Categories
AGENDA GLOBAL

Israel lancar serangan udara di Semenanjung Gaza

GAZA CITY, 16 JUN: Pesawat perang Israel pada awal Rabu menyerang kedudukan Hamas di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita Anadolu.

Tentera Israel dalam satu kenyataan menyatakan pihaknya menyasarkan kedudukan Hamas, termasuk di al-Yarmouk di sebelah timur bandar Khan Younis serta kawasan kejiranan di Zeitoun.

Serangan udara itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap belon api yang dilancarkan dari Gaza ke selatan Israel.

Kementerian Kesihatan Palestin belum mengeluarkan sebarang maklumat sama ada terdapat mangsa yang terbunuh dalam serangan itu.

Ia serangan udara pertama sejak gencatan senjata dicapai antara Israel dan Hamas pada 21 Mei.

Gencatan senjata itu dibuat pada awal pagi 21 Mei mengakhiri pengeboman Israel selama 11 hari di Semenanjung Gaza, dengan Mesir bertindak sebagai orang tengah.

Serangan Israel di Gaza dan Tebing Barat mengorbankan sekurang-kurangnya 289 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, selain menyebabkan banyak kemusnahan. Pusat kesihatan dan pejabat media serta sekolah adalah antara yang menjadi sasaran.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Pemerintahan 12 tahun PM Israel Benjamin Netanyahu berakhir

BAITULMAQDIS, 3 JUN: Pemimpin pembangkang Israel, pada Rabu mengumumkan telah mencapai kesepakatan untuk membentuk kerajaan gabungan yang akan mengakhiri pemerintahan 12 tahun Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, lapor Xinhua.

Kenyataan Yair Lapid dan rakan sekutu utamanya, Naftali Bennett itu dibuat kira-kira 30 minit sebelum tarikh akhir untuk pembentukan kerajaan baharu selepas pilihan raya 23 Mac.

Satu kenyataan rasmi dikeluarkan pejabat Presiden Reuven Rivlin menyatakan Lapid memaklumkan presiden “beliau telah dapat membentuk kerajaan.”

Di bawah kesepakatan itu, pemimpin parti Yesh Atid, dan Naftali Bennett, yang menerajui parti  Yamina, jawatan perdana menteri akan disandang secara bergilir, dengan didahului Bennett.

Gabungan baharu itu juga termasuk parti Ra’am, sebuah parti Islam dipimpin Mansour Abbas, menandakan kali pertama parti Arab menjadi sebahagian daripada gabungan di Israel.

Turut termasuk dalam gabungan itu parti-parti kecil  antaranya parti Biru dan Putih, diketuai Menteri Pertahanan Benny Gantz yang pernah bekerjasama dengan Netanyahu untuk membentuk kerajaan, parti sayap kanan Israel Our Home and New Hope, parti Buruh dan parti Meretz.

Presiden mengucapkan tahniah kepada Lapid dan pemimpin parti lain atas kejayaan itu dan berharap  Knesset (parlimen) “akan bersidang secepat mungkin untuk meluluskan pembentukan kerajaan, sebagaimana yang diperlukan.”

Akhbar Ha’aretz Israel melaporkan Knesset dijangka bersidang bagi mendapatkan undi percaya untuk kerajaan baharu pada Rabu depan.

Lapid menulis di Twitter, menyatakan kerajaan baharu “akan melayani semua warga Israel, sama ada yang telah mengundi mereka atau tidak. Ia akan menghormati pesaingnya dan melakukan yang terbaik untuk menyatukan semua masyarakat Israel . ”

Langkah itu dibuat selepas beberapa siri pilihan raya yang gagal memecahkan kebuntuan politik.

Kesepakatan itu sekali gus mengakhiri pemerintahan Netanyahu, perdana menteri paling lama berkhidmat di Israel, yang sedang menghadapi perbicaraan atas tuduhan jenayah rasuah dalam tiga kes berasingan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Amaran buat Israel, jangan jadikan gencatan senjata modal politik

SHAH ALAM, 22 MEI: Israel diingatkan tidak menjadikan tawaran genjatan senjata terhadap Palestin sebagai modal meraih sokongan politik domestik.

