Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Majikan wajib benarkan pekerja kematian suami kerja dari rumah

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Bagi memastikan wanita Malaysia terus diperkasa, kerajaan semalam mengumumkan enam inisiatif antaranya wanita yang kematian suami dibenarkan Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam tempoh bersesuaian.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata memahami kesedihan dan bebanan yang ditanggung oleh wanita yang kematian suami, ketua jabatan dan pengurusan tertinggi semua organisasi adalah diwajibkan untuk membenarkan wanita untuk BDR bagi membolehkan urusan keluarga serta peninggalan suami diselesaikan.

Selain itu, beliau berkata cadangan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam bermodal besar dijangka berkuat kuasa 1 Sept ini manakala bagi syarikat tersenarai lain pelaksanaannya dijangka pada 1 Jun tahun depan.

“Bagi menghargai dan mengiktiraf peranan serta sumbangan wanita, sambutan Hari Wanita wajib dilaksanakan pada 8 Mac setiap tahun di semua peringkat sama ada Persekutuan atau negeri,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Wanita 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini malam tadi.

Selain itu, Ismail Sabri berkata kerajaan turut menubuhkan Majlis Wanita Negara, mewujudkan Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual dan memantapkan Institusi Hakam di bawah Mahkamah Syariah bagi membantu wanita yang perlu menghadapi proses perceraian panjang.

“Hakam merupakan satu kaedah yang diperkenal Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bagi mengatasi masalah kes-kes perbicaraan berkaitan perceraian yang mengambil masa sehingga memudaratkan pasangan yang ingin bercerai,” katanya.

Perdana menteri berkata kerajaan melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut memperkenalkan Akta Pembiayaan Kewangan iaitu pihak bank boleh membekukan akaun bank suami atas arahan mahkamah.

Beliau berkata pihak bank dibenarkan membuat bayaran daripada akaun suami yang telah dibekukan tersebut kepada isteri sekiranya isteri ada membuat tuntutan yang melibatkan wang Ringgit di mahkamah dan kaedah ini dikenali sebagai Hiwalah.

Perdana menteri turut menyatakan rasa bangga dengan pencapaian wanita Malaysia yang semakin hari semakin ramai mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang, sama ada di dalam atau di luar negara.

Ismail Sabri berkata berdasarkan Skor Malaysia dalam Indeks Jurang Gender Global 2021 menunjukkan, Malaysia berjaya merapatkan jurang dalam sub-indeks pendidikan dan kesihatan bagaimanapun keterlibatan dalam bidang ekonomi dan politik masih rendah.

Beliau berkata dalam bidang ekonomi dan pekerjaan, kadar penyertaan wanita masih rendah iaitu 55.6 peratus berbanding lelaki iaitu 80.8 peratus.

Selain itu, daripada setiap RM100 gaji dan upah yang diterima lelaki, wanita hanya menerima RM94.07 dan jurang itu semakin meningkat terutama dalam kalangan wanita B40, kesan daripada pandemik Covid-19.

Beliau berkata kadar pengangguran dalam kalangan wanita di Malaysia juga turut meningkat iaitu 307,000 orang pada suku pertama tahun 2021, berbanding 215,700 orang bagi tempoh sama tahun 2020.

“Menyedari hakikat itu, kerajaan akan terus cakna perihal kesejahteraan kaum wanita kerana saya yakin jika diberi peluang dan ruang, wanita mampu menjadi daya penggerak utama produktiviti dan ekonomi negara setanding dengan lelaki,” katanya.

Pada majlis itu, perdana menteri turut menyampaikan Anugerah Ikon Wanita kepada lapan penerima melibatkan kategori Ekonomi, Pendidikan, Kesihatan, Kepimpinan, Keselamatan, Perundangan, Wanita Bangkit dan Anugerah Khas Tun Fatimah.

Anugerah Khas Tun Fatimah diberikan kepada Pengasas dan Presiden Persatuan Usahawan Wanita Antarabangsa Malaysia (IWEM) Norazizah Borhan dan anugerah diberikan kepada wanita yang mempamerkan sumbangan luar biasa termasuk menerima pelbagai pengiktirafan di dalam dan luar negara.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Serangan Rusia: Malaysia bawa keluar 11 rakyat dari Ukraine 

PHNOM PENH, 24 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata 11 rakyat Malaysia yang berada di Ukraine kini dalam proses untuk dipindahkan, berikutan keadaan tidak menentu di rantau itu.

