Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Isa Samad dihukum penjara enam tahun, denda RM15.45 juta

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 54 tahun dan denda RM15.45 juta terhadap bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selepas mendapati dia bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Bagaimanapun, Mohd Isa, 71, hanya perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun setelah Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu dijatuhi hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapinya dan mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Hakim Mohd Nazlan ketika membuat keputusan itu berkata hukuman dijatuhkan adalah bagi memberi peluang kepada pesalah melakukan pemulihan dan juga pengajaran untuk tertuduh dan orang lain supaya tidak melakukan kesalahan serupa.

“Mahkamah mengambil maklum latar belakang tertuduh dan rekod pentadbiran serta penglibatannya dalam politik negara di mana tertuduh telah berkhidmat sebagai menteri besar selama dua dekad dan juga sebagai menteri kabinet.

“Kesalahan berkaitan rasuah adalah serius yang mengugat ekonomi negara dan merupakan barah yang menjejaskan sistem demokrasi negara.

Beliau berkata mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapi tertuduh dan memerintahkan hukuman berjalan serentak.

“Mahkamah juga mengenakan denda lima kali jumlah suapan bagi setiap pertuduhan yang kesemuanya berjumlah RM15.45 juta dan sekiranya gagal membayar denda dikenakan penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan,” kata hakim itu.

Hakim Mohd Nazlan membenarkan permohonan Mohd Isa untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga pelupusan kes di Mahkamah Rayuan.

Hakim itu berkata mahkamah berpuas hati bahawa Mohd Isa berjaya mewujudkan keadaan istimewa bagi mahkamah membenarkan permohonan itu.

“Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta iaitu tertuduh perlu membayar RM700,000 sehingga jam 2 petang esok.

“Tertuduh juga perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 haribulan sehingga rayuan selesai,” kata hakim itu.

Terdahulu peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Mohd Isa berkata sekiranya pelaksanaan hukuman itu berkuatkuasa hari ini anak guamnya akan ditahan di penjara sementara rayuan.

“Oleh itu rayuan anak guam saya akan jadi sia-sia (sekiranya rayuan dibenarkan),” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Isa Samad bersalah atas sembilan tuduhan rasuah RM3 juta

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hari ini didapati bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam keputusannya mendapati pembelaan Mohd Isa, 71, hanya merupakan penafian semata-mata dan tertuduh juga gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

“Dengan ini, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munsabah terhadap tertuduh.

“Oleh itu, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata hakim Mohd Nazlan.

Hakim Mohd Nazlan berkata mahkamah juga mendapati pembelaan tertuduh bahawa saksi pendakwaan ke-21 (SP21) Muhammad Zahid Md Arip (bekas pegawai khas politik Mohd Isa) yang merupakan saksi berkepentingan telah mengenakan ‘implicated’ tertuduh di dalam kes ini, adalah difikirkan kemudian.

“Pembelaan tertuduh bahawa SP21 berkomplot dengan saksi lain untuk berkongsi wang RM2 juta adalah tidak bermerit dan tidak boleh diterima,” kata hakim itu.

Mohd Isa didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel, iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip, sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini, antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan menurut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz manakala peguam Datuk Salehuddin Saidin mengetuai barisan pembelaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Saksi: Isa tak minta kelulusan beli hotel daripada Lembaga Felda

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad tidak meminta kelulusan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak bernilai RM160 juta dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felda.

Bekas Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada, 62, mengesahkan perkara itu kerana beliau yang merupakan bekas ALP Felda juga hadir pada mesyuarat tersebut.

“Tan Sri Isa merupakan Pengerusi Felda dan beliau juga mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda. Beliau (Isa Samad) terlibat dalam membuat keputusan dalam mesyuarat tersebut,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz pada hari ketiga perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta Mohd Isa di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Afzainizam: Adakah Pengerusi Felda (Isa) boleh tentukan sama ada kertas kerja (cadangan) boleh dibentangkan dalam mesyuarat (ALP Felda) atau tidak?

Hanapi: Boleh

Afzainizam: Adakah kamu akan bantah sekiranya Pengerusi Felda (Isa) tidak membenarkan kertas kerja dibentangkan di mesyuarat?

Hanapi: Bergantung kepada kertas kerja, kalau saya rasa perlu, saya akan bagi pandangan dan akhirnya Pengerusi Felda yang akan buat keputusan, saya akan akur.

