Categories
AGENDA NASIONAL

TI-M gesa kerajaan tambah baik polis

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Kumpulan antirasuah, Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa kerajaan untuk mengembalikan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pegawai yang rasuah dan melakukan pembaharuan dalam pasukan polis.

Presiden TI-M Muhammad Mohan berkata pembaharuan dalam pasukan itu perlu dilakukan secara dalaman mahupun luaran.

“Sekiranya krisis rasuah dan salah laku yang didedahkan Ketua Polis Negara (KPN) terbukti, perkara itu tidak boleh dianggap sebagai masalah dalaman dan hanya perlu diselesaikan mengikut pangkat pegawai terlibat,“ katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata suatu mekanisme pengawasan oleh sebuah badan yang benar-benar bebas daripada campur tangan politik yang mempunyai ‘kuasa” adalah penting untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai atau anggota pangkat rendah dalam polis.

Justeru, beliau menggesa kerajaan meluluskan Rang Undang Undang IPCMC dan bukannya Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC), versi yang lebih ‘ringan’ demi untuk melakukan pembaharuan dalam pasukan keselamatan itu.

Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador baru-baru ini mendedahkan bahawa terdapatnya gerakan dalam kalangan pegawai muda polis yang berusaha menjatuhkannya.

Beliau mendakwa bahawa kumpulan berkenaan berhasrat untuk menguasai pasukan polis untuk kepentingan peribadi, namun beliau memberi jaminan isu berkenaan terkawal dan dapat diselesaikan secara dalaman.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ketua Polis Negara tidak terkecuali siasatan IPCMC

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Semua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Ketua Polis Negara tidak terkecuali daripada pemakaian atau siasatan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata semua aduan salah laku diterima IPCMC terhadap Ketua Polis Negara akan disiasat di bawah Seksyen 24 suruhanjaya berkenaan, sama seperti aduan lain yang diterima terhadap mana-mana anggota polis.

“Setelah IPCMC selesai menjalankan siasatan dan sekiranya dapatan siasatan mendapati wujudnya salah laku, maka tindakan tatatertib boleh diambil terhadap Ketua Polis Negara melalui penubuhan suatu Lembaga Tatatertib Khas yang akan ditubuhkan Ketua Setiausaha Negara,” katanya dalam jawapan bertulis yang dipaparkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PAKATAN-Bukit Gelugor) yang meminta Perdana Menteri menyatakan sebab Ketua Polis Negara terkecuali daripada siasatan oleh IPCMC sepertimana dicadangkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) IPCMC 2019 yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

RUU IPCMC 2019 yang dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 18 Julai lepas, bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi meningkatkan integriti dan keupayaan PDRM.

IPCMC akan bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis.

RUU itu bagaimanapun dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk dibincang dengan lebih teliti sebelum dibawa semula ke Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dalam satu usul pagi tadi menyatakan RUU itu akan dibentang semula selewat-lewatnya sebelum persidangan selesai Disember ini.

Menjawab soalan Zahidi Zainul Abidin (BN-Padang Besar) yang mahu tahu status mengenai pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar (Akta 803), Mohamed Hanipa berkata RUU Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019 dijangka dibahas semasa sesi Dewan Negara pada Disember ini.

“Kerajaan komited untuk memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 (Akta 803) selaras dengan perubahan dasar kerajaan bahawa penyebaran berita tidak benar boleh ditangani melalui undang-undang sedia ada,” katanya.

Pada Oktober lalu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019 hasil undian belah bahagi, pembentangan kali kedua setelah percubaan kali pertama memansuhkan akta itu gagal apabila persidangan Dewan Negara menolak RUU Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 pada September tahun lalu.

Sebelum itu, RUU terbabit diluluskan persidangan Dewan Rakyat pada 16 Ogos 2018.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

RUU IPCMC dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dibincang dengan lebih teliti sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.

