Categories
AGENDA NASIONAL

Pelaksanaan pengajaran, pembelajaran tertakluk kepada keputusan universiti

PUTRAJAYA, 10 FEB: Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di institut pengajian tinggi (IPT) secara hibrid atau secara dalam talian adalah dibenarkan, tertakluk kepada keputusan pihak universiti itu sendiri, kata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

KPT dalam kenyataan hari ini berkata IPT juga perlu mempunyai kapasiti untuk menampung bilangan pelajar yang hadir secara fizikal dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PdP yang ketat.

Ia susulan pengumuman kerajaan semalam yang membenarkan kemasukan pelajar IPT di bawah KPT ke kampus secara berperingkat mulai 1 Mac ini, dengan jumlah kemasukan pelajar 70 hingga 100 peratus mengikut kapasiti IPT masing-masing.

“Keputusan ini dibuat bagi memberi fleksibiliti kepada IPT dalam menentukan mod pembelajaran yang sesuai, selain memberi peluang kepada pelajar untuk mengenali dan menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran dan kehidupan dalam kampus,” kata KPT.

KPT turut memberi jaminan bahawa aspek keselamatan dan kesihatan pelajar menjadi keutamaannya dalam proses kemasukan dan keberadaan pelajar di kampus, serta akan memastikan kemasukan pelajar ke kampus berjalan lancar.

“Pelajar yang pulang ke kampus diminta terus mengamalkan penjarakan fizikal dan kebersihan diri, manakala aktiviti sukan dan riadah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Antara SOP ditetapkan KPT dan KKM adalah pelajar dan staf yang lengkap dan tidak lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke kampus, namun mereka yang tidak lengkap vaksinasi perlu membuat ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) dan berkeputusan negatif tiga hari sebelum masuk ke kampus.

Untuk maklumat lanjut, pelajar dan ibu bapa boleh menghubungi Bilik Gerakan Covid-19 KPT di talian 03-88706777/6949/6623/6628, melayari laman web IPT atau menghubungi pegawai penyelaras IPT masing-masing.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Unisel dicadang jadi pusat vaksin, mudahkan proses suntik 6,000 penuntut

BESTARI JAYA, 19 SEPT: Kerajaan Negeri dicadang menjadikan Universiti Selangor (Unisel) kampus Bestari Jaya sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) khusus untuk penuntut yang belum menerima pelalian Covid-19.

Presiden dan Naib Canselornya Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata cadangan tersebut bagi memudahkan pelajar yang bakal kembali ke institusi pengajian tinggi (IPT) mulai pertengahan Oktober ini.

“Permohonan dibuat kepada Kerajaan Negeri kerana Selvax (Vaksin Selangor) mempunyai peruntukan bagi tujuan ini, saya percaya proses lebih mudah kerana terdapat lebih kurang 6,000 pelajar di kampus ini.

“Sekiranya pelajar digerakkan ke PPV luar mungkin agak rumit. Jadi, kita mencadangkan dibuat di sini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis perasmian pertandingan memancing tangkap dan lepas ikan toman dan tasik The Tomanz di sini semalam.

Sementara itu, Dr Mohammad Redzuan berkata pihaknya akan memastikan mahasiswa dan kakitangan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sebaik sesi pengajian bersemuka secara berperingkat bermula.

“Kita tahu pelajar sudah jemu belajar dalam talian kerana terlampau lama dan mahu kembali ke kampus, apatah lagi Unisel memiliki asrama serta fasiliti lengkap.

“Namun, kita tetap pastikan keselamatan pelajar terjamin dan ini (SOP) diberi perhatian cukup terperinci bagi membolehkan proses pembelajaran berjalan lancar,” katanya.

Pada 14 September, menteri pengajian tinggi memaklumkan lebih 1.2 juta pelajar IPT di seluruh negara dibenarkan kembali ke kampus masing-masing secara berperingkat mulai 15 Oktober.

Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kemasukan pelajar lengkap divaksin membabitkan semua kategori dan semua fasa pelan pemulihan negara (PPN) dengan keutamaan diberi kepada mereka berkeperluan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KPT rancang buka semula IPT, belajar secara fizikal mulai Oktober

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merancang membuka semula institusi pengajian tinggi (IPT) untuk kemasukan pelajar secara fizikal bagi sesi akademik 2021/2022 dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Oktober tahun ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata rancangan itu adalah melalui Pelan Pemulihan IPT (PEMULIH IPT) dan langkah tersebut selari dengan usaha membolehkan pelajar pulang ke IPT apabila kesemuanya lengkap divaksin seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan khas beliau pada 22 Ogos lepas.

