Categories
AGENDA NASIONAL

KKM cadang uji Ivermectin ke atas kontak rapat pesakit Covid-19

PUTRAJAYA, 7 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) dan Institut Penyelidikan Klinikal Kebangsaan (ICR) bercadang memulakan ujian klinikal bagi mengkaji keberkesanan Ivermectin sebagai prophylaxis ke atas kontak rapat pesakit Covid-19 bagi mencegah dijangkiti wabak itu, seawal bulan hadapan.

Pengarah ICR Dr Kalairasu M. Periasamy berkata kajian Randomised, Double Blind, Placebo Controlled Clinical Trial of Ivermectin For Post Exposure Prophylaxis For Covid-19 Infection Among Close Contacts (I-CPEP), menyasarkan seramai 300 peserta berusia 18 tahun ke atas.

Beliau berkata peserta merupakan kontak rapat ke atas pesakit Covid-19, di empat negeri terpilih membabitkan 10 fasiliti kesihatan di beberapa daerah di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Perlis.

“Para peserta akan diminta menjalani ujian ujian pantas polimeras masa nyata (RT-PCR) sebanyak dua kali iaitu sebelum kajian dilaksana dan pada hari kelapan kajian.

“Individu ini akan diperhatikan semasa mereka menjalani kuarantin sama seperti garis panduan dikeluarkan KKM untuk kuarantin kontak rapat. Mereka juga akan diberi Ivermectin pada hari pertama dan kedua sepanjang tempoh kuarantin,” katanya semasa Sesi Libat Urus Media Secara Maya: Kajian Keberkesanan Rawatan Ivermectin Dalam Penyakit Covid-19 Di Kalangan Pesakit Berisiko, hari ini.

Turut sama dalam sesi libat urus ini ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) merangkap moderator untuk sesi berkenaan, Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim dan Ketua Penyelidik, Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit Dr Steven Lim Chee Loon.

Dr Kalairasu bagaimanapun berkata pihaknya masih menunggu kelulusan dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk melaksanakan kajian klinikal ini.

“Kajian klinikal ini akan dihentikan selepas kami menerima jumlah sampel yang diperlukan iaitu seramai 300 orang,” katanya.

Sebelum ini, KKM telah membuat kajian keberkesanan rawatan Ivermectin kepada 500 pesakit Covid-19 berisiko tinggi dan hasil kajian merumuskan kaedah rawatan menggunakan Ivermectin tidak disyorkan untuk dimasukkan ke dalam garis panduan rawatan sedia ada kerana ia tidak mengurangkan risiko jangkitan tahap teruk.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Ivermectin tidak kurangkan risiko penyakit Covid-19

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Hasil dapatan Kajian Keberkesanan Rawatan Ivermectin Untuk Pesakit Covid-19 Berisiko Tinggi (I-TECH) oleh Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) tidak mengesyorkan Ivermectin dimasukkan dalam garis panduan rawatan Covid-19 sedia ada.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata ini kerana Ivermectin tidak mengurangkan risiko penyakit Covid-19 tahap teruk.

“KKM (Kementerian Kesihatan) menyarankan agar Ivermectin hanya digunakan dalam kajian klinikal dengan pemantauan,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, keputusan I-TECH selari dengan kajian berskala besar seperti Ivercor-Covid-19 dari Argentina dan Together dari Brasil yang tidak menyokong penggunaan rutin Ivermectin dalam amalan klinikal rawatan Covid-19.

Pasukan kajian I-TECH bercadang menghantar data kajian tersebut untuk diterbitkan di dalam jurnal kajian semula setara bagi memberi maklumat tambahan kepada kajian-kajian Ivermectin termasuk metaanalisis, katanya.

Beliau berkata kajian I-TECH dijalankan ke atas 500 pesakit Covid-19 kategori dua atau tiga yang dimasukkan ke hospital dengan menilai keberkesanan rawatan lima hari Ivermectin (0.4mg/kg/hari) berserta penjagaan standard berbanding dengan hanya penjagaan standard.

Kumpulan yang menjalani rawatan standard of care (SOC) adalah berdasarkan garis panduan Kementerian Kesihatan untuk pesakit Covid-19 di 20 hospital kerajaan dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) 2.0, katanya.

