Categories
SELANGOR

Tindakan PHSSB ikut polisi dan syarat penyewaan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 OGOS: Tindakan mengeluarkan notis pengosongan kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Hicom hanya diberikan kepada 86 lagi penyewa yang degil dan masih gagal hadir ke pejabat pengurusan, walaupun peringatan diberikan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) sebelum ini meminta penyewa yang masih mempunyai tunggakan hadir ke pejabat pengurusan sebelum 7 Ogos bagi membuat penjadualan semula secara ansuran.

Katanya, Kerajaan Negeri menafikan dakwaan untuk menghalau penduduk di yang gagal menjelaskan bayaran sewa seperti ditularkan.

Iskandar berkata, berita ditularkan di dalam media sosial itu bertentangan dengan apa yang berlaku.

Katanya, laporan itu sengaja ditokok tambah pihak tidak bertanggungjawab untuk memberi gambaran buruk kepada pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Namun, setelah notis dikeluarkan pada 1 Ogos kepada 184 penyewa, hanya 98 penyewa tampil ke pejabat pengurusan dan bersetuju untuk membuat bayaran tunggakan mereka secara ansuran.

“PHSBB bukan meminta mereka membayar sewa 100 peratus sebaliknya membincangkan pembayaran tunggakan secara ansuran,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, tindakan diambil PHSSB ini bertepatan dengan polisi dan syarat penyewaan dipersetujui penyewa semasa menandatangani perjanjian.

Sementara itu, mengulas bekalan air dan elektrik dipotong, Iskandar berkata langkah itu diambil selepas penghuni mengabaikan bayaran sewa walaupun notis peringatan sudah empat kali dikeluarkan.

“Bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Selangor, PHSSB sentiasa berharap penghuni sentiasa peka terhadap tanggungjawab mereka.

“PHSBB sentiasa mengalu-alukan perbincangan bersama untuk mencari jalan penyelesaian sebarang masalah berkaitan,” katanya.

PHSSB melaporkan, sehingga Jun 2017 seramai 184 penyewa masih mempunyai tunggakan berjumlah keseluruhan sebanyak RM337,075.00.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Baik pulih lif keutamaan pangsapuri kos rendah

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 MAC: Kerajaan Negeri akan memberikan subsidi berjumlah RM8 juta untuk membaik pulih 405 lif di pangsapuri kos rendah di Selangor kerana kebanyakkannya sudah lama tidak diselenggara akibat kos yang tinggi.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, subsidi itu dibayar secara terus kepada syarikat penyelenggara lif di pangsapuri menerusi perjanjian kontrak yang komprehensif.

“Kita akan ambil alih semua lif di pangsapuri kos rendah di Selangor. Kerajaan Negeri membayar subsidi kepada semua pangsapuri untuk mereka membaiki lif.

“Semuanya ada 405 lif pangsapuri kos rendah di Selangor. Kerajaan Negeri membayar terus subsidi setiap bulan kepada syarikat yang menyelenggara lif di pangsapuri,” katanya.

Untuk peringkat awal, sebanyak 88 lif yang tidak berfungsi akan dibaik pulih terlebih dahulu dengan kos RM22 juta.

Menurutnya, sebelum ini banyak perjanjian tidak komprehensif bersama syarikat penyelenggara lif hingga mengakibatkan badan pengurusan bersama (JMB) pangsapuri tidak mampu menampung kos baik pulih.

Menerusi perjanjian komprehensif, syarikat penyelenggara turut bertanggungjawab terhadap alat ganti sekiranya berlaku kerosakan berulang.

“Kita belanjakan RM30 juta untuk pangsapuri kos rendah menerusi program Smart Life seperti diumumkan Dato’ Menteri Besar dalam pembentangan Belanjawan. Kita tumpu kepada lif dahulu kerana ia memerlukan kepakaran khusus berbanding perkara lain,” katanya.

