Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor, permaisuri terima menghadap delegasi UiTM

SHAH ALAM, 26 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor berkenan menerima menghadap delegasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Selangor Royal Office dalam kenyataan di Facebook memaklumkan pada sesi menghadap itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin diberi taklimat berhubung hala tuju pendidikan universiti terbabit.

Delegasi diketuai Naib Canselor UiTM Prof Dr Roziah Mohd Janor juga memberi penerangan berkaitan pelan pembangunan jangka masa terdekat institusi berkenaan.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA RENCANA

ANALISIS: Kes meningkat darurat gagal, timbul pula isu dengan Istana

SHAH ALAM, 3 OGOS: Hasrat Putrajaya menguat kuasa Proklamasi Darurat, konon untuk membendung Covid-19, ternyata gagal apabila kes terus meningkat hingga lima kali ganda.

Selain jumlah jangkitan tidak terkawal, perisytiharan darurat juga menimbulkan ketegangan antara pentadbiran pusat dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong apabila titah Baginda agar ia dibahaskan tidak dilaksanakan segera.

Keadaan ini meletakkan rakyat dan pemimpin politik dalam keadaan serba salah sama ada enam Ordinan Darurat yang dibuat semasa perintah darurat wajar dibahas atau tidak di Parlimen.

Sewaktu darurat dikuat kuasa pada 11 Januari, jumlah jangkitan hanya 2,232 kes dan meningkat sedikit kepada 3,309 kes pada keesokannya. Namun mulai April, kes kembali kepada awal darurat setelah menurun sedikit bulan sebelumnya.

Darurat semakin dipertikaikan apabila jumlah jangkitan terus meningkat sehingga melepasi paras 9,000 kes pada hujung Mei. Setelah tujuh bulan perintah darurat, kes melonjak kepada 17,786 kes pada 31 Julai, sehari sebelum darurat tamat.

Tidak hanya menjual retorik kawalan Covid-19, Proklamasi Darurat juga menggantung sidang Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri, selain menangguhkan semua pilihan raya.

Keputusan ini mencetuskan perdebatan sejak awal sehingga Yang di-Pertuan Agong bertitah persidangan Parlimen masih boleh dijalankan walaupun negara dalam darurat. Namun tiada persidangan diadakan pada Mac lalu seperti lazim.

Susulan itu, setelah kes tidak turun-turun, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada pertengahan Jun lalu.

Baginda bertitah sidang Parlimen perlu diadakan “secepat mungkin” untuk membahas Proklamasi Darurat, Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara. Raja-Raja Pemerintah pula menzahirkan pandangan darurat tidak perlu dilanjutkan selepas 1 Ogos.

Al-Sultan Abdullah bertitah sekali lagi peri pentingnya perbahasan topik-topik tersebut ketika menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim pada akhir Jun.

Namun titah Baginda tidak dituruti sehingga Baginda menzahirkan rasa “amat dukacita” terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan dan juga Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun yang menghadap Baginda pada 24 Julai, dua hari sebelum sidang khas Parlimen.

Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa “amat dukacita” pada 29 Julai setelah Takiyuddin tiba-tiba memaklumkan pada hari pertama sidang khas Dewan Rakyat bahawa semua enam Ordinan Darurat sudah dibatalkan pada 21 Julai.

Terkejut dengan kenyataan tersebut, ahli-ahli parlimen mendesak usul pembatalan dibentang dan dibahaskan dalam persidangan minggu lalu. Namun kerajaan pula menegaskan sidang khas itu hanya sekadar penerangan menteri, bukannya usul mengungkai Ordinan Darurat.

Hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kesediaan kerajaan untuk membawa usul membahas dan mengungkai ordinan tersebut pada persidangan September ini.

