Categories
NASIONAL

Himpunan Rakyat 12 Januari, PR Jumpa Ketua Polis Negara

Mat-Sabu-Pas-Grafik123

PETALING JAYA 2 JAN : Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) akan menemui Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar untuk mendapatkan kebenaran dan bantuan bagi memastikan Himpunan Kebangkitan Rakyat 12 Januari ini berjalan dengan aman.

Pengarah Himpunan Kebangkitan Rakyat, Mohamad Sabu berkata manakala jawatankuasa induk himpunan itu akan menemui Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Salleh.

Katanya, semua permohonan untuk dua pertemuan itu akan dihantar dalam minggu ini sebelum perhimpunan diadakan.

“Usaha untuk menghubungi kedua-dua polis itu akan dibuat melalui surat rasmi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu turut mengharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi kebenaran untuk mengadakan perhimpunan yang akan berlangsung di Stadium Merdeka.

“Kami memilih Stadium Merdeka itu seperti mana yang disarankan Perdana Menteri kita ketika perhimpunan Bersih 3.0 lalu yang mahukan perhimpunan itu dilakukan di stadium.

“Bagaimanapun, pihak Stadium Merdeka masih belum memberi jawapan walaupun pihak kami sudah menghantar surat permohonan pada 26 Disember lalu,” katanya.

Timbalan Presiden PAS itu menambah pihaknya tidak menyediakan sebarang rancangan alternatif menukar lokasi perhimpunan itu sekiranya pihak stadium tidak memberikan kebenaran.

Beliau berkata perhimpunan yang bersifat santai itu akan diadakan bermula jam 2 hingga 5 petang dan pihaknya akan turut melancarkan ‘Deklarasi Rakyat 12 Januari’ yang akan dibaca di akhir perhimpunan.

Mat Sabu turut menjangkakan seramai 1 juta rakyat akan hadir ke perhimpunan itu yang turut dihadiri oleh badan bukan kerajaan (NGO) Anak, royalti, gabungan Bersih dan sebagainya.

Categories
NASIONAL

KPN Perlu Tegur Regim Umno-BN Dahulu

SHAH ALAM 12 OGOS: Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar disaran menegur kerajaan Umno-BN terlebih dahulu kerana menggunakan hari kemerdekaan untuk kepentingan politik mereka.

Saranan tersebut dibuat oleh pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin dalam satu kenyataan balas terhadap gesaan Ismail agar tidak mengadakan ‘Himpunan Janji BERSIH’ di malam ambang merdeka 30 Ogos akan datang.

Beliau yang lebih popular dengan gelaran Chegu Bard mendakwa Umno-BN telah mengambil kesempatan sempena sambutan hari kemerdekaan di negara ini bermula pada tahun 1957 lagi, tetapi tidak pernah ditegur oleh mana-mana KPN.

“Sambutan ulang tahun kemerdekaan sudah lama ditunggang oleh Umno-BN demi kepentingan politik mereka, tetapi tahun ini terlalu melampau kerana tema hari kebangsaan itu sendiri terus disalin tampal dari tema yang digunakan dalam jelajah BN iaitu Janji Ditepati.

“Lagu yang digunakan pula jelas digunakan dalam program BN bagi menghentam seteru politiknya kemudian diubah sedikit sahaja liriknya.

“lebih parah lagi dengan kemunculan logo kemerdekaan yang ‘buruk’ dan kemudian ditarik balik oleh menteri dengan mengatakan kita tidak punya logo rasmi,” kata beliau.

Chegu Bard turut mempertikaikan tindakan kerajaan yang hanya menonjolkan beberapa tokoh sahaja termasuk bekas-bekas Presiden Umno sebagai pejuang kemerdekaan.

“Selama ini sambutan kemerdekaan hanya mengenengahkan 5-6 sahaja tokoh kemerdekaan negara iaitu terdiri dari Presiden Umno sahaja.

“Ya, Tunku Abdul Rahman terlibat dengan ulangtahun kemerdekaan negara, tetapi apa kena mengena usaha memerdekakan negara dengan baki Presiden Umno selepas itu? soal beliau.

