Categories
AGENDA NASIONAL

Golongan berisiko tinggi disuntik dos ketiga vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 dalam usaha meningkatkan perlindungan kepada golongan rentan daripada risiko jangkitan pandemik berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keutamaan pemberian dos ketiga itu akan tertumpu kepada kumpulan yang berisiko tinggi terlebih dahulu seperti anggota barisan hadapan kesihatan dan pesakit kurang daya tahan imun (terimunokompromi).

Selain itu, beliau berkata turut diberikan keutamaan adalah warga tua dengan komorbiditi serta individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang dan kesemuanya akan dilaksanakan apabila liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.

“Dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19, yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua.

“Untuk itu, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata kesemua perincian berhubung pelaksanaan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 akan diumumkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong rasmi sidang pertama Parlimen pimpinan Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 bakal membuka tirainya hari ini dengan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Dewan Rakyat.

Sidang Parlimen ini adalah yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, sidang Dewan Rakyat hari ini akan tertumpu kepada Titah Diraja Al-Sultan Abdullah.

Berdasarkan takwim mesyuarat Dewan Rakyat, persidangan kali ini akan berlangsung selama 17 hari sehingga 12 Okt.

Sementara itu, Mesyuarat Dewan Negara yang dirasmikan serentak dengan Dewan Rakyat hari ini akan berlangsung mulai 4 hingga 26 Okt.

Bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di bangunan Parlimen, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun sebelum ini memaklumkan, pelbagai inisiatif dijalankan antaranya pemasangan penapis udara ultra violet di dewan besar Parlimen serta penggunaan teknologi nano di pejabat bagi membunuh bakteria dan virus.

Selain itu, Kementerian Kesihatan turut melaksanakan ujian saringan RT-PCR terhadap 1,801 individu terdiri daripada petugas Parlimen dan individu terlibat dalam persidangan itu pada 10 dan 11 Sept lepas.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan melalui hasil saringan yang dijalankan selama dua hari di Dewan Serbaguna Parlimen itu, seramai 26 individu didapati positif Covid-19 melibatkan seorang Senator dan 25 petugas Parlimen.

Selain itu, terdapat dua ahli parlimen dikesan positif hasil saringan di luar kompleks.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM terpaksa kuarantin, tidak hadir istiadat angkat sumpah menteri

SHAH ALAM, 30 OGOS: Perdana menteri yang menjalani kuarantin setelah menjadi kontak rapat pesakit Covid-19 tidak dapat hadir majlis istiadat angkat sumpah barisan menteri kabinetnya hari ini.

Susulan itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang mengangkat sumpah seminggu lalu, terpaksa menyertai program sambutan Hari Kebangsaan ke-64 di Putrajaya esok secara maya, kata Pejabat Perdana Menteri.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Simpan Rahsia barisan kabinet baharu di depan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara dijadual bermula jam 2.30 petang ini.

“Bagi sambutan Hari Kebangsaan 2021 yang dijadual berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya esok, perdana menteri akan menyertainya secara maya,” kata pejabat beliau lagi dalam kenyataan.

Dua daripada 31 menteri serta 38 timbalan menteri tidak dapat hadir untuk mengangkat sumpah jawatan hari ini.

Mereka ialah Tan Sri Noh Omar (Ahli Parlimen Tanjung Karang) yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerana difahamkan menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19 dan Datuk Mohamad Alamin (Kimanis) yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II, yang disahkan positif Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN pertimbang tawaran sertai MPN, jawatankuasa tangani Covid-19

SHAH ALAM, 25 OGOS: Pakatan Harapan (PAKATAN) akan mempertimbang tawaran Perdana Menteri baharu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Majlis Presiden berkata penyertaan itu bukan sekadar tangkap muat atau menjadi “rubber stamp” kepada pandangan kerajaan tetapi dibuat secara ikhlas dalam menangani pandemik dan kemelesetan ekonomi.