Saksi pendakwaan kelima itu juga bersetuju dengan Afzainizam bahawa mandat pelaburan RM100 juta yang diputuskan oleh Felda tidak pernah ditarik balik atau dimansuhkan.

Semasa pemeriksaan semula oleh Afzainizam, saksi itu mengesahkan bahawa kelulusan pembelian hotel berkenaan oleh anak syarikat Felda iaitu Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) bernilai RM160 juta hanya dibuat secara tersirat dan tiada keputusan secara bertulis di peringkat ALP Felda.

“Kertas kerja mengenai pembelian hotel itu mesti dibentangkan di dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda,” katanya apabila disoal Afzainizam berhubung pembelian hotel berkenaan yang melebihi mandat pelaburan RM100 juta.

Terdahulu, semasa disoal balas peguam Datuk Sallehudin Saidin, mewakili Mohd Isa, saksi itu bersetuju bahawa Prosedur Operasi Standard (SOP) di FICSB hanya diwujudkan selepas isu pembelian hotel berkenaan timbul.

Sallehudin: Jadi sebelum ini Ahli Lembaga Pengarah FICSB membuat keputusan mengikut cara tersendiri?

Hanapi: Ya.

Semalam, semasa membacakan penyataan saksi, Hanapi mengesahkan salinan Minit Mesyuarat Lembaga Pengarah Felda Bilangan 328 bertarikh 23 Jun 2015 dan Bilangan 329 pada 4 Ogos 2015.

“Minit ini dicatat oleh Setiausaha Lembaga Felda, Erwan Aman dan tandantangani oleh Tan Sri Isa. Saya cam tandatangan Tan Sri Isa pada muka surat akhir minit ini.

“Dalam mesyuarat itu membincangkan tentang bayaran pendahuluan berjumlah RM100 juta kepada FICSB bagi membiayai projek hotel berkenaan serta cadangan kaedah bayaran kembali pendahuluan ini,” katanya.

Mohd Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Dis 2015.

Perbicaraan di hadapan Mohd Nazlan bersambung petang ini.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mahkamah tolak permohonan tahanan reman hospital Isa Samad

PUTRAJAYA, 17 OGOS: Permohonan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad menjalani perintah tahanan reman di hospital ditolak Mahkamah Majistret Putrajaya.

Peguam Isa, Datuk K Kumaraendran ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, sebaliknya anak guamnya itu diperintah menjalani tempoh reman, di lokap ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pada prosiding, pihak kami (pembelaan) mengemukakan permohonan itu kepada mahkamah kerana beliau adalah seorang penghidap penyakit jantung yang memerlukan rawatan,” katanya lapor Sinar Harian.

Katanya, SPRM perlu memastikan Isa berada dalam keadaan selesa sepanjang tahanan itu dan pihaknya berharap suruhanjaya itu tidak membuat permohonan lanjutan reman.

ISA SAMADTerdahulu, Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya, Datuk Zainal Abidin Kamarudin membenarkan permohonan tahanan reman SPRM terhadap Isa selama lima hari, bermula semalam.

SPRM diwakili Timbalan Pengarah II Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman.

Penahanan itu dilakukan bagi melengkapkan siasatan penyalahgunaan kuasa dalam pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di London antara 2014 dan 2015.

Siasatan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu tiba di mahkamah jam 9.05 pagi diiringi beberapa pegawai SPRM dan polis.

Isa ditahan pada jam 2.45 petang kelmarin (15 Ogos) sejurus hadir ke Ibu Pejabat SPRM, di sini, untuk memberi keterangan lanjut berkaitan kes berkenaan.

SPRM membuka kertas siasatan berhubung pembelian sebuah hotel di Kensington, London oleh Felda Investment Corporation (FIC) selepas dipercayai harga yang dibayar jauh lebih tinggi berbanding harga asal hingga menyebabkan anak syarikat Felda itu mengalami kerugian jutaan ringgit.

FIC dilaporkan membayar £60 juta (RM330 juta) untuk sebuah hotel empat bintang, Park City Hotel, Kensington, London, pada 16 Disember 2014.

Categories
NASIONAL

SPRM tahan Isa Samad siasat FIC

SHAH ALAM 15 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Behad (FGV), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian dua hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut, lapor MStar Online.

Beliau berkata, penahanan itu merupakan tindakan susulan hasil keterangan yang telah dirakam pasukan penyiasat berhubung pembelian hotel tersebut sebelum ini.

