Categories
AGENDA NASIONAL

KPT: Keputusan kemasukan IPTA diumum esok

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Keputusan permohonan kemasukan ke universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) peringkat Sijil, Asasi dan Diploma, serta Ijazah Sarjana Muda Senibina Universiti Teknologi Mara (UiTM), bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan esok.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan berkata keputusan boleh disemak secara dalam talian mulai jam 12 tengah hari di pautan https://jpt.utm.edu.my; http://jpt.uum.edu.my; https://jpt.unimas.my; https://jpt.ums.my dan http://jpt.umt.edu.my.

Menurut KPT pengesahan setuju terima tawaran dan surat tawaran boleh dicetak mulai Sabtu ini hingga 26 Julai di laman web Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan ILKA.

“Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan IPTA dan ILKA pada hari yang sama calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh 10 hari seperti dinyatakan,” katanya.

KPT berkata hanya pemohon yang gagal dan mendapat tawaran program sijil sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline bagi kemasukan ke universiti awam dan politeknik di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 11 hari mulai esok sehingga 26 Julai.

Rayuan ke Kolej Komuniti dan ILKA pula boleh diajukan terus ke institusi berkenaan tanpa melalui UPUOnline.

Menurut KPT, tawaran tempat bagi sesi akademik 2021/2022 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran tidak dibenarkan.

Dasar pemilihan rayuan pelajar adalah tertakluk kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan tawaran kemasukan ke IPTA, ILKA diketahui hujung Julai

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Keputusan tawaran ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) bagi sesi akademik 2021/2022 dijangka diperoleh hujung Julai ini.

Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi Wahi Nordin hari ini berkata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan berusaha untuk mempercepatkan keputusan tawaran ke IPTA dan IKLA.

“Walaupun tarikh kemas kini dilanjutkan, KPT bersama IPTA dan ILKA akan berusaha mempercepatkan proses pemilihan,” ulas beliau ketika ditemuramah dalam program Malaysia Petang Ini yang disiarkan Bernama TV.

Semalam, KPT mengumumkan permohonan UPUOnline dilanjutkan sehingga 2 Julai berbanding pada 21 Jun sebelum ini.

Mengulas mengenai pelanjutan tarikh kemas kini UPUOnline, Wahi berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira ada sesetengah calon masih berstatus ‘T’ iaitu belum menerima keputusan yang lengkap bagi mata pelajaran tertentu disebabkan faktor situasi Covid-19 ketika mereka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

“Kami memerlukan fail induk (keputusan yang lengkap) untuk dimuat naik dalam sistem UPUOnline bagi membuat pemilihan. Namun pelajar yang masih berstatus ‘T’ masih boleh mengisi dahulu UPUOnline dan memilih kursus yang bersesuaian dengan minat mereka sementara menunggu keputusan yang lengkap,” katanya.

Wahi juga berkata setakat ini pihaknya menerima 250,000 permohonan dan beliau menyeru calon SPM 2020 yang belum membuat permohonan untuk segera berbuat demikian.

Mengenai dakwaan bahawa seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) calon SPM 2019 yang gagal mendapat tawaran yang dimohon di sebuah IPTA dikatakan berpunca daripada keadaan fizikalnya, Wahi berkata tidak wujud sebarang diskriminasi terhadap sesiapa pun yang memohon dalam UPUOnline.

“Kursus yang akan ditawarkan adalah berdasarkan data yang diperolehi, termasuk kemudahan yang disediakan di sesebuah IPT berkenaan,” jelas beliau.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agihan makanan bermula Isnin depan, tidak terhad mahasiswa di Selangor

SHAH ALAM, 14 JUN: Bantuan makanan dan keperluan asas kepada mahasiswa Selangor di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara dan milik Kerajaan Negeri dijangka diagih mulai 21 Jun ini.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor Mohd Hidayat Mohd Sauffi berkata kaedah agihan sedang dibincangkan Jawatankuasa Tetap Pendidikan sebelum dimuktamad dalam masa terdekat.

“Difahamkan, jawatankuasa terbabit sudah berhubung dengan pihak universiti termasuk mengeluarkan surat permohonan rasmi untuk menghantar bantuan ini.

“Sebaik pengurusan universiti beri pelepasan, bantuan akan terus disalur. Semestinya agihan dibuat mengikut tatacara operasi piawai (SOP) dengan kebenaran bersyarat memandangkan ia adalah program Kerajaan Negeri,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah dianggarkan seramai 300 ahli gabungan tersebut akan digerakkan untuk menyalur bantuan kepada penuntut yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Insya-Allah dengan kekuatan yang ada kita terbuka untuk membantu sekiranya diperlukan, mengambil kira bantuan Kerajaan Negeri ini meliputi seluruh IPT dan tidak terhad di Selangor sahaja.

