Categories
AGENDA NASIONAL

Agong berangkat hadir hari kedua mesyuarat Majlis Raja-Raja

KUALA LUMPUR, 10 MAC:  Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berangkat menghadiri hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-258 di Istana Negara.

Mesyuarat yang bermula semalam itu dipengerusikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Mesyuarat kali ini berlangsung selepas kali terakhir diadakan pada 24 Nov dan 25 Nov 2021, yang dipengerusikan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Turut berangkat ke mesyuarat itu ialah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Selain itu, turut berangkat Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra.

Mesyuarat itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut hadir pada mesyuarat itu.

Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing, manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri kecuali Sarawak yang diiringi Timbalan Premier.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, permaisuri zahir takziah pemergian bekas atlet angkat berat Darus Abdullah

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas atlet angkat berat negara, Darus Abdullah, yang meninggal dunia semalam.

Turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Darus ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi catatan di Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” menurut catatan itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara.

Allahyarham yang berasal dari Selangor pernah mewakili negara pada Kejohanan Sukan SEA 1989 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, permaisuri ucap Selamat Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina kepada rakyat Malaysia yang menyambut perayaan itu.

“Seri Paduka berdua turut menzahirkan harapan semoga rakyat dan keluarga tersayang dilimpahi kesejahteraan, keafiatan dan keceriaan, serta semoga sambutan Tahun Baharu Cina mengukuhkan lagi perpaduan dan semangat muhibah sesama rakyat berbilang kaum, agama dan bangsa,” seperti hantaran dimuat naik di laman Facebook dan Instagram Istana Negara.

Seri Paduka berdua menasihati rakyat dalam meraikan perayaan berkenaan untuk mengutamakan keselamatan dan kesihatan diri, dengan berdisiplin mengamal kawalan kendiri serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

Masyarakat Tionghua akan meraikan Tahun Baharu Cina pada esok yang mewakili permulaan Tahun Baharu dalam kalendar Lunar.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli parlimen BN, PAS antara tiba di Istana Negara hari ini

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Istana Negara terus menjadi tumpuan hari ini, tiga hari selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, Isnin lepas.

Bas membawa ahli parlimen Umno dilihat memasuki pintu dua Istana Negara pada pukul 10.38 pagi, diikuti lebih 10 kenderaan lain.

Difahamkan, ahli parlimen dari Barisan Nasional (BN), Bersatu dan PAS juga antara yang dijadual tiba di Istana Negara antara pukul 11 pagi hingga 4 petang ini.

Pada pukul 4 petang semalam, tamat tempoh untuk ahli parlimen menyerahkan satu surat akuan bersumpah bagi menamakan seorang calon Perdana Menteri kepada Istana Negara.

Notis itu yang dikeluarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun kepada 220 ahli Dewan Rakyat, bagi membolehkan seorang daripada mereka yang mempunyai kepercayaan majoriti dilantik sebagai Perdana Menteri, susulan peletakan jawatan Muhyiddin yang juga ahli parlimen Pagoh, Isnin lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Pemimpin parti politik perlu kerjasama, wujud persefahaman baharu

SHAH ALAM, 17 OGOS: Semua pemimpin parti perlu bekerjasama bagi mewujudkan politik baharu selaras titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Yang di-Pertuan Agong memulakan sesi pertemuan di Istana Negara dengan titah nasihat bahawa semua pihak harus bersatu menghadapi malapetaka Covid-19 dan menangani kemelesetan ekonomi.

“Tuanku Agong juga memberitahu tentang lunas-lunas Perlembagaan agar dapat mencari calon Perdana Menteri yang mempunyai majoriti sokongan Ahli Parlimen. Tetapi politik harus berubah.

“Maknanya yang menang jangan jadi seperti pernah berlaku sebelum ini iaitu memakan yang kalah. Harus ada satu kekuatan dengan semua parti dengan persefahaman baru,” tulisnya di Facebook.

Ahli Parlimen Port Dickson berkata membentuk politik baharu yang lebih aman untuk rakyat juga penting sebagaimana ditekankan Seri Paduka Baginda.

“Isunya bukan sahaja mengenai pelantikan seorang Perdana Menteri baru, tapi apa yang penting seperti yang ditekan oleh Tuanku Agong dan juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong adalah untuk menggagas satu bentuk politik baru yang lebih aman dan nyaman untuk rakyat,” katanya.

