Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri berjaya selesai 53 projek perumahan terbengkalai

OLEH SHEEDA FATHIL

SELAYANG, 18 APR: Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan isu 53 projek perumahan terbengkalai membabitkan 24,660 unit sejak 2008 hingga 2017.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, Kerajaan Negeri tegas dan bakal menyenaraikan hitamkan pemaju yang terbukti gagal menyiapkan projek mereka.

“Selepas mengenal pasti nama pemaju yang disenarai hitam maka mereka tidak dibenarkan lagi melaksanakan sebarang pembangunan di negeri ini.

“Matlamat Kerajaan Negeri adalah memperhebatkan pembinaan Rumah Selangorku selaras dengan inisiatif merakyatkan ekonomi Selangor menerusi kemudahan serta skim diperkenalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Rumah Selangorku Idaman Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), di Kampung Seri Temenggung, di sini, semalam.

Iskandar berkata, penyediaan rumah mampu milik merupakan agenda utama Kerajaan Negeri demi memastikan rakyat mampu memiliki kediaman impian.

“Dasar Kerajaan Negeri memperkenalkan pelbagai inisiatif pemilikan rumah menjadikan ia pemangkin kepada akses perumahan berkualiti, selesa dan mampu milik kepada rakyat untuk memiliki kediaman berkualiti dengan harga bawah RM250,000.

“Contohnya, inisiatif skim ‘Smart Selangor First Home Buyers’ mula dilancarkan Februari lalu membuktikan Kerajaan Negeri serius dan komited membantu kurangkan beban bakal pembeli untuk menyediakan 10 peratus bayaran deposit pembelian Rumah Mampu Milik,” katanya.

Pada masa sama, Iskandar memuji usaha dilakukan PKNS dalam menyediakan keperluan perumahan kepada rakyat.

“Diharap segala perancangan pembinaan projek seumpama ini pada masa hadapan dapat direalisasikan dengan jayanya,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Smart Selangor First Home Buyers bantu rakyat bayar pendahuluan rumah

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 FEB: Kerajaan Negeri menyediakan Skim ‘Smart Selangor First Home Buyers’ bagi mengatasi masalah pembiayaan wang pendahuluan 10 peratus membeli rumah dihadapi rakyat di Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata Kerajaan Negeri memandang isu terbabit sebagai masalah besar berikutan kebanyakan rakyat tidak mempunyai simpanan pribadi bagi tujuan berkenaan.

“Kita mewujudkan skim ini bagi membantu mereka yang mendapat pinjaman membeli rumah tetapi menghadapi masalah untuk pembayaran pendahuluan 10 peratus.

“Dengan bantuan pinjaman disediakan ini, Kerajaan Negeri berharap dapat membantu lebih ramai rakyat Selangor bagi memiliki kediaman sendiri,” katanya kepada media selepas perasmian program itu di SACC Mall di sini, hari ini.

Beliau berkata, skim itu berjaya direalisasikan hari ini dengan Kerajaan Negeri menyelesaikan beberapa perkara berkaitan perundangan selepas ia diuar-uarkan kira-kira dua tahun lalu.

Katanya, PKNS dipertanggungjawabkan bagi melaksanakannya dan Yayasan Hijrah Selangor pula sebagai pihak yang menyalurkan pinjaman dan memungutnya kembali.

“Ketika ini kita fokus kepada rumah dimajukan PKNS serta anak syarikat Kerajaan Negeri dan sekiranya ia mencapai kemajuan mungkin kita akan perluaskan kepada projek perumahan lain.

“Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM15 juta bagi menjayakannya,” katanya.

Iskandar berkata, pelaksanaan skim itu juga menolak dakwaan pihak tertentu mengenai kegagalan projek Rumah Selangorku.

Katanya, antara projek Rumah Selangorku yang telah disiapkan dan dalam pembinaan ialah Antara Gapi dan Taman Keruing Rasa di Hulu Selangor; Kota Puteri, Kampung Bunga Raya dan Kampung Sri Temenggong di Gombak; Kampung Jawa di Klang dan Seksyen U5 di Shah Alam.