“Kedutaan Besar Malaysia’s (di Kyiv) kini sedang berhubung dengan rakyat Malaysia. Mereka yang berada di luar Kyiv sedang dalam perancangan untuk keluar. Mereka yang berada di Kyiv akan berkumpul di Kedutaan,” katanya dan menambah bahawa lapan rakyat Malaysia di Kyiv, manakala selebihnya berada di luar dari ibu kota tersebut.

“Keutamaan kerajaan adalah keselataman rakyat,” katanya kepada media Malaysia pada akhir lawatan rasmi dua hari di sini hari ini.

Dilaporkan Ukraine mengumumkan pada Khamis, penutupan ruang udaranya untuk kegunaan awam, disebabkan ‘risiko tinggi’ terhadap penerbangan awam.

Difahamkan pelan pemindahan untuk rakyat Malaysia adalah menerusi jalan darat ke Poland, yang mungkin akan mengambil masa 10 jam meliputi perjalanan 782 kilometer.

Difahamkan Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv kini berhubung dengan pihak berkaitan di Warsaw dan telah meminta bantuan mereka untuk membantu dalam pergerakan melintasi sempadan.

Sementara itu, Ismail Sabri dalam ciapan di twitternya berkata “Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv kini berusaha memberikan perlindungan dan menyediakan tempat selamat untuk rakyat Malaysia sebelum mereka dapat pulang ke Malaysia”.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Ibu bapa diberi pilihan, kerajaan tidak paksa vaksin kanak-kanak

ISKANDAR PUTERI, 18 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak pernah memaksa ibu bapa mendaftarkan anak mereka mengambil vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Beliau berkata tanggapan segelintir ibu bapa bahawa kerajaan seolah-olah memaksa kanak-kanak mendapatkan vaksin COVID-19 menerusi  PICKids adalah tidak benar kerana mereka diberi pilihan untuk berbuat demikian.

“Kita ada bincang dalam Kabinet mengenai perkara ini. Tiada paksaan untuk rakyat, sama ada hendak ambil vaksin ketiga, keempat, kelima… tiada paksaan juga untuk rakyat terutamanya kanak-kanak ini diberikan vaksin.

“Dulu pun di peringkat awal ketika vaksin dos pertama, ramai yang tidak berminat ataupun takut untuk vaksin, (namun) selepas itu berebut-rebut pergi untuk mendapatkan vaksin jadi vaksin kedua tidak lagi menjadi isu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Taman Nusantara, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian ketika ditanya mengenai kadar vaksinasi PICKids masih di bawah 10 peratus dan nasihat beliau kepada ibu bapa.

Setakat semalam, seramai 341,960 atau 9.6 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui PICKids.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata kadar pemberian dos penggalak juga sudah meningkat meskipun sebelum ini pelbagai cerita negatif ditimbulkan mengenai vaksin tersebut.

“Ketika ini, saya difahamkan booster (penggalak) memang ramai (ambil) setiap hari. Cuma untuk kanak-kanak, mungkin perkara ini baharu, jadi ia normal kepada rakyat kita.

“Bila benda baharu, mereka tunggu dan lihat terutama dengan banyak cerita yang bukan-bukan, jadi kita tak salahkan rakyat,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Tidak wajib buat saringan untuk rentas negeri, tapi digalakkan

PUTRAJAYA, 10 OKT: Ujian pengesanan kendiri Covid-19 tidak diwajibkan untuk kebenaran merentas negeri yang mula berkuat kuasa esok namun digalakkan demi keselamatan ahli keluarga, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata melakukan ujian saringan kendiri itu menjadi sebahagian daripada tangggungjawab seseorang individu untuk melindungi ahli keluarga serta golongan berisiko.

“Terutama yang balik kampung, saringan sama ada PCR ataupun RTK, saya tak kata wajib tapi digalakkan untuk memastikan keluarga di kampung selamat, kita pantau dulu diri kita.

“Walaupun tak wajib ia satu tindakan melindungi keluarga, apa salahnya kita buat untuk melindungi ahli keluarga di kampung,” katanya pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan dan platform media sosial petang ini.

Terdahulu, beliau mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula esok.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan belum menetapkan tempoh spesifik bagi menentukan tarikh peralihan fasa pandemik kepada endemik bagi Covid-19.