“SPRM yakin mempunyai asas yang kukuh untuk membuat penahanan itu supaya dapat membantu melengkapkan siasatan kes tersebut,” kata Azam.

Menurut sumber, Mohd Isa ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 2.40 petang Selasa untuk memberi keterangan lanjut berhubung pembelian hotel berkenaan antara 2014 dan 2015 itu.

Terdahulu, bekas pembantu khas Mohd Isa, Muhammad Zahid Md Arip dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif FIC, Mohd Zaid Abdul Jalil direman berhubung kes berkenaan.

Dilaporkan, FIC dikatakan membeli sebuah hotel di Kengsington, London pada harga yang tinggi, RM330 juta sedangkan nilai sebenar dikatakan berharga RM110 juta.

Pembelian sebuah hotel di Kuching pada nilai RM160 juta turut dikatakan bernilai lebih RM50 juta daripada nilai sebenar.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Kos hidup tinggi, Isa Samad tidak faham peranan kerajaan

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM, 24 DIS : Tan Sri Isa Samad gagal memahami peranan Kerajaan Pusat yang sepatutnya bertanggungjawab mengawal peningkatan kos sara hidup apabila bertindak mempertahankan Umno-BN dengan mengatakan ia adalah sesuatu yang tidak boleh dielak.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkata kenyataan Isa itu ternyata meleset sekaligus membuktikan beliau gagal memahami matlamat kerajaan melalui dasar ekonomi negara.

khalid samadSebelum ini, Isa yang juga Pengerusi Felda berkata rakyat tidak seharusnya menuding jari kepada Umno-BN mengenai kenaikan harga barangan keperluan serta kos sara hidup.

Khalid berkata meskipun Malaysia memiliki sumber kekayaan yang tinggi, namun ia tidak dapat dinikmati rakyat di negara ini berikutan pengurusan ekonomi yang lemah dan tidak amanah.

“Soal ekonomi dan kos kehidupan ditentukan oleh dasar yang digunakan kerajaan pemerintah yang ia merangkumi cara mereka menggunakan kekayaan negara.

“Namun apa yang dilaksanakan kerajaan setakat ini tidak membantu kerana terlalu banyak ketirisan, pembaziran, rasuah serta kronisme yang berlaku sehingga menjejaskan rakyat,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Khalid berkata kerajaan Umno-BN juga perlu berhenti menggunakan alasan “faktor ekonomi dunia tidak menentu” apabila setiap kali cuba menaikkan harga barangan dan keperluan.

Beliau berkata pengurusan dan dasar ekonomi yang lestari mampu membangunkan ekonomi rakyat dengan lebih baik seperti yang diamalkan negara-negara Asia lain seperti Singapura, Taiwan dan Korea Selatan.

“Singapura setaraf dengan kita tetapi pengurusan dan dasar ekonomi yang lestari berjaya membangunkan ekonomi rakyat sehingga menyebabkan mereka jauh ke depan berbanding Malaysia.

“Sikap tidak bertanggungjawab dan mengelirukan rakyat sering diamalkan Umno-BN kerana pemimpin tertentu berjaya membina empayar ekonomi untuk diri dan keluarga mereka tetapi ekonomi rakyat merudum dan berada pada tahap mengecewakan,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Pemimpin BN Negeri Sembilan Miliki Hutan Simpan Tetap

SHAH ALAM, 23 OKT : Akibat rasuah dan kroni Hutan Simpan Tetap Jeram Padang Selatan di Jempol, Negeri Sembilan seluas 487.3 hektar bertukar milik kepada pemimpin Umno-BN.

Hutan yang wartakan sejak 30 Ogos 1918 kini diteroka bagi tujuan pembalakan.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa, status hutan simpan tetap itu kemudiannya dibatalkan pada 11 Mac 2004 untuk membolehkan aktiviti pembalakan berlaku di situ.

Beliau berkata, pembatalan tersebut bertentangan dengan Seksyen 18(1) Akta Perancangan Bandar Dan Desa (Akta 172).

“Berdasarkan siasatan dan kajian yang dilakukan, PKR mendapati bahawa Negeri Sembilan adalah negeri di Semenanjung Malaysia yang paling banyak menghapuskan hutan simpan untuk tujuan pembalakan.

“Di antara tahun 2005 hingga 2011, Umno-BN di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan menghapuskan hutan simpan seluas 8,616 hektar melalui pewartaan membatalkan status hutan simpan kekal yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan oleh beliau,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan Rancangan Tempatan Daerah Jempol 2002?2015 jelas menunjukkan bahawa Hutan Simpan Tetap Jeram Padang Selatan adalah berkategori Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 dan tidak boleh dibangunkan.

