, Selangor menetapkan semua ekspo, seminar dan mesyuarat pelaburan dilaksanakan dalam talian selepas promosi pelaburan tempatan dan luar negara dibatalkan susulan Covid-19.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim turut menyarankan penilaian semula penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) pada Oktober.

SIBS 2020 dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 14 hingga 17 Oktober meliputi Ekspo Antarabangsa Selangor, Konvensyen Bandaraya Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Persidangan Perniagaan Selangor-ASEAN serta Ekspo R&D dan Inovasi Selangor.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL

MB: Pelan pemulihan ekonomi rancakkan industri aeroangkasa

SHAH ALAM, 26 JUN: Pelan pemulihan ekonomi bakal dibentang dalam tempoh terdekat bagi merancakkan industri aeroangkasa, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata rangsangan ekonomi dilakukan bagi mencapai sasaran Selangor menjadi pemain utama industri aeroangkasa global sepuluh tahun.

“Penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beri kesan besar kepada industri aeroangkasa sama ada dalam bidang perkhidmatan atau pembuatan.

“Walaupun kebanyakan sektor mula beroperasi namun proses pemulihan industri aeroangkasa masih perlahan contohnya kapal terbang tidak dapat bergerak dan jumlah penumpang juga menurun,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Exco Pelaburan, Perindustrian Dan Perdagangan, Industri Kecil Dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim di majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara Invest Selangor diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Hasan Azhari Idris dan Malaysia Aerospace Industry Association (MAIA) diwakili Presiden Naguib Mohd Nor di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam pada 26 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Invest Selangor Berhad dan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA).

Invest Selangor diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Hasan Azhari Idris manakala Naguib Mohd Nor mewakili MAIA.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri sedia mendapatkan pandangan pemain utama aeroangkasa dari semasa ke semasa bagi melindungi serta merancakkan sektor tersebut.

Selangor menyasarkan menjadi pemain utama industri aeroangkasa global pada 2030 menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Aeroangkasa yang dikendali Pejabat Koordinasi Industri Angkasa Selangor Darul Ehsan (S-DAICO).

Menjelang 2030, aktiviti pembuatan aeroangkasa di Malaysia mengunjurkan pendapatan RM21.2 bilion, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (RM20.4 bilion) manakala kejuruteraan dan reka bentuk (RM13.6 bilion).

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Invest Selangor yakin lebih banyak pelaburan dari China

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Invest Selangor Bhd yakin minat pelaburan dari China di Malaysia semakin meningkat pada tahun ini, khususnya di Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hasan Azhari Idris berkata, hal itu ekoran konflik perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS).

“China adalah pelabur utama Selangor dengan nilai pelaburan RM3.93 bilion pada 2018, terutama dalam industri pembuatan seperti produk dan kertas logam asas, diikuti Jepun dengan RM435.6 juta dalam industri semikonduktor, automasi kilang, industri automotif dan makanan.

“China mungkin akan mengekalkan kedudukannya sebagai pelabur teratas (di Selangor) untuk tahun ini, dan memindahkan operasi mereka kerana negara itu kini mempunyai pertikaian perdagangan dengan AS,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian di luar sesi taklimat Siri Pelaburan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA): Membuka Potensi Perniagaan Di Negeri oleh agensi Kerajaan Selangor.

Pada tahun ini, Kerajaan Selangor menyasarkan untuk mencapai jumlah keseluruhan pelaburan RM10 bilion.

“Kami berada di landasan betul untuk mencapai sasaran ditetapkan Kerajaan Negeri. Ketika ini, kami hanya mendapat data dikeluarkan MIDA untuk suku pertama 2019 (dari Januari hingga Mac) dan berdasarkan kepada angka itu, ya, masih banyak lagi perlu dilakukan.

“Tetapi biasanya, kita dapat melihat kenaikan pada separuh kedua, jadi saya percaya kita dapat mencapai sasaran,” katanya sambil menambah kerajaan memberi tumpuan kepada lima kluster teknologi tinggi iaitu jentera dan peralatan, pengangkutan dan peralatan, sains hayat, makanan dan minuman, serta elektrik dan elektronik.

Pada masa sama, Hasan Azhari berkata, Invest Selangor memperuntukkan RM10 juta lagi untuk menjalankan program berkaitan pelaburan di Selangor bagi separuh kedua dari Julai hingga Disember 2019.

“Peruntukan itu mungkin lebih sedikit kerana ada program tertentu membabitkan kos tinggi.

