Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Panas terik: Tujuh kawasan di Semenanjung catat gelombang haba tahap kuning

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Tujuh kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan gelombang haba tahap kuning atau berjaga-jaga setakat 4.30 petang semalam, demikian menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Jabatan itu memaklumkan, lokasi itu ialah Chuping, Perlis; Kota Setar, Kedah; Kuala Kangsar, Perak; Sepang, Selangor; Alor Gajah, Melaka serta Tangkak dan Batu Pahat di Johor.

Sementara itu, tiada gelombang haba dikesan di Sabah dan Sarawak dan semua kawasan di dua negeri itu merekodkan suhu maksimum harian kurang 35 darjah Celsius bagi tempoh sama.

Tahap kuning merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Status tahap jingga atau ‘heatwave’ pula ialah apabila mencatat suhu maksimum harian 38 hingga 40 darjah Celsius dan tahap merah (kecemasan) untuk suhu melebihi 40 darjah Celsius, masing-masing bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Dalam pada itu, setakat 12 tengah hari ini bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di kebanyakan kawasan di Semenanjung adalah paras sederhana dengan daerah Rompin, Pahang mencatat bacaan tertinggi iaitu 92, manakala rata-rata lokasi di Sabah dan Sarawak pula IPU pada paras baik.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas (berbahaya).

MetMalaysia sebelum ini memaklumkan negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan hingga pertengahan bulan ini, dengan taburan hujan agak rendah di Semenanjung terutama di negeri-negeri utara.

Bagaimanapun, jabatan itu tidak menjangkakan keadaan cuaca panas luar biasa berlaku pada tahun ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Johan Setia catat bacaan kualiti udara tidak sihat pagi ini

SHAH ALAM, 4 MAC: Johan Setia, Klang satu-satunya kawasan di negeri ini yang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu 105, setakat jam 10 pagi.

Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia, kawasan lain yang merekodkan IPU sederhana ialah Petaling Jaya (85), Banting (84) dan Klang (80).

Sementara Shah Alam dan Kuala Selangor masing-masing mencatat bacaan 77.

Keadaan sedikit berjerebu di Lembah Klang berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah gambut di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan seluas 34 hektar sejak 24 Februari lalu.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas (berbahaya).

Categories
AGENSI SELANGOR

Lima lokasi di Selangor catat kualiti udara sederhana

SHAH ALAM, 6 JULAI: Lima lokasi di Selangor merekodkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) pada tahap sederhana sehingga jam 8 pagi ini.

Menurut laporan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), lokasi tersebut ialah Johan Setia, Klang dengan bacaan 72, Kuala Selangor (68), Petaling Jaya (62), Klang dan Shah Alam (60). Hanya Banting mencatatkan bacaan baik iaitu 50.

IPU pada kadar 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Malaysia dijangka tidak dilanda jerebu susulan tidak banyak titik panas dikesan di Sumatera atau Kalimantan, Indonesia pada 3 Julai lalu, yang berpunca daripada aktiviti pembakaran hutan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Jailan Simon berkata pihaknya cuma mengesan sekitar tujuh titik panas di kawasan tengah dan timur Kalimantan.

Setakat ini, kira-kira 1.6 juta hektar hutan dilaporkan terbakar di Kalimantan dan disifatkan terburuk sejak 2015 sehingga kerajaan Indonesia terpaksa mengisytiharkan darurat pada 1 Julai lalu.

Bacaan IPU boleh disemak melalui pautan apims.doe.gov.my

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA BERITA UTAMA NASIONAL

Jerebu rentas sempadan dijangka tidak berlaku dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Jerebu rentas sempadan dari arah timur dan tengah Kalimantan, Indonesia dijangka tidak melanda negara dalam masa terdekat, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Pemantauan berdasarkan Asean Specialized Meteorological Centre (ASMC) semalam menunjukkan terdapat tiga titik panas dikesan di Kalimantan dan 12 lagi di Sumatera, Indonesia.

“Berdasarkan kepada bilangan dan kedudukan titik panas serta arah tiupan angin itu, menunjukkan bahawa tiada pencemaran jerebu rentas sempadan sedang dan dijangka berlaku dalam masa terdekat.