EXCO hal ehwal agama Islam menyifatkan perbuatan tentera zionis menyerang Gaza ketika 10 malam terakhir Ramadan satu jenayah yang tidak boleh diterima.

“Rakyat Malaysia mesti bersatu padu memastikan Al-Aqsa tidak dicerobohi lagi. Ternyata sokongan masyarakat dunia berhasil menyampaikan mesej kecaman kepada Israel dan ia tidak harus terhenti.

“Pengguna media sosial (warganet) mesti sentiasa aktif menjadi pemerhati antarabangsa yang tidak akan membiarkan Israel sewenang-wenangnya mengganas di bumi Palestin,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau yakin sumbangan dikumpul Kerajaan Selangor dapat membantu penduduk Gaza membangunkan semula negara yang musnah teruk sepanjang 11 hari diserang.

“Rakyat Palestin berhak hidup aman di bumi kelahiran sendiri. Apa sahaja pendekatan aman dan damai harus direalisasikan demi kehormatan dan keselamatan rakyat negara itu,” kata Mohd Zawawi.

Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin selama 10 hari bermula 19 Mei menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta bagi membantu rakyat negara itu.

Categories
AGENDA GLOBAL

Akhiri pertempuran berdarah, Hamas-Israel umum gencatan senjata

SHAH ALAM, 21 MEI: Pejuang Hamas dan Israel bersetuju membuat gencatan senjata berkuat kuasa awal pagi ini dalam usaha mengakhiri pertempuran berdarah 11 hari.

Perkara itu disahkan jurucakap Hamas dan Pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Khamis yang menggelarkannya sebagai sepakat tanpa syarat, lapor AFP.

Bagaimanapun, beberapa minit selepas pengumuman itu dibuat, kedua-dua belah pihak tetap meneruskan serangan dengan beberapa roket dilihat terus dilancarkan.

Pertempuran pada 10 Mei mengakibatkan 232 nyawa rakyat Palestin terkorban, termasuk 65 kanak-kanak.
Angka korban Zionis Israel pula seramai 12 orang dengan ratusan cedera.

Semalam, Israel terus membedil Gaza melalui serangan udara dan artileri menyasarkan rangkaian terowong bawah tanah dan infrastruktur lain milik Hamas.

Categories
AGENDA NASIONAL

Terima ancaman Israel, polis tingkat kawalan keselamatan

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersiap siaga dan mengambil langkah-langkah perlu untuk meningkatkan tahap kawalan keselamatan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini terjamin.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata PDRM memandang serius ancaman keselamatan yang dikeluarkan oleh Israel terhadap pemimpin pergerakan perjuangan Palestin yang berada di seluruh dunia termasuk Malaysia.

“PDRM akan terus mengambil langkah-langkah perlu untuk meningkatkan tahap kawalan keselamatan daripada semua aspek,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata PDRM akan terus memantau isu itu dari semasa ke semasa bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

Sehubungan itu, Acryl Sani menasihati orang ramai agar bertenang.

Semalam, tular di media sosial mengenai pergerakan perisikan Israel yang didakwa akan menghapuskan pemimpin perjuangan Palestin yang berada di seluruh dunia termasuk Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

McDonald’s Malaysia nafi sokong, salur bantuan kepada Israel

KUALA LUMPUR, 17 MEI: McDonald’s Malaysia menafikan pihaknya menyalur bantuan kepada Israel serta menyifatkan perkara itu sebagai pembohongan dan fitnah.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Azmir Jaafar menjelaskan McDonald’s Malaysia (Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd) telah diambil alih sepenuhnya syarikat Reza Group dari Arab Saudi bersama seorang rakan niaga tempatan sejak 2017, dengan ekuiti syarikat tersebut dimiliki oleh mereka yang beragama Islam.

Tegasnya, sebagai sebuah syarikat tempatan, McDonald’s Malaysia tidak menyumbang, menyokong atau terlibat dalam sebarang konflik politik mahupun agama di mana-mana negara.