Chegu Bard juga memberitahu, pengiraan detik 12.00 malam oleh ‘Himpunan Janji BERSIH’ yang dirancang di Dataran Merdeka itu bukanlah suatu acara berasingan, tetapi ia melibatkan pemimpin dan orang ramai yang berada di situ.

Terdahulu, Ismail, sambil menganggap tindakan 26 NGO menganjurkan Himpunan Janji BERSIH di malam ambang merdeka sebagai tindakan mempolitikkan sambutan Hari Kemerdekaan, beliau juga mahu himpunan itu dibatalkan.

Categories
SELANGOR

Penapisan Laporan BBC Tidak Ikut Etika

KUALA LUMPUR 3, MEI: Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) mengutuk sekeras-kerasnya penapisan laporan Perbadanan Penyiaran British (BBC) oleh pihak Astro mengenai perhimpunan Bersih 3.0 yang dilihat mampu menjadi berita sensasi di luar negara.

Ketua Sekateriat KAMI, Hayatul Kamil Termudi berkata, perkara tersebut bercanggah dari segi amalan penyiaran dan sepatutnya pihak penyiaran memaparkan laporan berkenaan dengan telus.

“Sepatutnya perkara itu tidak berlaku sebab Astro dan BBC mesti ada perjanjian yang kita tidak ketahui.

?Sepatutnya Astro tidak ada hak untuk menapis sekali lagi laporan BBC.
?Kita percaya pihak BBC dari berita yang kita dengar telah menyatakan pendirian mengenai perkara tersebut.

?Pendirian KAMI bersetuju, apa sahaja berita yang tergantung akan memberikan kesan yang tidak betul. Sepatutnya berita tersebut dilaporkan keseluruhannya,” katanya.

Menurut satu klip di lama web Youtube, liputan BBC telah dipendekkan serta ditapis daripada menunjukkan adengan polis menyuraikan peserta Bersih di sekitar Dataran Merdeka.

Wanwancara dengan peserta BERSIH 3.0 di mana mereka menceritakan tentang pengalaman ditembak gas pemedia mata dan aksi pihak polis juga dikeluarkan.

Selain itu, paparan trak meriam air polis simpanan persekutuan yang melepaskan tembakan air kimia kepada peserta dan tindakan seorang polis trafik yang menunggang motosikal di tengah orang ramai turut dipotong.

Dalam pada itu, KAMI turut membantah tindakan kekerasan oleh pihak polis terhadap petugas media yang nyata mengejutkan ramai pihak.

Menurut Hayatul, percanggahan kenyataan yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri,  Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berhubung SOP terhadap pihak media jelas menunjukkan kecelaruan yang dihadapi mereka.

“KAMI ingin menyatakan rasa kesal dalm hal menjaga keselamatan kewartawanan, mereka tidak mempunyai satu peraturan yang betul-betul dipatuhi.?
KAMI akan menyerahkan satu memorandum bantahan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri dalam masa terdekat.

KAMI juga akan menganjurkan satu konvensyen mengenai ‘Akses Media Dalam PRU-13’ dengan tema Memartabatkan Malaysia Menjadi Negara Mesra Media, Adil dan Bebas.

Konvensyen sehari yang akan diadakan pada 12 Mei itu bertempat di Hotel Nouvelle.

Ia merupakan langkah awal untuk menghimpunkan pengamal media tempatan selain bertukar pandangan bersama pakar-pakar media berkaitan dengan amalan media di negara ini.

ends

Categories
NASIONAL SELANGOR

Baju Hitam, Riben Kuning Tanda Solidariti Untuk Wartawan

SHAH ALAM, 2 MEI :Sempena memperingati Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 3 Mei ini, rakyat Malaysia diseru memakai baju hitam dan riben kuning sebagai tanda solidariti kepada warga media yang dikasari polis semasa perhimpunan BERSIH3.0 lalu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, orang awam harus berdiri dalam solidariti bersama pekerja media dan wartawan yang menjadi mangsa keganasan polis itu.