“Pembeli yang telah mendapat kelulusan bagi pinjaman 90 peratus membeli Rumah Selangorku, boleh membuat permohonan bagi pinjaman skim ini,” katanya.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof dan Ahli Perbadanan PKNS, Shamsul Iskandar Md Akin.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Gagal dapat kebenaran merancang 9 projek Rumah Selangorku dibatalkan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 FEB : Kerajaan Negeri membatalkan sembilan projek Rumah Selangorku yang sudah diluluskan sebelum ini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar A Samad berkata, keputusan berkenaan dibuat berpunca kegagalan pemaju mendapatkan Kebenaran Merancang dalam tempoh dua tahun daripada tarikh kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Apabila pemaju diberi kelulusan membina Rumah Selangorku oleh MMKN, mereka diberi tempoh dua tahun untuk memulakan pembinaan.

“Malah, surat peringatan, notis 14 hari, notis akhir dan notis pembatalan juga kita akan keluarkan secara berperingkat mengikut tempoh tertentu,” katanya dalam kenyataan.

Iskandar berkata, pembatalan sembilan projek yang akan disahkan oleh MMKN membabitkan tiga projek di Kajang, dua projek di Selayang dan masing-masing satu projek di Subang Jaya, Shah Alam, Ampang Jaya dan Klang.

“Projek terbabit mula diluluskan antara tahun 2014 dan 2016.

“Kerajaan Negeri menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Pembangunan Rumah Selangorku untuk memantau pelaksanaan projek berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa itu dianggotai oleh Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS), wakil Pejabat Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, wakil Pejabat Tanah Galian Selangor, wakil Pejabat Tanah Daerah dan wakil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terlibat.

“Kerajaan Negeri sentiasa memantau projek sudah diluluskan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pemaju yang melewatkan pembinaan projek Rumah Selangorku ini.

“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri mengambil kira masalah dihadapi pemaju seperti masalah tanah, perundangan, cerun, pencerobohan dan sebagainya,” katanya.

Justeru, Iskandar berkata, selain dari pembatalan kelulusan MMKN, permohonan Kebenaran Merancang untuk projek-projek lain pemaju juga ditahan jika mereka melewatkan-lewatkan pembinaan Rumah Selangorku.

“Di bawah Kerajaan Negeri sekarang, pemaju tidak boleh membina Rumah Selangorku paling akhir tetapi perlu dibina terlebih dahulu atau serentak dengan rumah harga bebas.

“Di zaman Barisan Nasional, rumah kos rendah boleh dibina selepas rumah harga bebas siap dibina akibatnya rumah kos rendah terbabit tidak dibina,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Utamakan manfaat langsung demi rakyat

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 29 OKT: Kerajaan Negeri tidak gemar mengambil pendekatan popular dalam melaksanakan sebarang tindakan, skim atau programnya.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, sebaliknya Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan perkara membawa manfaat langsung kepada rakyat.

Katanya, ia termasuk tindakan berpotensi kurang popular terhadap Kerajaan Negeri menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

“Saya masih ingat lagi sekitar 2012 atau 2013, Kerajaan Negeri mengarahkan tindakan mahkamah diambil ke atas ratusan yang ingkar membayar wang pengurusan di pangsapuri.

“Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) mengingatkan saya bahawa PRU ke 13 sudah hampir, tetapi kita berpendirian tindakan perlu diambil agar tidak membebankan Badan Pengurusan Bersama (JMB),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perhimpunan JMB dan Badan Pengurusan (MC), di sini, hari ini.

Iskandar berkata, segala tindakan dan program Kerajaan Negeri juga tidak pernah mengenal warna dan latar belakang politik.

Katanya, program kebajikan dan projek pembangunan terus rancak dipacu Kerajaan Negeri sejak mengambil alih pentadbiran Selangor pada 2008, tanpa sebarang henti rehat.

“Sekarang ada pihak lain sedang rancak turun pangsapuri bagi pelbagai jenis bantuan, baguslah ambil sahaja kerana itu memang hak rakyat Selangor menyumbang hampir 25 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Tetapi pendekatan kita lain. Pangsapuri di Dengkil kawasan pembangkang pun menerima peruntukan tertinggi Skim Baik Pulih Negeri Berkebajikan (Caring Government For Residents Improvement Aid-Ceria) iaitu hampir RM2 juta,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Bergabung tubuh persatuan lebih kuat

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 29 OKT: Seluruh pangsapuri di Selangor dicadang bergabung di bawah satu persatuan, menerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Badan Pengurusan (MC).