“McDonald’s Malaysia sedar akan kewujudan mesej WhatsApp yang tular berkenaan pemboikotan jenama kami. Pihak McDonald’s Malaysia ingin menjelaskan bahawa pemboikotan ini adalah tidak berasas dan kenyataan tentang jenama kami menyalurkan bantuan kepada pihak Israel adalah suatu pembohongan dan fitnah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmir berkata pendirian mengenai isu itu telah dijelaskan pihaknya pada 2017 dan telah dikongsi secara meluas orang ramai menerusi mesej WhatsApp mereka, selain diterbitkan media arus perdana, dalam talian dan blog.

Beliau berkata pada tahun sama, pihaknya juga telah mendapatkan pandangan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang antaranya menyatakan seruan “wajib boikot” hanyalah sah jika ia diperintah oleh umara’ atau pemerintah negara selain boikot tanpa fakta sah boleh dianggap sebagai fitnah dalam hukum Islam.

Menurutnya McDonald’s Malaysia telah membuat laporan polis terhadap individu dan kumpulan yang membuat dakwaan palsu dan menyebarkan mesej tidak berasas melalui platform media sosial dan saluran lain untuk memboikot restoran-restoran McDonald’s di Malaysia.

Azmir berkata perkara itu juga telah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang bagi melindungi hak-hak dan kepentingan syarikat serta lebih 15,000 warga tempatan yang bekerja dengan McDonald’s Malaysia.

“McDonald’s Malaysia tidak pernah terlibat dalam sebarang agenda yang menyokong Israel. Malahan, penjelasan kami berhubung isu ini telahpun diterima baik oleh badan-badan bukan kerajaan utama seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), MYCARE, Aqsa Syarif, Palestine Centre of Excellence dan Viva Palestina Malaysia,” katanya.

McDonald’s Malaysia turut mendoakan supaya penindasan dan keganasan yang berlaku ke atas Palestin akan segera berakhir, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong dukacita Israel serang Masjid Al-Aqsa, rakyat Palestin

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan sedih atas pencerobohan serta serangan ganas tentera rejim Israel terhadap Masjid al-Aqsa dan Semenanjung Gaza.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah menyifatkan pencerobohan dan serangan berterusan terhadap tempat suci umat Islam yang ketiga itu dan rakyat Palestin pada hari-hari terakhir bulan Ramadan sebagai perbuatan keji dan tindakan yang amat zalim serta tidak berperikemanusiaan.

Sehubungan itu, lanjutan kepada perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Palestin semalam, Seri Paduka menzahirkan sokongan supaya Malaysia menerajui serta bersama-sama dengan Indonesia dan Brunei untuk mengeluarkan satu kenyataan bersama mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim rejim zionis Israel ke atas Palestin.

“Seri Paduka Baginda turut menegaskan kerajaan Malaysia menyokong dan mengalu-alukan cadangan untuk persidangan tergempar Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) diadakan bagi membincangkan isu keganasan Israel terhadap Palestin yang dijadualkan hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dilaporkan pencerobohan dan serangan rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin kali ini bermula dengan serangan di Masjid al-Aqsa sejak 7 Mei lepas diikuti serangan udara di Semenanjung Gaza sejak Isnin lalu.

Sejak itu, dilaporkan lebih 119 rakyat Palestin terkorban dan beratus-ratus lagi cedera setakat ini.

Dalam pada itu, Ahmad Fadil berkata Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan harapan supaya seluruh rakyat Malaysia terus memperjuangkan prinsip keadilan dan sikap hormat-menghormati di samping menolak serta menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman sesama manusia.

Berikutan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah rakyat Malaysia sentiasa bersolidariti bersama Palestin ke arah mencapai aspirasi negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota negara itu.

“Ini juga adalah selari dengan pendirian dan prinsip kerajaan Malaysia yang tidak berbelah bagi menyokong usaha-usaha penubuhan negara Palestin yang berdaulat dan merdeka, selaras dengan undang-undang dan inisiatif di peringkat antarabangsa,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka turut menitahkan masjid dan surau serta rakyat di negara ini mengadakan solat hajat dan doa selamat selepas solat maghrib esok, bagi memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin daripada niat jahat rejim Israel.