Beliau berkata perkara itu juga telah dipersetujui dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara semalam.

“Bagi menjayakan agenda ini, petang tadi saya telah berjumpa dengan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bagi mencadangkan supaya pelajar dan kakitangan IPT diberikan keutamaan untuk mendapat vaksin di lokaliti masing-masing.

“Panjang lebar perbincangan kami petang tadi dan matlamat kami adalah sama untuk menyediakan komuniti kampus yang selamat menjelang Oktober nanti,” menurutnya dalam hantaran di laman Facebook malam tadi.

Noraini berkata KPT mengunjurkan keperluan sebanyak 1.296 juta dos vaksin bagi 648,000 pelajar yang masih belum menerima vaksin dan KPT mencadangkan supaya pusat pemberian vaksin IPT dijadikan PPV khusus untuk pelajar serta kakitangannya.

Beliau berkata langkah itu bagi membolehkan program vaksinasi pelajar dilaksana secara besar-besaran.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 380,000 siswa dapat diskaun yuran pengajian

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Seramai 386,142 pelajar universiti awam (UA) menerima manfaat daripada inisiatif pengurangan yuran berjumlah RM185.7 juta yang dilaksanakan kerajaan bagi membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan berkata pengurangan antara 10 hingga 35 peratus itu diberikan susulan Surat Edaran Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) bertarikh 22 Mac yang meminta pihak universiti memberikan kelonggaran dan pertimbangan sewajarnya terhadap tuntutan bayaran.

“Pengurangan itu meliputi yuran perkhidmatan, asrama, konvokesyen dan aktiviti kolej diberikan kepada pelajar semester kedua Sesi Akademik 2019/2020 sehingga hari ini, sebelum dilanjutkan kepada dua semester lagi bagi Sesi Akademik 2020/2021.

“Pengurangan yuran bagi semester kedua Sesi Akademik 2019/2020 untuk semua pelajar warganegara Malaysia melibatkan peruntukan sebanyak RM75 juta, dengan RM20 juta adalah peruntukan tambahan kerajaan dan RM55 juta menggunakan sumber dalaman UA,” menurut kenyataan itu.

Bagi semester pertama Sesi Akademik 2020/2021 pula, pengurangan yuran adalah sebanyak RM70.2 juta dan RM40.5 juta lagi untuk semester kedua Sesi Akademik 2020/2021.

“Langkah-langkah yang diambil ini memperlihatkan keprihatinan kerajaan dalam menangani beban kewangan dihadapi pelajar dan ibu bapa,” kata kenyataan itu lagi.

KPT berpandangan bahawa kadar pengurangan yuran yang dinyatakan adalah munasabah memandangkan 20 UA terlibat terpaksa menanggung kos operasi tinggi dengan menggunakan sumber peruntukan dalaman universiti.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Pelajar 41 IPT dapat Bantuan Prihatin Mahasiswa Darul Ehsan

SHAH ALAM, 12 OKT: Sebanyak 41 insititusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negeri menerima Bantuan Prihatin Mahasiswa Darul Ehsan oleh Kerajaan Selangor.

Ketua Sekretariat Team Selangor Syahaizel Keman berkata bantuan berupa pek makanan dan barangan kesihatan seperti pelitup muka serta cecair pembasmi kuman.

“Sebanyak 11 IPT menerima bantuan makanan dan barangan kesihatan sementara 30 lagi menerima barangan kesihatan sahaja yang diedar bermula 5 hingga 9 Oktober,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata bantuan meliputi tiga kategori iaitu pelajar Selangor yang belajar di sini, pelajar dari negeri lain yang belajar di Selangor dan pelajar Selangor yang belajar di negeri lain.

“Semoga inisiatif ini meringankan beban mahasiswa yang terkesan ketika ini,” katanya, memaklumkan sumbangan turut melibatkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 4 Oktober mengumum akan menyalurkan bantuan kepada penuntut IPT yang terkesan akibat penangguhan pendaftaran secara bersemuka.

Pada 27 September, Kementerian Pendidikan Tinggi mencadangkan semua IPT menangguhkan pendaftaran ke kampus yang dijadual bermula bulan ini susulan peningkatan kes Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Kemasukan penuh pelajar IPT Oktober, berperingkat mulai Julai

SHAH ALAM 8 JULAI: Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dibenarkan kembali ke kampus sepenuhnya pada Oktober ini melalui secara berperingkat mulai bulan ini.

