Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Jais: Hanya jemaah lengkap dos penggalak dibenar solat Jumaat di masjid, surau

SHAH ALAM, 27 FEB: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan tatacara operasi piawai (SOP) yang menetapkan hanya jemaah lengkap dos penggalak dibenar menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau negeri ini.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata kenyataan dikeluarkan timbalan ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini bertujuan memaklumkan orang ramai bahawa SOP berkenaan hanya membabitkan umat Islam di Selangor.

“Betul kenyataan yang dikeluarkan Jakim. Maknanya dia (Jakim) memaklumkan bahawa hal ehwal Islam adalah bidang kuasa negeri-negeri.

“Perkara ini sangat jelas tetapi semua pihak yang tidak berkaitan turut diselar macam-macam,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Terdahulu, Datuk Hakimah Mohd Yusoff memaklumkan SOP yang ditetapkan berdasarkan surat pekeliling Jais bertarikh 21 Februari lalu hanya terpakai di masjid dan surau di Selangor.

Beliau berkata Jakim menghormati ketetapan dibuat pihak berkuasa agama negeri ini dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tolak vaksin: Jais kemuka pandangan kepada Sultan Selangor sebelum putus tindakan

SHAH ALAM, 24 SEPT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengemukakan pandangan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebelum tindakan diambil terhadap kumpulan agama yang menolak untuk divaksin.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata langkah itu demi memastikan ketetapan Jais dipatuhi selain melindungi kakitangan serta pelajar daripada jangkitan Covid-19.

Katanya pandangan dikemukakan melibatkan beberapa aspek termasuk pelanggaran titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang mahu semua kakitangan divaksin.

“Pelanggaran fatwa negeri juga dikemukakan selain mencadangkan bentuk tindakan tatatertib. Untuk aspek ini Jais kena lihat perkara berkait status jawatan, perlantikan dan lain- lain.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad

“Jais juga akan meneliti penjelasan individu tidak hadir dan enggan divaksin, mungkin ada melibatkan masalah kesihatan,” katanya kepada SelangorKini semalam.

Jelas Shahzihan pihaknya masih memberi ruang kepada guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), ahli jawatankuasa masjid dan jurunikah terbabit untuk mengambil pelalian tanpa janji temu di mana-mana pusat pemberian vaksin.

“Mereka yang belum divaksin atau tidak lengkap vaksin diarah untuk tidak terbabit menguruskan jemaah. Kita tak mahu ada penularan baharu melibatkan surau atau masjid

Kelmarin, Sultan Sharafuddin menzahirkan kekecewaan apabila dimaklumkan seramai 96 individu dalam kalangan guru Kafa, ahli jawatankuasa masjid dan jurunikah menolak untuk divaksin.

Baginda juga kecewa apabila hanya 203 individu sertai program vaksinasi khas Covid-19 untuk petugas Jais sedangkan seramai 873 orang diarahkan hadir.

Baginda bertitah akan meneliti nama individu yang memutuskan untuk tidak divaksin dan satu ketetapan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap mereka bakal ditentukan kelak.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ketagih media sosial, bahasa kasar antara aduan diterima pejabat agama

SHAH ALAM, 8 SEPT: Tiga aduan yang mendominasi pejabat agama daerah setiap tahun ialah berkaitan masalah akhlak sosial, tidak bertanggungjawab dan masalah komunikasi, menurut Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Ketua penolong pengarah bahagian undang-undang keluarga Jais berkata isu berhubung akhlak sosial adalah seperti berbohong, cemburu buta, kedekut, ketagih media sosial, kuat merokok dan poligami.

Nik Suhaila Nik Hussin menjelaskan tidak bertanggungjawab pula seperti keluar rumah tanpa izin suami, mementingkan keluarga sendiri, kurang memberi perhatian dan kasih sayang serta tidak menjaga maruah dan penampilan diri.

“Isu masalah komunikasi pula adalah pasangan kelihatan nampak terbuka dalam era teknologi tetapi sebenarnya mengalami masalah seperti menggunakan bahasa kasar, banyak bercakap, kurang memuji dan berlainan bahasa.