Dr Noor Hisham berkata kajian percubaan klinikal tersebut dijalankan oleh pakar perubatan penyakit berjangkit dan pakar perubatan yang terlibat secara aktif dalam pengurusan Covid-19 dengan kerjasama ICR di bawah Institut Kesihatan Negara.

Menurutnya hasil utama kajian I-TECH adalah untuk melihat sama ada pemberian ubat Ivermectin pada minggu pertama pesakit mengalami gejala penyakit Covid-19 berupaya untuk mencegah kemerosotan penyakit Covid-19 kepada tahap yang teruk (kategori empat atau lima) iaitu dalam kalangan pesakit berusia 50 tahun dan ke atas serta mempunyai sekurang-kurangnya satu komorbiditi.

Beliau berkata penyelidik utama kajian I-TECH yang juga Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh Dr Steven Lim Chee Loon mendapati tiada perbezaan ketara dari segi kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), penggunaan alat bantuan pernafasan mekanikal, pemulihan simptom, parameter ujian darah dan resolusi imbasan sinar-X dada antara kedua-dua kumpulan tersebut.

Menurut Dr Noor Hisham, kebarangkalian untuk pulih daripada gejala sepenuhnya pada hari kelima penyertaan antara kumpulan Ivermectin dan kumpulan SOC adalah hampir sama di mana tiada perbezaan yang signifikan dari segi statistik.

Selain itu analisis keselamatan melaporkan bahawa kejadian kesan sampingan adalah tiga kali lebih kerap berlaku dalam kumpulan Ivermectin berbanding kumpulan SOC dengan kebanyakannya adalah kes cirit-birit, katanya.

Dr Noor Hisham berharap dapatan kajian tempatan berkenaan dapat memberi pencerahan kepada pengamal perubatan di Malaysia dan juga kepada orang ramai yang sering bertanya mengenai keberkesanan Ivermectin dalam amalan klinikal rawatan Covid-19.

Beliau turut mengingatkan pengamal perubatan untuk tidak mengesyorkan penggunaan Ivermectin termasuklah berkongsi pengiklanan mahupun penjualan secara haram Ivermectin dengan tujuan merawat Covid-19 sehingga bukti saintifik yang lebih kukuh tersedia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hasil kajian ujian keberkesanan rawatan Ivermectin dibentang hujung bulan ini

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Hasil kajian ujian Keberkesanan Rawatan Ivermectin ke atas Pesakit Covid-19 Berisiko Tinggi (Kajian I-TECH) dijangka dibentangkan kepada pihak berkepentingan Kementerian Kesihatan (KKM) pada akhir bulan ini, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata Kajian I-TECH telah lengkap pada proses merekrut pesakit seramai 500 orang dan kini dalam tempoh akhir analisis kajian.

“Setakat ini bukti untuk menyokong penggunaan Ivermectin bagi merawat atau mencegah jangkitan Covid-19 adalah sangat terhad. Pada 28 Julai, Cochrane Library mengeluarkan kenyataan tidak menyokong penggunaan ubat Ivermectin bagi mencegah atau merawat Covid-19 berlandaskan analisis sistematik terhadap 14 kajian klinikal melibatkan 1,678 peserta.

“Cochrane Library (satu koleksi pangkalan data) merumuskan keperluan untuk data kajian yang lebih berkualiti diterbitkan untuk dianalisis,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Bashir Alias yang ingin tahu status Kajian I-TECH yang dijalankan KKM dan bukti saintifik di peringkat antarabangsa serta langkah diambil bagi mengatasi masalah penggunaan Ivermectin ketika ini.

Selain itu, Dr Noor Azmi berkata terdapat juga kajian klinikal berskala besar baru-baru ini melibatkan pesakit Covid-19 tidak dirawat di hospital dan mempunyai gejala ringan seperti percubaan Ivermectin to Prevent Hospitalisations in Patients With Covid-19 (IVERCORCOVID19) di Argentina dan percubaan bersama di Brazil yang mendapati Ivermectin tidak berkesan dalam mencegah kemasukan ke hospital.

Berhubung langkah yang diambil bagi mengatasi masalah penggunaan Ivermectin, beliau berkata Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM sentiasa memantau dan memastikan produk kesihatan serta ubat yang dipasarkan berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum dijual kepada masyarakat.

Menurutnya, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi menerima 175 aduan mengenai Ivermectin sepanjang tahun lepas hingga September 2021.