Minggu lalu, Jawatankuasa Bertindak Flat Kos Rendah kawasan Hulu Langat mencadangkan kepada Kerajaan Negeri supaya mengambilalih masalah penyelenggaraan pangsapuri kos rendah di Selangor.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Ancam keselamatan, Exco gesa Putrajaya selesai projek terbengkalai

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 MAC : Kerajaan Persekutuan diminta untuk tidak berdiam diri dan mengambil pendirian ‘lepas tangan’ membabitkan projek terbengkalai pembinaan pusat pembentungan di Jalan Pandan 5 dan Jalan Pandan 7, Ampang.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, pihaknya sudah membangkitkan masalah tersebut kepada Menteri berkaitan, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili agar isu tersebut diselesaikan segera.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang maklum balas positif sekali gus mengundang kebimbangan penduduk setempat berhubung status sebenar projek tersebut.

“Kita menggesa agar menteri mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah projek terbengkalai ini kerana ia mengancam keselamatan rakyat.

“Contohnya, lubang yang digali itu agak dalam dan telah dipenuhi air. Ini merbahaya kepada penduduk kerana lubang itu tidak dipagar dengan sempurna dan sesiapa sahaja boleh terjatuh dan kemungkinan berlaku kejadian mati lemas.

“Lubang ini juga merbahaya kepada murid dan penduduk kerana projek terbengkalai ini terletak berhampiran sekolah kebangsaan serta rumah kediaman,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Dilaporkan, projek tersebut dikhuatiri mengancam keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya berikutan lubang yang digali dipenuhi air.

Keadaan itu sekali gus mengundang kepada tempat pembiakan nyamuk Aedes dan menyebabkan wabak demam denggi.

Lebih membimbangkan, keselamatan pelajar sekolah yang melalui kawasan itu juga turut dipersoal masyarakat setempat.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PAS nafi bakal sertai Umno, laporan media diputar belit

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 DIS: PAS Selangor menafikan dakwaan media kononnya parti itu akan menjalinkan kerjasama gabungan bersama Umno, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

iskandar01Naib Presidennya, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, kenyataannya yang dipaparkan di akhbar Sin Chiew Daily hari ini diputar belit, sekali gus menimbulkan kekeliruan umum.

“Saya tidak pernah menyebut bahawa PAS akan menyertai gabungan bersama Umno selepas pilihanraya.

“Secara jelas, saya menyatakan bahawa PAS menerusi Majlis Syura Ulamak pada 2015 menegaskan tidak akan bersama UMNO.

“Saya tegaskan jika PAS ingin membuat kerjasama itu, PAS dan Umno sudah tentunya akan bergabung pada 2008 terutama di Selango tetapi perkara itu tidak terjadi,” kata Pesuruhjaya PAS Selangor itu.

Bagaimanapun, beliau dalam kenyataannya turut menegaskan, PAS tidak menolak kemungkinan untuk menjalinkan kerjasama bersama parti lain bagi mengukuhkan sokongan dan undi pada PRU akan datang.

“Apabila saya jelaskan bahawa sebarang keputusan boleh dibuat selepas tempoh pilihan raya lalu, ia bukan bermakna PAS akan bergabung bersama Umno.

“Tetapi ia adalah berkaitan gabungan dan kerjasama dengan parti selain daripada Umno,” katanya.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Noh terus tipu rakyat, Kerajaan Negeri umum peruntukan lebih awal

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 12 OGOS: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dilihat berterusan menipu rakyat berhubung janji penyaluran peruntukan yang kononnya tidak dapat diberi selepas Kerajaan Negeri mengumumkan dalam Belanjawan 2015.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad menyifatkan tidak sepatut Noh berdolak dalik sebagai seorang menteri, bahkan adalah lebih baik beliau mengakui kesilapan dan tidak terlalu ghairah bermain politik.

“Dakwaan Noh ini tidak tepat kerana peruntukan untuk PPR terkandung di dalam Belanjawan Kerajaan Negeri Selangor 2015 (Anggaran Perbelanjaan Negeri Selangor Tahun 2015).

iskandar01“Anggaran perbelanjaan ini dibentangkan kepada Sidang Dewan Negeri Selangor pada November 2014. Sebelum Noh membuat janji,” katanya menerusi aplikasi whatsapp.

Noh sebelum ini mendakwa, beliau tidak menunaikan janji untuk menurunkan peruntukan RM1.8 juta kepada PPR Kota Damansara kerana Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan khas untuk PPR itu selepas beliau membuat janji terbabit.

Iskandar berkata, tindakan Noh itu seolah-olah Kerajaan Negeri hanya bertindak selepas Noh membuat pengumuman.