“Pada masa ini, keadaan kualiti udara di seluruh negara dalam keadaan biasa dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dicerap Jabatan Alam Sekitar menunjukkan kategori baik dan sederhana,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, MetMalaysia memberitahu keadaan itu tidak bermakna jerebu tidak akan melanda negara kerana biasanya kejadian jerebu rentas sempadan masih boleh melanda pada Ogos dan September sekiranya kebakaran terbuka tidak terkawal.

MetMalaysia juga akan memantau keadaan itu secara berterusan dan melaporkan dari semasa ke semasa jika terdapat sebarang kejadian signifikan dan dalam masa sama orang ramai dinasihatkan meminum air secukupnya bagi mencegah dehidrasi selain mengelakkan pembakaran terbuka pada setiap masa.

Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi dan laman media sosial MetMalaysia serta aplikasi myCuaca manakala maklumat IPU boleh didapati dalam laman www.apims.doe.gov.my.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kualiti udara bertambah baik hari ini

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Hujan di beberapa negeri hari ini menyumbang kepada kualiti udara yang semakin baik di seluruh negara dengan keseluruhan kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di bawah 100, iaitu paras sederhana.

Berdasarkan bacaan IPU terkini di portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat 5 petang tadi, bilangan kawasan yang mencatatkan kualiti udara baik juga meningkat daripada hanya dua kawasan tengah hari tadi kepada enam tempat.

Enam lokasi berkenaan ialah Jerantut dan Indera Mahkota, Pahang; Paka dan Besut, Terengganu; Keningau, Sabah dan Tanjung Malim, Perak yang mencatatkan bacaan paling rendah iaitu 33.

Bacaan IPU yang paling tinggi direkodkan setakat ini adalah di Johan Setia Klang, Selangor iaitu 84, yang masih di paras sederhana.

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini, meramalkan keadaan jerebu yang melanda negara sejak dua minggu lepas akan beransur pulih susulan fasa peralihan monsun yang bermula pada 24 September.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

IPU Johan Setia hampir sangat tidak sihat

SHAH ALAM, 22 SEPT: Kualiti udara di Johan Setia, Klang hampir merekodkan bacaan sangat tidak sihat sehingga jam 8 pagi ini, iaitu pada paras 193.

Sementara bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di lima lokasi lain di Selangor pada tempoh sama mencatatkan kualiti udara tidak sihat.

Kuala Selangor mencatatkan bacaan 152, Petaling Jaya (148), Shah Alam (143), Klang (131) dan Banting (116).

Sehingga kini, IPU di Sri Aman Sarawak serta beberapa daerah lain mula menunjukkan penurunan ekoran operasi pembenihan awan yang berjaya dilakukan, semalam.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Categories
AGENSI SELANGOR

Bacaan IPU di Selangor kembali meningkat

SHAH ALAM, 21 SEPT: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di enam lokasi di Selangor didapati semakin meningkat sejak 6 pagi tadi, melalui laman sesawang Laporan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), hari ini.

Sehingga jam 1 petang, bacaan IPU di Johan Setia Klang ialah 154, meningkat berbanding 6 pagi tadi, iaitu 139.

Klang pada awalnya mencatatkan kualiti udara sederhana, namun berubah kepada tidak sihat iaitu 103, sementara di Petaling Jaya (145), Shah Alam (125) dan Banting (118).

Hanya Kuala Selangor menunjukkan kualiti udara sederhana iaitu 87.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Empat lokasi di Selangor catat kualiti udara sangat tidak sihat

SHAH ALAM, 18 SEPT: Empat lokasi di Selangor termasuk Petaling Jaya, Klang, Shah Alam dan Johan Setia (Klang) merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat, pada pagi ini.

Bacaan IPU di Shah Alam, Petaling Jaya dan Klang sebelum ini menunjukkan kualiti udara tidak sihat, namun semakin memburuk sejak 12 tengah malam tadi.

Rekod menunjukkan sehingga 6 pagi ini, Johan Setia, Klang (249), Shah Alam (218), Petaling Jaya (201) dan Klang (202) sementara Kuala Selangor (190) dan Banting (186) masih dalam keadaan berjaga-jaga.

IPU 0-50 bermaksud kualiti udara yang baik, 51-100 adalah sederhana, 100 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala 300 dan ke atas memberi amaran berbahaya untuk kesihatan.