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, persatuan yang kuat berupaya melindungi kepentingan pangsapuri dan penduduk secara lebih progresif.

Katanya, ia sekaligus dapat mengelakkan perkara yang membawa kerugian kepada penduduk.

“Diharap ada JMB atau MC yang sanggup mengambil langkah memulakan penubuhan persatuan ini.

“Sekiranya ada persatuan, semua pangsapuri dapat saling sokong menyokong dan bantu membantu, contohnya ketika berhadapan dengan pemaju dalam isu tertentu” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perhimpunan JMB/MC, di sini, hari ini.

Iskandar turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan sempena Sambutan Hari Pangsapuri Malaysia Harmoni 2017.

Terdapat tiga kategori dipertandingkan iaitu Anugerah Pengurusan Air, Anugerah K-Inovasi dan Anugerah Laman Hijau.

Terdahulu, lebih 200 hadirin turut berpeluang mengikuti sesi bicara santai ‘From Zero to Hero’ bersama panel terkenal seperti Dato’ Siti Nor Bahyah Mahamood dan suaminya, Wan Akashah Wan Abdul Hamid.

=EZY=

Categories
RENCANA

Satu Keluarga Satu Kediaman Yang Sempurna

OLEH LIZAWATI MADFA

Dasar Rumah Untuk Semua

Bukan sekadar ‘asal ada’, Kerajaan Negeri berhasrat setiap rakyat negeri ini memiliki rumah yang sempurna, selesa dan selamat untuk didiami seisi keluarga.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad mahu rakyat yang belum ada kediaman dapat beli rumah yang sempurna.

“Jika tidak mampu beli, mereka juga kita sasarkan dapat menyewa kediaman yang sempurna dan bagi mereka yang sudah ada kediaman, kita mahu rumah mereka dalam keadaan sempurna,” katanya.

Katanya, definisi rumah sempurna juga bukan merangkumi segi fizikal semata-mata tetapi meliputi aspek spiritual, sosial, kepimpinan dan ekonomi.

“Kita mahu membina masyarakat supaya menikmati kehidupan lebih kualiti dan sejahtera.

“Tiada guna rumah hebat manapun, jika pembinaan masyarakat berkualiti tidak berjaya tercapai.

“Atas sebab itu, kita tekad mahu siapkan rumah sempurna, fizikal dan spiritual buat semua,” katanya.

 

Pemaju dikenakan syarat ketat

Sehingga kini, hampir 100,000 unit Rumah Selangorku diluluskan pembinaannya di seluruh Selangor.

Iskandar berkata, pemaju sebelum ini terikat dengan polisi 20:20:10, yang mewajibkan pembinaan 20 peratus rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah (20 peratus) dan rumah kos sederhana (10), tanpa mengira permintaan.

Katanya, polisi itu bagaimanapun didapati memberi bebanan kepada pemaju terutama dari segi kos, sehingga pemaju hanya menumpukan pembinaan rumah kos rendah sahaja.

“Kini, peratus jenis rumah yang wajib dibina oleh pemaju adalah bergantung kepada lokasi projek.

“Contohnya, bagi kawasan di mana permintaan rumah Jenis A (RM42,000) adalah rendah, hanya 10 peratus diwajibkan dibina.

“Tetapi di kawasan di mana terdapat permintaan, pemaju wajib membina sehingga 20 peratus rumah jenis A sepertimana polisi lama,” katanya.

Iskandar berkata, pemaju juga diwajibkan membina rumah mampu milik bersekali dengan rumah harga bebas.

“Kita mahu pastikan pengalaman dulu berulang lagi, di mana mereka buat rumah harga bebas tetapi rumah mampu milik mereka tak bina sampai sekarang atau ada juga pemaju bertindak jual tanah.

“Kalau mereka mahu buat rumah lain kita tak benarkan dan kita akan bagi ‘stop work order’,” katanya.

