Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Program jualan prihatin lebih kerap, ringan beban rakyat ketika Ramadan

AMPANG, 12 MAC: Program jualan prihatin rakyat akan dijalankan lebih kerap di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) sepanjang Ramadan nanti, kata EXCO pertanian.

Ir Izham Hashim berkata keperluan makanan lain yang dijual pada harga lebih rendah daripada pasaran akan ditambah sebagai langkah meringankan beban penduduk.

“Selepas sidang Dewan Negeri Selangor, kita akan meneliti perkara ini melibatkan kekerapan lokasi serta penjualan keperluan lain. Sebelum ini kita kenal pasti 62 lokasi.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim bercakap kepada Media Selangor ketika meninjau Program Jualan Prihatin Rakyat di Jalan Pandan 8, Pandan Jaya pada 12 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Sepanjang dua minggu program berlangsung, sambutannya sangat baik. Penduduk memang minta ia dijalankan lebih kerap terutama sepanjang Ramadan jadi kita akan lihat perkara ini,” katanya selepas turun padang ke program di Jalan Pandan 8, Pandan Jaya di sini hari ini.

Jelasnya, penentuan kekerapan lokasi program diutamakan ke kawasan didiami golongan berpendapatan rendah.

Hari ini program bermula 27 Februari hingga menjelang Aidilfitri turut berjalan di Kampung Melayu Subang, Subang dan Jalan Permai 2, Tasik Permai.

Ia diteruskan esok di Jalan GP2A, Gombak Permai, Dewan Beringin, Taman Seri Gombak dan Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Hujan lebat punca cerun tidak stabil, ratusan berisiko runtuh

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Kerajaan Selangor mengenal pasti lebih 150 cerun yang berisiko tinggi untuk berlaku tanah runtuh terutama sekitar Gombak, Ampang dan Hulu Langat.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Ir Izham Hashim berkata cerun terbabit yang dikenal pasti menjadi tidak stabil akibat air hujan melampau sehingga menjejaskan kawasan itu.

Beliau berkata sebahagian besar cerun berisiko dikenal pasti selepas banjir di Selangor pada Disember lepas.

“Kita sudah minta Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia menjalankan pemantauan dengan lebih meluas dan dengan teknologi yang ada sekarang, kejadian tanah runtuh seperti ini dapat diminimumkan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang hari ini.

Mengulas kejadian tanah runtuh itu, Izham berkata kawasan tersebut tidak termasuk dalam senarai cerun yang berisiko.

“Kebiasaannya apabila berlaku kejadian tanah runtuh, akan ada petunjuk seperti keretakan dan runtuhan sedikit tetapi dalam kejadian di Taman Bukit Permai 2, tiada indikasi serta berlaku secara mengejut,” katanya.

Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini petang semalam meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Izham turut menolak kemungkinan kejadian bongkah batu yang terjatuh dari bukit berhampiran Pangsapuri Intan, Taman Bukit Permai pada 9 Mac lepas adalah petunjuk awal insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2.

Beliau juga berkata kejadian bongkah batu terjatuh berhampiran pangsapuri berlaku kira-kira empat kilometer dari lokasi insiden tanah runtuh semalam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EXCO NASIONAL SELANGOR

myGAP: Video animasi bantu promosi hasil pertanian berkualiti

SEPANG, 1 MAC: Kerajaan Selangor melancarkan video animasi mengenai Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) hari ini bagi mempromosi hasil tanaman berkualiti kepada orang ramai.

EXCO pertanian berkata inisiatif berkenaan turut menggalakkan petani mengamalkan kaedah penanaman sistematik sekali gus mengeluarkan hasil yang selamat untuk dimakan.

Ir Izham Hashim berkata setakat ini sebanyak 1,487 ladang di Selangor sudah menerima sijil berkenaan dan sebahagian besar hasil pertanian yang dikeluarkan adalah berkualiti.

“Sebab itu kita mahu lebih ramai lagi petani mendapatkan sijil myGAP. Apabila hasil yang dikeluarkan berkualiti, permintaan dari pengguna juga akan meningkat, sekali gus menambah pendapatan mereka.

“Justeru, kita sasarkan 380 lagi sijil myGAP dikeluarkan tahun ini. Jabatan pertanian akan merangka beberapa strategi bagi memastikan hasrat itu tercapai,” katanya selepas melancarkan video berkenaan di sini hari ini.

Jelas Izham sebanyak 36 ladang pertanian dan penternakan yang mengamalkan konsep organik turut mendapat sijil myOrganic, selain enam ladang lebah dan kelulut berjaya menerima myGAP AM.

Dalam majlis sama, beliau turut menyerahkan bantuan awal RM500,000 kepada 250 petani yang terjejas banjir pada Disember tahun lalu.