“Memang sah bahawa polis memukul para pekerja media apabila Perdana Menteri sendiri membisikkan maaf kepada wartawan The Sun, Radzi Razak yang dimasukkan ke dalam wad hospital selepas dipukul.

“Kami mengutuk hebat adegan-adegan ganas Sabtu lepas di perhimpunan BERSIH 3.0 di mana orang ramai termasuk pekerja media dan wartawan dipukul dan dicederakan oleh pegawai-pegawai polis,” kata Lim dalam kenyataan medianya.

Laporan menyebut, Radzi Razak yang dipukul oleh 15 pegawai polis, sementara seorang jurugambar Malay Mail ditumbuk oleh polis dan kameranya dipecahkan.

Seorang wartawan Malaysiakini pula ditahan dan peralatan kameranya dirampas.

Malah wartawan antarabangsa daripada Al-Jazeera pun tidak terkecuali, apabila ia dikasari semasa mengambil gambar polis sedang memukul peserta perhimpunan.

“Yang lebih teruknya, Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein tergamak menyatakan bahawa tindakan untuk merampas peralatan kamera itu adalah ‘Standard Operating Procedure’ (SOP) polis,” katanya.

Namun demikian, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar sendiri menyatakan bahawa tindakan merampas peralatan kamera itu bukanlah SOP polis, lantas bercanggah dengan Hishammuddin.Sekiranya Ketua Polis Negara betul, maka Hishammuddin harus meminta maaf kepada setiap wartawan yang  dipukul,” ujar beliau.

Tambah Lim, polis dan Kementerian Dalam Negeri harus juga memerintah agar siasatan dibuat untuk membawa pegawai-pegawai yang bersalah ke muka pengadilan.

Jika ini tidak dibuat dengan terbuka dan tanpa mengaburi kebenaran, maka beliau akan lagi merosakkan reputasi polis yang sudah terhakis

“Hanya siasatan yang terdiri daripada pakar antarabangsa boleh memberi laporan yang boleh dipercayai supaya kita boleh mengetahui kebenaran apa sebenarnya yang berlaku,” tegas beliau.

Categories
NASIONAL

Penganjur BERSIH 3.0 Akan Berunding Dengan Polis

SHAH ALAM, 10 APRIL : Penganjur Perhimpunan BERSIH 3.0 akan menyertakan 200 Unit Amal PAS dan 100 peguam yang akan berkhidmat secara sukarela ketika berlangsungnya himpunan BERSIH 3.0 pada 28 April ini.

Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata jaminan keselamatan kepada peserta himpunan akan terus diperkemaskan  bagi memastikan himpunan yang dijangka dihadiri lebih setengah juta itu berjalan lancar.

Maria menambah, pihaknya mengharapkan kerjasama baik daripada pihak Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) dalam merealisasikan hasrat rakyat untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil secara ‘duduk dan bantah’.

“Pihak kami akan melakukan rundingan dengan pihak PRDM berhubung dengan perhimpunan rakyat secara duduk dan bantah.

“Diharapkan satu kerjasama yang baik dapat dizahirkan oleh PDRM kerana ia telah termaktub dalam perlembagaan untuk rakyat berhimpun.

“Pihak kami juga akan mendapatkan kepastian bahawa pihak polis akan mengawal lalu lintas ketika perhimpunan dan bukannya menyediakan gas pemedih mata dan gerombolan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU),”jelasnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menjelaskan perhimpunan BERSIH 3.0 yang akan berlangsung pada penghujung bulan ini bukan satu isu ancaman keselamatan.

Sebaliknya, Hishammuddin memberi laluan dengan meminta satu rundingan dilakukan antara pihak penganjur dengan PDRM.

Mengulas lanjut berhubung perkara ini, Maria berharap kenyataan itu disusuli dengan penuh tanggungjawab kerana ia adalah hak rakyat Malaysia untuk berhimpun.

“Apa yang kami harapkan, mereka lakukan seperti mana yang mereka gambarkan, sekiranya tidak mereka perlu menjawab kepada rakyat,”ujarnya.

Sebuah portal web berita melaporkan, pihak polis masih enggan membuat apa-apa kenyataan berhubung  persiapan untuk perhimpunan itu.