“KKM (Kementerian Kesihatan) akan bersama-sama untuk menyediakan SOP seterusnya untuk kita beralih ke fasa endemik, mungkin SOP semakin dikurangkan, bagaimanapun ia tetap penting untuk melatih masyarakat hidup bersama Covid-19,” katanya.

Bagi memastikan proses peralihan negara ke fasa endemik berjalan lancar dan selamat, beliau berkata rakyat kini memikul tanggungjawab yang besar untuk mejayakan usaha tersebut.

Katanya, antara langkah harus dilaksanakan adalah mengukuhkan tindakan kesihatan awam kendiri termasuk melaksanakan ujian, lapor, kuarantin atau pengasingan kendiri, memaklumkan dan dapatkan rawatan segera.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Boleh melancong ke luar negara tanpa MyTravelPass mulai esok

SHAH ALAM, 10 OKT: Individu yang lengkap vaksin dibenarkan ke luar negara tanpa perlu memohon MyTravelPass Jabatan Imigresen Malaysia mulai esok, kata perdana menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran termasuk bagi aktiviti pelancongan dengan individu berkenaan perlu menjalani kuarantin 14 hari sebaik tiba di negara ini.

“Keputusan ini bertujuan menghubungkan ahli keluarga dan pasangan yang terpisah, rakyat Malaysia yang ke luar negara bagi tujuan bekerja dan mereka yang menjalankan urusan perniagaan,” katanya.

Bercakap dalam sidang media di Putrajaya hari ini, beliau berkata kerajaan masih menutup sempadan negara kepada pelancong luar kecuali bagi kes kecemasan dan urusan rasmi sahaja.

“Kementerian Kesihatan Malaysia sedang menilai negara yang tidak berisiko. Sekarang banyak negara sudah beri vaksin kepada rakyat jadi akan pertimbang untuk buka,” kata Ismail Sabri.

MyTravelPass diperkenalkan pada 7 Oktober tahun lalu, iaitu permohonan kebenaran masuk dan keluar negara bagi warganegara dan warga asing.

Khamis lalu, perdana menteri mengumumkan enam perkara sebelum membenarkan warga asing masuk iaitu jumlah kes Covid-19 dalam tempoh 14 hari di negara itu dan kadar insiden per satu juta penduduk.

Selain itu, kadar kematian per satu juta penduduk, kadar kematian kumulatif, indeks pemulihan dan kes kumulatif Covid-19 di negara berkenaan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor masuk fasa tiga mulai 1 Oktober, lebih banyak kelonggaran

SHAH ALAM, 29 SEPT: Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Jumaat ini, maklum perdana menteri.

Peralihan fasa dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Peralihan turut melibatkan Melaka dari fasa dua ke tiga manakala Kedah beralih ke fasa dua, juga berkuat kuasa pada 1 Oktober.

“Ia bermakna tiada lagi negeri berada dalam fasa satu di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh keluarga Malaysia, khususnya kerajaan negeri yang bertungkus-lumus menguruskan situasi pandemik di negeri masing-masing, demi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan.”

Berikut pecahan negeri mengikut fasa:

  • Fasa dua: Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Johor dan Sabah
  • Fasa tiga: Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Melaka, Pahang Perlis, Terengganu dan Sarawak
  • Fasa empat: Negeri Sembilan dan Labuan

Kelonggaran baharu yang diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik termasuk:

1. Majlis rasmi kerajaan dan swasta termasuk perasmian dan bengkel dibenarkan (fasa dua dan tiga)

  • kapasiti 50 peratus ruang premis (fasa dua dan tiga)
  • kapasiti 100 peratus (fasa empat)
  • individu belum divaksin perlu menjalani saringan dengan disaksikan penganjur atau pengesahan pengamal perubatan

2. Sektor latihan kemahiran dan pusat latihan industri termasuk kolej vokasional serta TVET dibuka semula di semua fasa berkuat kuasa 15 Oktober 2021

3. Kehadiran penonton/penyokong dibenarkan ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi bagi negeri fasa dua hingga empat

  • perlu lengkap suntikan vaksin
  • memakai pelitup muka sepanjang perlawanan
  • tiada aktiviti makan minum sepanjang di stadium
  • Kanak-kanak tidak dibenarkan masuk
Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 10,000 individu muflis sejak PKP tahun lalu, kata PM

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Seramai 10,317 individu diisytihar muflis sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Mac 2020 hingga Julai lepas susulan pandemik Covid-19, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Memetik data Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), beliau berkata Selangor mencatatkan jumlah individu paling tinggi diisytihar muflis iaitu seramai 2,555 orang, diikuti Wilayah Persekutuan (1,288 orang) dan 792 orang di Johor.