Perkara itu diputuskan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Arif Md Yusof sebaik diusulkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong selepas hangat dibincangkan dan dibahaskan lebih 20 ahli Parlimen selama hampir enam jam.

Sebelum keputusan itu, Liew memberitahu anggota dewan bahawa undang-undang itu tidak digubal secara tergesa-gesa bagi membuktikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghargai setiap pandangan yang diberikan oleh ahli Parlimen.

“Dalam Jawatankuasa Pilihan Khas ini bukan dianggotai oleh semua ahli Parlimen, hanya beberapa sahaja jadi mereka tidak dapat mewakilkan pandangan semua ahli Parlimen.

“Hari ini kita buka untuk dibincangkan di Dewan Rakyat supaya semua boleh beri pandangan dan semua ini akan direkodkan dan Jawatankuasa Pilihan Khas boleh rujuk hansard dan buat hala tuju untuk perkara yang akan dibentangkan nanti,” katanya.

Terdahulu, Dewan Rakyat kecoh selepas pembangkang meminta supaya ahli Parlimen tidak membuang masa membahaskan RUU itu dan mahu ia terus dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk diperincikan lagi.

Kekecohan itu berlaku selepas Liew membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua dan berlarutan sehingga sidang Dewan Rakyat berhenti rehat.

RUU IPCMC 2019 dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 18 Julai, dan ia bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi meningkatkan integriti dan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

IPCMC akan bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis.

Persidangan Dewan Rakyat disambung esok.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

IPCMC: PDRM pastikan hak anggota terpelihara

KUALA LUMPUR, 31 MEI: Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador akan memastikan hak kebajikan warga polis diberi perhatian apabila Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dimuktamadkan.

Beliau berkata, kebajikan anggota polis yang kebanyakan berpendapatan sederhana perlu diberi perhatian setimpal dengan pengorbanan pasukan keselamatan itu.

“Kami warga PDRM (Polis Diraja Malaysia) menunggu bentuk IPCMC ini dimuktamadkan dan selepas itu tanggungjawab saya adalah menyakinkan anak-anak buah saya dan apabila IPCMC diluluskan, saya akan pastikan PDRM akan mendapat hak-hak kebajikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat tapak Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini.

Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Ruslan Khalid.

“Sejak sebulan dan seminggu lalu, saya meninjau sendiri keadaan kuarters balai polis antaranya di TTDI dan ada antaranya mempunyai atap yang rosak dan pecah.

“Saya sedih melihat keadaan ini apabila anggota saya terpaksa berbumbungkan atap bocor dan mereka ini berpendapatan sederhana. Saya akan perjuangkan hak mereka,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan bahawa penubuhan IPCMC akan diteruskan selepas mendapat persetujuan daripada PDRM.

Perkara itu dicapai melalui perbincangan antara Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) dengan 20 wakil jabatan PDRM dan persatuan polis di Perdana Putra, Putrjajaya pada 10 Mei lalu.

Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, kertas Kabinet berhubung penubuhan IPCMC dijangka dapat dikemukakan selepas Aidilfitri.

IPCMC akan bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis, manakala Ombudsman Malaysia menguruskan aduan terhadap isu berkaitan jentera kerajaan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

IPCMC bukan untuk hukum polis

PUTRAJAYA, 3 MEI: Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bukan untuk menghukum anggota polis, tegas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata tanggapan kononnya polis akan menjadi sasaran selepas penubuhan Suruhanjaya itu adalah tidak benar sama sekali.

“Masih ada perkara yang belum lagi diperjelas terutama mereka (polis) andaikan bahawa dengan adanya IPCMC polis akan jadi sasaran.

“… (kononnya) polis lakukan banyak kesalahan maka tertubuh IPCMC, seolah-olah to punish them… itu tidak betul,” katanya dalam wawancara bersama media sempena ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan berkaitan kementeriannya di sini.

Muhyiddin berkata, beliau telah meminta kerjasama Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed untuk mengadakan sesi penerangan khusus dengan pihak polis.

