Categories
NASIONAL

PM diselar bandingkan GST

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 MAC: Perdana Menteri, Datuk Seri NajibRazak diselar kerana membandingkan statistik kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan negara lain tetapi tidak meneliti kadar kemiskinan yang menyebabkan kesan peningkatan kos sara hidup kepada rakyat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata kenyataan pemimpin nombor satu negara itu tidak bertanggungjawab dan tidak mahu berusaha memikirkan cara supaya rakyat tidak terbeban dengan cukai itu.

“Kita juga tidak seharusnya membandingkan kadar GST di negara lain tetapi lihatlah kesan GST kepada rakyat negara ini terutama yang berpendapat rendah dan sederhana.

“Jangan hanya pandai membandingkan statistik kadar GST antara negara tetapi teliti statistik kadar kemiskinan, statistik kadar keluarga bermasalah dan statistik lain yang menunjukkan kesan peningkatan kos sara hidup kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Najib berkata, negara akan mengalami defisit jika GST dihapuskan dan negara akan kehilangan pendapatan RM45 bilion, setahun.

Beliau juga berkata, hutang negara semakin parah dan tanpa pendapatan hutang itu akan semakin meningkat, maka Malaysia akan menjadi seperti Greece.

Iskandar berkata, Malaysia adalah satu negara dengan pelbagai sumber asli dan jika ekonomi negara diuruskan dengan baik, maka tidak perlu mewujudkan cukai tambahan itu untuk membiayai program bantuan kepada rakyat.

Namun, katanya, disebabkan kegagalan pemimpin negara, maka rakyat perlu dibebankan dengan cukai terbabit

“Ini sudah tentu tidak adil kerana mereka yang bersalah terlepas daripada sebarang hukuman tetapi rakyat pula yang menjadi mangsa.

Alasan negara akan menanggung defisit juga tidak boleh terima.

“Pekerja yang tidak membayar cukai kerana keadaan kewangan mereka yang tidak mengizinkan. Adalah zalim untuk mengenakan cukai ke atas mereka melalui barangan dan perkhidmatan yang digunakan.

“Bagaimanapun, keadaan sedemikian berlaku akibat kesilapan pemimpin, maka kyat tidak seharusnya didera akibat kesilapan ini.

Perdana Menteri juga berkata, hanya dua juta daripada 13 juta pekerja di Malaysia yang membayar cukai dan perkara ini perlu diperbetulkan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, negara jiran Singapura tidak mempunyai sebarang sumber asli tetapi mereka dapat mencapai tahap pembangunan jauh lebih ke hadapan dari Malaysia dan pendapatan rakyat mereka juga berkali ganda, dari negara ini.

 

 

Categories
SELANGOR

Rumah percuma hanya janji palsu BN

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 26 FEB: Hasrat Barisan Nasional (BN) memberikan rumah percuma kepada pasangan muda baru berkahwin adalah sekadar janji manis yang ditabur menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, janji seperti itu sudah lama dibuat, namun ia sekadar janji kosong parti berkenaan.

“Jika BN mahu laksanakan skim ini, maka sudah tentu Kerajaan Pusat sudah laksanakannya terlebih dahulu.

“Rakyat tidak seharusnya terpedaya dengan janji seperti ini kerana saya yakin mereka tidak mampu tunaikannya,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Iskandar yang juga Ahli Dewan Negeri Cempaka turut menegaskan, walaupun Kerajaan Negeri tidak memberi rumah percuma tetapi pelbagai skim disediakan bagi membantu golongan muda membeli rumah.

“Yang terkini, Smart Selangor First Homebuyer dilancarkan dengan Kerajaan Negeri meminjamkan 10 peratus daripada harga rumah untuk pembeli membayar deposit mendapatkan pinjaman bank.

“Skim ini bagi membantu golongan muda yang ingin membeli rumah tetapi tidak ada simpanan wang yang mencukupi untuk membayar deposit,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kekal perpaduan antara kaum

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka, Dato’ Iskandar Abdul Samad, menggesa masyarakat Cina mengekalkan keharmonian kaum bersama kaum lain demi kecemerlangan bersama.