Hari ini ketua-ketua parti politik hadir ke Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Antaranya, timbalan presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung DAP Lim Guang Eng, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan ahli parlimen Jerlun Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sesi menghadap selama dua jam itu susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam selepas hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan hari ini meminta Ahli Dewan Rakyat menyerahkan surat akaun bersumpah menamakan seorang calon Perdana Menteri kepada Istana Negara, sebelum jam 4 petang esok.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong titah PRU bukan pilihan, 79 peratus kawasan DUN zon merah

SHAH ALAM, 16 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pilihan raya umum Ke-15 (PRU-15) buat masa ini bukan pilihan yang terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Baginda memberi hemat demikian selepas menerima sembah maklum daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh pada sesi menghadap di Istana Negara, hari ini.

“Pengerusi SPR memaklumkan bahawa sehingga 10 Ogos, daripada sejumlah 613 kawasan Dewan Undangan Negeri, sebanyak 484 kawasan (79 peratus) adalah zon merah Covid-19.

“Al-Sultan Abdullah turut mengambil maklum bahawa fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Seri Paduka Baginda juga menzahirkan harapan agar kemelut politik dapat diakhiri demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara yang diancam oleh pandemik Covid-19.

“Seri Paduka turut mengambil kesempatan ini menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Rasmi: Agong terima Muhyiddin letak jawatan, kini perdana menteri sementara

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara atau ‘caretaker’ sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata perkara itu diputuskan setelah Seri Paduka berkenan menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri yang berkuat kuasa hari ini.

“Ini adalah selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

“Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Jemaah Menteri atas khidmat bakti dan urus tadbir negara yang telah dilaksanakan di bawah Perikatan Nasional bermula 1 Mac 2020, khususnya dalam memerangi pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Muhyiddin di Istana Negara pada 12.30 tengah hari tadi.

Selain Muhyiddin, Seri Paduka turut berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh pada 11 pagi di Istana Negara.

Ahmad Fadil berkata selaku Ketua Utama Negara, Al-Sultan Abdullah memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara serta apa-apa keputusan yang dibuat oleh Muhyiddin berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja itu berkata Yang di-Pertuan Agong turut menerima sembah maklum daripada Pengerusi SPR bahawa sehingga 10 Ogos, daripada sejumlah 613 kawasan Dewan Undangan Negeri, sebanyak 484 kawasan (79 peratus) adalah zon merah Covid-19.

Al-Sultan Abdullah turut mengambil maklum bahawa fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan.

“Justeru, pada hemat Seri Paduka, pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan satu pilihan yang terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat,” kata Ahmad Fadil.

Beliau berkata Seri Paduka menzahirkan harapan agar kemelut politik yang berlarutan tanpa kesudahan yang telah mengganggu kelancaran tadbir urus negara ini dapat diakhiri demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara yang diancam oleh pandemik Covid-19.

“Seri Paduka turut mengambil kesempatan ini menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Muhyiddin tinggalkan Istana Negara selepas 40 minit menghadap Agong

SHAH ALAM, 16 OGOS: Tan Sri Muhyiddin Yassin meninggalkan pekarangan Istana Negara selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah jam satu tengah hari tadi.

Terdahulu kenderaan dinaiki perdana menteri dilihat masuk ke pintu masuk utama Istana Negara jam 12.23 tengah hari, lapor Malaysiakini.

Kenderaan-kenderaan membawa Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim turut dlihat memasuki Istana Negara.

Turut dilihat memasuki dan meninggalkan pekarangan Istana Negara, kenderaan membawa Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh.

Sebelum itu, Bernama melaporkan, Muhyiddin mengadakan mesyuarat khas Kabinet di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya yang berlangsung kira-kira tiga jam.

Agong, Raja Permaisuri ucap takziah kepada keluarga bekas pelumba basikal kebangsaan

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas pelumba basikal kebangsaan Jusof Udin yang meninggal dunia pada Isnin.

Istana Negara menerusi laman Facebook rasmi semalam, menyatakan Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” demikian menurut hantaran itu.

Allahyarham Jusof, 61, pernah memenangi hatrik pingat perak pada Sukan SEA 1977 di Kuala Lumpur, 1979 di Jakarta dan 1981 di Manila.