Katanya, perkara itu akan diputuskan dalam pertemuan pemimpin utama parti gabungan itu dengan ketua pembangkang dalam masa terdekat selain menjemput mereka menyertai atau bekerjasama dengan PAKATAN.

“Ini selaras dengan ketetapan Pemukiman Kepimpinan PAKATAN di Port Dickson pada April yang menyatakan keterbukaan PAKATAN berunding dan bekerjasama serta menggembleng seluruh tenaga di bawah konsep ‘khemah besar’ demi memantapkan blok pembangkang merangkumi 105 ahli parlimen,” katanya menerusi kenyataan bersama.

Kenyataan dibuat bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Tambahnya, pertemuan itu juga akan membincangkan isu politik semasa serta persiapan menghadapi sidang Parlimen yang bakal bermula 6 September ini.

“Kemungkinan satu sidang khas diadakan lebih awal dari itu untuk membahaskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri serta mengisikan kekosongan timbalan speaker Dewan Rakyat ekoran peletakan jawatan Datuk Seri Azlina Othman Said.”

Ahad lalu, Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya sebagai perdana menteri menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Menyeru semua pihak agar meleraikan perebutan kuasa dan menamatkan keresahan rakyat, beliau berkata kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan, termasuklah dengan mewujudkan kerjasama rentas parti.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN desak PM baharu laksana Undi 18, akta antilompat parti

SHAH ALAM, 24 OGOS: Pakatan Harapan (PAKATAN) menggesa pentadbiran Perdana Menteri baharu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melaksanakan Undi 18 dan Akta AntiLompat Parti.

Majlis Presiden menerusi kenyataan berkata langkah reformasi itu perlu bagi menyelamatkan rakyat daripada pandemik Covid-19, krisis ekonomi dan kemelut politik.

“Memandangkan Kerajaan terdahulu yang dipimpin bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal menangani pelbagai masalah termasuk isu Covid-19.

“Memandangkan Jemaah Menteri yang baharu bakal dibentuk, PAKATAN Berpandangan Perdana Menteri wajar memberikan pertimbangan terhadap isu yang dibangkitkan di atas demi rakyat dan negara,” katanya menerusi kenyataan bersama.

Kenyataan dibuat bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Antara dasar dan langkah reformasi lain yang digaris PAKATAN termasuk:

  • Menambah baik Pelan Pemulihan Negara dengan pelaksanaan program FTTIS+V (find, test, trace, isolate and support plus vaccinate) dan memastikan sokongan tambahan kepada sistem kesihatan awam
  • Reformasi fiskal dengan meningkatkan jumlah bantuan termasuk suntikan tunai RM45 bilion secara langsung kepada pekerja, perniagaan dan sektor kesihatan dan program moratorium tanpa faedah
  • Reformasi institusi dengan memperkasa Parlimen melalui penggubalan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen, memperkukuh fungsi semak imbang Parlimen dan mengiktiraf peranan pembangkang
Categories
AGENDA NASIONAL

Balik kampung guna surat Miti cetus kluster Covid-19

JEMPOL, 18 JULAI: Larangan pergerakan rentas negeri menggunakan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selama empat hari bermula hari ini diputuskan kerana terdapat individu menyalahgunakan surat berkenaan untuk pulang ke kampung.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu terbukti berlaku pada sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 12 Mei lepas sehingga mencetuskan 36 kluster Covid-19.

“Saya fikir semua orang sudah mula bercuti hari ini (sempena Hari Raya Aidiladha), pada Hari Raya Aidilfitri lalu, beratus ribu (individu) dengan pelbagai alasan termasuk menggunakan surat kebenaran merentas negeri untuk bekerja.

“Mungkin ada yang menggunakan ‘kecekapan’ mereka menipu polis dengan merentas negeri melalui jalan kebun kelapa sawit dan sebagainya tetapi anda tidak boleh menipu Covid-19,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan di pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu di Dewan Pejabat Daerah Jempol, Bandar Seri Jempol hari ini.