“Selain itu, tujuh aduan lain yang diterima adalah kurang penghayatan agama, campur tangan pihak ketiga, perbezaan latar belakang, masalah seksual, ekonomi, kerjaya dan kesihatan,” katanya dalam program bual bicara secara langsung di Facebook Media Selangor semalam.

Menurutnya aduan berhubung masalah rumah tangga terus mencatat peningkatan setiap tahun iaitu 11,308 pada 2018, 15,887 (2019) dan 17,801 (2020) dan kebanyakannya hadir ketika masalah sedang kritikal.

“Stigma masyarakat kita adalah apabila pergi ke pejabat agama terus dikategori bermasalah sedangkan dalam institusi perkahwinan mempunyai perkhidmatan memberi bantuan,” katanya.

Nik Suhaila turut memaklumkan pasangan berusia 31 hingga 35 tahun adalah golongan paling tinggi mencatat jumlah kes penceraian.

“Secara spesifik, wanita usia 26 hingga 30 tahun yang mencatat penceraian tertinggi, sementara lelaki pula 36 hingga 40 tahun,” katanya.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Jais hubungi guru Kafa yang belum terima vaksin

SHAH ALAM, 7 SEPT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sedang berusaha menghubungi guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) yang belum mendapat suntikan vaksin.

EXCO Hal-Ehwal Agama Islam berkata Jais menerusi bahagian pendidikan telah menghubungi sebahagian 316 guru Kafa yang dilapor belum menerima vaksin sejak beberapa hari lalu.

“Sebelum ini kita telah memberi makluman awal kepada guru Kafa untuk mendapatkan vaksin cuma yang tinggal ini adalah kelompok yang mempunyai masalah seperti alahan, mengandung dan ada juga yang menolak.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni ditemui pada program Ikon Mahabbah Yayasan Islam Darul Ehsan di Hotel Acapella, Seksyen 13, Shah Alam pada 9 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kita akan pastikan mereka semua ini menerima vaksin sebelum sesi persekolahan bermula,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika dihubungi SelangorKini.

Pada 2 September, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bertitah guru Kafa, pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin berkemungkinan tidak dibenar meneruskan tugas.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah mereka sepatutnya sedia maklum jika dijangkiti virus Covid-19, suntikan vaksin dapat mengelakkan seseorang itu daripada menerima kesan yang lebih buruk termasuk kematian.

Berdasarkan laporan Jais, seramai 316 guru Kafa yang belum mendapat vaksin dan 95 daripadanya enggan disuntik.

Manakala, seramai 59 pegawai masjid juga belum menerima vaksin dan 11 daripadanya menolak serta enam daripada sembilan jurunikah turut memilih enggan divaksin.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19, dokumen tidak lengkap antara sebab tangguh nikah 165 pasangan

SHAH ALAM, 2 SEPT: Sebanyak 165 kes nikah tertangguh di Selangor sejak 1 Julai hingga semalam, disebabkan pasangan pengantin atau wali dijangkiti Covid-19 selain gagal melengkapkan dokumen.

Pegawai Perhubungan Awam Seksyen Komunikasi Korporat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan segelintir individu yang berkeras mahu meneruskan pernikahan biarpun positif Covid-19.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia hanya mengundang risiko kepada orang sekeliling.

“Mohon jangan jadi penyebar dan habiskan tempoh kuarantin terlebih dahulu kerana selepas itu pernikahan boleh diteruskan,” kata Wan Zainal Shahriman ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau mengulas berikutan terdapat kes pasangan pengantin yang tetap hadir ke Jais meskipun disahkan positif Covid-19.

Selain itu, Wan Zainal menyeru pihak yang tidak cukup butiran dokumen pernikahan juga diminta melengkapkannya dengan kadar segera agar urusan berjalan lancar.

Sementara itu,  katanya setakat Januari hingga Jun lalu, sebanyak 10,191 pasangan telah dinikahkan.

Sebelum ini Jais membenarkan pelaksanaan majlis akad nikah secara bersemuka mulai 1 Julai yang hanya boleh dilaksanakan di pejabat Jais dan Pejabat Agama Islam Daerah dari Isnin hingga Ahad.