“Sebagai seorang Menteri Persekutuan, beliau tidak sepatutnya berdolak-dalik. Beliau perlu mengakui kesilapan dan inilah akibat terlalu ghairah bermain politik.

photo 1(62)“Sekali lagi, saya menggesa beliau bersikap seperti seorang negarawan bukan seperti seorang ketua cawangan,” katanya.

Sebelum ini, Noh menafikan bahawa Kerajaan Persekutuan memungkiri janji untuk memberi peruntukan RM1.8 juta bagi membaik pulih kerosakan pendawaian dan jeriji penghadang di PPR Kota Damansara.

“Bukan kita tidak tunai janji. Soalnya kenapa mereka (Kerajaan Negeri) tidak umum (peruntukan) lebih awal,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Menteri arah media BN turun ke Lembah Subang cari kesalahan?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 11 OGOS: Kerajaan Negeri kesal dengan sikap salah seorang menteri persekutuan yang baru dilantik kerana seakan mahu melancarkan perang terhadap Kerajaan Negeri berbanding pendekatan berbincang menyelesaikan masalah rakyat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata keadaan itu sangat berbeza ketika portfolio sama disandang individu sebelumnya.

“Kerajaan Negeri boleh bincang, tiada masalah tetapi apa yang saya lihat mereka guna sikap sebagai orang politik, masuk televisyen hentam kita dan difahamkan pada Isnin minggu lalu seolah-olah media kerajaan diarahkan turun ke Lembah Subang untuk mencari apakah silap atau kekurangan di situ.

iskandar01“Kita terbuka dalam hal ini tetapi kena datang dengan berjiwa besar antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri berbincang masalah rakyat, bukan bercerita seolah-olah nak rampas Selangor.

“Menteri dahulu, Datuk Rahman Dahlan juga pernah datang berjumpa Menteri Besar dalam isu Akta 757. Saya dan Kassim Aziz beberapa kali berjumpa dengan Timbalan Menteri Perumahan, Datuk Halimah Mohd Sadique tetapi nampaknya menteri baru ini bawa budaya berbeza bukan untuk berbincang tetapi berperang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika menghadiri Majlis Makan Tengahari Bersama Penerima Skim Dana-Sel di Pangsapuri Rimba Jaya, di sini, semalam.

Mengulas isu sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail pula berkata, menteri berkenaan seharusnya memiliki jiwa besar untuk menyelesaikan masalah rakyat dengan menggunakan pendekatan ‘G to G’.

rumah-ppr“Mereka sepatutnya mengambil pendekatan ‘G to G’ (kerajaan dengan kerajaan). Janganlah fikir kita datang daripada parti politik berbeza.

“Rasanya kalau di Rimba Jaya ini kalau kami nak ungkit, ini adalah peninggalan era Barisan Nasional tetapi kita tak pandang isu ini dana bila dah jadi kerajaan kita pandang ke hadapan untuk menyelesaikan masalah menggunakan pelbagai pendekatan.

“Yang anda lihat pada hari ini sebenarnya adalah kumpulan terakhir yang kita selesaikan. Sebenarnya, ada 427 penduduk yang dijanjikan rumah baru dengan bayaran seringgit oleh kerjaan terdahulu dan sudah tiga keempat kumpulan kita selesaikan dengan tawaran pelbagai skim. Akhirnya 118 ini, Kerajaan Negeri sendiri keluarkan duit untuk selesaikan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor tidak perlu Umno

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 22 APR: Selangor tidak memerlukan gabungan Umno untuk mengukuhkan negeri dan memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata sebarang isu ketegangan kaum dan agama yang menjurus kepada kontroversi berjaya ditangani dengan baik juga matang.

ISKANDAR SAMADKatanya, kestabilan itu memberi peluang pimpinan negeri menumpukan usaha membangunkan Selangor dan membela rakyat.

“Kerjasama parti sedia ada sehingga kini diterima baik, sedangkan Umno sudah ditolak mentah-mentah oleh rakyat.

