Categories
EKONOMI

Perbelanjaan IT di Malaysia dijangka cecah RM71.7 bilion pada 2017

SHAH ALAM 15 APRIL: Gartner Inc. menjangkakan perbelanjaan teknologi maklumat di Malaysia meningkat sebanyak lapan peratus dan mencecah RM71.7 bilion pada 2017 berbanding tahun lepas.

Gartner berkata unjuran pertumbuhan itu sejajar jangkaan peningkatan perbelanjaan teknologi maklumat di seluruh dunia, yang mencecah US$3.5 trilion (US$1=RM4.44) pada 2017, meningkat sebanyak 1.4 peratus berbanding 2016.

Syarikat penasihat dan penyelidikan teknologi maklumat itu berkata perbelanjaan ke atas peranti seperti komputer peribadi, tablet, ultramobile dan telefon mudah alih dijangka naik sebanyak 1.7 peratus kepada US$645 bilion pada tahun ini.

Ia juga berkata pertumbuhan bagi perbelanjaan telefon mudah alih pada tahun ini akan dipacu oleh peningkatan purata harga jualan bagi telefon di pasaran Asia Pasifik dan China yang sedang pesat membangun.

Bagaimanapun, Naib Presiden Penyelidikan John-David Lovelock berkata pengukuhan dolar AS mengurangkan US$67 bilion daripada unjuran perbelanjaan teknologi maklumat 2017 Gartner.

“Kami menjangka keadaan tidak menentu mata wang ini akan mempengaruhi pendapatan multinasional vendor teknologi maklumat dari AS pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan media.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Unisel – Kerajaan Negeri Peruntuk RM248 Juta Untuk Pembangunan

SHAH ALAM, 18 OKT : Kerajaan Negeri memperuntukan RM 248 juta kepada Universiti Selangor (Unisel) bagi tujuan pembangunan universiti itu.

Naib Canselor Unisel, Profesor Dr Anuar Ahmad berkata dana tersebut adalah bagi kegunaan membaiki infrastruktur yang dulu dibina dengan tidak begitu sempurna dan membina bangunan baru.

“Peruntukan sebanyak RM 5 juta telah diluluskan baru-baru ini bagi pembinaan kompleks riadah dan dewan makan di kampus Unisel Bestari Jaya serta RM 2.65 juta untuk menambahbaikan infrastruktur Teknologi Maklumat (IT).

“Begitu juga RM 20 juta lagi untuk pembangunan lain di Bestari Jaya,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Anuar berkata, pertambahan dana itu akan memberi semangat kepada warga Unisel bagi memajukannya.

“Pelajar kita bersemangat sekarang ini untuk memperjuangkan visi Unisel iaitu untuk menjadi sebuah universiti unggul.

?Serta untuk mendidik dan melahirkan kalangan profesional dan juga ilmuan selain moral tinggi,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Anuar berkata Unisel merangka penubuhan dana wakaf bagi membolehkan universiti itu bergerak lebih aktif dan pelajarnya menikmati suasana yang lebih baik dengan pengecualian bayaran yuran.

Naib Canselor Unisel, Profesor Dr Anuar Ahmad berkata, pihaknya menperolehi idea penubuhan dana wakaf itu daripada kaedah sama yang digunapakai oleh banyak universiti terkemuka dunia.