“(Melalui sesi itu) polis boleh jelaskan isu berbangkit yang mungkin mereka tidak puas hati dan perkara itu akan dibawa ke (pengetahuan) jemaah menteri.

“Mungkin soal gubal undang-undang berkaitan perlu kita (kerajaan) lakukan selepas itu,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata Polis DiRaja Malaysia akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengemukakan bantahan berhubung beberapa perkara membabitkan penubuhan IPCMC.

Mohamad Fuzi, yang bakal bersara hari ini, berkata antara perkara yang diusulkan berhubung penubuhan IPCMC, terutamanya menarik kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) di bawah Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, mendapat bantahan daripada banyak pihak dalam PDRM.

Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa SPP yang dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri akan bertanggungjawab atas pelantikan, promosi dan semua isu mengenai tatatertib pegawai polis.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Zahid Hamidi Didakwa Cuba Kelirukan Isu IPCMC

LOGO POLIS BARU-EDIT

KUALA LUMPUR, 17 JUL : Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digesa supaya memohon maaf kepada Dewan Rakyat berhubung kenyataannya sebelum ini yang mendakwa penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming dalam satu sidang media hari ini menyifatkan kenyataan Zahid berhubung penubuhan IPCMC dalam sesi Parlimen baru-baru ini adalah sebagai salah, terpesong dan mengelirukan.

Ini kerana menurutnya, Artikel 140 (1) Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan bahawa Parlimen mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang bagi mengawal dan melaksanakan tindakan disiplin ke atas pasukan polis.

“Mengikut Artikel 140 (1) Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan: “Dengan syarat bahawa Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan bagi perjalanan apa-apa kawalan tatatertib ke atas semua atau mana-mana anggota pasukan polis mengikut apa-apa cara oleh mana-mana pihak berkuasa yang diperuntukkan dalam undang-undang itu.”

“Zahid perlu memohon maaf kepada Dewan Rakyat atas kenyataan yang dibuat kerana boleh menimbulkan kekeliruan kepada dewan,” katanya kepada pemberita.

Tegasnya, sekiranya Zahid gagal melakukan permohonan maaf seperti yang dituntut, beliau boleh dihadapkan ke Jawatakuasa Parlimen di bawah Peraturan 36 (12) Arahan Ketetapan kerana membuat kenyataan palsu dengan niat untuk mengaibkan.

Majlis Peguam, kumpulan masyarakat sivil dan beberapa ahli politik dari kerajaan dan pembangkang mendesak IPCMC ditubuhkan untuk melaksanakan reformasi terhadap pasukan polis.

Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan sehingga hari ini enggan menubuhkan badan tersebut.

IPCMC dicadangkan pada 2005 oleh Suruhanjaya Diraja mengenai penambahbaikan perkhidmatan Polis. Pembentukkan badan tersebut berdasarkan badan pemantau polis di United Kingdom, Australia dan Hong Kong.

Categories
NASIONAL

Pasukan Khas Siasat SOP Tahanan Polis Tiada Faedah

surendran speech mic 01

SHAH ALAM, 12 JUN: Penubuhan pasukan petugas khas bagi menyiasat Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi tahanan polis oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tidak membawa apa-apa faedah.

Menurut Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendren sebelum ini, terdapat penubuhan suruhanjaya menyiasat perkara sedemikian seperti kes kematian A Kugan pada 2009 selepas kemarahan rakyat namun tidak memberikan perubahan.

Sebaliknya kata Surendran desakan dan cadangan yang dikemukakan Pakatan Rakyat (PR) agar Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) ditubuhkan adalah penting untuk dilaksanakan.

“Untuk kita ini adalah satu pasukan khas yang tidak akan membawa apa-apa perubahan dalam menangani isu kematian dalam tahanan kita menyatakan IPCMC perlu ditubuhkan memandangkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan.

“EAIC adalah satu percubaan oleh kerajaan untuk mengelak daripada menyelesaikan masalah kematian dalam tahanan dan ia tidak bertaring,” katanya kepada Tv Selangor.