Categories
BERITA UTAMA

Kualiti udara di Johan Setia semakin buruk

SHAH ALAM, 17 SEPT: Laporan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) bagi kawasan Johan Setia, Klang didapati semakin meningkat dari 222 pada 11 malam tadi kepada 235, pada 10 pagi ini.

Sementara bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Klang pula semakin membimbangkan iaitu pada paras 196 menghampiri tahap udara sangat tidak sihat.

Kuala Selangor dan Banting mencatatkan bacaan 181, Shah Alam (173) dan Petaling Jaya (163), sekali gus mencatatkan kualiti udara tidak sihat.

Semalam Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari memaklumkan sebanyak 145 sekolah di daerah Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Petaling Perdana ditutup hari ini ekoran keadaan jerebu yang semakin serius.

Penutupan sekolah itu membabitkan 23 sekolah di Sepang, 36 (Hulu Langat), 21 (Kuala Langat), 27 (Klang) dan 38 sekolah di Petaling Perdana.

Seramai 187,928 pelajar terbabit dalam penutupan sekolah berkenaan dan pentadbir sekolah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

JAS: Tiada stesen catat kualiti IPU tahap baik

PUTRAJAYA, 13 SEPT: Tiada stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik setakat pukul 11 pagi tadi, dengan satu stesen iaitu di Johan Setia, Klang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat iaitu 213, lapor Jabatan Alam Sekitar (JAS), hari ini.

JAS dalam kenyataan berkata, keadaan di Johan Setia itu disebabkan oleh jerebu merentas sempadan dan beberapa kejadian kebakaran di kawasan belukar dan kebun persendirian seperti di Jalan 4B, Johan Setia dan Jalan Sungai Tengkorak, Kg Teluk Gong, Klang.

Bandar raya Shah Alam masih ditahap tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 139 ketika dirakam pada 12 tengahari, pada 13 September 2019. Foto – HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Menurut JAS, sebanyak 29 sekolah di Selangor ditutup hari ini berikutan keadaan jerebu di Lembah Klang masih belum berkurangan.

“Kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat, selatan dan timur Semenanjung Malaysia dan bahagian barat Sarawak,” kata JAS.

Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura semalam, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 mengesan 221 titik panas di Sumatera, 1,307 titik panas di Kalimantan, dan 20 titik panas di Malaysia iaitu Johor (empat), Melaka (dua) dan Sarawak (14).

Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan ASMC semalam, menunjukkan terdapat lingkaran asap jerebu dari kawasan kebakaran di timur, barat, tengah dan selatan Kalimantan, Indonesia dan di Jambi, Riau, Sumatera Selatan dan Lampung di Sumatera.

Kebakaran hutan tanah gambut di daerah Pelalawan sebuah wilayah di Pulau Sumatra yang menjadi jiran Singapura dan Malaysia pada 2 Ogos 2019. Foto AFP

“Arah pergerakan angin dari arah Barat Laut telah membawa asap jerebu dari kawasan Kalimantan dan Sumatera yang terjejas ke kawasan bahagian barat Sarawak dan seluruh Semenanjung Malaysia dan memberi peningkatan kepada bacaan IPU di kawasan-kawasan tersebut,” kata JAS.

Sebanyak 25 stesen mencatatkan IPU pada tahap tidak sihat sehingga pukul 11 pagi tadi manakala 42 stesen pula mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Stesen dengan IPU pada tahap tidak sihat ialah Sungai Petani, Kedah (111); Kulim Hi-Tech, Kedah (109); Seberang Jaya, Pulau Pinang (107); Minden, Pulau Pinang (114); Balik Pulau, Pulau Pinang (111) ; Tasek Ipoh, Perak (120); Pegoh Ipoh, Perak (103) ; Seri Manjung, Perak (126); Batu Muda, Kuala Lumpur (154); Cheras, Kuala Lumpur (146); Putrajaya, (142), Kuala Selangor, Selangor (103).

Petaling Jaya, Selangor mencatatkan IPU 141; Shah Alam, Selangor (136); Klang, Selangor (129); Banting, Selangor (126); Nilai, Negeri Sembilan (128); Seremban, Negeri Sembilan (107) ; Port Dickson, Negeri Sembilan (104); Bukit Rambai, Melaka (105); Bandaraya Melaka, Melaka (107); Segamat, Johor (107); Batu Pahat, Johor (102); Rompin, Pahang (168) dan Tangkak, Johor (134).

