Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tengku Amir Shah hadir Maulidur Rasul peringkat negeri

SHAH ALAM, 19 OKT: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan hadir sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz di sini, hari ini.

Tengku Amir Shah diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron.

Sambutan bertemakan ‘Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti’ diserikan bacaan berzanji serta selawat oleh kumpulan berzanji Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah disusuli sirah Rasulullah disampaikan Datuk Muhamad Abdullah Al-Amin.

Tengku Amir Shah turut menyempurnakan pelancaran buku Pelan Strategik Jabatan Agama Islam Selangor 2020-2024.

Majlis diadakan secara sederhana mengikut tatacara operasi piawai seperti penjarakan fizikal dan kehadiran tetamu yang terhad.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Kibaran pertama bendera Malaysia di Istana Selangor 1950

Sebaik sahaja bendera Union Jack diturunkan, bendera Tanah Melayu yang baharu perlahan-lahan dinaikkan, disusuli nyanyian lagu kebangsaan. Dalam pidatonya, upacara itu disifatkan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, perdana menteri pertama sebagai “momen terhebat dalam kehidupan rakyat Tanah Melayu.”

Corak bendera itu hampir sama dengan versi sekarang; tertera jalur merah dan putih, petak biru di sudut atas kiri mengandungi bulan sabit dan bintang. Satu-satunya perbezaan adalah jumlah garis dan bilangan bucu bintang. Pada 1957, hanya ada 11 jalur, enam merah dan lima putih, dan bintang kuning 11 bucu sebagai lambang bendera persekutuan.

Namun, peristiwa itu bukan pertama kali bendera berkenaan dikibarkan sebaliknya ia lebih dahulu dinaikkan di perkarangan Istana Selangor (yang kemudian dikenali Istana Negara) di Kuala Lumpur pada 26 Mei 1950, kini dijadikan Muzium Diraja. Dalam upacara jam 9.30 pagi, bendera berukuran enam kaki lebar dan tiga kaki panjang dinaikkan Pesuruhjaya Tinggi British Sir Henry Gurney pada tiang setinggi 60 kaki.

Sultan Selangor Sultan Hisamuddin Alam Shah antara orang kenamaan yang hadir menyaksikan peristiwa bersejarah itu. Turut sama, Menteri Besar Perak Abdul Wahab Abdul Aziz, Menteri Besar Pahang Dato Mahmud Mat, Menteri Besar Johor Dato Onn Jaafar, Menteri Besar Kelantan Nik Ahmad Kamil Haji Mahmud, Menteri Besar Perlis Raja Haji Ahmad Endut dan Menteri Besar Negeri Sembilan Dato Abdul Malek Yusuf.

Berbeza-beza

Sebelum 1946, Tanah Melayu sebagai jajahan Inggeris terdiri daripada empat negeri bersekutu iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Lima negeri tidak bersekutu pula adalah Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis. Lima negeri bersekutu sudah ada bendera iaitu empat jalur putih, merah, kuning dan hitam serta gambar harimau berlari.

Kombinasi hitam, merah dan kuning mewakili Negeri Sembilan, hitam dan putih (Pahang), putih dan kuning (Perak) dan merah kuning (Selangor). Bagaimanapun, negeri-negeri tidak bersekutu tidak memiliki bendera sendiri sekalipun semua wilayah itu juga bawah naungan Inggeris dengan sistem pentadbiran berlainan.

Pada 1949, kira-kira setahun selepas Persekutuan Tanah Melayu diwujudkan bagi mengganti Malaysian Union, satu pertandingan rekaan bendera baru diadakan. Ia dikelolakan jawatankuasa diketuai Ketua Setiausaha Negara Sir Alec Newboult bersama beberapa wakil lain.

Sebanyak 373 rekaan diterima tetapi hanya tiga terpilih ke peringkat akhir untuk dinilai orang ramai. Seorang daripadanya Mohamed Hamzah (gambar), arkitek berusia 29 tahun yang bekerja di Jabatan Kerja Raya (JKR) di Johor Bahru. Beliau menghantar dua rekaan, disiapkan dalam dua minggu.