“Malah, kami memiliki pengalaman sebagai perantara untuk menyalur bantuan sama kepada pelajar menerusi pakej disediakan Kerajaan Selangor sebelum ini,” katanya.

Pada 9 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 mengumumkan peruntukan RM1.5 juta untuk menyediakan barangan makanan dan keperluan asas kepada 7,500 mahasiswa yang masih berada IPTA dan IPT bawah Kerajaan Negeri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mahasiswa Selangor diminta kemas kini data untuk program kebajikan

SHAH ALAM, 7 JUN: Mahasiswa anak Selangor di universiti awam seluruh negara dimohon mengemas kini maklumat mereka bagi program pembangunan dan kebajikan Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar berkata maklumat golongan itu yang bermastautin secara tetap di negeri ini sedang dikumpul Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor bagi menjayakan inisiatif tersebut.

“Semoga inisiatif ini dapat membantu para penuntut di IPTA seluruh Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini selepas berkongsi hantaran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Maklumat hendaklah dilengkapkan secara dalam talian menerusi pautan https://forms.office.com/r/W6bsm1XzF5.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Belajar dalam talian kaedah selamat elak jangkitan Covid-19

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian adalah ‘jalan selamat’ bagi mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pada masa ini, sekali gus mengekang penularan wabak Covid-19.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata proses penurunan ilmu tetap berlaku dan pentaksiran tetap dapat dilaksanakan melalui pembelajaran dalam talian.

“Walaupun tidak sebaik pembelajaran bersemuka, ini sahaja jalan selamat yang kita ada untuk mengelakkan penularan.

“Ilmu tidak semestinya boleh diperoleh di lapangan sahaja kerana ilmu boleh diterjemahkan dalam komunikasi dua hala secara dalam talian sebagai perkongsian proaktif dan dalam masa sama keselamatan diri terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad Shatar, yang juga pengerusi Majlis Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam Malaysia, berkata ia juga boleh dipakai dalam konteks penyelidikan kerana jadual dan kaedah penyelidikan akan menjadi lebih fleksibel.

Beliau berharap semua mahasiswa IPTA dapat bersabar mengharungi cabaran Covid-19 dan tenaga akademia (pensyarah) pula perlu bertolak-ansur serta memahami masalah capaian internet mahasiswa di luar kawasan bandar atau pedalaman.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kemasukan ke IPTA di Kedah, Sarawak mungkin ditangguh

TANJUNG MALIM, 20 OGOS: Kepulangan penuntut dan kemasukan pelajar baharu ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Kedah dan Sarawak pada Oktober depan, mungkin ditangguhkan sekiranya kes Covid-19 di kedua-dua negeri berkenaan didapati meningkat.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berkata sekiranya penangguhan itu diputuskan, ia akan dilakukan selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan negeri yang terlibat.

“Pelajar akan mula masuk (daftar pada) Oktober, jadi bergantung kepada keadaan semasa Covid-19 dan tatacara operasi piawai (SOP) juga telah ditekankan oleh pihak kementerian supaya setiap universiti mengikut SOP yang ditetapkan.

“Tetapi bagi kawasan seperti di Kedah, ia bergantung kepada keadaan semasa tempat itu. Saya dapat makluman dalam beberapa minggu lepas, Sarawak ketika itu pun tinggi kes (Covid-19),” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi berikutan penularan wabak Covid-19 khususnya di negeri berkenaan.

Dalam pada itu, Noraini berkata pihaknya berpuas hati dengan persediaan IPTA bagi menerima kemasukan pelajar masing-masing pada Oktober depan.

“Alhamdulillah, kita mengadakan penerangan mengenai SOP dengan pihak universiti dan KKM sendiri pun datang meninjau keadaan universiti tersebut dalam menerima pelajar yang akan mula mendaftar semula,” katanya.

Terdahulu, Noraini bertemu penduduk setempat pada Program Ziarah Kasih di Kampung Changkat Sulaiman hari ini, yang turut disertai calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz.

-BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

Program bimbingan ke IPTA DUN Sentosa berjaya tarik 30 pelajar

SHAH ALAM, 12 OGOS: Program Trek Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa berjaya menarik hampir 30 pelajar walaupun baru dilancarkan hujung Julai lalu.

Ahli Dewan Negeri berkata program itu membimbing pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan dan lepasan SPM tahun lalu mendapat tempat di institut pengajian tinggi awam (IPTA).

“Menjadi satu tanggungjawab kita bagi memastikan anak muda dibimbing agar mereka berada di trek yang betul supaya mendapat peluang melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi.

“Sehingga kini, seramai sembilan pelajar lepasan SPM 2019 berjaya dibimbing,” kata Dr G Gunarajah dalam kenyataan.