 

Inisiatif buat mereka yang tak mampu

Setakat 31 Ogos lalu, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menerima 145,712 permohonan Rumah Selangorku.

Kerajaan Negeri mempelbagaikan jenis rumah daripada yang berharga RM42,000 hingga RM250,000, bagi memberi lebih pilihan kepada rakyat, terutama mereka berpendapatan rendah.

Iskandar berkata, Kerajaan Negeri bagaimanapun dapati masih ramai lagi tidak dapat melepasi syarat ketat bank bagi mendapatkan pinjaman perumahan.

Atas dasar itu, beliau berkata, pelbagai program baru dilancar khusus bagi memberi peluang buat golongan itu memiliki kediaman sendiri.

“Antaranya, kita lancar Skim Smart Sewa di mana mereka boleh sewa rumah dan di akhir kontrak, kita akan pulangkan balik apa yang mereka bayar sebanyak 30 peratus.

“Kita juga buat skim sewa beli di mana mereka boleh duduk di situ dan kemudian sebahagian daripada sewa dikira sebagai pembiayaan membeli rumah

“Apabila harga dibayar bersamaan dengan harga rumah, mereka akan dapat rumah berkenaan,” katanya.

 

Pembangunan fizikal dan spiritual diteruskan

Lebih RM110 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi menjayakan program pembangunan fizikal bagi pangsapuri di seluruh Selangor, sejak 2012.

Ia merangkumi RM88.9 juta menerusi Skim Baik Pulih Negeri Berkebajikan (Caring Government For Residents Improvement Aid-Ceria) dengan 248 projek.

Sejumlah RM30 juta pula diperuntuk bagi Program Smart Life (Smart Lift Improvement for Quality Life) iaitu bagi menampung kerja membaik pulih 112 unit lif di 24 pangsapuri dan bayaran fee kepada firma kompeten bagi kontrak penyenggaraan lif komprehensif di 88 unit lif di 21 pangsapuri.

Peruntukan lain termasuk, RM0.25 juta untuk program K-STAC (Sistem Tadbir Urus Akaun) menerusi projek perintis di 25 Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body-JMB) pangsapuri kos rendah.

Pangsapuri Seri Perantau pula dipilih sebagai projek perintis K-SQUAD (Pemberdayaan Komuniti) melibatkan peruntukan RM0.12 juta.

Ia bagi memperkasa keupayaan komuniti miskin bandar mengurus bangunan dengan kemampunan menubuhkan JMB, pengurusan strategik dan menjadi model contoh kepada komuniti pangsapuri bermasalah.

Sejumlah RM0.08 juta turut dibelanja untuk program Laman Hijau bagi aktiviti kebun komuniti di pangsapuri.

Program lain termasuk SKORA (Skim Pengenalan Pengurusan Bangunan Strata), K-STAR (Penarafan Komuniti Bestari), FOKUS (Format Kurikulum Pengurusan Bangunan Strata) dan K-KLIK (Kelab Interaktif Komuniti).

 

Komuniti diperkasa

Sebanyak 234 pangsapuri dibiayai bagi menerima manfaat program SAFWA (Selangor Free Water Apartment); pemberian rebat air percuma kepada pangsapuri kos rendah, dengan peruntukan RM39.8 juta.

Sejumlah RM2.7 juta pula diberikan menerusi projek PERMAI CERIA iaitu bantuan kewangan untuk baik pulih tetiang meter individu kediaman menerusi 33 projek.

Kerajaan Negeri turut memperkenal insentif bantuan kewangan kepada 85 pangsapuri kos rendah, SEROJA (Skim Keselamatan Kejiranan Pangsapuri) dengan peruntukan RM0.4 juta.

Program lain termasuk Kempen Pengurangan Sisa Pepejal dan Selangor BEST Bring Excellence Into Society) bagi mewujudkan masyarakat berilmu.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Exco teguh berdiri belakang MB sokong pendirian tegas Raja-Raja Melayu

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 OKT: Exco Kerajaan Negeri berdiri teguh di belakang Dato’ Menteri Besar bagi mendukung pendirian tegas Raja-raja Melayu berhubung isu perpaduan dan hubungan harmoni rakyat Malaysia.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata, hal ini berikutan kemajuan tidak akan dicapai sekiranya tiada rasa hormat menghormati di antara satu sama lain.

“Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dengan masyarakat menganut pelbagai agama dan perlu ada rasa hormat menghormati antara satu sama lain agar wujud keharmonian dalam masyarakat.

“Mereka mesti faham memahami antara satu sama lain, tidak boleh buruk sangka dan tuduh menuduh serta tidak cepat melatah,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, kenyataan Dato’ Seri Azmin Ali itu sangat bertepatan dengan pendirian Kerajaan Negeri yang sentiasa mempertahankan kepentingan semua kaum dan agama di negeri Selangor.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, Ganabatirau Veraman pula berkata, beliau menyokong pendirian Kerajaan Negeri yang menentang golongan ekstremis.

“Memang tepat pada masanya Dato’ Menteri Besar menjunjung titah Raja-Raja Melayu dan menyatakan tiada ruang untuk sebarang ekstremis dalam Malaysia dan Selangor khasnya.

“Saya sebagai Exco yang mewakili kaum India sangat bersetuju dan menjunjung titah Raja-Raja di mana golongan atau individu yang sewenang-wenangnya menggunakan kaum dan agama untuk memperlekehkan pihak lain harus ditolak,” katanya.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini merupakan aset penting Negeri Selangor.

“Kemajmukan rakyat di Malaysia ini adalah aset penting negara dan Selangor khasnya. Inilah sebab kita menjunjung kasih sangat terhadap kenyataan ini kerana Raja-Raja Melayu memahami tentang situasi yang ada di negara kita bahawa kita ini insklusif dan sememangnya benar.

“Orang luar sendiri kagum dengan keharmonian kaum yang ada di Selangor. Penegasan daripada Raja-Raja Melayu ini menambahkan lagi kebenaran hal ini,” katanya.

Jelasnya, tindakan menggunakan isu perkauman oleh sesetengah golongan bagi meraih kedudukan dalam politik merupakan sesuatu yang tidak wajar dan perlu dijauhkan.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Timbang tukar Skim Ceria kepada Selangor Smart Life

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 OKT: Kerajaan Negeri mempertimbangkan cadangan menukar skim Ceria kepada Selangor Smart Life untuk penambahbaikannya demi kemudahan penduduk di kawasan penempatan pangsapuri berstrata di Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata Kerajaan Negeri mendapat maklum balas pelbagai pihak berhubung skim diperkenalkan sejak 2010.

“Kita mendapat cadangan dan permintaan daripada plbagai pihak supaya Skim Ceria ditukarkan kepada Selangor Smart Life.

“Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan sama ada Skim Ceria boleh ditukar kepada Selangor Smart Life iaitu ditanggung 100 peratus sepenuhnya,” katanya.

Skim Ceria disediakan Kerajaan Negeri bagi tujuan baik pulih kerosakan harta bersama pangsapuri kos rendah dan sederhana rendah di Selangor dengan 80 peratus kos ditanggung Kerajaan Negeri manakala Badan Pengurusan Bersama (JMB) 20 peratus.

Manakala Selangor Smart Life pula Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan 100 peratus bagi membiayai kos penyelenggaraan lif di semua pangsapuri.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, walaupun Pegawai Pesuruhjaya Bangunan (COB) adalah pegawai Kerajaan Persekutuan tetapi garis panduan mengenai bidang tugas ditentukan Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Persekutuan sekadar menghantar mereka tetapi segala arahan kerja dibuat Kerajaan Negeri.

“Semua inisiatif baru daripada Kerajaan Negeri dan saya tidak nampak sebarang inisiatif darpada Kerajaan Persekutuan,” katanya berhubung kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar, memaklumkan kedudukan COB sebagai pegawai Kerajaan Persekutuan ditempatkan di pihak berkuasa tempatan di Selangor.