Categories
BERITA UTAMA EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Negeri tawar bantuan peranti buat petani, boleh mohon hingga Isnin

SHAH ALAM, 22 FEB: Kerajaan Negeri menawarkan bantuan peranti melalui Program Agro Prihatin kepada warga tani berpendapatan RM2,000 sebulan atau ke bawah.

Inisiatif meliputi 100 komputer riba dan 50 tablet boleh dimohon secara dalam talian mulai semalam hingga 28 Februari, kata EXCO Pertanian Ir Izham Hashim.

Beliau menjelaskan pemohon mesti terlibat secara aktif dalam aktiviti pertanian, perikanan, penternakan dan industri asas tani selain mendaftar bawah agensi negeri.

“Mereka juga harus memiliki ahli keluarga yang menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) pada tahun ini,” katanya di Facebook.

Ir Izham berkata tawaran berkenaan hanya untuk warganegara yang menetap di Selangor lebih 10 tahun.

Permohonan boleh dibuat melalui pautan https://forms.gle/XA58S6GFMzmijovS7 manakala e-mel pertanyaan kepada [email protected] atau [email protected].

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Tiga beradik hilang ibu akibat digilis lori dibantu ADN Pandan Indah

SHAH ALAM, 3 FEB: Nasib tiga beradik yang kehilangan ibu kandung akibat digilis lori tiga tan di Lebuhraya Sungai Besi minggu lalu mendapat perhatian Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandan Indah.

Ir Izham Hashim bersama kakitangan pusat khidmat masyarakat menziarahi keluarga mangsa di Flat Taman Bakti, Pandan Indah sejurus dimaklumkan kejadian tersebut.

Dalam kenyataan di Facebook, beliau berkata ketiga-tiga beradik itu masih bersekolah dan menetap bersama nenek yang uzur sementara menuggu bapa mereka mendapat hak penjagaan di mahkamah.

“Insya-Allah, saya akan membantu keluarga ini mendapatkan rumah yang lebih selesa memandangkan bapa kandung mereka kini mempunyai keluarga lain dan berpendapatan rendah,” katanya.

Ir Izham yang juga EXCO Kerajaan Negeri turut menyerahkan bantuan tunai dan barangan keperluan asas bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

“Semoga mereka dipermudahkan urusan, mendapat rahmat dari Allah SWT dan semoga roh ibu mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya.

Mangsa Wan Nurfarahin Mohd Radzi, yang juga ketua jururawat pergigian hospital swasta dilaporkan terjatuh apabila motosikal yang ditunggang dilanggar sebuah lori tiga tan sebelum digilis.

Menurut laporan media, pemandu lori terbabit mendakwa tidak sedar telah melanggar dan menggilis mangsa dalam kejadian di Lebuhraya Sungai Besi.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor teliti bantuan kepada petani, penternak terjejas bah

SHAH ALAM, 1 FEB: Kerajaan Negeri akan meneliti bentuk bantuan sesuai diberikan kepada petani dan penternak yang terjejas banjir pada Disember tahun lalu.

EXCO pemodenan pertanian dan industri asas tani berkata jenis kerosakan akan dinilai bagi memastikan golongan terbabit dapat mengusahakan kembali tanaman dan ternakan mereka.

Bagaimanapun, Ir Izham Hashim menjelaskan setakat ini pihaknya belum menerima sebarang permohonan bantuan daripada pihak berkaitan.

“Memang ada (petani dan penternak terjejas banjir), namun kita perlu menunggu aduan rasmi daripada agensi atau jabatan bertanggungjawab.

“Rasanya selepas Tahun Baharu Cina nanti baru ada (permohonan). (Jika ada) kita akan tengok jenis kerosakan mereka alami,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Pada 9 Jun tahun lepas, petani dan penternak negeri ini yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibantu dengan peruntukan lebih RM13 juta.

Inisiatif sebahagian daripada Pakej Kita Selangor 2.0 merangkumi RM10 juta untuk program jaminan bekalan makanan, program Agro Prihatin (RM1.5 juta) dan program peningkatan hasil (RM1.93 juta).

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banjir: Pembaikan jalan, tebing di Hulu Langat siap sebulan lagi

SHAH ALAM, 22 JAN: Kerja baik pulih jalan dan tebing sungai yang rosak sekitar Hulu Langat akibat banjir Disember tahun lalu siap sebulan lagi, kata EXCO infrastruktur.

Menurut Ir Izham Hashim, sebanyak 91 lokasi tanah runtuh dikenal pasti di seluruh negeri dengan 62 daripadanya serius dan perlu dibaik pulih segera.

“Insya-Allah, kerja-kerja baik pulih jalan dan tebing sungai sekitar Hulu Langat ini akan siap sepenuhnya dalam jangka masa sebulan lagi.