Bagaimana boleh muncul kontroversi ini? Berikut tarikh-tarikh penting isu darurat sejak ia dimasyhurkan pada Januari lalu:

Barisan pemimpin semua parti pembangkang termasuk Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, hadir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sebelum berarak ke bangunan Parlimen pada 2 Ogos 2021. Foto YUISRIAH YUSOF

23 Oktober 2020: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin persembah permohonan pelaksanaan darurat di Istana Abdul Aziz, Kuantan

25 Oktober: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja Melayu tidak perkenan cadangan darurat

11 Januari 2021: Perdana menteri ke Istana Negara menyembah maklum cadangan baharu pelaksanaan Pengisytiharan Darurat untuk bendung Covid-19

* Darurat diisytihar di seluruh negara hingga 1 Ogos. Sebanyak 2,232 kes positif Covid-19 dikesan pada hari pertama darurat

12 Januari: Muhyiddin umum darurat secara langsung, maklumkan Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri tidak boleh bersidang sepanjang tempoh darurat

* Semua pilihan raya termasuk kecil bagi menggantikan wakil rakyat yang meninggal dunia tidak akan diadakan ketika darurat

* Kuasa masih di tangan eksekutif untuk gubal Ordinan Darurat dan perintah berkurung tidak akan diperkenalkan

13 Januari: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 diperkenalkan di enam negeri termasuk Selangor dan Kuala Lumpur

14 Januari: Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 setebal 12 halaman yang berkuat kuasa mulai 11 Januari dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong

24 Februari: Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan Parlimen boleh bersidang walau dalam tempoh darurat ketika majlis menghadap yang dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara

21 April: Jumlah jangkitan mula kembali ke paras awal darurat dengan 2,551 kes setelah menurun kepada lebih 1,000 kes sepanjang Mac

29 Mei: Jumlah jangkitan 9,020 kes, lebih kurang empat kali ganda daripada jumlah pada hari pertama darurat berkuat kuasa

16 Jun: Al-Sultan Abdullah bertitah sidang Parlimen perlu diadakan “secepat mungkin” untuk bahas Proklamasi Darurat, Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara selepas Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu

* Raja-Raja Pemerintah turut menzahirkan pandangan tiada keperluan negara berada dalam keadaan darurat selepas ia tamat pada 1 Ogos

29 Jun: Yang di-Pertuan Agong sekali lagi menzahirkan Parlimen perlu bersidang “secepat mungkin” ketika menerima menghadap yang dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara

5 Julai: Kerajaan umum sidang Dewan Rakyat akan diadakan selama lima hari mulai 26 Julai hingga 2 Ogos

26 Julai: Parlimen hanya mengadakan sidang khas bagi taklimat beberapa menteri. Sidang ini tidak membolehkan perbahasan, usul dan undi

* Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan maklum Ordinan Darurat sudah dimansuhkan berkuatkuasa 21 Julai

* Ahli parlimen pembangkang persoalkan tindakan itu dan Takiyuddin akan beri penjelasan pada hari akhir sidang khas 2 Ogos

29 Julai: Yang di-Pertuan Agong “amat dukacita” pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Baginda, ulang kali keempat ia harus dibentang dan dibahaskan di Parlimen seperti dititahkan semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai

* Pejabat Perdana Menteri jelaskan sidang khas hanya “penerangan menteri dan tiada sebarang usul untuk mengungkai Ordinan Darurat”

* Ia juga jelaskan kabinet putuskan untuk nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk batalkan Ordinan Darurat sebelum sidang khas Parlimen 26 Julai

* Sidang khas Parlimen ditunda beberapa kali termasuk untuk mengadakan saringan selepas dimaklumkan ada dua kes Covid-19 dikesan dalam saringan

30 Julai: Warkah Yang di-Pertuan Agong kepada perdana menteri tersebar di media sosial walau tiada pengesahan atau penafian daripada Istana Negara

* Kandungannya jelaskan asas-asas Baginda tidak perkenan batalkan Ordinan Darurat tanpa pembentangan di Parlimen seperti diputus oleh jemaah menteri sendiri