Beliau berkata, jalinan perpaduan antara kaum di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka perlu terus dipupuk supaya keamanan dinikmati dikekalkan.

“Saya menggesa kaum Cina untuk terus bersama menggapai matlamat mengekalkan keharmonian dan kecemerlangan DUN Chempaka,” katanya ketika melawat peniaga dan pembeli di sekitar pasar sementara Pandan Jaya, di sini, semalam.

Sempena Tahun Baru Cina, Exco Kerajaan Negeri itu mengadakan program tahunan edaran buah limau sebagai satu simbol perpaduan antara kaum.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan kaum Cina, Lee Shok Jing berkata, penerimaan masyarakat Cina terhadap Iskandar sangat diraikan.

“Walaupun kecelaruan politik dan isu perkauman berlaku dalam keadaan sekarang, namun sokongan terhadap Iskandar sangat menebal,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kenapa Jamal boleh masuk sekolah?

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 NOV: Dato’ Iskandar Abdul Samad mempertikai kebenaran diperoleh Pemuda Umno Bahagian Pandan bagi menganjurkan program di Sekolah Kebangsaan Pandan Indah.

Ahli Dewan Negeri Cempaka itu berkata, Kementerian Pendidikan seharusnya lebih adil dan turut memberi peluang sama kepada parti lain untuk menganjurkan program di sekolah.

Katanya, sikap pilih kasih tidak sepatutnya dimiliki mana-mana kementerian dan jabatan kerajaan.

“Sebelum ini kami menerima laporan bahawa seorang guru diberikan surat tunjuk sebab kerana kononnya membawa pemimpin Kerajaan Negeri ke dalam sekolah,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Mohd Yunos didakwa hadir merasmikan program Khatan Perdana 2017 anjuran Pemuda Umno di sekolah berkenaan, awal hari ini.

Iskandar berkata, ibu bapa turut mempertikai kesesuaian Jamal terlibat dengan program di sekolah kebangsaan dan berinteraksi dengan pelajar.

Katanya, mereka melihat Jamal sebagai contoh tidak baik kepada generasi muda kerana terlibat dengan pelbagai kontroversi.

“Beliau terlibat dengan tindakan ganas seperti memecahkan botol di tempat awam iaitu di Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Beliau juga mengadakan demonstrasi di situ dengan hanya bertuala.

“Maka wajar ibubapa membantah kehadiran Jamal di sekolah itu,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

1000 pembeli Rumah SelangorKu bakal terima pinjaman kewangan tanpa faedah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 NOV: RM15 Juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi memberi pinjaman tanpa faedah kepada pembeli rumah seluruh negeri di bawah pelaksanaan Skim Smart Home Buyer.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, peruntukan itu dijangka bakal memberi manfaat kepada 1,000 pembeli rumah.

“Skim ini terbuka kepada pembeli yang sudah mendapat pinjaman daripada bank sebanyak 90 peratus dengan baki 10 peratus pembayaran itu akan dibayar oleh Kerajaan Negeri.

“Melalui peruntukan kos RM15 juta, ia dijangka akan memberi manfaat kepada 1,000 pembeli rumah yang sudah mendapat pinjaman daripada bank untuk pembelian Rumah SelangorKu.

“Menariknya, pelaksanaan pinjaman yang diberikan tidak dikenakan kadar faedah atau caj tersembunyi,” katanya kepada SelangorKini pada Majlis Penyerahan Kunci Simbolik Projek Perumahan Masreca N19eteen oleh Syarikat Pemaju Bumiputera, Kumpulan Sterling.

Terdahulu, pelaksanaan skim berkenaan membolehkan Kerajaan Negeri membuat pendahuluan bayaran deposit sebanyak 10 peratus kepada pembeli Rumah Selangorku.

Ia mula dilaksanakan sejak 2016 lalu sebagai asas pelaksanaan Skim DanaSel dengan inisiatif bantuan khas bagi membolehkan rakyat memiliki rumah.