Ciptaan pertamanya adalah bendera hijau dengan keris biru di tengah-tengah, dikelilingi 15 bintang putih. Rekaan kedua pula – terpilih ke peringkat akhir – berlatar biru, ada 11 jalur warna merah dan putih dengan bintang bucu lima dan bulan sabit warna kuning. Dua lagi rekaan yang turut terpilih ke peringkat akhir, keseluruhan bendera berlatar biru dengan imej keris di tengah-tengah dan dikelilingi 11 bintang putih secara bulatan. Satu lagi agak mirip, bezanya bintang yang mengelilingi keris bukan bulat sebaliknya berbentuk seakan-akan bintang berbucu enam.

Namun, Arkib Negara tiada rekod mengenai pereka kedua-dua rekaan berkenaan. Malah, identiti Hamzah hanya diketahui 12 tahun selepas kematiannya pada 1993.

Pemilihan akhir

Orang ramai memberi pendapat terhadap ketiga-tiga rekaan tersebut melalui akhbar The Malay Mail. Keputusan akhir yang disiarkan pada 28 November 1949 menunjukkan orang ramai memilih rekaan Hamzah. Namun, rekaan itu ada sedikit pindaan sebelum mendapat perkenan mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950.

Mengikut kenyataan Abu Bakar, adik bongsu Hamzah, melalui wawancara Harian Metro pada 31 Ogos 2004 pindaan itu dibuat Onn berikutan penggunaan lima bucu bintang rekaan abangnya disalah anggap menyerupai bendera komunis.

Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan memilih bendera berkenaan sebelum ia dikibar buat pertama kali di Istana Selangor sebulan kemudian.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Istana Selangor perkenal moto ‘Pertahan dan setia kepada Islam’

SHAH ALAM, 20 OGOS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan untuk mengguna pakai moto baharu istana, mulai semalam.

Selangor Royal Office dalam kenyataan berkata moto ‘Pertahan dan setia kepada agama Islam’ akan diguna pakai serta dipraktik oleh Orang Besar Istana, Ahli Dewan Diraja, Orang Besar Daerah dan kakitangan Istana Selangor.

Selain itu, pihak Istana turut mengguna pakai moto ‘Berkhidmat untuk rakyat dan negara’.

Categories
BERITA UTAMA

Istana Selangor saring pelawat elak Covid-19

SHAH ALAM, 28 MAC: Pelawat yang mempunyai urusan di tiga istana Selangor wajib menjalani pemeriksaan termometer inframerah di setiap pintu masuk bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Dato’ Pengelola Bijaya Diraja Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sawaluddin Md. Nor berkata Istana Alam Shah, Istana Bukit Kayang dan Istana Mestika juga turut meletakkan cecair pembasmi kuman bagi tujuan sama.

“Pelawat dan kontraktor bertugas di istana perlu jalani pemeriksaan untuk mengetahui tahap kesihatan mereka.

“Pejabat DYMM juga membekalkan topeng muka kepada kakitangan bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Tambah beliau, pada 9 Mac lalu semua kakitangan istana menjalani pemeriksaan kesihatan berkenaan wabak Covid-19 dan semua disahkan negatif.

Categories
SELANGOR

Sultan perkenan tangguh peletakan jawatan Abdul Khalid

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 26 OGOS : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengambil maklum hasrat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor dan meminta supaya ia ditangguh sehingga lantikan baru selesai.

Kenyataan yang dikeluarkan dari Istana Kayangan di Shah Alam petang tadi diumumkan oleh Abdul Khalid dalam sidang media khas di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri(SUK) hari ini.

SULTAN SELANGORKenyataan rasmi itu turut menyebut bahawa keputusan berkenaan dibuat di bawah peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan meminta supaya Abdul Khalid meneruskan khidmatnya bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar.

“Tuanku Sultan mengambil maklum mengenai hasrat Tan Sri Abdul Khalid meletak jawatan dan menangguh penerimaan perletakan beliau sebagai Menteri Besar sehingga lantikan baru ditentukan untuk memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar,” katanya.

Sehubungan itu, Sultan Selangor turut  menitahkan agar setiap pemimpin PKR, PAS dan DAP mencadangkan lebih dari dua nama daripada parti dalam Pakatan Rakyat (PR) sebagai calon Menteri Besar bagi memudahkah Baginda menentukan calon berkelayakan.

Baginda Sultan juga akan memberi perkenan untuk melantik mana-mana calon yang difikirkan layak sebagai Menteri Besar sejajar dengan konvensi yang telah diamalkan secara berterusan dalam pelantikan jawatan itu sebelum ini.

