Categories
AGENDA NASIONAL

Dana RM375 juta mantapkan kemajuan Islam

SHAH ALAM, 1 NOV: Selangor komited untuk memantapkan lagi agenda kemajuan agama Islam menerusi Belanjawan #Selangor2020, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Untuk itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM375.78 juta termasuk bagi elaun jawatankuasa masjid dan surau, peruntukan mengurus Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan peruntukan pembangunan JAIS.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM3 juta untuk menaik taraf Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah termasuk tempat letak kereta dan ruang solat

Kerajaan Selangor turut mengumumkan pembinaan dua masjid iaitu Masjid Nurul Amin Merbau Sempak, Sungai Buloh dan Masjid Jamek Al-Hikmah, Batu 20, Kuang melalui kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri juga menampung RM8 juta bagi membina semula Masjid Nurul Amin Merbau Sempak yang kos keseluruhannya dianggar RM12.45 juta manakala RM4.45 juta ditanggung Kerajaan Persekutuan.

“Sementara Masjid Jamek Al-Hikmah adalah masjid baharu yang akan dibina dengan anggaran kos sebanyak RM11 juta. Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi pembinaan masjid ini.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan menampung kos pembinaan sebanyak RM6 juta,” katanya.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperuntuk RM1 juta bagi menambah prasana sebagai lambang kecanggihan kegiatan pembangunan ilmu astronomi di negeri ini.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PAKATAN laksana pelbagai inisiatif umat Islam – Tun M

KUALA LUMPUR, 30 APR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan hari ini telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menjaga kepentingan agama Islam dan umatnya di negara ini.

Justeru beliau menafikan umat Islam terancam di bawah Pakatan Harapan (PAKATAN) dan beranggapan pihak yang mendakwa suara ‘mempertahankan Islam’ sukar kedengaran dalam kalangan pemimpin pentadbiran hari ini kerana mereka ‘pekak’.

“Fasal dia pekak. Kita buat macam-macam untuk orang Islam, untuk Islam tapi dia tak dengar,” katanya kepada pemberita selepas Malam Anugerah dan Majlis Makan Malam Gala Persatuan Pertubuhan Pengurusan Asia (AAMO) ke-20 di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin menerusi kenyataan di laman Facebook beliau bahawa suara ‘mempertahankan Islam’ sukar kedengaran dalam kalangan pemimpin pentadbiran hari ini.

Dakwa Mohd Asri, perkara itu menjadikan rakyat makin akur Islam ‘berada dalam keadaan yang tidak begitu selamat’ bawah pimpinan kerajaan Pakatan Harapan.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Kajian: Tiada data tunjuk adanya konflik Muslim, Kristian

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 APR: Tiada unsur konflik antara penganut Islam dengan Kristian walau serangan di Sri Lanka dianggap “tindak balas” insiden tembakan di masjid Christchurch.

Kajian tentang keganasan oleh Universiti Maryland menunjukkan “tiada data menyokong jalan cerita berkembangnya perang antara agama”, lapor CNN kelmarin.

Memetik laporan Konsortium Kebangsaan bagi Kajian Keganasan dan Tindak Balas Terhadap Keganasan (START) di universiti tersebut, portal itu melaporkan hanya 1.45 peratus serangan pengganas di seluruh dunia melibatkan rumah ibadat antara 1970 hingga 2017.


Anggota keselamatan Sri Lanka memeriksa bahagian dalam gereja St. Sebastian di Negombo pada 22 April 2019, sehari selepas serangan bom pengganas. – Foto AFP.

“Apabila anda mengambil kira serangan pengganas terhadap tokoh dan institusi agama, jumlahnya hanya meningkat 1 peratus kepada 2.44 peratus,” lapor stesen TV terkenal itu.

Ia mengulas kenyataan Menteri Pertahanan Sri Lanka, Ruwan Wijewardene, yang mendakwa siri pengeboman di gereja dan hotel pada Ahad lalu akibat serangan di dua masjid New Zealand.

Lebih 350 terbunuh dalam serangan di lapan lokasi sempena sambutan Hari Paskah dan beratus-ratus lagi cedera. Kira-kira 60 orang suspek ditahan setakat ini.

ISIS, kumpulan pengganas yang berpangkalan di Syria, mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut. Sementara ada laporan menyebut Jamaah Tawheed Nasional terlibat.

Pengurus pangkalan data START Erin Miller dilaporkan mengingatkan pelampau Islam turut menyerang penganut agama itu, sekali gus menyanggah tanggapan konflik Muslim dengan Kristian.

“Jadi, walau penganut agama dan ramai lagi terkejut dengan serangan ke atas rumah ibadat, kita wajar meragui penganalisis yang menyebarkan naratif ‘pertembungan perabadan’.

“Data tidak menunjukkan idea (konflik Muslim dengan Kristian) tersebut, sekurang-kurangnya bukan pada saat ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Selangor dominan martabat umat Islam

OLEH NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 14 APR: Usaha Kerajaan Negeri dalam meningkatkan dan memartabatkan syiar Islam di negeri ini tidak dapat dinafikan, malah sentiasa berusaha memastikan nilai-nilai Islam diserapkan dalam pelbagai aspek.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Selangor merupakan negeri contoh apabila dominan mengangkat martabat umat Islam.

“Pelbagai usaha dilakukan termasuk memberikan peruntukan sebanyak RM400 juta kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menerusi Belanjawan Negeri 2018.

“Kita memberi jaminan umat Islam, selagi saya masih di sini saya akan bekerja kuat mempertahankan agama Islam,” katanya di majlis dialog bersama penduduk di Madrasah Al-Ittihad, Taman Setia Gombak, di sini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata isu pemilikan tanah Madrasah Al-Ittihad di Taman Setia Gombak itu selesai sejak 2016.

Katanya, Kerajaan Negeri sudah menyerahkan kepada JAIS untuk mengambil alih pengurusan.

“Menerusi beberapa siri perbincangan, isu tanah ini selesai. Kita tidak mahu pemaju mengambil alih.

“Alhamdulillah, tawaran RM1.79 juta diterima dan Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan masalah ini,” katanya.

=EZY=

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor komited perkasa institusi Islam, Exco bidas BN tidur

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 APR: Kerajaan Negeri komited melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memperkasakan institusi Islam khususnya Mahkamah Syariah di negeri itu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Yunus Hairi berkata, ia dapat dilihat menerusi kejayaan Selangor menjadi negeri pertama melaksanakan pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 pada tahun 2015.

Katanya, Selangor juga merupakan Negeri pertama di Malaysia yang melantik wanita sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan turut melantik wanita sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor.

“Dakwaan Penyeleras Adun Barisan Nasional (BN) negeri, Dato’ Mat Nadzari Ahmad Dahlan tidak berasas. Mungkin wakil rakyat ini tertidur ketika dewan bersidang,” katanya menerusi laman Facebooknya.

Terdahulu, BN Selangor mendakwa terdapat 10 kelemahan besar Kerajaan Negeri antaranya gagal memperkasakan institusi Islam, gagal memartabatkan bidang pendidikan dan gagal menyelesaikan isu sampah.

Dr Yunus berkata Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM36.2 juta setahun bagi menampung kos belanja mengurus Jabatan Kehakiman Syariah Selangor.

Katanya, ia termasuk menyediakan peruntukan sebanyak RM17.6 juta setahun bagi membiayai kos pajakan bangunan baru Ibu Pejabat Jabatan Kehakiman Syariah Selangor dan 9 Bangunan Mahkamah Rendah Syariah seluruh Selangor.

“Sebanyak 94 jawatan kontrak turut diluluskan bagi menampung masalah kekurangan perjawatan di Mahkamah Syariah Selangor dan pertambahan 1 jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor, Pembantu Syariah.

“Selain itu, bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah Selangor dinaiktaraf dengan mewujudkan kuasa semakan kehakiman kepada Mahkamah Tinggi Syariah,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Pewujudan Kaedah-Kaedah Hakam (Selangor) 2014 yang membantu Mahkamah Syariah menyegerakan penyelesaian kes cerai di Selangor dan seterusnya membantu menyelesaikan kes tertunggak di Mahkamah Syariah.

=EZY=

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Sekatan Trump lonjak minat rakyat AS mengenali Islam

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 FEB: Sekatan kontroversi dikenakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijangka bakal melonjak minat rakyat negara Uncle Sam itu untuk lebih mengenali Islam.

Pensyarah Pengajian Agama di Leeds Trinity University, Anna Piela berkata, rumusan itu diperoleh berdasarkan respon ahli akademik sama ada Islamophobia yang berkembang sejak tragedi 9/11 menjadi lebih teruk dengan pentadbiran Trump.

Katanya, respon bagaimanapun menyatakan minat pelajar universiti terhadap pengajian Islam dan Timur Tengah meningkat setiap kali berlakunya peralihan kuasa politik.

islamophobia3“Prof Madya Pengajian Antropologi dan Silang Budaya di University of Houston-Clear Lake Texas, Maria Curtis memberitahu, setakat ini terdapat 22 pelajar berdaftar dalam kelas Pengajian Islam di Amerika.

“Katanya, mereka berharap mempelajari lebih banyak berkenaan akar umbi Islam di AS dan sangat teruja untuk tahu berapa dalam akar itu,” katanya dipetik Times Higher Education.

Beliau berkata, pandangan itu turut disokong kenyataan Charles Kurzman dan Carl W Ernst dari University of North Carolina di Chapel Hill dalam kertas kerja bertajuk Pengajian Islam di Universiti AS, pada 2012.

“Mereka mendapati minat terhadap Islam di institusi pengajian tinggi AS menunjukkan peningkatan, sejak 2011.

“Bilangan disertasi dan artikel akademik tentang Islam juga berkembang pesat selari dengan tumpuan dan sensasi yang media berikan kepada Islam,” katanya merujuk laporan kertas kerja itu.

Pada 28 Januari lalu, Trump mengeluarkan arahan membekukan kemasukan pelarian selama empat bulan terhadap warga Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman.

Terbaru, Rumah Putih dilapor sedang mempertimbang cadangan merangka perintah eksekutif baru berhubung sekatan terhadap pendatang selepas Mahkamah Agung membatalkan perintah eksekutif terdahulu.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor titah umat Islam perlu bersatu

Oleh: AFEEQA AFEERA

KLANG, 12 DIS: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan supaya umat Melayu Islam bersatu-padu dan mempertahankan agama daripada dicemari.

Baginda bertitah, mereka yang bijak pandai termasuk ahli politik ditegah daripada menggunakan agama untuk mendapatkan pengaruh yang boleh memecah-belahkan orang Islam.

SultanBaginda turut mengingatkan imam, bilal dan penghulu supaya sentiasa berwaspada terhadap anasir tidak baik seperti ajaran sesat serta perkara yang boleh merosakkan akidah Islam.

“Sesiapa sahaja yang mengetahui adanya ajaran sesat dan perkara yang boleh merosakkan akidah Islam, maka harus melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa dengan segera supaya dapat dibanteras, sebelum merebak sehingga memudaratkan agama.

“Masjid adalah tempat orang Islam beribadah dan meluaskan ajaran agama, pastika mereka yang mengajar serta memberi ceramah mendapat tauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” titah baginda sempena Hari Keputeraan ke-70 di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Baginda turut mengingatkan ahli jawatankuasa masjid dan pihak berkuasa supaya tidak mencampurkan agama juga politik dalam masjid seperti ditegaskan sebelum ini.

Pada masa sama, baginda juga bertitah supaya rakyat Selangor saling memahami dan menghormati antara satu sama lain, baik daripada segi agama, bangsa juga adat resam.

“Jangan sesekali rakyat beta menyentuh dan menyoal agama dianuti yang lain.

“Jika rakyat beta dapat mengetahui dan menghormati agama dianuti yang lain, maka mereka dapat hidup harmoni, bersatu-padu serta menikmati keamanan dan kemakmuran yang dicapai,” titah baginda.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Islamophobia & IS rencat perkembangan Islam di Poland

Oleh: AFIX REDZUAN

WARSAW, 22 JUL: Propaganda barat yang diterjemahkan melalui media menjejaskan proses dakwah kepada bukan Islam di Poland.

Sindrom ‘Islamophobia’ juga menjadikan masyarakat lebih takut mendekati Islam tambahan tindakan Islamic State atau lebih dikenali sebagai IS yang bercanggah dengan tuntutan syariat.

The Chairman Muslim Union Of Warsaw, Adham Abdullah, 40, berkata masyarakat lebih percaya maklumat yang disampaikan Amerika Syarikat melalui televisyen dan khabar angin walaupun jelas tidak menggambarkan Islam sebenar.

IMG_1025aPeka dengan keadaan berkenaan, pihaknya mengambil pendekatan untuk turun lebih kerap mendampingi masyarat supaya mereka lebih faham erti Islam yang sebenar.

“Media harus memberi ruang untuk kami menjelaskan perkara sebenar. Kami terpaksa ke tempat seperti sekolah dan menganjurkan lebih banyak forum bagi menjelaskan ajaran Islam,” katanya kepada Selangor Kini ketika mengunjungi Poland, pada 3 hingga 8 Julai lalu.

Katanya, sikap Muslim yang tidak mahu belajar berkenaan agama itu dengan lebih mendalam turut menyumbang kepada kurangnya keyakinan masyarakat terhadap Islam.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Islami Sangh Nepal berdakwah sambil hulur bantuan

Oleh: AFEEQA AFEERA

KATHMANDU, 3 JUN: Populasi rakyat Nepal beragama Islam yang rendah di negara itu mendorong badan bukan kerajaan (NGO), Islami Sangh Nepal (ISN) berusaha menarik lebih ramai mendekati Islam.

Pelbagai cara dilakukan termasuk berdakwah ketika menghulurkan bantuan kepada mangsa kejadian gempa bumi yang menimpa ibu negara Nepal, Kathmandu pada April dan Mei lalu.

Presidennya, Nazrul Hussain Falahi, berkata hanya 4.42 peratus rakyat negara itu beragama Islam berbanding 27 juta populasi penduduk secara keseluruhannya sehingga kini.

IMG_20150602_173239“Kami percaya ada peluang bagus untuk menarik lebih ramai rakyat Nepal mendalami Islam jika usaha bersungguh-sungguh dilakukan.

“Usaha ini turut dipermudahkan melalui kerjasama dengan NGO lain seperti Muslim Care Malaysia Society dalam menjayakan misi mengislamkan lebih ramai rakyat Nepal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan bersama wakil NGO Islam Malaysia ke Kathmandu yang diketuai Exconya, Mohd Johari Ismail.

Ketika ini, Nepal didominasi agama Hindu dengan 80 peratus populasi manakala selebihnya adalah Buddha, Kristian dan lain-lain.

IMG_20150602_173152Sementara itu, ketika mengulas berkenaan bantuan yang disampaikan kepada mangsa gempa bumi, Nazrul berkata 35,000 keluarga sudah menerima pelbagai jenis sumbangan.

Antara bantuan yang diberikan adalah makanan, khemah, selimut dan tilam serta perubatan.

“ISN turut menyumbangkan ubat-ubatan kepada tiga hospital iaitu Hospital Biro, Hospital Paten dan Pusat Kesihatan Komuniti serta pertubuhan perubatan lain.

“Bantuan ini turut melibatkan gabungan 31 NGO lain termasuk sumbangan daripada orang awam,” katanya.

Kira-kira 16 daripada 75 daerah di Nepal terjejas teruk ekoran kejadian gempa bumi berukuran 7.9 skala Richter yang melanda negara itu.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MAIS fokus pertahan agama, akidah umat Islam

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 JAN: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan terus fokus mempertahankan kesucian agama Islam dan akidah umatnya di negeri itu dari sebarang anasir merosakkan yang menggugat kestabilan serta kepercayaan terhadap agama Allah itu.

Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata ia adalah antara langkah diambil selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Petrsekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor.

“Hal itu selari dengan maqasid syariah iaitu membanteras ajaran sesat seperti syiah dengan menghapuskan anasir menggugat akidah umat Islam seperti pluralisme yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

lensa islam 1“MAIS akan turut memperkasa pengurusan kes undang-undang Islam dengan memastikan pegawai penguatkuasa agama diberi latihan dan pendedahan mencukupi berhubung pengendalian kes dan barang bukti serta memastikan pematuhan terhadap fatwa yang dikeluarkan turut diutamakan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad Adzib berkata, pihaknya akan turut memastikan penyelesaian kes tertangguh mahkamah syariah diselesaikan segera dengan meluluskan perjawatan baharu di Mahkamah Syariah tahun lalu dengan pembiayaan zakat.

Beliau berkata, 11,501 kes tertangguh direkodkan tahun lalu berbanding 13,789 tahun sebelumnya dengan pengurangan 17 peratus kes.

Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa“Kita akan juga mengenal pasti keperluan masjid dan sekolah agama di daerah yang kritikal serta memastikan masjid yang dibina sentiasa diimarahkan juga menjadi zon bebas politik.

“Pindaan dan penguatkuasaan kaedah pegawai masjid akan dilaksanakan tahun ini selari dengan pelantikan ahli jawatankuasa masjid baharu mulai tahun depan.

“Hal itu bagi merealisasikan peranan masjid sebagai pusat komuniti. Dengan pindaan ini, peranan jawatankuasa masjid berbeza dengan imam sebagai pegawai bertanggungjawab sebagai Pengurus Masjid,” katanya.

MAIS turut memberi tumpuan pemerkasaan ekonomi bagi memastikan zumber zakat, wakaf dan baitulmal dapat dimanfaatkan sebaik mungkin demi kemajuan serta kesejahteraan ekonomi umat Islam.

Katanya, pendekatan diambil MAIS bukan bersifat ekstremis, bahkan sama sekali tidak menyokong unsur terbabit dalam memartabatkan agama Islam demi memastikan agenda itu terlaksana.

“MAIS percaya pendekatan wasatiyyah iaitu kesederhanaan, keseimbangan dan tidak melampau adalah cara terbaik dalam menjaga kesucian agama Islam. Pada masa sama, tidak menafikan hak mengamalkan agama orang bukan Islam di Selangor,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pemantauan, taklimat berterusan jamin Islam terpelihara

Oleh: HAFIZAN TAIB

BANDAR SERI PUTRA, 19 DIS: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan sentiasa membanteras usaha penyelewengan ajaran Islam dan bertanggungjawab memelihara agama dan umat Islam dari terus terpesong akidahnya.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, sehubungan itu JAIS secara konsisten akan mengadakan taklimat khas dan dialog dari semasa ke semasa bersama semua pengamal tarekat berhubung garis panduan tarekat.

Katanya, ia diwujudkan Jabatan Mufti Selangor sebagai panduan umum dalam mengekang perkembangan fahaman atau ajaran yang boleh menyeleweng dari Islam sebenar.

maal“Kepentingan penganjuran simposium ini bagi memastikan pengamal tarekat tidak menyalahgunakan nama atau silsilah tarekat yang diiktiraf atau membina jaringan silsilah sendiri tanpa asas sehingga mengakibatkan penyelewengan dan unsur bidaah sesat serta khurafat.

“Oleh kerana itu, penting bagi kita umat Islam mengukuhkan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan dan hanya dengan iman serta taqwa kepada Allah sahaja mampu menjadi benteng dari sebarang bentuk penyelewengan akidah, syariah serta akhlak,” katanya.

Ahmad Yunus berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian penutup Simposium Tarekat Tasawuf Negeri Selangor 2014 di Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS), di sini, semalam.

yunusHadir sama, Pengarah Jais, Datuk Zaharin Mohd Saad; Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, penganjuran simposium itu adalah insiatif Kerajaan Negeri, JAIS, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti Negeri Selangor, KUIS, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Tabung Pembangunan Islam Negeri Selangor (TAPIS) supaya dijadikan panduan keilmuan kepada masyarakat Islam memahami secara tepat selok belok persoalan berkaitan akidah, tasawuf dan tarekat.

“Kerajaan Negeri dan JAIS sama sekali tidak memusuhi dan melarang umat islam mengikuti tarekat untuk mendekatkan diri kepada Allah tetapi tidak melampau sehingga taksub, meninggalkan perkara syariat dan memecah belahkan masyarakat,” katanya.

Sebelum itu, Zaharin dalam ucapannya berkata, JAIS sentiasa mendapat aduan berkenaan penyelewengan amalan tarekat di Selangor.

Katanya, antara punca penyelewengan adalah disebabkan ketua kumpulan atau dikenali Syeikh tarekat membawa fahaman dan ajaran yang bercanggah dengan agama Islam.

“Ia seperti mendakwa diri mereka sebagai wali, akhlak yang tidak sopan, taksub yang melampau, memberi pengorbanan berbentuk wang untuk mendapat keberkatan daripada guru dan juga mendakwa tarekat dibawa mempunyai silsilah terus kepada Rasulullah SAW.

“Turut mendakwa mendapatnya melalui mimpi dan pelbagai lagi penyelewengan yang hanya mementingkan pihak tertentu sehingga memberi keyakinan kepada individu yang ingin mengikuti amalan tarekat berkenaan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MB: Sentimen fanatik, pelampau tak ada tempat di Selangor

Oleh: NAEEM RAFFI

PETALING JAYA, 3 NOV: Kerajaan Selangor akan melakukan yang terbaik bagi memastikan prinsip keadilan dan kesederhanaan digunakan setiap masa dalam urus tadbir negeri itu.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, pendekatan itu diambil bagi mendepani curahan sentimen fanatik dan pelampau yang sering dicetuskan segelintir kumpulan yang membanggakan diri mereka sebagai ‘Islam’.

“Kegagalan menghargai dan menerima Al-Quran oleh kumpulan ini adalah penyebab berlakunya curahan sentimen fanatik dan pelampau.

Forum bersama Anwar di One World (9)“Dalam hal ini, saya menegaskan bahawa sentimen terbabit tidak akan memiliki tempat dalam pentadbiran Selangor kerana kami mengamalkan prinsip keadilan dan kesederhanaan setiap masa,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persidangan Dunia Demokrat Islam di Hotel One World, Bandar Utama, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar (IKD), Khalid Jaafar dan Pengerusi Yayasan Keamanan Sasakawa, Jiro Hanyu.

Persidangan Dunia Demokrat Islam yang berlangsung dua hari bermula 3 hingga 4 November itu akan menampilkan beberapa tokoh dan ilmuan Islam.

Forum anjuran Institut Kajian Dasar (IKD) dengan kerjasama Yayasan Keamanan Sasakawa (SPF), Pusat Habibie Indonesia dan Yayasan Politik Penyelidikan Ekonomi dan Sosial (SETA) Turki dijangka akan menjadi landasan bagi pemimpin, intelektual dan profesional Islam untuk menyuarakan pandangan progresif membabitkan perkara berkenaan kebebasan, demokrasi serta keadilan.

Forum bersama Anwar di One World (1)Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berharap pembabitan dan penyertaan demokrat Islam dan bukan Islam dalam forum berkenaan akan membina kefahaman, sekali gus melenyapkan prasangka terhadap Islam.

“Isu yang dibangkitkan bukan sahaja penting sebagai subjek wacana di persidangan peringkat tinggi seperti ini, tetapi membabitkan hal yang mempunyai kesan langsung kepada rakyat.

“Diharapkan wacana kali ini menjadi wahana kepada pelaksanaan ‘tahalluf siyasi’ di negara ini,” katanya.

-NFN-