Jais juga mengingatkan pengantin lelaki, perempuan serta wali wajib menjalani ujian tindak balas berantai polimeras masa nyata (rt-PCR) dalam tempoh 72 jam sebelum pelaksanaan majlis dan mengemukakan keputusan ujian kepada pendaftar.

Untuk sebarang pertanyaan boleh menghubungi 03-5514 3400/3600 atau emel [email protected].

Categories
AGENSI SELANGOR

Ujian kelayakan SRAI dijadual esok dipinda kepada 7 Ogos

SHAH ALAM, 25 JUN: Ujian kelayakan sekolah (UKS) pelajar tahun satu Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) sesi 2022 yang dijadual esok dipinda kepada 7 Ogos depan.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memaklumkan pindaan itu dibuat susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh yang berkuatkuasa sehingga 28 Jun ini.

Menerusi perkongsian di Facebook, Jais juga memberitahu semakan keputusan boleh dibuat menerusi http://semakan.jais.gov.my bermula 1 September hingga 10 September depan.

Pengesahan pendaftaran serta maklum balas tawaran pula bermula 1 September hingga 17 September 2021.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais: Bantuan makanan kepada asatizah diagih hingga Isnin ini

SHAH ALAM, 18 JUN: Lebih separuh bantuan makanan asas diperuntuk kepada asatizah terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah diagihkan, kata pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata bantuan diserahkan kepada pejabat agama Islam daerah masing-masing sebelum diberi kepada penerima.

“Daerah yang telah terima setakat hari ini melibatkan Petaling, Klang, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang. Esok akan disambung ke Kuala Selangor serta Sabak Bernam dan diteruskan pada Isnin untuk Gombak dan Hulu Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berharap bantuan bernilai RM100 itu dapat meringankan beban semua penceramah bertauliah kategori D3 dan D4.

Pada Selasa Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Selangor memperuntuk RM100,000 untuk bantuan makanan asas kepada 1,000 asatizah.

Penerima berkenaan tidak dapat menjalankan aktiviti di masjid dan surau selain kegiatan dakwah dalam talian juga terhad sekali gus menjejaskan pendapatan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pasangan suami, isteri hilang punca pendapatan terima bantuan zakat

SHAH ALAM, 7 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memberi bantuan sara hidup sementara kepada sepasang suami isteri yang hilang punca pendapatan ekoran pandemik Covid-19.

Agensi itu memaklumkan paling menyedihkan apabila pasangan itu turut mempunyai dua anak kembar yang masih kecil dan perlu ditanggung.

“Kita difahamkan mereka menjana pendapatan dengan hanya berniaga di tepi jalan. Justeru, LZS terpanggil untuk turun padang hulur bantuan bagi meringankan beban mereka,” katanya di Facebook.

LZS berkata kelonggaran yang diberi kerajaan untuk pasar malam dan pasar tani kembali beroperasi baru-baru ini juga diharap dapat menstabilkan ekonomi keluarga tersebut.

“Teruskan berdoa agar keadaan yang melanda dunia ketika ini pulih dan kita dapat kembali mencari rezeki seperti sebelum ini,” katanya lagi.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Jais laksana khidmat janji temu mulai 25 Januari

SHAH ALAM, 25 JAN: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melaksanakan perkhidmatan secara janji temu mulai hari ini.

Jais dalam kenyataan memaklumkan urusan itu meliputi akad nikah secara sidang video yang boleh dibuat di Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) atau pengurusan masjid.

“Pengambilan dokumen surat perakuan nikah, surat perakuan cerai dan surat perakuan rujuk juga dilaksana secara janji temu. Hanya seorang sahaja dibenar hadir bagi setiap urusan tersebut.

“Janji temu boleh dibuat setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang sementara waktu operasi kaunter setiap hari bekerja jam 8 pagi hingga 1 tengah hari,” maklum agensi itu.

