Categories
NASIONAL

Sokongan Orang Melayu Di Dusun Tua Mula Beranjak Ke PR

 

Dusun Tua Mula Beranjak Ke PR 01

HULU LANGAT, 2 MEI: Calon PAS DUN Dusun Tua, Razaly Hassan melahirkan rasa teruja apabila mendapati orang Melayu di sini yang disifatkan sebagai penyokong tegar Umno-BN sudah mula menunjukkan angin perubahan.

Mengulas mengenai peluang Pakatan Rakyat, Razaly berkata, kesedaran terhadap pembangunan dan isu-isu politik bakal mengubah wajah politik di Dusun Tua kali ini.

“Kalau ikut pertemuan kita dengan pengundi-pengundi di seluruh kawasan Dusun Tua, kaum Cina dan kaum India hampir 90 peratus memberikan komitmen.

“Orang Melayu sudah mula ada kesedaran. Untuk sementara, pengundi atas pagar dan ahli Umno, mereka menjadi pengundi senyap.

“Jika ini berlaku, InsyaAllah kita akan lakukan perubahan seperti yang mereka mahukan,” tambahnya lagi.

Selaku Yang Dipertua PAS Hulu Langat, Razaly akan mencabar penyandang daripada BN, Ismail Sani dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 kali ini(PRU-13).

Ditebak dengan soalan apa yang akan dilakukan jika dipilih menjadi wakil rakyat.

Razaly akan memberikan tumpuan menyelesaikan masalah banjir yang sering berlaku di kawasan ini memandangkan tiada penyelesaian sejak sekian lama daripada pimpinan Umno-BN.

“Terdapat beberapa kawasan memerlukan longkang yang besar serta mendalamkan sungai.

“Sebagai contoh Sungai Serai, Batu 18 dan Pangsun selalu terlibat banjir,” katanya ketika ditemui pada sesi ramah mesra bersama pengundi.

Selain itu, terdapat beberapa kampung yang masih bergantung kepada air bukit tanpa sistem paip yang sempurna.

Meskipun dipanjangkan kepada pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) namun tiada sebarang tindakan meskipun Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan.

“Masalah asas adalah ada beberapa kampung masih lagi ketinggalan dari segi air bersih. Ini tidak sepatutnya berlaku.

“Contohnya yang berlaku di Kampung Sungai Tekali, sampai sekarang mereka menggunakan air bukit,” katanya lagi.

Dusun Tua Mula Beranjak Ke PR 02