Katanya, Kerajaan Negeri turut menghargai COB dengan mendapat kelayakan sama seperti mana pegawai di peringkat negeri.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Lebih RM20.8 juta dibelanja baik pulih lif pangsapuri

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 10 OKT: Kerajaan Negeri telah membelanjakan lebih RM20.8 juta bagi kerja membaik pulih lif di kawasan perumahan pangsapuri di Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata ia sebahagian usaha Kerajaan Negeri di bawah program ‘Selangor Smart Life’ dengan peruntukan keseluruhan RM30 juta bagi menangani masalah dihadapi penduduk pangsapuri.

“Setakat ini kita telah membelanjakan lebih RM20.8 juta iaitu merangkumi 17 kawasan dengan jumlah 86 unit lif dbaik pulih.

“Pangsapuri Desa Mentari Blok Satu ini adalah antara kawasan dikenal pasti untuk kerja baik pulih,” katanya kepada media selepas lawatan ke pangsapuri itu, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerja membulih pulih lif di kawasan itu akan dijalankan dengan segera demi kemudahan penduduk.

Katanya, masalah kerosakan lif dikatakan berpunca daripada syarikat mengendalikannya yang didakwa penduduk menggunakan peralatan sedia ada untuk dipasang di lif kawasan lain.

“Kita telah berbincang dengan pihak berkaitan dan kerja baik pulih akan diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Katanya, peruntukan keseluruhan bagi membaik pulih lif adalah RM22 juta manakala penyelenggaraan sebanyak RM7 juta.

Sementara itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Desa Menteri, Salmi Md Nor merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri yang menyalurkan peruntukan bagi mengatasi masalah kerosakan lif dipercayai berlaku kira-kira lima tahun lalu.

Beliau berkata, diharap penduduk bekerjasama dengan JMB bagi membuat bayaran juran penyelenggaraan demu kebaikan bersama.

“Kita mengambilalih pengendalian pangsapuri ini daripada pengurusan sebelumnya pada tahun lalu dan merancang kerja baik pulih di sini secara beransur-ansur.

“Bagaimanapun peruntukan bagi tujuan itu agak terhad maka kita membuat kutipan untuk mengekalkan bayaran utiliti dan berusaha menyelesaikan beberapa hutang tertunggak,” katanya.

Berdasarkan rekod, beliau berkata, hanya sekitar lebih kurang 45 peratus penduduk membuat bayaran yuran tetapi dari segi kutipan memang mencukupi untuk bayaran penyelenggaraan bulanan kerana terdapat penduduk membayar lebih termasuk bayaran tunggakan.

Katanya, blok satu pangsapuri itu sudah berusia 14 tahun dan mempunyai tunggakan kira-kira RM650,000 dengan lebih 60 peratus penduduk menanggung tunggakan lebih RM400,000.

=EZY=

Categories
SELANGOR

COB cemerlang disokong Kerajaan Negeri, bukan Persekutuan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 OKT: Pegawai Pesuruhjaya Bangunan (COB) dapat berfungsi cemerlang di pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor ekoran sokongan dan polisi jelas Kerajaan Negeri.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata tidak dinafikan COB adalah pegawai Kerajaan Persekutuan tetapi mereka hanya ditempatkan di PBT Selangor tanpa penetapan hala tuju mengeni peranan mereka.

“Kerajaan Negeri banyak memperkenalkan inisiatif baru untuk menyelesaikan masalah perumahan berstrata. Jika hendak diharapkan Kerajaan Persekutuan, kita mungkin akan ketinggalan 10 tahun.

“Kita amat menghargai pegawai COB dan mereka menerima perhatian yang sama seperti pegawai Kerajaan Negeri.

“Contohnya tahun ini, mereka menerima bonus dua bulan gaji seperti pegawai Kerajaan Negeri dan bukan RM500 diterima pegawai Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar, hanya mengakui COB pegawai Persekutuan setelah melihat mereka berkhidmat cemerlang.

Semasa PAKATAN mengambilalih Selangor pada 2008, katanya, COB bagaikan anak ayam kehilangan ibu namun Kerajaan Negeri menyusun semula strukturnya agar mereka dapat menjalankan tugas lebih efektif.

“Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) telah memainkan peranan besar sebagai COB utama.

