Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Seldec promosi program korban, harumanis di persidangan halal

SHAH ALAM, 6 MAC: Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) mempromosi dua program baharu, Korban Kasih Amal dan Harumanis Perlis pada Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini.

Eksekutif kanan pembangunan perniagaan Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd (SIC) berkata Korban Kasih Amal Seldec merupakan program memudahkan umat Islam melakukan ibadah korban tanpa perlu hadir secara fizikal dan boleh dibayar secara ansuran.

“Antara tawaran lain program ini ialah kita menguruskan proses sembelihan dan dihantar terus ke rumah asnaf serta penerima lain selain diuruskan ahli ditauliah jabatan agama.

“Bagi program Harumanis pula, buat masa ini lebih 50 tempahan diterima serta produk ini dihantar terus pengusaha ladang yang bekerjasama dengan kita. Selain itu, kita juga mencari ejen berminat menyertainya,” kata Izzudin Shahmi Mohd Jani kepada SelangorKini.

Eksekutif Kanan Pembangunan Perniagaan Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd (SIC) Izzudin Shahmi Mohd Jani memberi taklimat penghantaran produk usahawan melalui Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) pada Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 6 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau turut memaklumkan pihaknya menjemput usahawan menyertai persidangan halal untuk tidak melepaskan peluang menyertai Seldec bagi mempromosikan produk mereka secara digital.

“Setakat ini, lebih 1,100 usahawan berdaftar melibatkan 50,000 produk pelbagai kategori termasuk barangan keperluan harian. Pembeli yang berdaftar dengan kita pula kini mencecah 7,000.

“Mereka boleh hadir ke gerai mendapatkan maklumat. Bukan itu sahaja, individu yang ingin menambah pendapatan dengan menjadi Rider Seldec juga boleh berdaftar,” katanya.

Usahawan yang ingin memohon atau mendapatkan maklumat lanjut boleh layari laman sesawang Seldec di https://marketplace.seldec.my

Pada Oktober 2019, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pelancaran Seldec bertujuan membantu peniaga meningkatkan pendapatan menerusi jualan secara dalam talian.