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Istana Selangor Menjelaskan Kelewatan Pelantikan Exco

sultan speech exco baru 2013 01

SHAH ALAM 30 MEI : Kelewatan pelantikan jemaah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hanyalah kerana Menteri Besar mendapat perkenan Istana Selangor selepas kembali dari rawatan di luar negara.

Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah, Datuk Lela Bakti Mohamad Munir Bani berkata tohmahan mendakwa pelantikan exco terlewat adalah bagi memenuhi kehendak DYMM Sultan Selangor adalah tidak benar sama-sekali.

Selepas upacara pelantikan Menteri Besar Selangor pada 14 Mei lalu, DYMM Sultan telah menitahkan kepada Abdul Khalid Ibrahim untuk mengemukakan senarai ahli exco bagi mendapatkan perkenan.

DYMM Sultan menerima surat mengandungi senarai nama-nama calon exco pada 20 Mei, 6 hari kemudian, semasa Khalid Ibrahim terpaksa bercuti bagi mendapatkan rawatan di luar negara.

Menurut Munir, Khalid hanya menghadap mendapatkan perkenan DYMM Sultan Selangor pada 27 Mei sekembalinya beliau ke tanah air.

?Oleh itu, tidaklah benar tohmahan seorang Ahli Parlimen di Negeri Selangor yang menyatakan kelewetan pelantikan Ahli Exco Negeri Selangor disebabkan untuk memenuhi kehendak DYMM Sultan Selangor.?

Mohamad Munir mengingatkan semua pihak untuk tidak mengheret pihak Istana dalam hal-ehwal politik bagi mengelakkan salah tanggapan rakyat terhadap DYMM Sultan Selangor.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MBSA Perlu Perjelas Lulus Kompleks Hiburan Di Padang Jawa

SHAH ALAM, 2 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini diminta menjelaskan mengapa permohonan IRDK Land untuk membina kompleks panggung wayang dan lounge eksekutif  di Padang Jawa diluluskan sedangkan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pernah bertitah agar tiada sebarang pusat hiburan dibina di Shah Alam.

Selain melanggar titah baginda sultan, Kompleks tersebut yang masih dalam pembinaan itu juga mendapat bantahan penduduk beberapa buah kampung di Padang Jawa.

Demikian menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad dalam sidang media yang diadakan di pejabatnya di sini.

Menurut Abdul Khalid, sebelum ini beliau ada dimaklumkan oleh pegawai MBSA bahawa pihak istana telah memberikan lampu hijau terhadap kompleks hiburan tersebut.

“Walaupun sebelum ini saya diberitahu pegawai MBSA secara lisan yang pihak istana beri kebenaran, tetapi MBSA harus beri jawapan bertulis secara rasmi kerana tidak mustahil ada pihak sengaja dan sesuka hati menggunakan nama istana.

“Kalau benarpun pihak istana beri kebenaran, pandangan penduduk Padang Jawa masih perlu diambil kira,” ujar beliau.

Bagaimanapun beliau juga dimaklumkan bahawa pihak MBSA masih belum mengeluarkan lesen operasi perniagaan kepada syarikat terlibat.

Dalam sidang media sama, Abdul Khalid turut menyangkal dakwaan Adun Gombak Setia, Dr Hassan Ali dan pemimpin Umno-BN bahawa Shah Alam telah menjadi hub maksiat.

“Lesen perniagaan yang dikeluarkan dalam isu ini adalah spesifik seperti untuk tujuan perniagaan spa kecantikan dan urut refleksologi sahaja.

“Pemeriksaan di tempat pernigaan juga dijalankan dan syarat membaharui lesen juga dikenakan pemeriksaan, tetapi yang cuba jadikan Shah Alam pusat maksiat adalah Umno-BN sebab merekalah bina kompleks panggung wayang dan lounge eksekutif di Padang Jawa,” ujar beliau lagi.

Menurut Abdul Khalid, syarikat IRDK Land yang memajukan projek kompleks panggung wayang dan lounge eksekutif tersebut dimiliki oleh pemimpin MIC yang juga merupakan bekas calon Pilihan Raya Umum ke 12 lalu bagi Dun di Negeri Perak.