“Walaupun sebahagian daripada RM7.11 juta untuk tempoh Januari hingga Jun lalu, kesemuanya dibelanjakan untuk pelbagai aktiviti, bukan sahaja membabitkan misi pelaburan perdagangan tetapi semua program berkaitan seperti seminar, dialog, pameran perniagaan dan penerbitan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan pembukaan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman berkata, kerajaan terus menggiatkan usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan peringkat tinggi dan berkualiti ke semua negeri.

Katanya, ia dilaksanakan melalui pemberian insentif fiskal dan bukan fiskal bagi pelabur asing serta domestik.

“Bagi Selangor, sehingga Mac lalu, sejumlah 9,097 projek dengan pelaburan RM218.4 bilion diluluskan MIDA dalam sektor pembuatan, mewujudkan lebih 802,000 peluang pekerjaan.

“Selangor sememangnya salah satu lokasi pelaburan paling disukai untuk aktiviti pembuatan. Minat berterusan pelabur membolehkan Selangor mencatatkan tahap pelaburan semula yang luar biasa, iaitu 40.3 peratus,” katanya.

Beliau berkata dari 2010 hingga Mac 2019, sebanyak 902 atau 39.6 peratus daripada projek pembuatan diluluskan dalam aktiviti perluasan atau kepelbagaian, manakala pelaburan semula oleh pengeluar sedia ada menyumbang RM37.6 bilion atau 41.9 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan.

“Pencapaian ini tidak menghairankan kerana Selangor menempatkan lapangan terbang, pelabuhan, lebuh raya dan kemudahan lain yang terbesar dan paling canggih di negara ini.

“Selain infrastruktur dan kelebihan kesalinghubungan, Selangor juga boleh menarik masuk tenaga kerja yang sesuai dan berkemahiran dalam pelbagai bidang, berbakat dan fasih pelbagai bahasa,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Invest hargai kerjasama Media Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 APRIL: Invest Selangor menghargai jasa pengamal media khasnya Media Selangor yang banyak membantu misi syarikat berkenaan memajukan sektor pelaburan, di negeri ini.

Pengarah Komunikasi Korporat dan Perancangan Strategiknya, Sven Schneider berkata, sumbangan dan peranan kumpulan media termasuk dari SelangorKini serta TV Selangor itu membantu pengoperasian juga perkembangan dalam perniagaan yang diuruskan pihak mereka.

“Hubungan erat yang terjalin dengan media selama ini ternyata membantu kami memahami tuntutan semasa pasaran dan penjalin hubungan kami dengan masyarakat.

“Terima kasih kerana berusaha mempromosikan segala aktiviti yang dijalankan Invest Selangor selama ini, semoga kita dapat meneruskan kolobrasi ini pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Minum Petang Invest Selangor bersama kakitangan Corporation Communication Sdn Bhd (CCSB), di Kafe The View, i-City di sini, petang semalam

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif CCSB, Eddie Khodzali; Editor Kumpulan, Fathi Aris Omar dan Pengurus Komunikasi Korporat, Azrul Shah Mohamad serta hampir 20 kakitangan dari Media Selangor.

Invest Selangor adalah sebuah agensi hak milik penuh Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab sebagai pemudah cara dalam urusan berkaitan pelaburan, menyediakan maklumat dan menawarkan khidmat nasihat bagi pelaburan sedia ada serta yang berpotensi.

Manakala CCSB adalah anak syarikat di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor yang menjadi lidah rasmi Kerajaan Negeri dalam menyampaikan dasar dan agenda Dato’ Menteri Besar.

 

Categories
SELANGOR

Selangor bawa IR4.0 Halal Smart Kitchen ke Jepun

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 APR: Kerajaan Negeri menerusi Invest Selangor membawa Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) ‘Halal Smart Kitchen’ ke Pameran Pertunjukan Makanan Premium 2019 ‘Premium Food Show’ di Tokyo, baru-baru ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, inisiatif itu dilakukan bagi membolehkan Selangor menembusi pasaran makanan halal yang berpotensi ke Jepun.

“Langkah proaktif itu adalah kerjasama membabitkan Invest Selangor, Bangi Golf Resort Foodservice, Curetex Coperation, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Pelancaran IR4.0 Halal Smart Kitcheen ini juga dianggap bersejarah kerana buat pertama kalinya pensijilan halal oleh JAKIM menembusi pasaran Jepun,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau turut dijemput merasmikan Pavilion Malaysia di pameran berkenaan dan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Persefahaman (MoU) beberapa syarikat Malaysia dengan Jepun.

