Categories
SELANGOR SENI

Ahmad Marzuki juarai Bintang Remaja Irama Malaysia

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 OKT: Masalah kesihatan dialami bapa, Nordin Yusof dijadikan pemangkin semangat Ahmad Marzuki mempamerkan persembahan terbaik sekaligus dinobatkan juara Pertandingan Bintang Remaja Irama Malaysia 2017.

Mendendangkan dua lagu bertajuk Dikir Puteri dan Nyayian Serambi, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang, Klang berusia 16 tahun itu berjaya membawa pulang RM2,000, trofi dan sijil penyertaan.

Pemuda berasal dari Kubang Kerian itu turut memenangi kategori Persembahan Terbaik dan membawa pulang wang tunai RM200.

Ketika ditemui beliau berhasrat menggunakan wang kemenangan itu menampung kos rawatan bapanya yang kini menghidap penyakit bengkak hati.

“Ini kali pertama saya menyertai pertandingan nyanyian bergenre irama Malaysia. Sebelum ini saya biasa menyanyikan lagu pop rock dan balada.

“Saya tidak sangka menang pertandingan ini. Mungkin sudah tertulis rezeki saya,” katanya.

Raja Intan Suhaila Raja Hassan yang mendendangkan lagu Nirmala dan Air Mata Hati pula dinobatkan selaku naib juara dengan membawa pulang hadiah RM1,500, trofi dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga dimenangi Noorhidayah Halim yang membawa pulang RM1,000, trofi dan sijil penyertaan.

Disamping itu, beliau turut memenangi kategori Busana Terbaik dan Penyokong Terbaik dengan membawa pulang wang tunai RM200 serta hamper.

Enam lagi peserta peringkat akhir membawa pulang hadiah saguhati bernilai RM500 setiap seorang dan sijil penyertaan.

Hadiah pertandingan yang dianjurkan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) disampaikan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah.

Sebelum ini, berlangsungnya pusingan saringan pada 14 Oktober lalu yang menyaksikan 20 orang peserta mendaftar dan 10 daripada mereka layak bersaing di peringkat akhir.

=EZY=