Selain itu, katanya jumlah syarikat yang gulung tikar sepanjang tempoh itu adalah sebanyak 1,246 kes.

“MdI tidak mempunyai rekod mengenai jumlah pekerja yang diberhentikan sepanjang tempoh PKP memandangkan MdI hanya bertindak untuk mengendalikan pentadbiran kes kebankrapan individu dan pentadbiran kes syarikat yang telah mendapat perintah penggulungan daripada mahkamah,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PAKATAN-Kepong) yang ingin tahu bilangan syarikat gulung tikar dan data pekerja diberhentikan bagi 2020 dan 2021 serta bantuan ekonomi khusus kepada pengusaha yang menamatkan perniagaan dan individu hilang pekerjaan dalam tempoh PKP.

Ismail Sabri berkata berdasarkan input Kementerian Kewangan (MOF), kerajaan tidak menyediakan bantuan khusus untuk peniaga yang menamatkan perniagaan, sebaliknya mengambil pendekatan memberi bantuan dan insentif untuk menyokong kelangsungan perniagaan mereka.

“Sehubungan itu, pelbagai program dan inisiatif dilaksanakan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi dan bantuan kewangan yang telah diumumkan dengan fokus untuk menyokong perniagaan mereka dan melindungi rakyat,” katanya.

Ismail Sabri berkata antara inisiatif itu ialah Geran Khas Prihatin, Program Subsidi Upah, pengecualian levi, moratorium pembayaran balik pinjaman, skim kredit mikro, elaun mencari pekerjaan, bantuan kehilangan pendapatan dan kemudahan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta bantuan khas Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 15,000 kes cerai didaftar di Selangor sejak Mac 2020

SHAH ALAM, 15 SEPT: Sebanyak 15,639 kes cerai didaftarkan di Selangor sepanjang tempoh pandemik mulai Mac 2020 hingga Ogos tahun ini, kata perdana menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebanyak 12,479 kes membabitkan pasangan beragama Islam manakala 3,160 kes lagi pasangan bukan Islam, lapor Berita Harian.

Beliau turut memaklumkan keseluruhannya sebanyak 66,440 kes cerai pasangan Islam didaftarkan di seluruh negara dalam tempoh tersebut.

“Bilangan kes perceraian yang difailkan ketika tempoh pandemik dari Mac 2020 hingga Ogos 2021 bagi golongan bukan Islam di seluruh negara pula sebanyak 10,346 kes.

“Daripada jumlah ini, Selangor mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 3,160 kes, diikuti Kuala Lumpur 2,893 kes dan Perak 1,209 kes,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata hampir 80 peratus ibu bapa terkesan dari aspek ekonomi dan mental akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 melalui tinjauan secara maya, Mac lalu.

Daripada segi ekonomi keluarga, beliau berkata hampir 28 peratus ibu bapa berdepan masalah kewangan teruk berbanding tempoh gelombang pandemik dan pelaksanaan PKP sebelumnya.

“Ini terbukti apabila dapatan tinjauan mendapati 84.1 peratus ibu bapa mengalami tekanan emosi atau stres (cemas, gugup dan gelisah) ketika gelombang ketiga pandemik Covid-19 melanda.

“Faktor utama disebabkan pendidikan anak-anak (21.3 peratus), aktiviti luar terhad – terpaksa berkurung (16.4 peratus) dan tempoh PKP yang tidak dapat dipastikan (12.2 peratus),” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemimpin utama PAKATAN jumpa Perdana Menteri hari ini

SHAH ALAM, 25 OGOS: Pemimpin utama Pakatan Harapan (PAKATAN) mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri baharu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada jam 2 petang hari ini.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Fahmi Fadzil menerusi hantaran Twitter berkata pertemuan itu merupakan jemputan daripada Pejabat Perdana Menteri.

“Jam 2 petang ini akan berlangsung pertemuan di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim (presiden KEADILAN), Mohamad Sabu (presiden Amanah) dan Lim Guan Eng (setiausaha agung DAP) bersama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pejabat Perdana Menteri,” tulisnya.