“Berdasarkan pengesahan yang dijalankan, sebanyak 17 premis telah diserbu pada 2020 dengan nilai rampasan berjumlah RM7,193 dan serbuan ke atas 43 premis dan 17 pemeriksaan pada tahun ini dengan nilai rampasan RM124,815,” katanya.

Beliau turut memaklumkan sepanjang tahun lepas hingga kini, usaha pendidikan turut dijalankan dengan memuat naik 128 poster dan maklumat menerusi laman Facebook atau media sosial serta 10 poster adalah khusus berkaitan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua kes keracunan dikesan akibat Ivermectin

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Pusat Racun Negara menerima dua kes keracunan membabitkan penggunaan ubat Ivermectin di negara ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya memaklumkan kedua-dua kes itu membabitkan individu berusia 35 tahun dan seorang warga emas.

“Kes pertama melibatkan pengguna yang mengambil satu biji Ivermectin. Akibatnya, pengguna itu mengalami gejala sesak nafas yang berpanjangan sehingga lima hari selepas pengambilan manakala bagi kes kedua melibatkan seorang warga emas yang didapati tidak sedarkan diri selepas dikatakan mengambil 15 biji Ivermectin sekali gus,” menurut kenyataan itu, hari ini.

KKM memberitahu Ivermectin didapati dijual secara tidak sah dan setakat ini ia belum diluluskan penggunaannya sebagai rawatan atau pencegahan jangkitan Covid-19 di Malaysia.

Menurut kementerian itu pengambilan Ivermectin tanpa kajian mendalam dan dos yang tidak betul boleh mengakibatkan keracunan serta kesan mudarat seperti muntah, cirit, sakit perut dan pening.

“Kesan yang teruk pula adalah tekanan darah rendah, sesak nafas, kerosakan paru-paru dan kematian. Malangnya, tiada antidot atau rawatan spesifik untuk kes keracunan ini. Oleh itu, elakkanlah pengambilan Ivermectin untuk rawatan kendiri,” menurut kementerian itu.

Pada 5 Jun, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilapor berkata KKM dan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) memulakan ujian klinikal bagi mengkaji kesan penggunaan serta keberkesanan Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi di 12 hospital di bawah kementerian itu.

Dr Noor Hisham berkata Ivermectin adalah sejenis ubat antiparasit yang diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) serta digunakan secara meluas bagi merawat beberapa penyakit tropika terabai termasuk onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases namun belum ada bukti yang konklusif untuk mengesyorkan penggunaan Ivermectin bagi merawat Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada data klinikal buktikan Ivermectin mampu rawat Covid-19

SHAH ALAM, 16 MEI: Orang ramai dinasihatkan tidak mengambil Ivermectin sebagai rawatan dan pencegahan Covid-19 berikutan tiada data klinikal membuktikan keberkesanan penggunaan produk tersebut.

Ketua pengarah kesihatan berkata setakat ini tiada produk bahan aktif Ivermectin berdaftar dengan pihak berkuasa kawalan dadah untuk kegunaan manusia.

“Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) belum pernah meluluskan indikasinya bagi rawatan atau pencegahan Covid-19. Perkara ini dijelaskan dalam artikel bertajuk ‘Why You Should Not Use Ivermectin to Treat or Prevent Covid-19’ bertarikh 3 Mei 2021.

“Selain itu, Agensi Perubatan Eropah (EMA) juga belum mencadangkan penggunaanya susulan tiada data klinikal mencukupi bagi membuktikan keberkesanan produk tersebut,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan setakat ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya membenarkan bagi rawatan Covid-19 dalam kajian atau percubaan klinikal berdasarkan penjelasan artikel bertajuk ‘WHO Advises That Ivermectin Only Be Used to Treat Covid-19 Within Clinical Trials’ pada 31 Mac 2021.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) tiada halangan untuk penggunaan produk tidak berdaftar Ivermectin bagi percubaan klinikal sahaja di negara ini memandangkan penularan wabak semakin meningkat.

“Kementerian sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat dalam mengharungi pandemik dengan memberi kelulusan untuk tujuan rawatan serta pencegahan.

“Pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) adalah langkah paling efektif pada masa ini untuk mengawal penularan wabak Covid-19,” katanya.