Beliau menambah program yang dijalankan setiap Selasa, jam 7 petang di Pusat Khidmat Masyarakat Sentosa terus memberi khidmat nasihat dan bimbingan kepada pelajar.

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

109,617 lepasan SPM ditawar lanjut pengajian

PUTRAJAYA, 3 JUN: Seramai 109,617 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 ditawarkan ke Universiti Awam (UA), Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi (KM), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) bagi melanjutkan pengajian bagi sesi akademik 2020/2021, demikian menurut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Mereka ditawarkan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sijil/asasi/matrikulasi/diploma dan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) serta Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Universiti Teknologi Mara (UiTM).

KPT memaklumkan surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) berkaitan kepada calon yang berjaya mulai esok (4 Jun) dan calon perlu membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh lima hari iaitu selewat-lewatnya 8 Jun ini.

“Pengesahan setuju terima tawaran dan surat tawaran boleh dicetak melalui laman web IPTA,” menurut KPT dalam satu kenyataan hari ini.

KPT memberitahu tarikh pendaftaran pelajar baharu adalah mulai 5 Jun ini hingga 4 Januari 2021 mengikut IPTA masing-masing.

KPT mengatakan ia mengamalkan prinsip meritokrasi dalam pengambilan pelajar dan berdasarkan prinsip itu, semua calon yang layak dengan markah merit tertinggi tanpa mengira kaum, agama, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal diberi peluang untuk mengikuti pengajian di IPTA.

“Tiada sistem kuota diguna pakai dan sistem ini telah digugurkan semenjak sesi pengambilan 2002/2003,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPT, tawaran tempat bagi sesi akademik 2020/2021 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran tidak dibenarkan.

Calon yang tidak menerima sebarang tawaran atau gagal boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline di http://upu.moe.gov.my yang akan dibuka dalam tempoh lima hari bekerja mulai hari ini pukul 12.00 tengah hari hingga 10 Jun 2020 pukul 5.00 petang.

“Dasar pemilihan rayun pelajar adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan,” menurut KPT.

Bahagian kemasukan pelajar IPTA Jabatan Pendidikan Tinggi (BKPA JPT) membuka kemudahan talian hotline mulai hari ini hingga 10 Jun 2020 dari pukul 8.30 pagi hingga 4 petang untuk memudahkan pemohon membuat semakan dan mendapatkan khidmat runding cara.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

UNISEL tubuh jawatankuasa bincang tukar status IPTA

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 JUL: Universiti Selangor (UNISEL) menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengkaji penukaran statusnya kepada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, kajian dibuat melalui pelbagai sudut positif mahupun negatif.

“Sekiranya UNISEL bertukar dari status Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) kepada IPTA, sudah tentu ia membawa pelbagai kelebihan, namun kos yang tinggi membuatkan perkara terbabit perlu dikaji dengan lebih mendalam.

“Walaupun Selangor ini sebuah negeri yang kaya, namun kos bagi membiayai sebuah IPTA semakin meningkat saban tahun,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, janji bagi melaksanakan UNISEL menjadi IPTA sudah dibuat pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) yang lalu.

“Disebabkan itu kita membuat kajian terlebih dahulu sebelum melaksanakannya, dan laporan kajian penukaran status ini akan diserahkan kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik secepat mungkin.

“Seterusnya kementerian akan membuat penilaian semula terhadap kajian ini, sekiranya UNISEL berjaya menjadi sebuah IPTA, maka kita juga akan membuat program pendidikan percuma yang mana ia menelan belanja daripada RM10 juta hingga RM100 juta setahun.

“Kos ini bukan sahaja untuk pendidikan tetapi termasuk pembangunan, kos kakitangan dan sebagainya,” katanya.

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

182,409 lulusan SPM 2017 ditawar ke IPTA

OLEH SHEEDA FATHIL
SHAH ALAM, 31 MEI :  Seramai 182,409 lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 mendapat tawaran ke program pra universiti, sijil dan diploma di universiti awam, politeknik serta institut latihan kemahiran asas di seluruh negara bagi sesi akademik 2018-2019 pengambilan Jun.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, jumlah berkenaan termasuk 17,338 daripada keluarga berpendapatan rendah B40, 299 orang kelainan upaya (OKU), 348 Orang Asal dan 1,225 atlet sukan.
“Jumlah ini adalah peningkatan 22 peratus berbanding tahun lalu kerana kerajaan hanya menawarkan sekitar 149,000 tempat sahaja,” katanya memetik laporan BERNAMA.
Dr Maszlee berkata, beliau dimaklumkan wujudnya rintihan dalam kalangan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang, namun tidak diterima di IPTA walaupun kerajaan sudah memastikan semua yang layak dapat melanjutkan pelajaran.
“Saya ingin menjelaskan bahawa kerajaan berpegang dengan sikap bahawa kita akan cuba membantu semua pelajar yang layak daripada segi akademik dan mempunyai keperluan untuk dibantu,” katanya.
Beliau berkata, jika ada pihak yang tidak berpuas hati, maka mereka disarankan untuk merayu kepada Jabatan Pendidikan Tinggi dan beliau memberi jaminan semua rayuan akan diberi perhatian adil serta saksama.
“Kita tidak akan sesekali mendiskriminasi sesiapa tetapi ibu bapa perlu membuat rayuan supaya kita tahu kes yang wujud dan akan cuba membantu,” katanya.
Categories
NASIONAL