* Sembilan lagi kes positif Covid-19 dikesan dalam saringan sebelum persidangan Dewan Negara seperti dimaklum Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dua hari kemudian

31 Julai: Jumlah jangkitan tertinggi di seluruh negara dengan 17,786 kes, membuktikan alasan mengadakan darurat gagal sepenuhnya setelah  peningkatan dikesan sejak April dan memuncak semula pada Mei

* Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon arahkan tiada sidang khas pada 2 Ogos yang dijadual membincangkan isu darurat

1 Ogos: KKM cadang semua sesi pertemuan termasuk sidang khas dan mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas ditangguh selama dua minggu mulai 29 Julai

2 Ogos: Parlimen ditutup dengan semua laluan ke bangunan tersebut dalam kawalan ketat polis

* Lebih 100 ahli parlimen semua parti pembangkang berarak dari Dataran Merdeka ke arah Parlimen tetapi dihalang oleh polis, termasuk pasukan cegah rusuhan

3 Ogos: Perdana menteri menyatakan kesediaan kerajaan bawa usul bahas dan ungkai ordinan tersebut pada sidang September ini

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar diperkenan menghadap Agong, persembah majoriti ‘kukuh dan meyakinkan’

SHAH ALAM, 8 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim diperkenan menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong minggu depan untuk menjelaskan jumlah majoriti yang diperolehinya.

“Pada majlis menghadap tersebut, saya akan mempersembahkan keterangan  lengkap mengenai jumlah majoriti ahli parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang saya sebut sebelum ini,” kata ketua pembangkang.

Dalam kenyataannya hari ini, Anwar memaklumkan baginda memperkenankan untuk menerimanya menghadap pada 13 Oktober ini.

Dalam sidang media mengejut pada 23 September lalu, beliau mendakwa mendapat majoriti “kukuh dan meyakinkan” untuk membentuk kerajaan baharu dan menyatakan kerajaan sekarang “sudah jatuh”.

Anwar berharap rakyat untuk terus bertenang dan mendoakan dari rumah atau tempat pekerjaan serta menghormati Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Categories
SELANGOR

MB: Golongan B20 terus diperkasa

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 OKT: Golongan isi rumah B40 di negeri ini akan terus diperkasa menerusi pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri bagi memastikan mereka mampu keluar daripada kelompok berpendapatan sederhana.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia sebagai usaha untuk memastikan golongan berkenaan tidak terhimpit atau tertinggal dengan arus pembangunan yang semakin rancak ketika ini.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak mahu mereka bergantung akan bantuan atau peruntukan diberikan sebaliknya golongan ini perlu diberdaya.

“Kita mahu mendidik mereka supaya tidak bergantung kepada kerajaan tetapi mampu berdikari antaranya berjaya dalam perniagaan atau kemahiran yang membolehkan mereka keluar dari kelompok ini.

“Sudah pasti program pemberdayaan lebih baik daripada program pemberian.

“Oleh itu, saya selalu sebut mengenai Maju Bersama, apa yang kita lakukan mesti secara bersama iaitu muafakat dari istana hingga akar umbi. Itu asas pertama polisi Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi wawancara sebuah stesen televisyen bersama Amirudin, semalam.

Amirudin turut memberi contoh Program Usahawan Hijrah yang mendapat sambutan menggalakan daripada rakyat, malah Kerajaan Negeri sudah membelanjakan sebanyak RM360 juta kepada lebih 50,000 peminjam.

Malah, katanya, sebanyak RM50 juta juga dilaburkan untuk anak-anak Selangor yang mahu mengikuti pengajian program pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) sebagai persediaan menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0.

Pada masa sama, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri sedang mengkaji formula baru bagi membantu rakyat yang gagal mendapatkan pinjaman perumahan.