“Kerajaan Negeri akan sentiasa berterusan membantu rakyat yang terkesan bencana ini,” katanya selepas meninjau kerja pembaikan cerun dan tanah runtuh di Genting Peras, Hulu Langat kelmarin.

Beliau menambah Kerajaan Negeri menampung sekitar RM500 juta bagi membaik pulih kerosakan infrastruktur susulan bah teruk, yang dibuat secara berfasa.

Pada 7 Januari lalu, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan segera berjumlah RM40.88 juta bagi melaksanakan projek pembersihan dan pemulihan infrastruktur yang terjejas akibat banjir.

Projek tersebut dikelolakan Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Kerja Raya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Banjir: Wakil rakyat Pandan Indah sumbang pelapik tidur, makanan kepada mangsa

SHAH ALAM, 3 JAN: Wakil rakyat Pandan Indah menyumbang 600 set pelapik tidur dan pek makanan kepada beberapa pusat operasi bencana alam (POBA) di Selangor hari ini.

Ir Izham Hashim berkata agihan dibuat bagi membantu mangsa banjir yang kehilangan harta benda dan keperluan asas susulan bencana dua minggu lalu.

“Alhamdulillah, selesai mengagihkan sumbangan set toto dan pek makanan kepada POBA Puchong, Shah Alam, Kota Raja, Kapar, Kuala Selangor dan Tanjong Karang.

“Semoga dengan sedikit sumbangan ini dapat meringankan beban mangsa banjir di Selangor,” katanya di Facebook.

Beliau yang juga EXCO  berkata pihaknya turut merancang untuk memberikan bantuan dapur gas kepada mangsa terlibat dalam masa terdekat.

“Insya-Allah, selepas ini saya sedang usaha untuk menyumbang set dapur gas pula,” tambah Ir Izham.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Projek rumah bukan punca banjir, tiada ban pecah di Taman Sri Muda

SHAH ALAM, 29 DIS: Kerajaan Negeri menafikan dakwaan banjir besar di Taman Sri Muda di sini berpunca ban pecah dan projek perumahan berhampiran pintu air.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata pemeriksaan mendapati tiada ban di kawasan itu yang pecah dan situasi berkenaan hanya berlaku di Kampung Lombong, namun segera dibaiki.

Menurutnya, projek perumahan itu pula mendapat kebenaran merancang pada 2015 dan diluluskan dua tahun kemudiannya selain mematuhi garis panduan antaranya jarak dengan rizab serta mempunyai kolam takungan.

“Seperti saya jelaskan beberapa kali dan semua orang sedia maklum, taburan hujan pada hari berkenaan amat tinggi.

“Ada ban atau tidak pun tetap berlaku banjir kerana taburan hujan tinggi, air dari Sungai Rasau yang bersambung dengan Sungai Klang melimpah,” katanya pada sidang media di pintu air Taman Sri Muda di sini hari ini.

Beliau menjawab dakwaan seorang pemimpin politik yang mendakwa banjir besar di Taman Seri Muda berpunca ban pecah dan projek perumahan berhampiran.

Izham berkata bagi menguranglan risiko banjir di Taman Sri Muda, Kerajaan Negeri sudah meluluskan pembinaan pintu air baharu seperti diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari baru-baru ini.

Jelasnya pintu air itu akan dilengkapi pam yang mampu mengepam keluar 5,100 liter air per saat.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Pintu air Taman Sri Muda, Shah Alam pada 29 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Paras air semua empangan dalam keadaan terkawal

SHAH ALAM, 27 DIS: Status semua empangan di Selangor berada tahap 100 peratus terkawal setakat jam 8 malam semalam, kata EXCO infrastruktur dan pertanian.

Ir Izham Hashim menerusi kenyataan memaklumkan paras air Empangan Batu, Semenyih, Klang Gates, Tasik Subang, Sungai Selangor dan Sungai Tinggi menunjukkan trend menurun kecuali Empangan Langat dan Sungai Labu.

Tambah beliau dua empangan iaitu Batu dan Klang Gates turut melaksanakan pelepasan air.

Berhubung status pemulihan bekalan elektrik, beliau berkata 1,361 daripada 1,407 pencawang yang terjejas akibat banjir sudah dipulihkan.

Baki pencawang dalam proses baik pulih melibatkan Shah Alam sebanyak 34 pencawang, Kuala Selangor (lima), Sepang (tiga), Banting (tiga) dan satu di Klang.

Bagi kawasan Taman Sri Muda, sebanyak 55 daripada 67 pencawang yang terkesan banjir dipulihkan.

Turut dalam proses baik pulih adalah menara telekomunikasi iaitu di Petaling (23), Klang (19), Kuala Selangor (14) dan Sepang (dua).