Ismail Sabri sekali mengingatkan orang ramai supaya tidak mencuba merentas negeri atau daerah sempena sambutan Aidiladha sebaliknya mengambil iktibar daripada peningkatan kes jangkitan wabak itu ketika ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan malam tadi berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima dokumen MITI sebagai kelulusan pergerakan yang sah bagi tempoh empat hari mulai 18 hingga 21 Julai, untuk pergerakan rentas negeri susulan pihaknya mengesan peningkatan bilangan kenderaan di lebuh raya untuk tempoh dua hari kebelakangan ini.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata pihaknya masih belum menerima permohonan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berkenaan pembinaan hospital medan.

Ismail Sabri berkata bagaimanapun kementerian itu bersedia membina empat lagi hospital medan bagi membantu menangani pandemik Covid-19 dengan pengambilan secara kontrak membabitkan 30 doktor dan 100 petugas kesihatan.

Katanya setakat ini terdapat enam hospital medan diwujudkan di Pokok Sena, Kedah; Tawau, Sabah; Kapit, Sarawak; Kepala Batas, Pulau Pinang, Hospital Sultanah Aminah di Johor Bharu, Johor dan Labuan.

Pada program hari ini, Ismail Sabri juga berkata PPV pandu lalu perlu diperbanyakkan lagi di lokasi lain bagi mempercepatkan proses vaksinasi di negara ini.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Ismail Sabri dilantik TPM, Hishammuddin menteri kanan

SHAH ALAM, 7 JULAI: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik timbalan perdana menteri dengan mengekalkan jawatan menteri pertahanan, umum Pejabat Perdana Menteri.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula dilantik menteri kanan dengan mengekalkan jawatan menteri luar negeri. Beliau turut mengetuai kluster keselamatan yang disandang Ismail sebelum ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju Hishammuddin membantu beliau dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.

“Kedua-dua pelantikan ini telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong dan berkuat kuasa serta-merta,” kata Pejabat Perdana Menteri pada hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 14 lokasi di Kuala Lumpur dikawal ketat mulai 3 Julai

SHAH ALAM, 1 JULAI: Sebanyak 14 lokasi di Kuala Lumpur dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula Sabtu ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan PKPD di Kuala Lumpur susulan purata kes harian Covid-19 antara 600 ke 1,000 sehari.

“Semua lokasi di Kuala Lumpur melaporkan insiden kes Covid-19 melebihi 12.1 bagi 100,000 penduduk.

“Situasi ini adalah membimbangkan apabila mengambil kira kepadatan penduduk dan penularan tiga varian baharu yang lebih ganas iaitu varian Beta B.1.351 (Afrika Selatan), Delta B.1.617.2 (India) dan Alpha B.1.1.7 (UK),” katanya menerusi kenyataan.

Lokasi terlibat adalah:

– Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak
– Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda
– Flat Seksyen 2 Wangsa Maju
– Flat Seksyen 1 Wangsa Maju
– Kampung Padang Balang
– Taman Koperasi Polis (Fasa 1 & 2)
– Flat Sri Sabah
– Kampung Puah
– Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas
– Flat Desa Pandan (Termasuk Baiduri & Delima)
– Kampung Batu Muda
– Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi
– Bandar Baru Sentul
– Taman Ikan Emas

Maklum kenyataan itu, susulan PKPD di kawasan ini:

– semua laluan kawasan PKPD akan ditutup dan dikawal oleh polis.

– semua penduduk tidak dibenarkan keluar dari kediaman kecuali seorang sahaja wakil untuk membeli keperluan asas dalam radius 10 kilometer.

– ujian saringan secara bersasar ke atas semua penduduk di kawasan terlibat.

– program pemberian vaksin akan dipergiatkan di kawasan terlibat.