Katanya, walaupun Kerajaan Negeri menyediakan perumahan mampu milik, namun terdapat kegagalan pinjaman daripada institusi kewangan menyebabkan rakyat tidak memilik rumah.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pelantikan Dato’ Menteri Besar Selangor baharu 19 Jun

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 30 MEI: Pelantikan Dato’ Menteri Besar baharu bagi menggantikan Dato’ Seri Mohamad Azmin Ali akan diadakan pada 19 Jun ini.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Dato’ Mohamad Munir Bani berkata, perkara itu telah diperkenankan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, untuk diadakan selepas Aidilfitri ini.

“Sukacita dimaklumkan bahawa DYMM Sultan Selangor telah memberi perkenan untuk diadakan Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Dato’ Menteri Besar Selangor yang baharu selepas Aidilfitri.

“Ia akan diadakan di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada Selasa 19 Jun 2018 bersamaan 5 Syawal 1439H,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau berkata, Mohamed Azmin akan turut melepaskan jawatan sama berkuatkuasa pada tarikh sama.

Sultan Selangor berkenan melantik Dato’ Menteri Besar yang baharu ekoran kemenangan Pakatan Harapan (PAKATAN) mengambilalih Putrajaya dan Mohamed Azmin dliantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, 21 Mei lalu.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mohamed Azmin sah lepas jawatan Dato’ Menteri Besar

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 21 MEI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan kepada Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi di peringkat Kerajaan Persekutuan, sekali gus melepaskan jawatan Dato’ Menteri Besar.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Dato’ Mohamad Munir Bani berkata, Mohamed Azmin kekal memegang jawatan itu sehingga tempoh peralihan kuasa kepada Dato’ Menteri Besar baru dapat dijalankan dengan lancar dan teratur.

“Mohamed Azmin juga perlu mengemukakan senarai calon Dato’ Menteri Besar yang baru untuk penelitian dan perkenan baginda sebelum lantikan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Munir berkata, Mohamad Azmin sudah menyembah maklum kepada Sultan Sharafuddin dengan menyatakan persetujuannya menerima jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi di peringkat Kerajaan Persekutuan, sebelum ini.

“Keputusan itu dibuat selepas mendapat penjelasan dan pengesahan daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung skop kerja serta bidang kuasa kementerian yang baru.

“Proses terbabit dilaksanakan selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Categories
EKONOMI SELANGOR

INVEST sambut pelabur asing di Istana Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Invest Selangor Berhad (INVEST) melahirkan setinggi penghargaan dan junjungan kasih terhadap perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menggunakan Istana Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Hassan Azhari Idris berkata, baginda memberi perkenan untuk INVEST menyambut tetamu dan pelabur berpotensi Selangor di istana yang terletak, di ibu negara itu.

Katanya, ia julung kali sesebuah anak syarikat menerima perkenan menganjurkan majlis di lokasi berkenaan tanpa kehadiran baginda.

INVEST (2)“INVEST berasa sangat terharu dan menjunjung setinggi kasih di atas perkenan Tuanku Sultan Selangor.

“Ini majlis pertama, meraikan pelabur dari Australia dan kita yakin akan ada lagi sambutan untuk pelabur asing lain pada masa akan datang, di sini.

“Untuk hari ini, kita terima maklum balas sangat baik daripada tetamu yang kebanyakannya menyifatkan pengalaman di sini sebagai menarik dan penuh keterujaan,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, beliau mewakili INVEST menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kerajaan Negeri Victoria dengan disaksikan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana, dan Pengangkutan Negeri, Dato’ Teng Chang Khim.

Selain Istana Selangor, baginda turut memiliki istana lain di luar Selangor termasuk Istana Darul Ehsan, di Putrajaya.

Categories
SELANGOR

Sultan kurnia gelaran Istana

OLEH : NORHAYATI UMOR

KLANG, 20 FEB: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan Istiadat Mengangkat Sumpah Dan Menjunjung Duli Orang Besar Bergelar, Orang-Orang Besar Istana, Orang Besar Daerah Dan Dato’ Diraja Selangor, di Balairung Seri, Istana Alam Shah, hari ini.