Berikut ialah nombor telefon Paid yang boleh dihubungi bagi urusan janji temu:

– Petaling 011-307 3570/011-393 62036;
– Klang 011-151 15321
– Gombak 011-390 48973
– Hulu Langat 011-395 85682
– Sepang 017-786 1918
– Kuala Langat 011-208 97318
– Hulu Selangor 011-6160 1053
– Kuala Selangor 018-328 8312
– Sabak Bernam 013-337 7175

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais: Forum perdana, kursus umrah dan haji dibenarkan di masjid, surau

SHAH ALAM, 25 SEPT: Forum perdana serta kursus haji dan umrah kembali dibenarkan di masjid dan surau di Selangor berkuatkuasa semalam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata keputusan diambil selepas penularan Covid-19 dapat dikawal selain pematuhan kendiri serta tatacara operasi piawai (SOP) jemaah yang hadir pada tahap memuaskan.

“Ini mewajarkan program mengimarahkan masjid dipertingkat, diperluas dan dipelbagaikan mengikut keupayaan masing-masing. Program boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian.

“Bagaimanapun semua masih tertakluk dengan SOP sebelum ini selari dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember ini,” kata Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata penganjur, jawatankuasa atau penceramah diminta mengingatkan jemaah supaya mematuhi SOP di awal program.

“Makanan perlu dibungkus untuk jemaah bawa pulang dan makanan secara hidang masih tidak dibenarkan,” katanya.

Program lain turut dibenarkan adalah pengajian bersijil dan bermodul, kelas tambahan akademik remaja, program Daurah Bedah Kitab, ceramah khas serta diskusi, program remaja ketika cuti persekolahan dan mesyuarat agung tahunan atau mesyuarat khas masjid dan surau.

Kiosk, koperasi dan kedai mini yang ada dalam kawasan berkenaan juga dibenarkan kembali beroperasi.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais lancar Evokhutbah, beri peluang masyarakat tulis khutbah

SHAH ALAM, 12 SEPT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melancarkan sistem dalam talian penulisan khutbah dikenali Evokhutbah untuk memberi peluang masyarakat Islam menyumbang idea penulisan khutbah yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata Evokhutbah selaras aspirasi Selangor sebagai Negeri Pintar yang berperanan sebagai pembimbing membantu penulis khutbah menghasilkan karya dan citra agama Islam untuk membina jiwa nurani rakyat dalam tempoh bacaan 15 minit.

“Kaedah penulisan yang padat dengan huraian tepat dan jelas dapat dilakukan menggunakan sistem ini. Jawatankuasa khutbah negeri akan memperhalusi idea yang disumbang tanpa mengubah susunan fakta, bahasa, jalan cerita dan plot penceritaan peribadi penulis asal.

“Sistem ini menjadikan pemilihan dan penerbitan teks khutbah dapat dilaksanakan lebih pantas serta sistematik berbanding secara manual yang mengambil tempoh masa lama untuk diproses menjadi teks khutbah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata penyertaan terbuka kepada individu beragama Islam (lelaki dan wanita) warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

“Bagi penulisan khutbah yang lulus untuk dibacakan, penulis akan menerima insentif bernilai RM400 bagi teks khutbah Jumaat manakala RM600 bagi penulisan teks khutbah hari raya.

“Mereka yang berminat boleh menghubungi Unit Khutbah, Bahagian Pengurusan Masjid JAIS di talian 03-5514 3673 atau menghantar kiriman emel kepada [email protected],” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jawatankuasa masjid, surau dibenar hadir pimpin majlis di rumah jemaah

SHAH ALAM, 9 SEPT: Ahli jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini boleh hadir serta memimpin majlis tahlil dan kesyukuran serta doa selamat diadakan di kediaman jemaah.

Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memaklumkan kehadiran golongan berkaitan memimpin majlis perlu mengutamakan kepatuhan kepada tatacara operasi piawai (SOP).

“Mereka harus terus memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman dan melakukan penjarakan sosial. Jumlah kehadiran jemaah juga tertakluk kepada kapasiti ruang rumah,” katanya dalam kenyataan dipetik dari soalan lazim berhubung pematuhan SOP masjid dan surau di negeri ini menerusi Facebook.

Pada 1 Julai lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan membenarkan majlis kenduri dianjurkan di rumah tetapi dengan had maksimum 250 orang.