– pergerakan rentas daerah dan negeri bagi tujuan vaksinasi di pusat pemberian vaksin (PPV) dibenarkan dengan menunjukkan butiran janji temu di aplikasi MySejahtera, laman sesawang atau SMS.

– lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan beroperasi seperti biasa.

– pengangkutan awam (keretapi, komuter, bas, lapangan terbang, teksi, feri, e-panggilan) boleh beroperasi dengan kapasiti 50 peratus.

– bilangan penumpang dalam teksi dan e-panggilan dihadkan dua orang termasuk pemandu.

– tiada sebarang pergerakan tidak perlu di luar kawasan kediaman selepas jam 8 malam kecuali kecemasan atau diberi kebenaran polis.

– hanya sektor perkhidmatan perlu (essential services) dibenar beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam seperti utiliti, pembersihan dan kumbahan.

– hanya kilang bahan makanan dan keperluan asas harian seperti beras, roti putih, gula, minyak masak, tepung gandum, susu segar, susu tepung bayi, ubat-ubatan, dan topeng muka dibenarkan beroperasi.

– kebenaran untuk bekerja hanya bagi perkhidmatan perlu atau menjalankan tugas rasmi kerajaan dengan surat pengesahan daripada majikan atau pas pekerja yang sah.

– pekerja selain daripada perkhidmatan perlu tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh PKPD.

– pekerja daripada perkhidmatan perlu dan kilang serta premis perniagaan yang dibenarkan sahaja boleh menggunakan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang dikeluarkan sebelum ini.

– restoran, kedai/gerai makan, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera/pusat penjaja, gerai makan tepi jalan/kiosk dibenarkan beroperasi antara 8 pagi hingga 8 malam.

– pembelian makanan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran sahaja dibenarkan.

– kedai runcit, kedai serbaneka, kedai barangan keperluan harian dibenarkan beroperasi antara 8 pagi hingga 8 malam.

– hospital, klinik dan makmal perubatan dibenarkan beroperasi sehingga 24 jam atau mengikut lesen kebenaran.

– kedai farmasi, kedai penjualan ubat-ubatan, klinik haiwan, kedai makanan haiwan dibenarkan beroperasi antara 8 pagi hingga 8 malam.

– stesen minyak dibenarkan beroperasi antara 6 pagi hingga 8 malam kecuali stesen minyak di lebuh raya bertol beroperasi sehingga 24 jam.

– pasar borong dibenarkan beroperasi bermula 12 tengah malam hingga 6 pagi.

-pasar awam, Pasar Tani Kekal dan MyFarm Outlet dibenarkan beroperasi bermula 6 pagi hingga 2 petang.

-aktiviti sukan, sosial, rekreasi dan budaya tidak dibenarkan.

Maklumat terperinci mengenai tatacara operasi piawai (SOP) boleh dirujuk di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di https://www.mkn.gov.my.

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Tidak kemas kini MySejahtera bukan kesalahan, kompaun dibatalkan

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Tidak mengemas kini aplikasi MySejahtera bukan satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), dan tidak perlu dikompaun, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehubungan itu beliau berkata, kompaun yang telah dikeluarkan oleh mana-mana penguat kuasa atas kesalahan tersebut, perlu dibatalkan.

“Pegawai penguatkuasa juga disarankan supaya tidak salah dalam membuat sebarang tafsiran berhubung SOP (tatacara operasi piawai), yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Sabtu lalu, dilaporkan seramai 29 pekerja syarikat minyak dan gas dilapor dikompaun RM2,000 setiap orang, manakala dua pekerja kilang memproses ayam dikenakan RM1,500 setiap orang, kerana tidak mengemas kini status kesihatan di aplikasi MySejahtera, ketika memasuki tempat kerja.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid kemudian dipetik sebagai berkata, kompaun tersebut akan dibatalkan.

Ismail Sabri bagaimanapun berkata, walaupun perkara tersebut tidak menjadi kesalahan di bawah Akta 342, rakyat perlu berintegriti dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap aplikasi tersebut.