Sebelum ini Amirudin memberitahu, Kerajaan Negeri sentiasa bersiap sedia berdepan dengan IR4.0 sejak tahun lalu bagi mengelakkan dari terus ketinggalan.

Bermula tahun lalu, Kerajaan Negeri melaksanakan ikhtisas latihan teknikal dan pelbagai usaha lain berdepan dengan revolusi berkenaan.

 

Categories
SELANGOR

Invest Selangor komited rangka program depani IR4.0

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 DIS: Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) komited merangka beberapa program dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) bagi membuka peluang pekerjaan kepada belia.

Exco Pelaburan, Perindustrian Dan Perdagangan, Industri Kecil Dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, pelbagai program awalan telah dilaksanakan sebelum ini membabitkan IR4.0.

“Invest Selangor adalah sebahagian daripada IR4.0 diorganisasikan Pusat Pembangunan Tenaga Manusia Selangor (SHRDC), di mana ia menyediakan platform untuk industri dan syarikat IKS, pihak kerajaan serta akademik.

“Ia bertujuan mengadakan sesi dialog berhubung hala tuju, strategi dan cabaran akan dihadapi semua pihak berkenaan IR4.0 pada masa depan,” katanya

Beliau berkata demikian ketika membentangkan sesi soal jawab bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sijangkang, Dato’ Ahmad Yunus Hairi di Dewan Negeri Selangor, di sini, semalam.

Katanya, sebelum ini Kerajaan Negeri pernah melaksanakan pelbagai program berkaitan IR4.0 antaranya “Bavaria Industry 4.0 Workshop” yang diadakan di Istana Selangor dan “Malaysian Smart Factory 4.0”.

“Bagi memastikan institusi pendidikan bersedia mengharungi revolusi ini, Invest Selangor turut menghubungkan kerjasama antara Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Malaya.

“Pada masa sama, Invest Selangor juga mengadakan sesi dialog antara syarikat IKS yang mempunyai potensi seperti DreamEdge dan Robopreneur dengan universiti berkaitan,” katanya.

IR4.0 mencakupi penemuan pelbagai teknologi baru seperti automasi, Internet of Things (IoT), analisis dan ‘big data’, simulasi, integrasi sistem, penggunaan ‘robotic and cloud’ yang bakal merancakkan lagi kemajuan landskap dunia moden dan teknologi.

Categories
EKONOMI SELANGOR

JAIS, Invest Selangor bekerjasama bangunkan industri halal Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 NOV: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Invest Selangor menjalin kerjasama membangunkan Selangor Halal Industry Action Plan (SELHAP) bagi merancakkan pembangunan industri halal negeri itu.

Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, Halal Selangor mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan sebagai sumber baharu yang dapat menjana pertumbuhan ekonomi negara melalui strategi memperkasakan ekosistem halal sedia ada khususnya Pensijilan Halal Malaysia.

“Dalam tempoh terdekat ini, Selangor menyasarkan menjadi negeri pengeluar bahan ramuan halal untuk produk kosmetik dan farmaseutikal dalam memenuhi permintaan global.

“Pada Julai 2019 kelak, JAIS akan menganjurkan Festival Halal Selangor yang merupakan program dwi tahunan bertujuan mempromosikan syarikat pemegang Sijil Pengesahan Halal Selangor sekali gus memperkenalkan hasil produk industri dari Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Sempena Persidangan Persidangan Panel Pengesahan Halal Malaysia 2018 di Hotel Concorde di sini, malam tadi.

Mohd Amin berkata, JAIS kini menerima lima jenis skim permohonan daripada keseluruhan tujuh jenis skim yang dilaksanakan iaitu produk makanan dan minuman, premis makanan, kosmetik, barang gunaan dan rumah sembelihan.

Sementara itu pada majlis sama, JAIS turut meraikan dan memberi pengiktirafan kepada 60 pemain industri daripada keseluruhan 1,845 syarikat berdaftar dengan Pensijilan Halal Malaysia melalui JAIS.

“Mereka menunjukkan kecemerlangan dan komitmen mereka terhadap Pensijilan Halal Malaysia dan mereka ini adalah antara terpilih dan menunjukkan kompetensi serta pematuhan tinggi terhadap sistem pengurusan halal bermula di peringkat dalaman industri lagi,” katanya.