“Jelas sekali Menteri KPKT bagaikan bapa yang lari dari tanggungjawab apabila menyerahkan anak beliau kepada orang lain dan apabila anak itu berjaya, terhegeh-hegeh mengaku itu anaknya,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Belanjawan 2018: Selangor bakal umum dua lagi skim besar perumahan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 SEPT: Kerajaan Negeri dijangka bakal mengumumkan dua lagi skim besar bagi meningkatkan lagi peluang golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata, ini satu lagi bukti kesungguhan Kerajaan Negeri membantu rakyat negeri itu tanpa mengira masa.

“Pada Belanjawan akan datang ada dua program besar yang baru dalam perumahan yang akan kita umumkan. Rakyat tunggulah, kita memang hendak bantu rakyat di mana golongan sasaran adalah mereka berpendapatan rendah dan sederhana.

SELANGOR SOHO - ISKANDAR“Ini bukan gula-gula pilihan raya tetapi seperti yang diketahui memang setiap tahun Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai inisiatif untuk Kerajaan Negeri membantu rakyat tak kira bila-bila masa, tidak bermusim,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, sebelum ini Kerajaan Negeri melancarkan skim Selangor Smart Home Buyers bagi membantu golongan kurang berkemampuan di mana Kerajaan Negeri membiayai kos deposit rumah yang dibeli.

Katanya, pembeli kemudiannya hanya mula membayar semula kepada Kerajaan Negeri dalam suatu tempoh selepas mereka menduduki rumah yang dibeli.

Iskandar turut menggesa supaya Kerajaan Persekutuan mengkaji syarat dan peraturan yang dikenakan Bank Negara Malaysia (BNM) ekoran terdapat ramai pembeli rumah Selangorku berhadapan masalah pinjaman perumahan mereka tidak diluluskan bank.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Bantu secara konsisten bukan tunggu pilihan raya

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 SEPT: Kerajaan Negeri mengalukan bantuan sejumlah RM7 juta kepada pangsapuri Desa Perangsang, Taman Medan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad bagaimanapun mahu Kerajaan Persekutuan tidak hanya membantu ketika menjelang pilihan raya sahaja.

Sebaliknya, katanya, bantuan secara konsisten dijalankan segera tanpa memilih waktu.

“Kerajaan Negeri akan sentiasa komited dalam membantu penduduk dan mengucapkan ribuan terima kasih diatas keprihatinan Kerajaan Pusat untuk membantu penduduk pangsapuri Desa Perangsang di DUN Taman Medan.

“Kerajaan Negeri berharap agar pembaikan dapat dijalankan dengan segera tanpa menunggu tarikh pilihan raya kerana ia sangat penting untuk membantu penduduk di pangsapuri Desa Perangsang itu,” katanya.

Iskandar berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar berhubung cadangan membaikpulih Flat Desa Perangsang, Taman Medan, Petaling Jaya oleh Kerajaan Persekutuan dengan kos RM7 juta.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan seharusnya mencontohi Kerajaan Negeri yang sentiasa membantu rakyat setiap masa bukan hanya apabila musim pilihan raya tiba.

Katanya, Kerajaan Negeri memberi bantuan pembaikan melalui Skim Baikpulih Negeri Berkebajikan (CERIA) kepada flat itu sejak 2011, setahun selepas Skim CERIA dilancarkan pada 2010.

Antara bantuan yang diberikan kepada Flat Desa Perangsang ialah pembaikan enam buah lif (RM119,686.00), pembaikan tangki air (RM114,904) dan pembaikan pagar (RM204,315.00).

“Jumlah keseluruhan bantuan yang sudah diberikan kepada Flat Desa Perangsang ialah RM438,905.

“Jumlah besar peruntukan yang dibelanjakan untuk seluruh Selangor di bawah Skim CERIA sejak 2010 adalah RM85.3 juta yang meliputi bantuan pembaikan bagi 263 pembangunan berstrata,” katanya.

Pangsapuri Desa Perangsang itu mempunyai tujuh buah blok. Ia dibangunkan oleh pemaju swasta dan bukan pemaju yang ada kaitan dengan Kerajaan Negeri Selangor (PKNS), seperti yang didakwa oleh berita itu.

=EZY=