Categories
NASIONAL

Undang-undang Ganti ISA Macam Panadol

SHAH ALAM 12 APR : Tindakan kerajaan pusat mengantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan satu akta yang serupa dilihat seperti memberi ‘panadol’ kepada penyakit.

Pakar undang-undang perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 menunjukkan minda dan cara pemikiran pemimpin Umno-BN itu masih sama dengan dulu.

“Kenapa sibuk hendak ganti? Kenapa tidak mansuhkan sahaja? Ini menunjukkan mereka (Umno-BN) terdesak dan masih lagi belum sanggup untuk bebas sebagaimana dunia pertama,” katanya ketika ditemui.

Tambahnya, kerajaan pusat sepatutnya memansuhkan terus ISA dan menubuhkan satu suruhanjaya untuk mengkaji serta menyemak penindasan dan penyelewengan yang berlaku di bawah ISA sebelum ini.

“Suruhanjaya itu perlu menyiasat segala penyalahgunaan yang dilakukan Umno-BN dari hari pertama ISA diperkenalkan pada tahun 1960 dulu.

“Kerana selama ini kita melihat ISA hanya lebih kepada menindas dan sebenarnya tidak terjamin sepertimana yang didakwa oleh pemimpin Umno-BN,” katanya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen tidak seharusnya membuang masa bagi membahas akta itu.

“ISA diperkenalkan selepas darurat dibatalkan, jadi dari dulu hingga kini kita sebenarnya masih berada dalam keadaan darurat dan apa yang kita mahukan ianya dimansuhkan kerana sebagai rakyat kita mahukan kebebasan,” katanya.

Tambah Aziz lagi, Akta baru itu juga dilihat hanya memberi kelebihan kepada pihak polis.

Jelasnya, ianya satu lagi bukti menunjukkan polis dan Umno-BN umumnya, masih lagi tidak yakin untuk berada di dalam suasana baru.

“Mereka sebenarnya memikirkan tindakan rakyat mengancam mereka sedangkan sepatutnya kita lihat rakyat sebagai aset negara dan rakyat juga berfikiran waras dan cintakan negara.

“Rakyat tidak sepatutnya dikongkong. Ini menunjukkan perbezaan Pakatan Rakyat dan Umno-BN. Umno-Bn yang mempunyai sikap ‘dia saja yang tahu dan dia saja yang pandai’,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz membentangkan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 itu bagi mengantikan ISA.

Akta baru itu menghadkan tempoh tahanan seseorang yang disyaki melakukan kesalahan keselamatan kepada 28 hari, berbanding 60 hari di bawah ISA.

Selepas tempoh 28 hari, setiap kesalahan akan di dakwa di Mahkamah Tinggi.

Mereka yang dilepaskan akan dipasang peranti pengawasan elektronik mengikut Kanun Tatacara Jenayah.

Akta baru itu menyenaraikan empat kesalahan iaitu menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang dipertua Agong, memudaratkan ketenteraman awam dan usaha mendapatkan perubahan selain dengan cara yang sah.

Categories
NASIONAL

Anwar Bidas Ahli Akademik ‘Profesor Kangkung’

SHAH ALAM, 12 APR: Ahli Akademik yang gemar mengampu pemerintah dan tidak bercakap benar dibidas, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi.

Menurut Anwar,  ahli akademik tersebut lebih layak digelar ‘profesor kangkung’ kerana hanya mengikut rentak parti pemerintah dan menolak hakikat sebenar.

“Dulu dia kata gunakan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) untuk menyelamatkan negara.

“Kalau tanya, ISA sahaja yang mampu menyelamatkan orang Melayu, tetapi sekarang ISA dah nak dihapuskan, dia kata inilah keputusan yang paling bijak dalam sejarah.

“Ini profesor kangkung. Tiga bulan lalu tanya pasal ISA, dia kata, kalau tidak kerana ISA tidak ada keamanan dalam negara ini, kalau tidak kerana ISA tidak ada harapan Melayu ‘survive’.

“Selepas tiga bulan tanya dia semula, tuan profesor, apa pendapat prof dengan pengumuman Datuk Seri Najib untuk batalkan ISA.

“Nanti dia jawab, ya, inilah keputusan yang akan menyelamatkan orang Melayu,” sindir Ketua Pembangkang itu ketika menyampaikan ucapan dalam program dialog Wacana Politik: Pendidikan Percuma; Apakah Sekadar Mimpi?

Anwar turut memberitahu kewujudan golongan pensyarah seperti ini di institusi pendidikan tinggi negara hanya menyebabkan sesuatu universiti itu gagal melahirkan mahasiswa yang berkualiti.

Selain itu, Anwar turut mengecam pemimpin politik yang mengongkong para cendiakawan dari menyuarakan kebenaran berdasarkan ilmu yang menjadi kepakaran mereka.

Sebelum ini, pensyarah, Prof Dr Abdul Aziz Bari yang dianggap pakar perlembagaan dikenakan tekanan Universiti Islam Antarabangsa(UIA) dan menyebabkan beliau bersara awal.

Dr Aziz sebelum ini kerap melontarkan pandangan akademik yang merugikan pihak kerajaan.

Wacana yang turut menampilkan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Mohammad Nizar Jamaluddin, Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari dan beberapa pemimpin gerakan mahasiswa itu telah diadakan di Seksyen 7, Shah Alam malam tadi.