Ini kerana beliau berkata, MySejahtera merupakan aplikasi dibangunkan kerajaan bagi membantu pengawasan penularan wabak Covid-19 di dalam negara, dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.

“Justeru, aplikasi ini bukan hanya untuk mengimbas sekiranya memasuki sesuatu tempat, tetapi lebih penting adalah melakukan kemas kini setiap hari, malah setiap masa sekiranya perlu bergantung kepada pergerakan serta aktiviti kita pada hari terbabit.

“Sebagai rakyat kita bukan hanya perlu jujur dalam memberikan maklumat berkaitan diri kita, tetapi juga memegang amanah untuk memastikan setiap maklumat diberikan adalah tepat dan benar,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 6,000 bayi bawah 18 bulan dijangkiti Covid-19

SHAH ALAM, 25 MEI: Seramai 6,290 bayi bawah 18 bulan dijangkiti Covid-19 dan ia wajar menjadi isyarat amaran kepada ibu bapa, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ancaman wabak bukan sahaja terhadap golongan berisiko malah turut menular kepada kanak-kanak serta bayi.

“Data KKM menunjukkan sehingga hari ini, seramai 48,261 orang kanak-kanak dan bayi dijangkiti Covid-19, yang mana 6,290 merupakan bayi berumur 18 bulan dan ke bawah.

“Perkembangan terbaru ini amat membimbangkan dan seharusnya menjadi isyarat amaran kepada semua pihak terutama ibu bapa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata selain patuh kepada tatacara operasi piawai (SOP), sekatan pergerakan kendiri perlu dilakukan bagi mengelak diri, anak-anak dan keluarga tersayang daripada dijangkiti Covid-19.

“Ibu bapa perlulah mengawasi anak-anak seperti mengelakkan mereka bermain di luar rumah, memakai pelitup muka serta kerap menggunakan cecair pembasmi kuman,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 6,000 warga pertahanan sudah divaksin

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Seramai 6,547 warga Kementerian Pertahanan sudah menerima suntikan vaksin di bawah Fasa Satu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang melibatkan warga pertahanan yang melibatkan 42,120 orang, setakat jam 5.00 petang tadi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata di bawah Fasa Satu itu, 35,573 warga pertahanan lagi akan menerima suntikan vaksin di 58 pusat pemberian vaksin Angkatan Tentera Malaysia di seluruh negara.

“Fasa berkenaan dijangka selesai pada 30 April ini iaitu seramai 42,120 warga pertahanan termasuklah anggota beruniform dan awam akan divaksin,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan di Wisma Pertahanan, di sini.

Mengulas mengenai penerimaan warga pertahanan terhadap program vaksinasi berkenaan, Ismail Sabri berkata warga pertahanan menerimanya dengan baik.

“Kesemua mereka (warga pertahanan) bersetuju dan tidak ada sebarang bantahan atau penolakan untuk menerima vaksin Covid-19 ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah penumpang ikut kapasiti tempat duduk kenderaan

SHAH ALAM, 18 FEB: Kerajaan membenarkan jumlah penumpang dalam kenderaan berdasarkan kapasiti tempat duduk bagi negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan (keselamatan) berkata peraturan sama turut dilaksanakan bagi kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Katanya jumlah kenderaan ini menimbulkan isu bagi mereka yang mempunyai anak kecil dan tidak boleh ditinggalkan di rumah.

“Justeru, mesyuarat teknikal mendengar rayuan itu dan membenarkan jumlah penumpang dalam kenderaan berdasarkan kapasiti tempat duduk.

“Kalau ada empat tempat duduk satu kereta, maka empat orang dibenarkan. Kalau ada enam tempat duduk, enamlah dibenarkan,” katanya pada sidang media PKP di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini kerajaan hanya membenarkan dua orang dalam sebuah kenderaan.

PKP di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang dilanjutkan bermula esok hingga 4 Mac ini.