Semalam, EAIC mengumumkan nama lapan anggota yang bakal menyiasat SOP dalam dua kes kematian semasa di dalam tahanan polis yang didedahkan beberapa minggu lalu.

Pasukan ini akan diketuai oleh Pengerusi EAIC, Datuk Helilah Mohd Yusof serta Pesuruhjaya Suruhanjaya, Datuk Seri Jacob Ridu, manakala pengarah Bahagian Operasi, Ahmad Mohd Sidek bertindak sebagai setiausaha.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR Seru JPM Jangan Ganggu Keluarga Dharmendran – BULETIN 13

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 29052013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Henti mengganggu keluarga mendiang N Dharmendran, yang mati dengan kesan kecederaan pada tubuh selepas ditahan polis, seru Parti Keadilan Rakyat kepada Kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak

2. Suaram mengulangi gesaan supaya Suruhanjaya Aduan & Salahlaku Polis atau IPCMC ditubuhkan dengan segera, selaras dengan saranan Suruhanjaya Penambahbaikan Perjalanan & Pengurusan PDRM.

3. Parti Keadilan Rakyat membidas Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar sebagai tidak cekap menjalankan tugas.

4. Pakatan Rakyat hari ini mendedahkan lagi bukti bahawa terdapat keraguan dalam proses pengundian awal dan undi pos yang boleh memesongkan keputusan pilihanraya ke-13.

5. Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Saleh mendedahkan ‘Garis Panduan Tatacara Proses Pengundian’ yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) bagi mengatasi masalah kesesakan di saluran tempat mengundi didakwa tersirat dengan cubaan membolehkan pengundian berganda.

6.Sebutan kes melibatkan Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang didakwa berhubung penganjuran himpunan besar-besaran Black 505 di Kelana Jaya pada 8 Mei lalu, ditetapkan pada 26 Ogos depan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kabinet Najib Tidak Iktiraf Sumbangan Wanita ? – BULETIN 13

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 17052013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Bilangan kecil menteri dan timbalan menteri wanita dalam jemaah menteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuktikan Barisan Nasional tidak atau enggan mengiktiraf peranan wanita dalam pembangunan negara.

2. Adun Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Khim dan Adun Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah akan dicalonkan untuk jawatan Exco Selangor oleh DAP.

3. Dibunuh polis. Begitu dakwaan PKR hasil penelitian laporan bedah siasat keatas tiga suspek rompakan barang kemas yang ditembak mati di Taman Bilion, Cheras pada 14 April 2012.

KEMASKINI: Laporan kecederaan adalah berdasarkan kepada laporan bedah siasat salah-seorang suspek, Noor Azman Othman, 39 tahun.

4. Peguam Latheefa Koya mengulangi gesaan Pakatan Rakyat mendesak agar Suruhanjaya Aduan Polis dan Suruhanjaya Bebas Salah Laku atau IPCMC ditubuhkan.

5. Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan pendakwaan keatas dirinya berhubung penganjuran himpunan besar-besaran Black 505 di Kelana Jaya sebagai bermotifkan politik.

KL33_150911_PERUTUSAN

Kes Aminulrasyid : Demi Keadilan, Peguam Negara Mesti Fail Rayuan

SHAH ALAM,5 DIS : Peguam Negara digesa memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Koperal Jenain Subi,49, dalam kes menembak mati remaja lelaki berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah dua tahun lalu.

Peguam, N Surendran ketika dihubungi berkata, pihak kerajaan, Peguam Negara dan polis perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana tiada keadilan diberikan kepada pihak keluarga mangsa dalam kes itu.

“Dari awal lagi polis cuba menutup apa yang berlaku dan membuat kenyataan palsu mengenai wujudnya parang di dalam kereta.

“Dan juga menyatakan Aminulrasyid cuba memandu kereta ke arah polis yang kesemuanya ini dibuktikan tidak benar,” kata Surendran.