Menteri pengajian tinggi ketika mengumumkan perkara itu berkata kebenaran berkenaan dipersetujui pada Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Empat lagi kategori pelajar dibenarkan kembali ke kampus mulai bulan ini.

“Kumpulan ini adalah tambahan kepada lima kategori yang diberi kebenaran sama sebelum ini,” kata Datuk Dr Noraini Ahmad pada kenyataan media hari ini.

Beliau berkata empat kategori itu ialah pelajar tempatan di IPT swasta (IPTS) sebanyak 30 peratus.

“Seterusnya pelajar tahun satu hingga empat di universiti awam (UA) dalam bidang pengajian memerlukan latihan klinikal, latih amal, praktikal, bengkel, makmal, studio atau peralatan khusus, serta mereka yang perlu menduduki peperiksaan badan profesional.

“Selain itu, pelajar tahun satu hingga empat di UA yang tiada akses Internet atau persekitaran kondusif, seperti ruang belajar yang sempit atau keadaan tidak selesa bagi melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian,” katanya.

Noraini berkata kategori seterusnya adalah pelajar antarabangsa daripada IPTA dan IPTS termasuklah pelajar baharu.

Beliau berkata IPT diberi fleksibiliti dalam menentukan cara pembelajaran bersesuaian termasuklah meneruskan PdP secara dalam talian kepada pelajar terlibat mengikut keperluan program.

Katanya bagi pelajar antarabangsa, mereka perlu mendaftar dengan pihak Education Malaysia Global Services sebelum diberikan kebenaran masuk ke Malaysia oleh Jabatan Imigresen.

“Mereka perlu menjalani ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) atau Rapid Test Kit (RTK) Antigen dalam tempoh tiga hari sebelum masuk ke negara ini.

“Selain itu, mereka juga dikehendaki menjalani saringan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan di pintu masuk negara ini dan menjalani kuarantin diri selama 14 hari di lokasi yang ditetapkan oleh IPT masing-masing,” katanya.

Noraini berkata tatacara operasi piawai (SOP) dan garis panduan itu dikemas kini bergantung kepada arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PENDIDIKAN

Lima universiti status 200 terbaik bukti pendidikan bertaraf dunia

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Kejayaan Malaysia meletakkan kelima-lima universiti penyelidikan berada dalam kelompok 200 universiti terbaik dunia membuktikan bahawa pendidikan tinggi Malaysia kini bertaraf dunia, kata Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Beliau berkata matlamat itu terkandung dalam pelan strategik pengajian tinggi yang dilancarkan pada tahun 2013 dengan meletakkan sasaran pada 2015 hingga 2025 dengan kerajaan berharap meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai sebuah negara dengan universiti penyelidikan terbaik dunia (hab pendidikan tinggi bertaraf dunia).

Laporan itu dikeluarkan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2021, pada 10 Jun lalu.

“Kerajaan telah mengusahakan perkara ini, ketika rangka tindakan dilancarkan, Menteri Pendidikan atau Menteri Pelajaran ketika itu adalah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kini).

“Dan hari ini kita dapat lihat sasaran 2015-2025, Malaysia sudah berada di pertengahan jalan dan mendapat pencapaian yang sangat memberangsangkan,” katanya dalam temu bual khas program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Mohamed Mustafa berkata pencapaian ini bukan hanya terbatas kepada lima pengajian sahaja dan tidak boleh lonjakkan semua pengajian dalam satu masa yang sama kerana setiap pengajian tarafnya adalah berbeza.

“Ranking pada hari ini, boleh dikatakan sembilan atau 10 universiti telah melonjak pencapaian mereka selain lima universiti penyelidikan. Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) juga mempunyai pencapaian baik, ada yang sudah cecah tangga 379 seperti Taylor’s University, UCSI University,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pencapaian itu adalah menyeluruh dan menunjukkan bahawa pelaburan kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah membuahkan hasil.

Kelima-lima universiti berkenaan ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Ranking ini bukan sekadar anak tangga meningkat, ia juga adalah satu penunjuk atau benchmark kualiti atau mutu pendidikan tinggi Malaysia. Harus diingatkan kalau mahu jadi hab pendidikan, kita mesti mampu bersaing dengan universiti terkemuka lain,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata KPT masih merancang dan mengatur bagi pembukaan sepenuhnya pengajian tinggi yang berkemungkinan beroperasi sepenuhnya tetapi hanya 1/3 pelajar sahaja yang belajar secara bersemuka kerana perlu menjaga jarakan sosial.