Proses membakar jerami adalah satu proses biasa yang dilakukan sebagai langkah memastikan tanah sawah kekal subur.
Selain itu, sisa pembakaran iaitu abu jerami dijadikan sebagai baja organik untuk kesuburan tanah tersebut.
– Foto BERNAMA

JAS menasihati orang ramai untuk tidak menjalankan aktiviti luar seperti sukan dan majlis perayaan yang mendedahkan orang awam kepada udara tidak sihat.

“Orang ramai diingatkan tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,” katanya.

Perintah larangan berhubung pembakaran terbuka telah dikeluarkan Ketua Pengarah JAS pada 11 September lalu.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jerebu: Johan Setia kekal sangat tidak sihat

SHAH ALAM, 13 SEPT: Johan Setia kekal sebagai kawasan tunggal di Selangor merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di paras sangat tidak sihat dengan bacaan 221 setakat jam 1 petang tadi.

Menurut IPU di portal Jabatan Alam Sekitar, lima kawasan di Selangor direkodkan pada paras tidak sihat iaitu Petaling Jaya (146), Shah Alam (140), Klang (136), Banting (132) dan Kuala Selangor (103).

Semalam, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor mengarahkan 29 sekolah di Klang dan Kuala Langat ditutup ekoran masalah pencemaran udara ini.

Bacaan di Kuala Lumpur dan Putrajaya juga menunjukkan tidak sihat membabitkan kawasan Batu Muda (159), Cheras (154) dan pusat pentadbiran negara pula 148.

Sebanyak 19 kawasan di negeri lain turut merekodkan bacaan tidak sihat.

Di Kedah dua kawasan mencatatkan IPU tidak sihat, Pulau Pinang (3), Perak (3), Negeri Sembilan (3), Melaka (3), Johor (3) dan Pahang (2).

Bagaimanapun, keadaan di Sarawak semakin pulih dengan semua 13 kawasan mencatatkan IPU sederhana.

Berdasarkan rekod, bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Orang ramai boleh merujuk laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) di http://apims.doe.gov.my/public_v2/api_table.html.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Laksana pembenihan awan di kawasan IPU lebih 200

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 13 SEPT: Kerajaan Negeri mengambil ketetapan untuk melaksanakan operasi pembenihan awan di kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200, iaitu ditahap sangat tidak sihat.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, langkah itu dipersetujui Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), semalam.

Katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah dan negeri juga perlu diaktifkan apabila IPU mencatatkan bacaan antara 151-200 (melebihi 24 jam) iaitu tahap tidak sihat selain membekalkan dust mask (penutup muka) kepada orang awam.

“Semua sekolah, tadika dan taska diarah tutup serta merta sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan melebihi 200 selepas mendapat pengesahan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

“Bagi menangani masalah jerebu ini, Kerajaan Negeri mengunapakai Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan yang dikeluarkan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Loy Sian turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa dan tidak melakukan pembakaran terbuka selain bekerjasama memadam kebakaran kecil.

Sebahagian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 1, Bandar Kinrara, Puchong, memakai topeng hidung dan mulut sebagai langkah keselamatan ekoran keadaan jerebu pada tahap tidak sihat pada 12 September 2019.-Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar rumah dan mengikuti makluman IPU semasa yang boleh dimuat turun melalui aplikasi MyIPU untuk maklumat kualiti udara bagi semua stesen pemantauan di seluruh negara.

“Untuk mendapatkan maklumat IPU semasa di kawasan masing-masing, orang ramai boleh memuat turun aplikasi MyIPU daripada Google Play atau App Store secara percuma di telefon pintar atau melalui laman sesawang JAS www.doe.gov.my atau apims.doe.gov.my,” katanya.

Tahap bacaan IPU Baik (bawah 50), Sederhana (IPU 51 hingga 100), Tidak Sihat (IPU 101 hingga 200), Sangat Tidak Sihat (IPU 201 hingga 300) dan Berbahaya (IPU melebihi 300).

Orang awam yang mahu menyalurkan maklumat berkaitan pembakaran terbuka juga boleh menghubungi JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau Ibu Pejabat JAS Malaysia (03-88712000) atau menghubungi Bilik Kawalan JAS Selangor (03-55197233).