“Hakikatnya, sokongan kepada Kerajaan Negeri juga meningkat berlipat ganda, sejak 2008. Kita dapat penuhi keperluan semua kelompok masyarakat,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan pihak tertentu yang mahukan PAS dan Umno bergabung dan menerajui pentadbiran Selangor.

umno-dan-pas-565x376Iskandar berkata, kerjasama yang wujud dalam kalangan pimpinan negeri di semua peringkat juga berjaya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Negeri.

“Rakyat mahu melihat pemimpin terus bekerja untuk mereka dan mahu pentadbiran sedia ada kekal.

“Mereka sama sekali tidak mahu keadaan sebelum 2008 kembali di Selangor,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Komited bina rumah generasi kedua FELDA

SHAH ALAM 12 APR: Kerajaan Selangor komited membina rumah untuk generasi kedua FELDA kerana akan membina 136 buah rumah berkembar di Sungai Tengi Selatan, Hulu Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Samad, berkata tender untuk projek itu dibuka dan ditutup pada 18 April.

Katanya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) adalah pengurus projek bagi pihak Kerajaan Negeri.

“Kos projek ini adalah dianggarkan RM20 juta. Kos infrastruktur ditanggung Kerajaan Negeri agar rumah ini mampu dibeli generasi kedua itu.

“Jangkaan harga jualan adalah sekitar RM100,000 sebuah,” kata Iskandar dalam kenyataan media.

Katanya beliau mengadakan lawatan tapak pada 23 Mac yang lalu bersama-sama PKNS dan penduduk Kampung Sungai Tengi Selatan.

Turut bersama adalah Hasnizan Harun mewakili Pertubuhan Generasi Kedua FELDA atau GENERASI dan Penyelaras Kawasan Dewan Negeri Hulu Bernam, Muhammad Idris.

EZY

Categories
SELANGOR

PHSSB disaran bertindak pantas baiki lif

OLEH : SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 4 APR: Pihak pengurusan lif perlu membaiki kemudahan itu segera bagi mengelakkan rutin penduduk seharian terganggu khususnya bagi warga emas, ibu mengandung dan warga orang kelainan upaya (OKU).

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Samad, berkata Perumahan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) disarankan bertindak segera jika berlaku kerosakan lif di bawah seliaanya.

YB Dato' Iskandar periksa lif di Kg Baru Hicom (ASRI) (2)Katanya, kerosakan lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 di sini perlu ditangani pantas sebaik menerima aduan.

“PHSSB perlu lebih peka dan membaiki segera kerosakan lif kerana saya menerima aduan sejak Khamis lalu dan hari ini hanya satu lif sahaja  berfungsi di Blok C.

“Pihak pengurusan PPR juga perlu memaklumkan segera kerosakan lif berlaku supaya dibaiki untuk kegunaan penduduk khususnya warga emas dan OKU kerana lif tersebut masih dalam jaminan sehingga Jun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu lawatan berkenaan isu lif rosak di PPR Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 , di sini, hari ini.

Iskandar berkata, selain di Blok C, Blok A juga mengalami kerosakan lif dan hanya satu lif sahaja berfungsi, manakala di Blok B hanya dua lif berfungsi.

“Dimaklumkan lif di sini ini sering mengalami kerosakan tidak kira masa. Antara salah satu punca adalah kegiatan vandalisme.

“PHSSB juga perlu peka memastikan lif diselenggara segera supaya tidak berlaku lagi untuk jangka masa panjang bukan sekadar ‘on off’ dan membuat pantauan tidak berlaku vandalisme di kawasan ini,” katanya.
EZY

Categories
SELANGOR

Exco: Titah Tuanku gandakan motivasi majukan negeri, bela rakyat

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 MAC: Exco Kerajaan Selangor menyifatkan titah perasmian DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dianggap motivasi bagi melipatgandakan usaha bekerja lebih keras memajukan negeri dan membela rakyat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata titah Baginda Sultan turut mencerminkan keprihatinan Baginda Sultan terhadap usaha Kerajaan Negeri membangunkan negeri.

ISKANDAR SAMAD“Baginda Sultan amat berpuas hati dengan perjalanan dan usaha Kerajaan Negeri. Kami amat menghargai atas sokongan Baginda Sultan dan ini motivasi bagi melipatgandakan usaha memajukan negeri serta membela nasih rakyat,” kata Iskandar kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Istiadat Perasmian Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke 13, di sini, Tahun 2016 di sini, hari ini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, beliau berusaha memastikan bekalan air di negeri itu sentiasa mencukupi seperti dititahkan Baginda Sultan.