Tiada halangan pendidikan percuma jika tiada ketirisan

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 14 NOV: Pendidikan percuma boleh diberikan di semua peringkat jika amalan ketirisan,
kebocoran dan rasuah di negara ini berupaya diatasi.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pelaburan adalah masa depan terpenting sesebuah negara yang boleh membantu meringankan beban rakyat.

Beliau turut membandingkan usaha Selangor yang memberi pembiayaan pendidikan di semua peringkat pendidikan, di sebalik keadaan ekonomi yang semakin mencabar.

“Kebanyakan sekolah kerajaan di peringkat rendah mahupun menengah kini bergantung kepada sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), bukan sahaja untuk melakukan pelbagai aktiviti pelajar, malah operasi sekolah disebabkan pemotongan belanjawan pendidikan.

“Kecoh sebelum ini sekolah yang sepatutnya menyediakan pendidikan percuma hingga ke tahap meminta kertas A4 daripada pelajar dan guru, meminta sumbangan ibu bapa untuk cetak kertas peperiksaan dan menanggung kos guru gantian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian ekoran kenyataan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah yang mendakwa pendidikan negara dari peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah dikategorikan sebagai percuma.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, anak muda daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana yang ingin melanjutkan pelajaran kini terpaksa berhutang dengan pinjaman faedah tinggi.

Katanya, bilangan institut pengajian tinggi swasta yang semakin bertambah turut menyebabkan majoriti rakyat bergantung kepada IPTS yang kosnya lebih tinggi.

“Jumlah biasiswa semakin berkurangan hingga pelajar miskin dan pertengahan menjadi mangsa.

“Bandingkan dengan zaman Tun Razak kerana walaupun negara tidak kaya, kita memberi tumpuan kepada pendidikan dengan pembukaan sekolah berasrama penuh, asrama yayasan negeri dan MRSM.

“Bagi sektor pendidikan tinggi, IPTA baru dibina, sementara biasiswa dalam dan luar negara digandakan,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Kos lanjut pelajaran makin tinggi, tempat di IPTA makin terhad

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 20 JAN: Langkah Kerajaan memotong peruntukan bagi sektor pendidikan menyebabkan yuran pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) semakin mahal hingga menjejaskan golongan miskin untuk melanjutkan pelajaran.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, IPTA juga terpaksa menghadkan pengambilan pelajar baru.

“Kalau kita lihat 2015 peruntukan untuk 20 IPTA di Malaysia sebanyak RM8.97 bilion, 2016 dikurangkan sebanyak RM7.57 bilion sebelum 2017 dikurangkan lagi sebanyak RM6.12 bilion. Jumlah pemotongan keseluruhan adalah RM2.85 bilion ringgit.

nik-nazmi“Pada masa sama kita telah melihat satu kesan yang serius apabila pemotongan ini menyebabkan IPTA tidak dapat menyediakan tempat secukupnya untuk pelajar di negara kita.

“Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) ada Panel Penasihat Pendidikan Tinggi di mana saya salah seorang daripada anggotanya dan kita telah menerima begitu banyak aduan orang ramai yang anak-anaknya tidak mendapat tempat di dalam IPTA untuk menyambung pelajaran walaupun mendapat 7A dan 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Nik Nazmi berkata demikian pada Forum Pendidikan Percuma Penyelesaian Kemelut PTPTN di Rumah Gerakbudaya di sini, baru-baru ini.

Jelasnya, keadaan ini menyebabkan golongan terbabit tidak mempunyai pilihan lain selain menyertai IPTS yang mengenakan yuran lebih tinggi untuk melanjutkan pelajaran masing-masing.

Katanya lagi, IPTS pula mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan yang tinggi ke atas keadaan ini dengan mengenakan yuran yang tinggi.

“Mereka tidak ada pilihan melainkan terpaksa ke IPTS dan IPTS mengambil peluang ini untuk mendapatkan wang yang mudah daripada kerajaan disebabkan mereka tak perlu bersaing mendapat bayaran daripada mahasiswa apabila semuanya dibayar dahulu oleh PTPTN yang kemudiannya ditanggung pihak Kerajaan yang akan dikutip daripada graduan ini kemudiannya,” katanya lagi.

-nR-