Orang Besar Istana, Yang Mulia Tengku Datuk Ardy Esfardiary Al Haj Tengku Abdul Hamid, 57, dikurniakan pangkat gelaran Yang Mulia Tengku Seri Paduka Shah Bandar.

Penganugerahan kebesaran oleh Sultan Selangor di Istana Klang (ASRI) (2)Ardy kini menjawat jawatan Pengarah Eksekutif CB Industrial Product Holding Berhad.

Manakala, Yang Mulia Datuk Syed Budriz Putra Jamalulail Syed Amir Abidin dikurniakan gelaran Yang Dimuliakan Engku Mahajara Lela Setia Paduka.

Orang Besar Bergelar, YM Tengku Datuk Iskandar Shah Tengku Ismail Shah Al Haj dikurniakan pangkat gelaran Yang Dimuliakan Tengku Sri Andika Diraja.

Selain itu, Orang Besar Daerah, YM Prof Tengku Datuk Dr Jamaluddin Tengku Mahmud Shah Al Haj dikurniakan gelaran Tengku Orang Kaya Maha Bijaya Sepang.

Turut dikurniakan gelaran Yang Dihormati Datuk Lela Jasa Diraja ialah Datuk Diraja Selangor, Datuk Richard Alexandar John Curtis.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

EZY

Categories
SELANGOR

Awas penipuan tawaran keahlian Istana Selangor

SHAH ALAM 16 FEB: Istana Selangor tidak pernah mengeluarkan sebarang dokumen atau lambang diraja kepada orang ramai bagi menunjukkan bahawa mereka adalah sebahagian daripada kerabat diraja.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya, berkata orang ramai diberi amaran terhadap tawaran barangan seumpama itu, kata

Lambang NS“Rakyat perlu berhati-hati kerana ia hanya satu penipuan.

“Tidak ada lambang seperti itu dikeluarkan oleh istana,” katanya dipetik Mstar.

Beliau mengulas mengenai penahanan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam menjual keahlian Istana Diraja Selangor.

Polis turut merampas sebuah kereta dengan nombor plat kuning yang mengandungi perkataan ‘Istana Diraja Selangor’ dan ‘Y.M. Raja Ampat Selangor Tengku Lutfi B. Almarhum Tengku Badli Shah’.

Kereta itu juga dilengkapi dengan lampu berkelip dan siren, dan mempunyai pelekat dengan lambang diraja Selangor.

Mohd Amin berkata kerajaan negeri mengambil langkah untuk menghentikan kegiatan itu, termasuk memantapkan Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) Enakmen 1962.

“Kami sedang berusaha mengukuhkan enakmen itu, iaitu mencegah orang tidak bertanggungjawab daripada menyalahgunakan nama baik Istana Selangor dan menghukum mereka terlibat dalam penipuan itu,” katanya.

Enakmen itu menyatakan bahawa tiada siapa dibenarkan menggunakan lambang diraja, gelaran diraja Selangor, lambang diraja dan plat kuning pada kenderaan mereka kecuali Sultan dan Raja Muda.

Sesiapa menggunakan lambang itu pada kenderaan mereka tanpa persetujuan Sultan boleh dikenakan denda sehingga RM1,000.

EZY

Categories
SELANGOR

Istana: Amalan minta nama lebih satu sudah lama

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 SEPT: Istana Selangor menjelaskan amalan meminta lebih daripada satu nama calon menteri besar adalah satu amalan lazim sejak zaman pentadbiran BN lagi.

Setiausaha Sulit DYMM Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani menjelaskan sewaktu pentadbiran BN, beberapa nama calon dikemukakan oleh Perdana Menteri melalui Majlis Menghadap Sultan dan Sultan Selangor akan memilih calon yang difikirkan layak.

SultanKatanya, apabila PR menang pada 2008, Sultan menulis surat untuk ketua parti mencadangkan dua nama namun mereka sebulat suara mencalonkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Oleh kerana beliau memenuhi kriteria dan menepati syarat menjadi Menteri Besar, Sultan Selangor bersetuju melantik Abdul Khalid.

