Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kilang sarung tangan getah dibenar operasi semula

SHAH ALAM, 4 JUN: Kilang sarung tangan getah disita Isnin lalu kerana melepaskan sisa buangannya yang belum dirawat ke longkang awam dibenarkan beroperasi semula selepas penambahbaikan dilakukan.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkata kebenaran diberikan selepas siasatan susulan bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di premis terletak di Beranang, Hulu Langat itu, semalam.

“Berdasarkan pemerhatian ke atas semua punca kerosakan dan kawasan berpotensi menyebabkan pencemaran, pihak premis telah mengambil langkah pencegahan dengan baik dan mematuhi arahan dikeluarkan sebelum ini.

“Sehubungan itu arahan penahanan operasi kelengkapan di bawah Seksyen 38 (1) Akta Alam Sekitar 1974 telah ditarik balik,” katanya di Facebook hari ini.

Isnin lalu, kilang berkenaan yang dibenarkan beroperasi dalam perintah kawalan pergerakan (PKP) menyeluruh diarah tutup selepas dikesan melepaskan sisa buangannya ke longkang awam.

Dalam pemeriksaan itu, JAS Selangor mendapati air cucian dan bilasan bahan berkaitan bercampur asid telah dibuang ke saliran berhampiran tanpa dirawat.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kilang kitar semula plastik sebabkan pencemaran udara didenda RM75,000

SHAH ALAM, 5 MAC: Kilang kitar semula plastik di Shah Alam didenda RM75,000 kerana menjalankan aktiviti tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA).

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS) berkata pemilik syarikat juga didapati gagal mengemukakan notis punca pencemaran udara.

“Hakim Rofiah Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap pengarah syarikat berusia 47 tahun yang hadir di mahkamah hari ini, tertuduh mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan berkenaan.

Suasana kilang kitar semula plastik terpakai di Shah Alam yang didapati melakukan aktiviti tanpa kelulusan pihak Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA). Foto: Jabatan Alam Sekitar Selangor

“JAS sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi kepada penjenayah alam sekitar. Terima kasih kepada orang awam yang membantu beri maklumat mengenai aktiviti yang mencemarkan alam sekitar,” kata Nor Aziah Jaafar dalam kenyataan.

Menurut pertuduhan pertama pada 16 Ogos 2019, syarikat tersebut didapati menjalankan aktiviti tersebut tanpa kelulusan Laporan EIA seperti di bawah Seksyen 34A(2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Manakala, pertuduhan kedua mereka gagal kemuka pemberitahuan bertulis kepada ketua pengarah mengenai punca pencemaran udara mengikut Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

JAS menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam atau emel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Guna khidmat Jabatan Alam Sekitar lupuskan sisa industri – EXCO

RAWANG, 11 NOV: Pemilik premis dinasihatkan menggunakan khidmat Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi melupuskan sisa industri meskipun memerlukan modal tinggi.

EXCO kerajaan tempatan berkata langkah itu dapat mengelakkan masalah pencemaran yang akan menyusahkan banyak pihak.

“Jangan pentingkan diri. Pembuangan melalui longkang dan tandas akan sampai ke sungai seterusnya menjadi pencemaran.

“Kita memerlukan bantuan serta nasihat JAS berhubung efluen di kawasan industri rmemandangkan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai kepakaran,” kata Ng Sze Han kepada pemberita selepas meninjau kawasan perindustrian Taman Velox dekat sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Selayang berkata Kerajaan Persekutuan digesa tidak berkompromi dengan kesalahan membabitkan pencemaran dan akan mengenakan tindakan tegas.

“Semua premis atau bengkel perlu bertanggungjawab terhadap sisa buangan mereka kerana ia akan memberi kesan kepada lebih satu juta penduduk,” kata William Leong Jee Keen.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: JAS periksa 5,439 premis, 330 kilang dikenakan tindakan

RAWANG, 23 JUN: Jabatan Alam Sekitar telah mengambil tindakan terhadap 330 kilang atas pelbagai kesalahan, selepas memeriksa 5,439 premis dalam operasi yang dijalankannya sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac sehingga semalam, termasuk terhadap tiga kilang memproses kelapa sawit yang didapati mencemarkan bekalan sumber air.

Ketua Pengarahnya Norlin Jaafar berkata lesen ketiga-tiga kilang itu telah ditarik, manakala tindakan kompaun, menggantung lesen dan penahanan operasi kelengkapan dilakukan terhadap premis lain yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Antara kesalahan didapati dilakukan pemilik kilang ialah tidak melabel buangan terjadual dan ada juga kilang semasa PKP telah mencemarkan bekalan sumber air,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai Ops Gempur Selangor, Norlin berkata 49 kilang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana melakukan kesalahan di bawah akta sama.

Katanya operasi berkenaan yang melibatkan 125 anggota penguatkuasaan JAS dijalankan pada 16,18 dan 23 Jun dengan memfokuskan pemeriksaan terhadap 120 kilang di kawasan Sepang, Kuala Langat, Hulu Langat, Gombak dan Hulu Selangor.