Jelas beliau, apa yang mengecewakan adalah sehingga kini polis tidak pernah memohon maaf berkenaan kes ini.

“Kita menuntut supaya pihak Peguam Negara memfailkan rayuan secepat mungkin dan juga pihak kerajaan dan polis membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga Aminulrasyid kerana mengeluarkan kenyataan palsu,” katanya.

Ujarnya lagi, kini beliau menunggu arahan seterusnya daripada pihak keluarga Aminulrasyid untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes ini menunjukkan perlunya diwujudkan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) oleh kerajaan agar boleh menyiasat salahlaku yang dilakukan oleh anggota polis.

“Antara sebab utama kerana tiada keadilan berlaku dalam kes ini ialah ketiadaan IPCMC,” katanya.

Sebelum ini, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempertimbangkan rayuan Jenain, memutuskan demikian selepas mendapati Jenain tidak mempunyai niat untuk membunuh remaja berkenaan.

Abdul Rahman berpuas hati anggota polis itu melepaskan tembakan hanya untuk memberhentikan kereta proton Iswara dipandu Aminulrasyid dan bukan dengan niat untuk membunuh remaja lelaki itu.

Beliau juga berkata tiada kes prima facie dibuktikan ke atas Jenain dan anggota polis itu tidak sepatutnya dipanggil membela diri.

Jenain yang bertugas di Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid antara 1.10 pagi dan 2 pagi, 26 April 2010 di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pertengahan September 2011, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas mendapati Jenain bersalah menyebabkan kematian Aminulrasyid.

Ketika menjatuhkan itu, Hakim Latifah Mohd Tahar memutuskan bahawa penggunaan senjata oleh Jenain, yang berakhir dengan 21 tembakan, satu tindakan keterlaluan dan tidak wajar untuk menghentikan kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid.

Categories
SELANGOR

Segerakan Tubuh IPCMC Tangani Salahlaku Polis

SHAH ALAM,17 NOV : Kerajaan Pusat terus didesak untuk menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi menangani masalah salahlaku anggota polis.

Ianya perlu ditubuhkan kerana kepercayaan terhadap pasukan polis semakin terhakis ekoran beberapa insiden yang mencemar imej professionalisme anggota polis.

Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke berkata, Suruhanjaya itu perlu untuk mendisiplinkan anggota polis kerana ada anggotanya yang menyalahgunakan kuasa yang memerlukan tindakan khusus bagi menangani masalah itu.

“Jadi perlu ada satu badan yang bebas untuk mengawal tindak tanduk anggota polis supaya tidak membatasi undang-undang dan juga perkara yang memalukan,” ujar Anthony ketika dihubungi TVSelangor.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian tiga anggota polis yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii ke atas seorang wanita warga Indonesia di Berek Balai Polis Perai baru-baru ini.

Jelas beliau, akibat tiada sistem untuk memantau tingkahlaku polis itu maka kejadian sedemikian dikhuatiri akan terus menjejaskan imej pasukan polis di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Maka perlu ada kehendak politik yang tinggi bagi memastikan wujudnya IPCMC itu,” katanya.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat (PR) komited untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas berkenaan jika berjaya dalam Pilihanraya Umum Ke-13 ini.

“Jika kita berjaya ke Putrajaya, kita akan menyiasat bagaimana agensi-agensi kerajaan dapat dipertingkatkan dan professionalisme badan-badan penguatkuasa dapat ditentukan,” katanya.

Sebelum ini,Penubuhan IPCMC dicadangkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi (bekas Perdana Menteri kelima) pada 29 Disember 2004 ketika merasmikan Persidangan Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis, Komander Briged Pasukan Gerakan Am dan Komandan di Putrajaya.

Bagaimanapun, ketika majoriti pendapat menyokong cadangan penubuhan IPCMC oleh suruhanjaya itu, polis dan ahli-ahli Parlimen Umno menentang penubuhan IPCMC.