Categories
SELANGOR

RM98 juta baik pulih penyelenggaraan rumah kos rendah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

CYBERJAYA, 12 NOV: Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM98 juta bagi menambah baik keperluan dan penyelenggaraan rumah kos rendah di seluruh Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata perbelanjaan dikeluarkan bagi tempoh 2010 hingga 2017.

“Kerajaan sebelum ini, banyak rumah-rumah kos rendah dibina, namun timbul masalah apabila rumah-rumah yang dibina itu terlalu rendah daripada aspek kualitinya.

“Akibatnya Kerajaan Negeri mengeluarkan perbelanjaan sekitar RM98 juta untuk tujuan baik pulih rumah-rumah kos rendah yang dibina.

“Oleh sebab itu, saya berharap walaupun kita pentingkan kuantiti rumah, namun kualiti rumah yang dibina ini perlu berada dalam tahap yang baik,” katanya.

Beliau berkata pada Majlis Perasmian Penyerahan Kunci Secara Simbolik kepada 10 pembeli Rumah Selangorku di Persiaran Rimba Permai, Cyberjaya hari ini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperkenalkan Skim Baikpulih Negeri Berkebajikan (CERIA) bagi membantu perumahan kos rendah membaikpulih kerosakan dan aspek penyelenggaraan lift.

Skim berkenaan menawarkan tanggungan baik pulih kerosakan sebanyak 80 peratus dengan selebihnya ditanggung Badan Pengurusan Bersama (JMB).

=EZY=

Categories
SELANGOR

Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai sasar pulih dua projek

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 NOV: Projek terbengkalai Kampung Desa Mawar, Kuala Selangor terpilih untuk dipulihkan di bawah Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai (TEPAT), kata Dato’ Iskandar Abdul Samad.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar itu berkata, projek pembesaran terbabit membabitkan kos RM6.3 juta dan kini dalam proses pemulihan serta dijangka siap, pada Mac 2018.

Katanya, satu lagi projek dikenal pasti TEPAT ialah Pangsapuri Kos Rendah Limau Indah, Shah Alam dengan kos RM13 juta.

“Namun selepas kajian dijalankan, Kerajaan Negeri mendapati kos untuk memulihkan projek itu memerlukan suntikan dana lebih RM13 juta bagi menampung kos baik pulih yang mencecah RM38 juta.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri membuat keputusan supaya penyelesaian lebih menyeluruh untuk pangsapuri itu dibuka kepada pihak yang berminat untuk memulihkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Telok Datok, Loh Chee Heng, berhubung kos dibelanja menerusi TEPAT untuk pemulihan projek terbengkalai.

Iskandar yang juga ADN Cempaka berkata, terdapat 105 projek terbengkalai membabitkan 23,374 unit di seluruh Selangor, setakat Jun lalu.

“Antara faktor projek terbengkalai adalah pemaju tidak melakukan ‘feasiblity study’ yang tepat hingga menyebabkan pemaju kekurangan dana untuk siapkan projek.

“Faktor lain termasuk pemaju kurang pengalaman, tiada dana untuk selesaikan masalah projek, pengurusan lemah serta tidak mendapat pinjaman daripada agensi kewangan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Najib ‘lupa’ sumbangan Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 OGOS: Pimpinan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak disifatkan ‘lupa’ akan sumbangan Kerajaan Negeri apabila melancarkan program Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang, Dengkil, semalam.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, hal itu kerana PPR yang bakal didirikan adalah tanah yang diambil alih oleh Kerajaan Negeri daripada pemaju dengan kos RM15 juta.

Katanya, ia diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan bagi pembangunan projek itu tanpa sebarang bayaran.

“Tanah seluas 30 ekar itu diambil alih oleh Kerajaan Negeri daripada pemaju dengan kos lebih RM15 juta dan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk projek PPR itu tanpa sebarang bayaran. Ia bagi projek perumahan penduduk Taman Permata yang sebelum ini tidak terbela, sejak berpuluh tahun lalu,” katanya.