Sementara Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2001?2020 secara jelas menyebut bahawa Zon KSAS pada tahap tinggi perlu dipelihara supaya tidak membawa bencana alam seperti tanah runtuh yang akan mengancam nyawa dan harta benda masyarakat.

“Oleh yang demikian, pewartaan membatalkan status hutan simpan tetap bertarikh 11 Mac 2004 adalah tidak sah disisi undang-undang kerana bertentangan dengan rancangan tempatan sedia ada, lalu melanggar Seksyen 18(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa.

“Malangnya, Umno-BN di bawah pentadbiran dua orang Menteri Besar, Tan Sri Isa Samad dan Mohamad Hassan tidak menghiraukan undang-undang dan membenarkan penerokaan berlaku. Balak di kawasan hutan ini telah ditebang sepenuhnya dan kini ia telah diusahakan pula sebagai kawasan penanaman kelapa sawit,” katanya lagi.

Tambahnya, PKR turut mempunyai bukti bahawa pimpinan Umno-BN mendapat keuntungan dari tindakanmelanggar undang-undang itu hasil daripada kegiatan pembalakan dan penanaman kelapa sawit.

Categories
NASIONAL

ANAK : Harga Kad Raya Felda Tidak Munasabah

 

KUALA LUMPUR 10 SEPT: Jabatan Seranta Felda di Jabatan Perdana Menteri mengemukakan permohonan peruntukkan yang tidak munasabah untuk kad raya Perdana Menteri kepada warga Felda dengan kos keseluruhan berjumlah RM494,560.

Cetakan kad raya sebanyak 175,000 unit ini diserahkan kepada warga Felda sempena Aidilfitri tahun ini.

Ketirisan ini didedahkan oleh Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK), Mazlan Aliman dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS hari ini berjumlah RM494,560.

Menurutnya, Jabatan Seranta di bawah kendalian Pengarahnya, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid merupakan ‘lubuk politik’ Umno-BN di Felda dibawah teraju Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

“Tanyalah mana-mana kedai, kalau cantik sekalipun (kad raya) dengan kuantiti lebih 100,000 tidak lebih RM1.00 satu kad raya. Tetapi untuk 175,000 unit, mereka mohon peruntukkan RM2.50 untuk satu kad.

“Banner hari raya pula dengan saiz standard biasanya tidak lebih RM100 tetapi peruntukkan yang dipohon untuk 317 rancangan Felda, mereka mohon RM180.00 untuk satu banner.

“Jumlah permohonan dan kos yang dipohon serta yang diluluskan oleh oleh Tan Sri Isa Samad kepada Seranta berjumlah RM247,280,” katanya.

Jelas beliau, perkara sebegini jelas menunjukkan Tan Sri Isa Samad dan kroni sedang bermaharajalela mengaut keuntungan dengan menyalahgunakan wang peneroka.

“Sekarang ini timbul persoalan adakah Felda ini jadi satu badan atau syarikat macam wilayah autnomi yang tidak ada siapa pantau kerana duduk dibawah PM.

“Sudah dedah banyak kali tentang Felda tapi tidak ada laporan audit atau mana-mana pihak tentang Felda ini. Kalau begini cara habis duit peneroka,” tegas Mazlan.

Tegas beliau, tindakan ini nyata tidak beretika sedangkan adalah lebih baik jumlah besar sedemikian diperuntukkan kepada Skim Perumahan Peneroka.

Kini, permohonan peneroka berhubung Skim Perumahan Peneroka yang mula diperkenalkan ketika Felda di bawah pengurusan Tan Sri Yusof Noor masih belum mendapat maklum balas selepas penyenaraian Felda Global Ventures Holding pada 28 Jun lalu.

Katanya, pengurusan Felda cuba berbohong dengan mengemukakan permohonan semula kepada peneroka dan sehingga kini tidak ada satu permohonan yang diluluskan.

Categories
SELANGOR

Felda : Mazlan : Mengapa Pemimpin Baik Felda Diganti?

SHAH ALAM, 28 OGOS : Aktivis Felda Mazlan Aliman hari ini mempertikaikan penggantian Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd Wahab dengan seorang pegawai yang dikatakan terlalu ?junior? untuk jawatan itu.