Sebelum ini, PAKATAN memaklumkan gabungan itu akan mempertimbang tawaran Ismail Sabri untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Majlis Presiden dalam kenyataan berkata penyertaan itu bukan sekadar tangkap muat atau menjadi “rubber stamp” kepada pandangan kerajaan tetapi dibuat secara ikhlas dalam menangani pandemik dan kemelesetan ekonomi.

Katanya, perkara itu akan diputuskan dalam pertemuan pemimpin utama parti gabungan itu dengan ketua pembangkang dalam masa terdekat selain menjemput mereka menyertai atau bekerjasama dengan PAKATAN.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPD Pangsapuri Damai tamat tengah malam ini, seminggu lebih awal

SHAH ALAM, 25 JULAI: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Damai PJS8, Damansara ditamatkan tengah malam ini, lebih awal daripada yang dijadualkan.

Kenyataan timbalan perdana menteri menunjukkan kawasan terbabit satu-satunya lokaliti yang tamat kawalan ketat seminggu awal berbanding tempoh asal pada 31 Julai.

Sementara PKPD di beberapa lokaliti lain sekitar Sabah tamat esok mengikut jadual.

“Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai situasi semasa bersetuju untuk menamatkan PKPD di lokaliti tersebut,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada 16 Julai, kerajaan mengumumkan empat kawasan dalam empat daerah di Selangor dikenakan PKPD selama dua minggu mulai 18 Julai.

Kawasan tersebut ialah Pangsapuri Damai, mukim Damansara, Jalan Pandan Indah, mukim Ampang, Jalan Batu Nilam, mukim Klang dan Taman Samudera, mukim Batu.

Petang tadi, Pegawai Daerah Petaling Datuk Johary Anuar berkata seramai 1,279 penduduk pangsapuri berkenaan selesai menerima vaksin yang dimulakan sejak kelmarin.

Categories
AGENDA NASIONAL

Seluruh negara dijangka beralih ke fasa dua PPN awal Ogos

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Seluruh negara dijangka mampu beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada awal Ogos, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata jangkaan itu berdasarkan prestasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang kini memberi petunjuk bahawa kadar individu yang lengkap dua dos vaksin telah melepasi nilai ambang 10 peratus yang ditetapkan untuk negara beralih dari Fasa Satu ke Fasa Dua PPN.

Perkembangan itu juga, katanya memberi gambaran bahawa negara berada di landasan yang betul dalam usaha mencapai imuniti kelompok.

“Indikator ini sejajar dengan perancangan Pelan Pemulihan Negara yang menjangkakan kadar vaksinasi akan mencapai 10 peratus populasi pada akhir bulan Julai ini.

“Sekiranya perkembangan positif ini berterusan, seluruh negara mampu beralih ke Fasa Dua pada awal bulan Ogos seperti negeri-negeri yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PPN dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini.

Berdasarkan data PICK, jumlah populasi rakyat di negara ini yang telah melengkapkan dua dos vaksin mencapai 11.8 peratus semalam.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang beralih ke Fasa Dua PPN pada 5 Julai, diikuti Pulau Pinang (7 Julai), Sabah (10 Julai) dan Sarawak hari ini (14 Julai).

Di bawah PPN, peralihan fasa adalah setelah melepasi nilai ambang bagi ketiga-tiga indikator utama yang ditetapkan.

Tiga indikator perlu dipatuhi bagi membolehkan peralihan ke Fasa Dua PPN iaitu purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga kawasan di Petaling dikenakan PKPD mulai 1 Julai

SHAH ALAM, 29 JUN: Tiga kawasan di Petaling dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari mulai 1 Julai.

Menteri kanan keselamatan berkata lokasi berkenaan ialah Mentari Court di PJS 8, Taman Perumahan SS 91A, Sungai Way dan Pangsapuri Westlite – PKNS.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan arahan dibuat berikutan kadar jangkitan Covid-19 yang tinggi di ketiga-tiga kawasan berkenaan.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 137 kes di Mentari Court, Taman Perumahan SS 9A (64 kes) dan Pangsapuri Westlite (215 kes).

“Setelah membuat penilaian risiko, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di tiga lokaliti dalam daerah Petaling, Selangor berkuat kuasa 1 hingga 14 Julai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, empat kawasan di negeri ini dikenakan PKPD selama 14 hari mulai 30 Jun iaitu CLQ Gamuda Gardens, Kundang Jaya, Rawang dan Taman Murni, Sepang.

Turut dikenakan arahan sama ialah Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Baru Bangi dan CLQ Johan Setia di Klang.