Iskandar-DanaSel-featuredIskandar berkata, sebelum ini beberapa siri rundingan dibuat oleh Kerajaan Negeri, namun Kerajaan Persekutuan seakan’tarik tali’ dalam isu terbabit.

Katanya, sedangkan ia menjadi kewajipan Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah penduduk kerana projek pembangunan Putrajaya adalah projek mereka, bahkan tanpa kerjasama dan sumbangan Kerajaan Negeri masalah itu tidak akan dapat diselesaikan.

Projek PPR itu adalah sebagai penyelesaian kepada masalah penduduk Rumah Kos Rendah Taman Permata, Dengkil yang dibina untuk bekas pekerja ladang apabila Kerajaan Persekutuan hendak membangunkan Putrajaya.

Rumah kos rendah itu sebelum ini menghadapi masalah keretakan teruk membabitkan struktur bangunan yang dipercayai akibat tanah mendap.

Iskandar turut mengulangi pendirian Kerajaan Negeri untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi kepentingan rakyat tetapi beliau kesal kerana Kerajaan Persekutuan lebih suka bermain politik.

Terdahulu, Najib merasmikan majlis pecah tanah Projek Perumahan Rakyat Ampar Tenang yang bakal memanfaatkan golongan berpendapatan rendah.

Projek PPR Ampar Tenang, Dengkil itu membabitkan kos pembangunan RM60 juta bagi pembinaan 400 unit rumah teres satu tingkat termasuk kemudahan balai komuniti dan tapak rumah ibadat bukan Islam yang dijangka siap, pada Julai 2019.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri demokrasi pemilikan rumah bantu rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 OGOS: Pendemokrasian milikan rumah adalah dasar Kerajaan Negeri ketika ini iaitu cerminan kepada sebuah kerajaan yang berusaha ke arah mengurangkan kesenjangan pendapatan di kalangan rakyat.

Kerajaan Negeri bukan sahaja giat memperluaskan akses pemilikan Rumah Selangorku tetapi turut memulihkan projek terbengkalai di Selangor selaras dengan motto dilaungkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali iaitu ‘Membangun Bangsa, Memakmur Negeri’.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, sebanyak 53 projek perumahan terbengkalai berjaya dibaik pulih membabitkan 24,660 unit rumah sejak tampuk pentadbiran diambil alih, pada Mac 2008.

Katanya, masalah yang ditinggalkan Kerajaan Barisan Nasional ketika itu berjaya diselesaikan Kerajaan Negeri, hari ini.

Iskandar-DanaSel-featuredMalah, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut mengambil kira polisi melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk bertindak sebagai pemudah cara dalam menyelesaikan isu projek terbengkalai itu.

“Antara polisi itu adalah membantu pembeli menubuhkan jawatankuasa bertindak supaya tindakan dan badan yang terbabit memerlukan persetujuan sekurang-kurangnya 85 peratus pembeli perlu diperolehi terlebih dahulu.

“LPHS berperanan mengeluarkan surat pengesahan projek terbengkalai supaya pembeli dapat berurusan dengan pihak bank untuk menstruktur semula bayaran bulanan daripada pembiaya atau bank,” katanya.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri turut memberi khidmat nasihat dan panduan tindakan kepada pembeli untuk membawa kes ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Antara dasar LPHS dalam membantu pembeli ialah menubuhkan jawatankuasa bertindak bersama iaitu pembeli boleh menyelaras bersama pihak berkuasa.

Salah satu langkah yang diambil adalah meminta semua pemilik rumah kedai membentuk jawatankuasa bertindak bersama.

Categories
SELANGOR

Jawatankuasa khas selesai isu peneroka bandar

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 JULAI: Kerajaan Negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyelesaikan isu penempatan 573 peneroka bandar yang kini mendiami tanah kerajaan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, semua peneroka berkenaan sudah dikenal pasti mendiami tanah yang boleh diberi hak milik.

Katanya, penyelesaian penempatan mereka bagaimanapun tertakluk kepada ulasan Jabatan Teknikal.

iskandar01“Kerajaan Negeri melaksanakan pendekatan dan cara lebih berhemah dengan mengambil kira pandangan semua pihak.

“Kita juga mengambil pandangan peneroka bandar sendiri sebelum penyelesaian secara menyeluruh dikenal pasti dan dilaksanakan,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib berhubung isu peneroka bandar.

Iskandar berkata, Kerajaan Negeri turut menawarkan Rumah Selangorku kepada peneroka bandar yang layak.

Katanya, satu jawatankuasa khas turut ditubuhkan bagi penyelesaian projek perumahan berstrata lama yang masih belum mendapat hak milik strata.

“Ia membabitkan Jawatankuasa Perumahan dan Pejabat Tanah Galian (PTG) Selangor,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jangan hina tetamu Rumah Terbuka Kerajaan Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 JULAI: Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad membidas segelintir pihak yang menyifatkan tetamu Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitri Peringkat Negeri Selangor sebagai kebulur dan tidak cukup makan.

Katanya, semua pihak perlu berpijak di bumi nyata serta menyelami kesusuahan segelintir keluarga yang tidak mampu menyediakan juadah terbaik, di pagi Syawal.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya jika ada yang menghina mereka yang datang beramai-ramai ke Majlis Hari Raya Kerajaan Negeri semalam sebagai tak cukup makan, kebulur atau peminta sedekah.

“Kalau kamu biasa dengan makanan yang sedap-sedap tidak perlulah menghina orang lain. Ramai rakyat marhaen yg tidak mampu menyediakan makanan istimewa untuk keluarga mereka, pada hari raya ini.

Raya“Ada yang datang berjumpa dengan YB (ADN) meminta sumbangan untuk membeli daging. Hendak membeli kuih raya pun berkira. Baju baru jauh sekali,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, penganjuran rumah terbuka itu sekurang-kurangnya menggembirakan rakyat marhaen supaya dapat menikmati juadah sempena Aidilfitri.

Rumah terbuka anjuran Kerajaan Negeri di Padang Perbandaran Majlis Perbadnaran Ampang Jaya (MPAJ) itu diserikan dengan kehadiran lebih 50,000 tetamu yang mula tiba, sejak jam 8 pagi.

Terdapat 47 gerai makanan yang menghidangkan pelbagai jenis juadah selain diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Categories
SELANGOR YB ACTIVITIES

Projek Makanan Untuk Semua bantu masyarakat dapat makanan percuma

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 JUN: Masjid Al-Azim Pandan Indah dipilih menjadi lokasi pertama Projek Makanan Untuk Semua (MUS) bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan terurama golongan asnaf mendapatkan makanan harian secara percuma.

Projek anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Chempaka yang julung kali dibuat di Pandan mendapat kerjasama pihak Masjid Al-Azim dan akan dikembangkan ke seluruh surau serta masjid lain, di DUN Chempaka.

Ahli Dewan Negeri Chempaka, Dato’ Iskandar Abdul Sama berkata, usaha itu diharap dapat memberi kesedaran kepada orang ramai untuk menyelami kesukaran segelintir kelompok masyarakat yang memerlukan makanan.

ISKANDAR (2)“Orang ramai terutama peniaga dan penderma boleh menyumbang lebihan makanan bagi mengelak pembaziran. Saya berharap masjid dan surau sekitar Selangor dapat mengambil contoh apa yang dilakukan di Masjid Al-Azim Pandan Indah.

“Fungsi masjid juga perlu dikembangkan bukan hanya sebagai tempat ibadat tetapi sebagai pusat sehenti (one stop center) yang dapat menyediakan perkhidmatan dan bantuan kepada semua,” katanya.

Pada majlis perasmian, Iskandar turut menyumbang peti sejuk bersaiz besar untuk ditempatkan di masjid itu.

Pada masa sama, konsep yang dikemukakan Iskandar supaya masjid kelihatan ke hadapan dalam menghulurkan bantuan khususnya kepada golongan asnaf turut disambut baik Nazir Masjid, Azmi Anuar.