Mazlan mendakwa Faizoull Ahmad yang menggantikan Dzulkifli adalah orang kepercayaan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad yang sebelum ini hanya berjawatan gred N54.

“Sedangkan ada orang yang lebih senior daripada beliau. Sepatutnya, Faizoul ke gred Jusa C dahulu sebelum naik ke gred Turus 3,? kata Mazlan yang merupakan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Mazlan berkata Dzulkifli akan disingkirkan dari terus memegang jawatan itu berkuatkuasa 1 September depan.

Perkara tersebut didedahkan oleh Mazlan berdasarkan sumber dalaman Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah Felda pagi tadi.

“Datuk Dzul akan dipindahkan ke Kementerian Asas Tani dan ditugaskan ke Rome, Itali,”jelas Mazlan dipetik daripada akuan Facebooknya.

Pendedahan terperinci berhubung perkara ini akan didedahkan dalam satu sidang media 30 ogos ini.

Categories
NASIONAL

Mat Sabu : Isu FGVH Melibatkan Kepentingan Orang Melayu

KUALA LUMPUR 15 JULAI : Warga Felda amat mengharapkan satu tindakan segera daripada Yang diPertuan Agong berhubung penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) ke Bursa Saham kerana tindakan itu didakwa mengancam aset dan harta milik Melayu, tegas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Mohamad Sabu berkata Yang di-Pertuan Agong boleh campurtangan dalam isu berkenaan berdasarkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan demi “mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera?.

“Kita harap Yang Dipertuan Agong dapat membuat sesuatu untuk menyelamatkan tanah peneroka dalam jangka masa panjang kerana kita amat bimbang aset peneroka tergadai.

“Sekarang hak rakyat mahu disenaraikan dalam senarai bursa saham. Ini satu penyenaraian yang berbahaya dan kepada peneroka,” tegas beliau yang juga dikenali Mat Sabu, di dalam ucapannya kepada peserta ?himpunan oren selamatkan Felda? di depan Istana Negera semalam.

“Oleh itu yang Yang Dipertuan Agong berhak melindungi hak Melayu dan Bumiputera yang digadai oleh pemimpin Melayu iaitu Umno sekarang ini.

“Peneroka akan merasakan kerugian selepas setahun ianya disenaraikan. Peneroka akan merasai kekuranga-kekurangan bantuan selepas setahun ia disenaraikan,” kata Mohammad.

Menurut Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, suara warga Felda akan hanya didengari dengan kebangkitan suara anak Felda untuk menumbangkan Umno-BN di dalam Pilihanraya Umum ke-13.

“Kini kawasan Felda bukan kawasan selamat untuk Barisan Nasional, kerana kini warga Felda sudah bangkit,” kata Badrul Hisham.

Tambah Badrul, kini warga Felda sudah berubah dengan berani menyatakan bantahan terhadap penyenaraian FGVH seperti yang ditunjukkan pada himpunan itu.

Manakala, Ketua penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ucapannya mendesak Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad meletak jawatan kerana rakyat “hilang kepercayaan” kepadanya.

Antara NGO yang terlibat dalam himpunan semalam adalah Teras Pengupayaan Melayu (Teras),  Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badan Bertindak Peneroka Felda Malaysia (Bangkit), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis).

Turut sama juga Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Seniman Paksi Rakyat (Paksi), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Majlis Perunding Islam Malaysia (Mapim), Badan Bertindak Peserta Felcra Malaysia (Bapa) dan Sekretariat Kebajikan Bekas Tentera Malaysia (Kerabat).

Categories
NASIONAL SELANGOR

Generasi Ke 2 Felda: Isa Dapat 180,000 Unit, Peneroka Dapat 800 Dalam FGVH


KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Tindakan menyenaraikan Felda Global Ventures Holding Bhd (FGVH) di Bursa Saham Malaysia, hanya menguntungkan beberapa kerat orang atasan dan bukanlah golongan peneroka yang berusaha keras membangunkan felda.

Rata-rata generasai kedua peneroka Felda yang ditemui di ?himpunan oren selamatkan Felda? semalam berkata mereka masih ragu dan risau tentang masa depan skim tanah itu walaupun media pro-Umno-BN kerap memainkan cerita bahawa penyeranaian FGVH menguntungkan peneroka.

Misalnya seorang peneroka generasi kedua Mohd Naim Kadri, 25 mendakwa pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad adalah orang yang untung berlipat kali ganda walaupun Isa bukan seorang peneroka.