Allahyarham juga pernah mewakili pasukan kebangsaan pada Sukan Asia New Delhi pada 1982 selain merupakan seorang yang aktif dalam Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Agong zahir ucapan takziah kepada rakyat Indonesia

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah amat berdukacita dan menzahirkan ucapan takziah kepada Presiden Indonesia Joko Widodo dan seluruh rakyat negara itu susulan tragedi menimpa kapal selam KRI Nanggala 402.

Ucapan sama turut dizahirkan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook Istana Negara hari ini.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian perajurit-perajurit dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mereka bersabar serta tabah menghadapi ujian pada bulan Ramadan ini.

KRI Nanggala 402 yang membawa 53 kru, dilaporkan terputus hubungan jam 4.25 pagi pada 21 April 2021 ketika dalam misi latihan penembakan torpedo. Foto: Wikipedia

“Sesungguhnya pemergian perajurit-perajurit kapal selam tersebut di bulan Ramadan yang mulia ini merupakan satu kehilangan yang besar buat negara Indonesia dan semoga pengorbanan mereka akan terus dikenang sepanjang masa,” titah Seri Paduka Baginda berdua dalam kenyataan itu.

Seri Paduka Baginda berdua turut berharap agar seluruh rakyat Indonesia kekal tabah dan diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga mendoakan agar roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.

Menerusi kenyataan itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin turut menyampaikan ucapan takziah Seri Paduka Baginda berdua kepada Duta Besar Indonesia di Malaysia Hermono.

KRI Nanggala 402 dilaporkan terputus hubungan pada 4.25 pagi Rabu lepas ketika dalam misi latihan penembakan torpedo di utara perairan Bali, yang turut disertai 21 kapal Angkatan Laut Tentera Nasional Indonesia (TNI), lima pesawat tempur dan satu kapal selam lain.

Panglima Tentera Indonesia (TNI) Hadi Tjahjanto hari ini mengumumkan semua kru kapal selam KRI Nanggala-402 telah terkorban.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong isytihar darurat bendung pandemik Covid-19

SHAH ALAM, 12 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat untuk membendung pandemik Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata baginda memberi perkenan pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal.

“Perkenan ini turut mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara.

“Ianya juga berdasarkan statistik semasa Covid-19, khususnya kekangan kemudahan-kemudahan logistik,” kata Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan pagi ini.

Ahmad Fadil berkata perkenan itu mengambil kira rundingan Seri Paduka dengan Raja-Raja Melayu.

Menurutnya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet berhubung cadangan pelaksanaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat ketika menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pada 5.30 petang semalam (11 Januari) untuk membendung dan melandaikan kes positif Covid-19 harian yang kini mencecah empat angka.

Beliau berkata Seri Paduka memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh.

“Maka Al-Sultan Abdullah berpandangan bahawa penularan wabak Covid-19 di negara ini berada di tahap yang amat kritikal dan adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Ahmad Fadil berkata perkenan Al-Sultan Abdullah berkenaan turut mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara berdasarkan statistik semasa Covid-19, khususnya kekangan kemudahan-kemudahan logistik mengikut negeri-negeri yang dipersembahkan semasa sesi taklimat itu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong titah tiada keperluan isytihar darurat

SHAH ALAM, 25 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Al-Sultan Abdullah mengingatkan ahli politik untuk memberhentikan segera politik yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

“Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini daripada merebak,” katanya dalam kenyataan media.

Ahmad Fadil berkata sebelum ini Al-Sultan Abdullah berkenan memperhalusi permohonan yang dipersembahkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis menghadap di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang, Jumaat lalu.

Permohonan tersebut ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini.

Pada masa yang sama Ahmad Fadil berkata Seri Paduka berpendapat bahawa tiada perlunya ahli parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata Al-Sultan Abdullah prihatin terhadap kegelisahan seluruh rakyat ekoran kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian Covid-19.

“Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat perpaduan dan juang yang tinggi seperti yang telah pernah dipamerkan bersama, kita mampu sekali lagi berganding bahu memerangi gelombang ketiga penularan wabak ini,” katanya.

Ahmad Fadil berkata baginda menyeru rakyat mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan membantu kerajaan dan pihak berkuasa membendung Covid-19.

“Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga wabak Covid-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera,” katanya.