Zaidy“Saya menjunjung kasih atas titah ucapan Tuanku. Saya juga mensyukuri apabila banyak yang Baginda Sultan berkenan terhadap pendekatan dan program Kerajaan Negeri.

“Baginda Sultan juga ada menitahkan supaya kita memfokuskan isu air dan berkenan atas rancangan dan tindakan Kerajaan Negeri sama ada diambil atau akan diambil.

“Kita melihat titah itu dengan teliti untuk kita lebih bekerja keras dan merancang lebih baik atas isu pembekalan air mentah dan air terawat sekaligus memastikan air mencukupi,” kata Zaidy pula.

Terdahulu pembukaan Persidangan Penggal keempat, DNS yang ke-13, Tahun 2016 yang dilangsungkan hari ini diadakan dengan penuh istiadat.

Pada istiadat itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor (DNS) dengan melakukan Pemeriksaan Kawalan Kehormat Utama dan menyampaikan titah ucapan perasmian.

EZY

Categories
SELANGOR

Selangor Smart Sewa, pupuk rakyat menabung beli rumah

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 MAC : Rakyat yang menyewa rumah daripada Kerajaan Negeri bakal menerima sebahagian sewaan itu untuk digunakan bagi tujuan pembelian rumah peribadi.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abadul Samad, berkata inisiatif itu termaktub di bawah Program Selangor Smart Sewa, dengan tujuan membantu rakyat memiliki kediaman sendiri.

Pelancaran Rumah Selangorku di Setia City Convention Centre MB (3)Katanya, skim berkenaan mampu membantu penyewa supaya tidak dibebani pelbagai bentuk faedah daripada pinjaman perumahan bank.

“Kerajaan Negeri memahami terdapat ramai daripada mereka tidak mempunyai pendapatan mencukupi mendapatkan pinjaman bank dan perlu menyewa rumah sehingga pendapatan mereka mencukupi.

“Sekurang-kurangnya ia dapat membantu mereka membayar deposit untuk mendapatkan pinjaman perumahan dari bank,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) sedang dalam proses membeli rumah mampu milik atau Rumah Selangorku untuk disewakan kepada rakyat.

Tambahnya, rumah itu akan diuruskan Perumahan Dan Hartanah Selangor Sendirian Berhad (PHSSB), sebuah syarikat LPHS.

Skim itu merupakan lanjutan kepada tumpuan dasar kerajaan dalam melaksanakan program membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki kediaman sempurna.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Program Selangor SMART SEWA bantu menabung beli rumah

OLEH : Dato’ Iskandar Abdul Samad

Kerajaan Negeri Selangor sentiasa melaksanakan program-program perumahan untuk membantu rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah sendiri.

Program yang terkini adalah program “SELANGOR SMART SEWA” untuk membantu rakyat membeli rumah.

Pelancaran Rumah Selangorku di Setia City Convention Centre MB (3)Dalam program ini, rakyat yang menyewa rumah dari kerajaan negeri akan mendapat balik sebahagian dari sewa yang dibayar apabila kontrak sewaan mereka tamat.

Wang yang dikembalikan boleh digunakan oleh penyewa-penyewa untuk membeli rumah mereka sendiri. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu mereka membayar deposit untuk mendapatkan pinjaman perumahan dari bank.

Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor ( LPHS ) sedang dalam proses membeli rumah-rumah mampu milik atau Rumah Selangorku untuk disewakan kepada rakyat.

Rumah-rumah ini akan diserahkan kepada Perumahan Dan Hartanah Selangor Sendirian Berhad ( PHSSB ) untuk diuruskan. PHSSB adalah syarikat yang ditubuhkan oleh LPHS.

Kerajaan negeri memahami bahawa terdapat ramai dari mereka yang tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk mendapatkan pinjaman bank dan perlu menyewa rumah sehingga pendapatan mereka mencukupi.

Oleh yang demikian, kerajaan negeri sentiasa melaksanakan program-program untuk membantu rakyat seperti ini memiliki tempat tinggal yang sempurna.

* Dato’ Iskandar Abdul Samad adalah Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor