Categories
GLOBAL

PM: Malaysia-Pakistan kongsi maklumat perangi rasuah

ISLAMABAD, 22 MAC: Malaysia dan Pakistan boleh berkongsi maklumat dalam usaha untuk memerangi rasuah, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, segala bentuk rasuah perlu dihentikan memandangkan ia akan meningkatkan kos.

Dr Mahathir juga bersetuju dengan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan bahawa rasuah boleh menjadikan sesebuah negara jatuh miskin.

“Kami sangat bimbang tentang rasuah. Anda perlu membayar jumlah tertentu untuk memastikan kerja tertentu dilakukan. Kadang kalanya wang dicuri oleh pegawai dan ini perlu dihentikan,” katanya pada sidang akhbar bersama selepas mengadakan pertemuan.

Terdahulu, Dr Mahathir memulakan lawatan kerja tiga hari ke Pakistan bermula semalam.

Sementara itu, Imran Khan berkata Dr Mahathir membuat kemunculan semula yang hebat sebagai Perdana Menteri untuk memerangi rasuah.

“Kami melihat anda menentang rasuah. Parti saya (Pakistan Tehreek-e-Insaf) memulakan kempen 22 tahun yang lalu memerangi rasuah. Kami sebenarnya percaya negara bukan miskin, tetapi rasuah yang menjadikan rakyat miskin.

“ Rasuahlah yang menghancurkan institusi itu. Rasuah yang mengambil wang yang sepatutnya dibelanjakan untuk manusia, wang haram di bawa ke luar negara. Mereka menjadikan (negara) miskin dan mengalihkan wang untuk pembangunan manusia,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

PM tiba di Islamabad untuk lawatan tiga hari

ISLAMABAD, 22 MAC: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba Islamabad, semalam untuk lawatan rasmi tiga hari ke Pakistan.

Pesawat yang membawa pemimpin ulung dari Malaysia itu mendarat di Pangkalan Tentera Udara Pakistan Nur Khan, Rawalpindi, dekat sini kira-kira jam 7.50 malam waktu tempatan (10.50 malam waktu Malaysia)

Ketibaan Dr Mahathir disambut oleh Perdana Menteri Pakistan Imran Khan.

Turut hadir menyambut Dr Mahathir ialah Menteri Perancangan, Pembangunan dan Pembaharuan Pakistan Makhdoom Khusro Bakhtiyar, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

Antara acara kemuncak lawatan ialah Dr Mahathir akan dikurniakan anugerah “Nishan-e-Pakistan” atau Order of Pakistan, anugerah awam tertinggi negara itu yang akan disampaikan oleh Presiden Pakistan Dr Arif Alvi pada Jumaat.

Dr Mahathir juga akan menghadiri sambutan perbarisan Hari Pakistan 2019 di Padang Perbarisan Shakar Parian di sini pada Sabtu sebagai tetamu kehormat.

Perdana Menteri akan diberi sambutan rasmi di Prime Minister”s House pada pagi ini. Dr Mahathir akan disambut oleh rakan sejawatannya dari Pakistan Imran Khan.

Selepas itu, kedua-dua perdana menteri akan mengadakan mesyuarat empat mata disusuli dengan mesyuarat delegasi antara Malaysia dan Pakistan.

Kemudian, Dr Mahathir dan rakan sejawatannya dari Pakistan akan menghadiri mesyuarat meja bulat dengan ketua-ketua industri Malaysia dan Pakistan di sebuah hotel di sini.

Kedua-dua pemimpin itu juga akan menyaksikan acara simbolik majlis pecah tanah kilang pemasangan Proton di wilayah Sindh. Dr Mahathir dan Imran Khan juga akan menyaksikan majlis pemeteraian memorandum persefahaman dan perjanjian antara syarikat Malaysia dan Pakistan.

Pada hari ini juga, Dr Mahathir akan melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Arif di Istana Presiden, Aiwan-e-Sadr. Beliau akan menerima anugerah Nishan-e-Pakistan pada satu majlis di istana presiden.

Lawatan Dr Mahathir ialah atas jemputan rakan sejawatannya dari Pakistan untuk menghadiri sambutan Hari Pakistan yang disambut pada 23 Mac setiap tahun.

Ini merupakan lawatan pertama Dr Mahathir ke Pakistan sejak menjadi Perdana Menteri Malaysia ketujuh.

Semasa menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat, beliau telah tiga kali melawat Pakistan iaitu pada 1984, 1997 dan 2002.

– BERNAMA