“Pada 2013 pula, oleh kerana Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ada menyatakan Abdul Khalid tidak semesti dilantik semula, maka istana meminta empat nama sebagai calon, namun ketua-ketua parti mengesyorkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

“Beliau kemudian diperkenan Sultan lantaran pernah memegang jawatan dan ada hubungan baik dengan istana dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Munir mengeluarkan kenyataan bagi menangkis dakwaan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya amalan menghantar satu nama merupakan amalan biasa sejak kemerdekaan.

“Kenyataan Anwar ini adalah tidak tepat dan mengelirukan rakyat.

“Sekiranya Anwar tidak mempunyai fakta yang tepat, beliau dinasihatkan untuk tidak mengeluarkan kenyataan mengelirukan rakyat dan menjejaskan imej Sultan Selangor,” katanya lagi.

Sebelum ini, Sultan Selangor meminta setiap parti mengemukakan lebih dua nama calon Menteri Besar bagi menggantikan Abdul Khalid yang ditangguhkan peletakan jawatannya.

Namun hanya PAS yang akur menghantar tiga nama calon sementara PKR dan DAP hanya menghantar calon tunggal, Wan Azizah.

Tindakan itu disifatkan istana sebagai biadap dan derhaka. Kedua-dua parti bagaimanapun meminta ampun atas keterlanjuran mengguris istana.

EZY

Categories
SELANGOR

Nik Aziz: “Semoga keputusan Istana Selangor memberi manfaat semua”

SHAH ALAM 27 OGOS: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengharapkan keputusan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor semalam dapat memberikan manfaat kepada semua pihak.

Mantan Menteri Besar Kelantan itu dalam reaksi ringkasnya ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka di Kota Bharu turut berharap mudah-mudahan keputusan itu dapat memberikan manfaat di dunia dan di akhirat.

SULTAN SELANGOR“Berdoalah kepada Allah sebanyaknya mudah-mudahan keputusan yang dibuat Istana itu dapat memberi manfaat dunia dan akhirat, Insya-Allah,” katanya dipetik Bernama.

Semalam Sultan Selangor menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Abdul Khalid sebagai menteri besar Selangor sehingga pelantikan baru ditentukan.

Baginda membuat keputusan itu setelah menerima menghadap Abdul Khalid yang menyembah hasrat meletak jawatan sebagai menteri besar di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam.

Keputusan baginda itu mahu memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan lancar dan teratur.

Selain itu Sultan Selangor juga menitahkan agar setiap parti dalam Pakatan Rakyat masing-masing mencadangkan lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar yang baru.

EZY

Categories
SELANGOR

Isu MB Selangor: Istana keluarkan kenyataan rasmi petang ini

SHAH ALAM 26 OGOS: Pihak Istana DYMM Sultan Selangor akan mengedarkan kenyataan rasmi berhubung jawatan Menteri Besar Selangor selepas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah, petang ini.

Perkara itu dimaklumkan Pembantu Khas Sultan Selangor, Zahir Kelvin Ong Abdullah di pintu masuk utama Istana Bukit Kayangan di sini.

SULTAN SELANGOR“Media semua diminta tunggu selepas Abdul Khalid menghadap Sultan, kita akan edarkan kenyataan rasmi… sidang media khas di SUK akan ditangguhkan pada jam 5.30 petang,” katanya.

Abdul Khalid tiba di Istana Bukit Kayangan,Shah Alam untuk menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, kira-kira pukul 2.20 petang tadi.

Beliau menghadap Sultan Selangor  bagi mendapatkan nasihat dan pandangan Baginda Sultan berhubung kedudukannya sebagai Menteri Besar.

Kenderaan yang membawa Baginda Sultan dilihat tiba lima minit lebih awal sebelum Abdul Khalid.

EZY