“Mungkin juga 2/3 pelajar, belajar secara dalam talian, mungkin minggu ini bersemuka, minggu depan belajar dalam talian, ambil giliran,” katanya mengulas mengenai perkembangan terkini pembukaan semula IPT yang ditutup berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Dana bantuan RM200 untuk pelajar disalur ke IPT

PUTRAJAYA, 21 MEI: Kementerian Pengajian Tinggi menyalurkan dana kepada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) untuk diagihkan sebagai bantuan sebanyak RM200 secara one-off kepada pelajar layak, kata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Dalam kenyataan hari ini, KPT berkata pembayaran hanya dibuat ke akaun bank milik pelajar sahaja.

Katanya bantuan itu diberikan kepada pelajar berstatus warganegara Malaysia dan aktif sebagai pelajar sepenuh masa pada 31 Mac 2020.

Pelajar yang masih belum menerima wang bantuan tersebut diminta untuk menghubungi Bahagian Kemasukan Hal Ehwal Akademik/ Unit Hal Ehwal Pelajar/ Unit Pembangunan Pelajar di IPT masing-masing pada kadar yang segera, katanya.

Untuk senarai dan nombor telefon IPT, para pelajar boleh melayari https://bit.ly/2ygNPKk .

“Kerajaan berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dihadapi pelajar IPT dalam tempoh PKP,” katanya.

Pada 27 Mac lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) meliputi bantuan secara one-off RM200 kepada setiap pelajar IPT di bawah seliaan KPT.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan teliti mungkin pelajar IPT dibenarkan pulang ke kampung

SHAH ALAM, 21 APRIL: Kerajaan sedang meneliti kemungkinan membenarkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang masih berada di kolej dan kampus untuk pulang ke kampung, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Sehubungan itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tatacara operasi piawai (SOP) perlu terlebih dahulu dirangka sebelum ia dimuktamadkan kerana kerajaan tidak mahu berlaku pergerakan pulang secara besar-besaran.

Katanya, kerajaan membincangkan perkara itu kerana memahami perasaan dan rayuan ibu bapa serta pelajar yang tertekan kerana telah lama berada di kampus.

“Mereka berada di kampus lebih 28 hari, kalau seseorang dikuarantin 14 hari selama dua kali dan masih tak bergejala, kita boleh anggap mereka tiada jangkitan Covid-19.

“Jadi ada kemungkinan kita boleh membenarkan mereka pulang, namun perlu ada SOP yang ketat.

“Kita tak mahu 80,000 hingga 100,000 pelajar ini pulang serentak, mungkin mereka perlu buat saringan kesihatan terlebih dahulu,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan SOP bagaimana cara membantu dalam penghantaran pulang semua pelajar tersebut.

“Kita perlu sediakan SOP (terlebih dahulu), 100,000 pelajar kalau perlu buat saringan kesihatan, akan mengambil masa lama, dari situ kita boleh tentukan bila tarikh mula (penghantaran pulang),” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga akan meneliti sama ada membenarkan orang ramai yang sudah terlalu lama berada di kampung untuk pulang ke rumah mereka, misalnya di ibu negara.

“Kita akan dapatkan nasihat KKM, kita juga tahu sebulan lebih di kampung meresahkan mereka, itu juga kita akan lihat kaedah bagaimana,” katanya.

Categories
NASIONAL

IPT diminta anjur debat, kupas kandungan buku-Maszlee

NILAI, 31 MAC: Pihak institusi pengajian tinggi diminta menganjurkan program diskusi atau kupasan kandungan buku, bagi menjadikan universiti sebuah medan intelektual terbuka mendebatkan ilmu.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, program itu seharusnya diadakan secara dwi-mingguan atau bulanan kerana pada ketika ini, dilihat masih di tahap ‘pinggiran’ dan bukannya menjadi keutamaan.

“Saya lontarkan cabaran bagi semua universiti adakan kupasan buku, perdebatan atau kritikan kandungan buku di universiti masing-masing.

“Kita ingin jadikan universiti sebuah medan intelektual terbuka dengan ilmu diperdebatkan, pendapat diperbincangkan, fikrah dan idea berlaku ‘peperangan’ dalam kita pastikan hanya idea terbaik akan mengungguli.

“Malangnya sehingga kini, kita lihat bukan tiada, tetapi masih pada bentuk pinggiran dan bukan keutamaan, ini berbeza kalau kita pergi universiti terbuka sebagai contoh universiti di Indonesia di mana diskusi, perdebatan buku atau karya agung merupakan sesuatu yang biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Anugerah Tokoh Siswa 2018 di sini, malam tadi yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching dan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Datuk Dr Musa Ahmad.