“Seri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama-sama Baginda berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing supaya rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Israel,” kata Ahmad Fadil.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Israel serang Palestin: Anwar gesa Putrajaya, OIC suarakan bantahan

SHAH ALAM, 12 MEI: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk keras tindakan rejim Israel menyerang penduduk Palestin di Masjid al-Aqsa pada Sabtu lalu.

Ketua pembangkang menggesa Putrajaya dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengggunakan apa sahaja kuasa dan ruang yang ada bagi menyatakan bantahan terhadap serangan itu.

“Saya menggesa warga yang cintakan keadilan dan kesaksamaan untuk kembali menyikapi konflik ini dengan adil dan bertanggungjawab.

“Isu ini tidak hanya isu orang Islam, malah krisis kemanusiaan yang menjangkau persoalan ras ataupun agama,” katanya dalam kenyataan.

Anwar yang juga presiden KEADILAN berkata tragedi di Semenanjung Gaza bukan hanya soal diskriminasi malah usaha penghakisan hak asasi penduduk Palestin dengan pembantaian etnik sebagai matlamat.

“Senario terbaru ini juga terus mempamerkan sikap majoriti negara Islam yang lesu dan bisu dalam menyatakan yang hak dan batil,” katanya.

Pada Sabtu lalu, polis Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa dan menembak jemaah menggunakan peluru getah sehingga mencederakan sekurang-kurangnya 200 penduduk Palestin yang menunaikan solat terawih.

Tindakan itu mendorong Hamas yang menguasai Tebing Gaza dan pejuang Palestin melancarkan serangan roket sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel itu.

Sebagai balasan, Israel kembali melancarkan serangan udara ke atas Gaza pada malam Selasa sehingga 20 orang awam terbunuh termasuk sembilan kanak-kanak dan seorang komander kanan Hamas serta lebih 65 lagi cedera.

 

Categories
AGENDA GLOBAL

PBB adakan mesyuarat bincang konflik di Baitulmaqdis

NEW YORK, 10 MEI: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) akan mengadakan mesyuarat pada Isnin untuk membincangkan ketegangan yang meningkat di Timur Baitulmaqdis, lapor Agensi Anadolu (AA).

Mesyuarat tertutup itu dijadual bermula 9 pagi waktu tempatan (1300 GMT) untuk membincangkan krisis yang mula tercetus apabila penduduk Palestin diusir dari rumah mereka di kawasan Sheikh Jarrah oleh pendatang Israel.

Keadaan itu menyebabkan rakyat Palestin membantah di tengah-tengah serangan polis Israel.

Krisis itu berpunca daripada keputusan Mahkamah Pusat Israel di Timur Baitulmaqdis, yang meluluskan permohonan mengusir tujuh keluarga Palestin sejak awal tahun ini.

Pada Jumaat polis Israel mengusir jemaah yang berada di perkarangan Masjid Al-Aqsa menggunakan bom tangan dan gas pemedih mata. Ratusan rakyat Palestin cedera dan insiden itu menerima kecaman seluruh dunia.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Serangan Al-Aqsa tindakan biadab, Selangor gesa bantahan tegas

SHAH ALAM, 9 MEI: Kerajaan Selangor menggesa Putrajaya menyatakan bantahan lebih tegas berhubung serangan Israel ke atas Baitulmaqdis ketika Ramadan.

EXCO hal ehwal agama Islam berkata tindakan terkutuk zionis ketika umat Islam beribadah tidak dapat diterima atas apa jua alasan sekalipun.

“Kerajaan Negeri amat sedih dan marah mengikuti perkembangan terkini di Baitulmaqdis dan mendesak perbuatan biadab ini dihentikan segera.