Selain itu beliau memaklumkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menerima dua aduan baharu kejadian tanah runtuh di Jalan Hamzah, Kampung Budiman Seksyen U14, Shah Alam dan Jalan BU 1/1, Taman Bukit Utama, Bukit Antarabangsa, Ampang.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir 177 kawasan surut, sembilan alami banjir termenung

SHAH ALAM, 26 DIS: Sebanyak 177 daripada 186 kawasan banjir di Selangor surut setakat jam 8 malam semalam, kata EXCO infrastruktur dan pertanian.

Ir Izham Hashim menerusi kenyataan memaklumkan sembilan kawasan yang masih banjir genang atau termenung ialah di Rancangan Tanah Belia Bukit Changgang dan Kampung Labohan Dagang di Kuala Langat.

Kawasan lain ialah di Kampung Bukit Hijau, Lorong Pisang, Jalan Lintang 1 dan Kampung Sungai Sireh di Kuala Selangor manakala tiga lagi di Gombak dan Sabak Bernam.

Selain itu beliau memaklumkan sebanyak enam jalan persekutuan di Petaling, Sepang, Gombak, Hulu Langat dan Hulu Langat masih ditutup susulan banjir minggu lalu. Turut ditutup lima jalan negeri di Hulu Langat dan Kuala Selangor.

Katanya, Jabatan Mineral dan Geosains juga mengesan 38 kes cerun dan tanah runtuh dengan tujuh kes kritikal.

Lokasi kritikal melibatkan Taman Nusa di Subang, Apartmen Teratai di Selayang, Jalan Bunga Anggerik di Taman Dataran Ukay, Jalan Melati 7 di Taman Seri Melati, Kampung Sepakat di Batu 16 Rawang, Jalan Haji Abdul Latif di Kampung Bukit Kapar dan Jalan 45B di Bukit D Kampung Cheras Baru.

Selain itu beliau memaklumkan 1,306  daripada 1,407 pencawang elektrik di seluruh negeri yang terjejas akibat banjir dipulihkan.

Baki 101 pencawang elektrik masih dalam proses baik pulih melibatkan kawasan Shah Alam (67 pencawang), Sepang (12 pencawang), Banting (11 pencawang) dan selebihnya di Klang dan Kuala Selangor.

Turut dalam proses baik pulih adalah 108 menara telekomunikasi iaitu di Klang (21 menara), Petaling (35 menara) dan Sepang (21 menara).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada bekalan elektrik sukarkan operasi, air dipam kurangkan banjir di Sri Muda

SHAH ALAM, 24 DIS: Ketiadaan bekalan elektrik di Taman Sri Muda menyebabkan pintu air tidak dapat beroperasi dengan sempurna, kata EXCO infrastruktur dan pertanian.

Ir Izham Hashim berkata ekoran kejadian itu menyebabkan pintu air perlu dibuka secara manual tetapi mungkin mengalami risiko kerosakan dan gagal berfungsi jika batang besi bengkok.

Menurutnya, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) juga berusaha mengepam air dari saliran utama sehingga paras seimbang bagi mengurangkan tekanan kepada pintu terbabit.

“Pengepaman air banjir di pintu air menggunakan empat unit pam bergerak dengan jumlah kapasiti 960 liter per saat sekali gus berjaya membantu mengurangkan banjir di Taman Sri Muda,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Kenyataan itu bagi menjawab laporan berita Free Malaysia Today baru-baru ini bertajuk “Calls For Repair of Pumps Went Unneeded – And The Floods Hit”.

Ir Izham berkata rumah pam kekal di Kolam Takungan Banjir Taman Sri Muda dan pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang tenggelam ketika banjir turut menyukarkan kerja pengepaman.

Bagaimanapun, katanya, kerjasama antara JPS dan TNB menyelesaikan pemasangan serta penyambungan bekalan elektrik kepada sistem rumah pam pada jam 5 petang semalam.

“Pada mulanya, empat unit pam telah diaktifkan dan kini hanya dua unit pam diaktifkan manakala dua unit dalam mod siap sedia berdasarkan keadaan aras banjir yang telah surut dan juga aras kolam takungan banjir kembali normal.

“Pengoperasian empat unit pam bergerak di pintu air Persiaran Budiman berjaya menurunkan aras banjir di Taman Sri Muda dan kini dihenti tugas berdasarkan keadaan yang sudah surut di lokasi tersebut,” katanya.

Kawasan Taman Sri Muda di sini antara yang terjejas teruk akibat banjir pada 18 Disember lalu.

Susulan kejadian itu, seramai 14 orang dilaporkan meninggal dunia setakat semalam manakala, ribuan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).