“Tan Sri Isa Samad dapat syer kira-kira lebih 180,000 unit, peneroka cuma dapat 800 unit sahaja, tak sampai pun satu lot.

“Kita dapat sisa kuah, isi dia sapu sedanagkan dia tu orang kaya dari luar Felda, bukan peneroka atau senang cerita tak kena mengena pun dengan Felda.

“Cuma sebab campurtangan politik dia dilantik Pengerusi Felda,” ujar Naim dari Felda Selendang, Kuala Rompin, Pahang.

Beliau ditemui di perkarangan Masjid Wilayah Persekutuan di sini, semasa peserta himpunan tersebut berkumpul sebelum berarak ke Istana Negara di Jalan Duta.

Menurut Mohd Shafie, 29, juga generasi kedua peneroka Felda Selendang, beliau bimbang peneroka felda akan mengalami kerugian akibat langkah penyenaraian FGVH.

“Sekarang memanglah orang Felda dapat RM15,000, tetapi saya bimbang untuk jangkamasa panjang peneroka akan kerugian dan tidak mustahil tanah bapa kami akan tergadai,” katanya merujuk kepada dividen RM 15,000 yang baru-baru ini diumumkan Kerajaan Pusat.

“Adakah sebenarnya tanah Felda hanya menjadi alat untuk pemimpin politik mengaut keuntungan berlipat kali ganda dan kemudiannya gulakan peneroka dengan beberapa ribu.

“Habis tu, kalau bukan kepentingan diri sendiri, kenapa kita tengok Isa Samad beriya-iya nak kekal dalam Felda walau ditolak dan beriya-iya nak cepatkan penyenaraikan FGVH ini,” ujar beliau.

Selain itu menurut beliau, pihak pengurusan tertinggi Felda juga kurang menumpukan soal kebajikan anak-anak peneroka Felda.

“Salah satunya masalah perkerjaan di Felda, memang sangat kurang dan yang ada pun gajinya sangat rendah.

“Sebab itulah kita dapat tengok ramai anak-anak peneroka berhijrah ke bandar,” ujarnya lagi.

Himpunan semalam berjaya mengumpul kira-kira 10,000 peserta dan pemimpin Pakatan Rakyat bagi mendesak agara Yang Di-Pertuan Agong campurtangan dalam isu Felda.

Categories
NASIONAL

PKR: Najib, Isa Samad Berbohong Isu Pajak Tanah Felda

PETALING JAYA, 6 JUN : PKR mendakwa Kerajaan Pusat telah berbohong kepada peneroka FELDA apabila menyatakan tanah-tanah yang melibatkan mereka tidak dipajakkan dalam proses penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH).

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata prospektus penyenaraian FGV dengan jelas menunjukkan bahawa pegangan peneroka dan kakitangan Felda di dalam syarikat tersebut hanyalah 5.5 peratus sedangkan sejumlah besar saham diperuntukkan kepada syarikat asing dan individu bukan Bumiputera.

“Sehingga kini, PKR tidak mendapat apa-apa jawapan daripada (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak ataupun (Pengerusi FELDA) Tan Sri Isa Samad.

“PKR mendedahkan hari ini senarai setiap Tanah Rizab Melayu yang telah dipajakkan selama 99 tahun kepada FGVH. Bermakna hakmilik dan hasil ekonomi dari tanah-tanah ini dipindahkan kepada sebuah syarikat yang berstatus Bumiputera yang dipersoalkan,” jelas Rafizi dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Tambah Rafizi,kumpulan tanah-tanah yang telah dipajakkan ke pasaran saham meliputi tanah sedia ada dengan keluasan 343,484.46 hektar tanah Felda Plantation Sdn Bhb.

Ia juga meliputi tanah sedia ada tambahan di mana tanah-tanah yang yang tidak bergeran dan juga tanah yang akan datang di mana akan diperolehi oleh Felda di masa hadapan.

“Pendedahan perjanjian ini mengesahkan dakwaan PKR selama ini bahawa semua tanah-tanah yang tidak bergeran di dalam penempatan Felda di seluruh negara telahpun dipajakkan ke sebuah syarikat yang dimiliki secara majoriti oleh pelabur swasta,sedangkan tanah-tanah ini menjadi nadi aktiviti ekonomi warga Felda,”

“Apakah jaminan Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Isa Samad bahawa tanah-tanah ini tidak dijual satu masa kelak, atau kegunaanya diubah dan tidak lagi mengutamakan kebajikan warga Felda,” katanya.