“(Tekanan perlu disuarakan) di peringkat tertinggi sama ada dalam kalangan negara-negara Pertubuhan Islam Sedunia (OIC) atau Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mencadangkan Qunut Nazilah dibuat di semua masjid dan surau seluruh negeri pada malam-malam terakhir Ramadan sehingga krisis itu tamat.

Katanya, rakyat Selangor juga diminta menyuarakan bantahan dalam bahasa yang sesuai di akaun media sosial sebagai tanda keprihatinan global terhadap keganasan Israel.

“Kerajaan Negeri berharap sikap yang akan ditunjukkan oleh Kerajaan Malaysia dalam perkembangan terbaharu ini mencerminkan satu gesaan berimpak tinggi untuk menyeru bantahan bersama negara Islam.

“Oleh itu, Kerajaan Selangor menyokong apa sahaja pendekatan yang bakal diambil,” kata Mohd Zawawi.

Sekurang-kurangnya 200 rakyat Palestin cedera selepas polis Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa dan menembak jemaah menggunakan peluru getah dalam kejadian di wilayah timur Baitulmaqdis.

Memetik laporan media antarabangsa, ribuan jemaah berkumpul di majis tersebut pada Jumaat terakhir Ramadan dan melakukan demonstrasi sebagai solidariti terhadap pengusiran yang dilakukan Israel.

Polis dan pasukan sempadan Israel menyerang penunjuk perasaan menggunakan gas pemedih mata, peluru getah dan bom tangan sejak beberapa hari lalu.

Categories
AGENDA GLOBAL

Israel diberi amaran tidak ceroboh tanah Palestin

NEW YORK 25 JUN: Israel diberi amaran bahawa rancangan Zionis untuk memasuki tanah milik Palestin menjejaskan usaha damai.

Setiausaha Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit berkata, penyambungan memasuki tanah Palestis itu bakal memusnahkan prospek damai pada masa hadapan dan mengancam kestabilan serantau, lapor AFP.

Dalam satu kenyataan bersama tujuh negara Eropah, Belgium, Britain, Estonia, Perancis, Jerman, Ireland dan Norway memberi amaran bahawa usaha penyambungan oleh Israel itu merosakkan prospek mengembalikan proses damai Asia Barat.

“Di bawah undang-undang antarabangsa, penyambungan ini akan menjejaskan hubungan rapat kami dengan Israel dan tidak akan diiktiraf,” kata tujuh negara berkenaan.

Seminggu sebelum Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyanhu dijangka memulakan proses penyambungan bagi memasuki tanah Palestin itu, sidang Majlis Keselamatan PBB (UNSC) memberikan peluang terakhir untuk komuniti antarabangsa menggesa beliau mengubah keputusan.

“Saya menggesa Israel melupakan rancangan itu,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dalam persidangan maya.

Penyelaras PBB untuk Asia Barat, Nikolai Mladenov, berkata rancangan berkenaan mengubah situasi hubungan Israel – Palestin.

“Ia berisiko merosakkan usaha proses damai selama lebih suku abad oleh komuniti antarabangsa, yang mahu mewujudkan masa depan dan keamanan untuk kehidupan rakyat Palestin,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia kutuk sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Gaza

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza yang mengakibatkan kematian orang awam Palestin, termasuk kanak-kanak, kata Wisma Putra.

Menurut kenyataan kementerian itu, serangan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) adalah berlebihan dan tidak seimbang, selain daripada tidak mengendahkan langsung semua undang-undang antarabangsa.

“Malaysia teguh dengan pendiriannya membantah sekeras-sekerasnya kepongan berterusan ke atas Gaza yang merupakan hukuman kolektif dan mengakibatkan penderitaan dan kesusahan yang memeritkan kepada penduduk Gaza dan organisasi bantuan kemanusiaan di Semenanjung dan kawasan-kawasan lain di Wilayah Palestin yang diduduki Israel.

Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan serius bagi mengakhiri pendudukan haram Israel dan menubuhkan negara Palestin yang merdeka,” katanya.

Ia juga menggesa kesemua pihak menahan diri dan menghormati perjanjian gencatan senjata untuk mengelakkan lebih ramai lagi orang awam terkorban.

– BERNAMA