Categories
AGENSI SELANGOR

LZS, polis agih 1,000 bantuan makanan kepada individu terjejas pendapatan

PETALING JAYA, 22 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengagihkan 1,000 bakul makanan kepada individu terjejas akibat Covid-19.

Ketua pegawai eksekutif Saipolyazan M Yusop berkata sumbangan membabitkan peruntukan RM100,000 itu merupakan inisiatif di bawah Zakat Peduli Selangor.

“Setiap satu bakul makanan bernilai RM100 mengandungi makanan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung, sardin dan pelbagai barangan kering.

“Ini adalah salah satu usaha untuk membantu mereka terkesan dengan kadar segera,” katanya ketika ditemui dalam majlis penyerahan bakul makanan di IPD Petaling Jaya.

Terdahulu, Saipolyazan menyerahkan 150 bakul makanan kepada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Sementara itu, Mohamad Fakhrudin berkata pihaknya menerima 348 permohonan individu terjejas akibat pandemik sejak 5 Julai lalu.

“Bantuan bakul makanan ini akan diagihkan kepada 150 penerima dan nama selebihnya diberikan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan seterusnya.

“Selain menerima bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO), anggota juga mengambil inisiatif sendiri membantu memberikan bantuan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Tiga anggota polis antara lima ditahan kes samun kereta

PETALING JAYA, 30 DIS: Kegiatan tiga anggota polis dan dua lagi individu yang disyaki berkomplot menyamun kereta yang dibawa masuk dari Singapura terbongkar apabila mereka ditahan Isnin lepas dan semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata mereka ditahan di Pulau Pinang dan Kedah selepas disyaki menyamun sebuah kereta jenis Audi TT milik seorang lelaki warga asing di Ara Damansara, Selangor pada Ahad lepas.

Beliau berkata kejadian itu berlaku semasa lelaki berkenaan berjumpa seorang ejen jualan kereta di Jalan PJU 1A/54 pada malam Ahad bagi membincangkan urusan jualan keretanya, namun mereka didatangi dua lelaki yang memakai ves polis yang kemudiannya ‘menangkap’ ejen jualan itu, dan kemudiannya melarikan kereta.

“Bertindak atas laporan, polis menyerbu sebuah bilik hotel di Seberang Jaya, Pulau Pinang dan menahan suspek lelaki tempatan iaitu ejen jualan kereta berkenaan dan seorang suspek wanita warga tempatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini.

Nik Ezanee berkata siasatan terhadap suspek lelaki itu membawa kepada penahanan dua anggota polis berusia 34 dan 51 tahun di pekarangan IPD Kuala Muda, Kedah, semalam.

“Susulan daripada itu, seorang lagi suspek iaitu anggota polis berusia 31 tahun ditahan di IPD Ipoh, Perak semalam,” katanya.

Nik Ezanee berkata anggota polis berkenaan disyaki sudah beberapa kali melakukan aktiviti jenayah itu yang menyasarkan warga asing yang ingin membeli kereta dari Singapura dan dipercayai memperoleh upah sehingga RM1,000 bagi setiap kereta yang disamun.

Beliau berkata antara yang barangan dirampas daripada suspek dalam kes ini ialah ves tertera logo dan tulisan kastam, wang tunai RM20,000, kereta jenis Perodua Alza, kereta jenis Volkswagon Golf dan pelbagai jenis dadah.

Katanya, suspek lelaki direman bermula semalam sehingga Isnin ini, suspek wanita direman bermula semalam sehingga Jumaat, manakala tiga anggota polis direman bermula hari ini sehingga Sabtu bagi siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan tanpa senjata api dan Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang.

Sementara itu dalam kes berasingan, dua anggota polis berusia 38 dan 30 tahun ditahan di Balai Polis Sri Hartamas kerana disyaki memeras ugut seorang lelaki dan mengambil wang RM5,000 dengan alasan supaya tidak dikenakan tindakan kerana membeli nombor ekor haram, Khamis lepas.

Nik Ezanee berkata kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, dan semua suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman tamat.

Sementara itu Nik Ezanee berkata tahun ini menyaksikan 55 anggota IPD Petaling Jaya dikenakan tindakan kerana kesalahan tatatertib dan 12 anggota dikenakan tindakan kerana kesalahan jenayah.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

PKPP: 310 individu berhibur di pusat hiburan dikompaun

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Polis mengeluarkan 310 kompaun dalam Operasi Pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sebuah pusat hiburan di Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata operasi bermula 11 malam hingga 5 pagi tadi, dan hasil pemeriksaan di sebuah premis di Jalan PJU 7/3 Mutiara Damansara mendapati seramai 200 lelaki dan 110 wanita berumur lingkungan 20 hingga 30 sedang berkumpul di dalamnya.

“Mereka telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 7) 2020.

“Kesemua mereka telah dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang kerana kesalahan tersebut dan ini adalah bilangan kompaun yang tertinggi pernah dikeluarkan pada satu malam,” menurutnya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata 10 lelaki warga asing berumur lingkungan 25 hingga 30 tahun juga ditahan kerana disyaki bekerja di pusat hiburan tersebut tanpa permit yang sah dan kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 39(b) dan Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63.

Nik Ezanee berkata polis turut merampas pelbagai barangan elektronik dan wang tunai bernilai RM9,350, serta menahan seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun kerana disyaki menggaji pekerja asing tanpa permit kerja serta operasi tanpa lesen di pusat hiburan.

Dalam kes berasingan, tujuh lelaki ditahan polis atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa premit dan gagal mengemukakan dokumen diri serta bekerja tanpa permit yang sah, dalam dua serbuan di Jalan SS 2/60, dan di premis Amcorp Mall, Jalan Persiaran Barat.

Menurut beliau, pada serbuan pertama di Jalan SS2/60 itu pada kira-kira 6.30 petang, lima lelaki warga asing berumur lingkungan 23 hingga 27 tahun ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta bekerja tanpa permit sah di dalam premis itu.

“Pada serbuan kedua kira-kira 10.50 malam di Amcorp Mall, dua lelaki warganegara berumur 23 dan 59 tahun yang dipercayai bekerja sebagai penjaga premis ditahan kerana disyaki menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah,” katanya

Kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis jalan operasi patuh PKPB di Petaling Jaya

PETALING JAYA, 17 MEI: Polis mempergiatkan operasi di sekitar bandar raya ini bagi memastikan orang ramai terus patuh terhadap Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula 4 Mei lalu.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dalam kenyataannya memaklumkan gerak kerja itu diatur menerusi sistem rondaan ‘Aberdeen’ Kereta Peronda Polis (MPV) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi ‘Ops Amaran dan Sapu’ bagi tujuan berkenaan.

“Operasi dijalankan di sekitar Pasar Besar Chempaka dan Pasar Taman Megah SS24 bagi membuat hebahan serta memberi arahan keras kepada sesiapa yang tidak mematuhi PKPB sebelum tindakan diambil mengikut Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membantu bagi memeriksa lesen permit perniagaan yang sah setiap peniaga,” katanya melalui Facebook.

Kenyataan sama menjelaskan polis turut menjalankan pemeriksaan secara ‘snap check’ terhadap pengguna jalan raya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang.

“Justeru, masyarakat dinasihatkan supaya terus mengekalkan disiplin dan tidak sewenang-wenangnya keluar rumah tanpa alasan munasabah,” katanya.