Pada majlis itu, Muhammad Syafik Rahmat, 24, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Rangkaian dan Keselamatan) Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) menerima Anugerah Menteri Pendidikan yang membawa gelaran Tokoh Siswa Kebangsaan 2018.

NILAI, 31 Mac — Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik (kanan) mengucapkan tahniah kepada pasangan Nor Azman Darus (tengah) dan Rohana Hamzah (kiri) iaitu ibu bapa kepada Allahyarham Mohd Hafiz Nor Azman pelajar Kejuruteraan Automotif Politeknik Ungku Omar yang menerima Anugerah Penghargaan Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2018 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) semalam.
Allahyarham Mohd Hafiz yang juga pelumba Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan ketika menyertai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2018 di Dataran Bandar Penawar pada 16 Disember lalu.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Anugerah itu merupakan anugerah utama dan tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia kepada mahasiswa universiti awam, swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti yang aktif dalam pelbagai bidang diceburi sepanjang berada di kampus.

Beliau membawa pulang wang tunai bernilai RM3,000, trofi dan sijil dan pakej pengembaraan ke luar negara bernilai RM5,000.

Turut diiktiraf, mahasiswa yang berkecimpung dalam bidang masing-masing menerusi 15 kategori yang dipertandingkan dan menerima hadiah wang tunai bernilai RM1,000, trofi, biasiswa Tokoh Siswa dan sijil.

Kategori Penghargaan Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi yang menerima trofi dan sijil, turut diberikan kepada pelumba Cup Prix Allahyarham Mohd Hafiz Nor Azman, 23, yang diwakili kedua ibu bapanya Nor Azman Darus, 55, dan Rohana Hamzah, 52.

Allahyarham Mohd Hafiz merupakan pelajar jurusan Diploma Kejuruteraan Automotif Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak, meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Bandar Penawar, Johor, Disember tahun lepas. –BERNAMA

Categories
NASIONAL

IPT mungkin jadi kawasan larangan merokok

PUTRAJAYA, 8 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia bercadang memperluaskan kawasan larangan merokok ke institusi pengajian tinggi yang dijangka dikuatkuasa tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, larangan itu susulan penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan dan dalam bangunan di kawasan Parlimen.

“Kami (KKM) sudah melakukannya di Parlimen dan restoran, dan sekarang mungkin akan memperluaskannya ke semua universiti.

“Kami merancang untuk menguatkuasakannya di semua universiti termasuk awam dan swasta. Ia mungkin dalam tahun ini,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Buku Fakta Industri Persatuan Farmaseutikal Malaysia (PhAMA) edisi 2018 di sini, hari ini, lapor BHOnline.

Pada 15 Oktober tahun lalu, larangan merokok dikuatkuasakan dalam bangunan di kawasan Parlimen, manakala pada 1 Januari lalu, larangan itu membabitkan tempat makan.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

LZS buka permohonan bantuan pendidikan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 DIS: Penuntut institut pengajian tinggi (IPT) dan pelajar sekolah dari golongan sederhana digalak membuat permohonan bagi Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor (SPZAS) yang disediakan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS, Datin Seri Norajun Ainun Mohd Hashim berkata, terdapat dua jenis permohonan SPZAS yang ditawarkan, iaitu SPZAS sekolah rendah dan menengah serta SPZAS IPT.

Katanya, pemberian bantuan secara ‘one-off’ itu bagi meringankan beban kewangan golongan berpendapatan sederhana yang tidak tergolong dalam asnaf fakir atau miskin.

“Permohonan bagi SPZAS IPT dibuka dari 25 November lalu dan akan ditutup pada 31 Januari 2019 atau sehingga mencapai had peruntukan ditetapkan.

“Sementara permohonan SPZAS bagi sekolah rendah dan menengah, ia dibuka hingga 10 Februari 2019.

“Bagi mereka yang berminat, boleh membuat permohonan secara dalamh talian sahaja melalui www.zakatselangor.com.my,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, LZS turut menyarankan orang awam mematuhi setiap arahan diberikan semasa proses memuat naik permohonan.

“Perlu diingatkan bahawa proses permohonan adalah sekali sahaja untuk setiap nombor kad pengenalan.

“Oleh itu, semua pemohon perlu lebih berhati-hati semasa proses pengisian permohonan supaya setiap permohonan dapat diproses dengan sempurna serta mengelakkan permohonan ditolak,” katanya.