Beliau berkata ia bertujuan mencegah pencemaran alam sekitar yang berpunca daripada operasi pengilangan daripada pelbagai jenis industri antaranya plastik, kimia, logam dan tekstil.

“Operasi ini dijalankan dengan mematuhi tatacar operasi piawai (SOP) dan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengawal penularan Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, Norlin memohon kerjasama orang ramai supaya menjadi mata dan telinga JAS dengan melaporkan sebarang aktiviti pencemaran alam sekitar dengan menelefon 1-800-88-2727 atau membuat laporan menerusi e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anak Sungai Belihoi kembali pulih, bebas pencemaran

SEREMBAN, 29 DIS: Anak Sungai Belihoi di Mantin, dekat sini yang tercemar akibat pembuangan bahan dipercayai mengandungi sisa kimia 25 Disember lalu, kembali normal dan bebas daripada sebarang pencemaran, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan.

Bagaimanapun, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi lain yang berkaitan terus melakukan pemantauan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat terutamanya kepada orang awam.

“Kerja pembersihan sungai ini telah dijalankan sejak Rabu lalu (25 Disember) dan telah siap sepenuhnya pada hari berikutnya iaitu pada hari Jumaat sebelah petang.

“Ketika ini JAS masih menjalankan siasatan berhubung pembuangan haram ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Veerapan berkata, setakat ini contoh air sungai dan sisa buangan masih belum diperolehi daripada Jabatan Kimia dan ianya dijangka hanya akan diperoleh dalam masa dua minggu.

Katanya, JAS melakukan siasatan mengikut Seksyen 34B(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan pesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan didenda sehingga RM500,000 jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JAS gubal akta baharu ganti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974

KOTA KINABALU, 6 NOV: Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) sedang menggubal akta baharu, yang dinamakan Akta Perlindungan Alam Sekitar bagi menggantikan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAS, Wan Abdul Latif Wan Jaafar berkata draf penggubalan akta baharu itu sudah siap dan sedang diteliti semula sebelum dibawa ke Parlimen, tahun hadapan.

Akta baharu itu katanya diperluas dari segi skop berbanding akta sedia ada yang meliputi pencemaran alam sekitar membabitkan udara, air dan buangan toksik bahaya sedangkan banyak bahan pencemaran baharu dikesan, namun tidak termasuk dalam akta itu.

“Penggubalan akta baharu itu telah mengambil kira semua pencemaran tersebut dan juga isu semasa antaranya pembangunan meningkat dan banyak perkara kita lihat,” katanya selepas merasmikan Seminar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 selama dua hari bermula hari ini dan disertai 570 peserta.

Beliau berkata, akta baharu juga bagi memperkukuh pelaksanaan tugas-tugas JAS selaras dengan perkembangan terkini pengurusan dan isu alam sekitar termasuk penggunaan teknologi kawalan pencemaran yang terbaik serta obligasi negara terhadap konvensyen antarabangsa.

“Dalam hubungan ini ada dua perkara penting, pertama skop bidang kuasa diperluaskan dengan mengambil kira isu pencemaran semasa dan bahan pencemaran baharu. Kedua kita tingkat hukuman dan denda lebih berat bagi kesalahan berkaitan alam sekitar,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Abdul Latif berkata, kajian yang dijalankan bagi penstrukturan baharu zon penampan kawasan industri di Pasir Gudang Johor supaya tidak terlalu hampir dengan kediaman masih belum dimuktamadkan.

Katanya, kajian itu yang dijalankan oleh beberapa pakar bagi mewujudkan zon penampan antara kawasan industri dengan penempatan serta kawasan sekolah susulan insiden pencemaran udara di kawasan tersebut.

Menurutnya, kawasan industri Pasir Gudang telah lama wujud namun perumahan dan sekolah dibina menghampiri kawasan industri.

“Dalam kajian itu turut dilihat untuk memindahkan kawasan industri dan sekolah yang berletak berdekatan supaya jarak antara industri dan kawasan penempatan dan sekolah selamat.

“Kajian masih belum muktamad sebelum dibentang kepada kerajaan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA

Jerebu: Dua kawasan tidak sihat, 65 sederhana

SHAH ALAM, 6 OGOS: Kualiti udara di Kemaman, Terengganu dan Bandar Indera Mahkota, Pahang mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat pada bacaan 104 dan 106.

Data dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat jam 10 pagi tadi, sebanyak 65 stesen mencatatkan bacaan sederhana antara IPU 51 hingga 100 dan satu stesen lagi mencatatkan bacaan baik.

Selain itu, enam stesen di Selangor mencatatkan bacaan sederhana iaitu Kuala Selangor (69), Klang (75), Johan Setia (85), Shah Alam (74), Petaling Jaya (72) dan Banting (78).

Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 101 dan 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http:/apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Jailan Simon, sebelum ini dilaporkan berkata keadaan jerebu yang melanda negara dijangka berterusan susulan kewujudan titik panas membabitkan beberapa daerah di sekitar Indonesia.

Katanya, faktor angin yang bertiup secara konsisten dari arah Barat Daya membawa jerebu akibat pembakaran hutan yang berlaku di Indonesia, sehingga mencetuskan kemerosotan bacaan IPU di Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata, keadaan jerebu adalah bersifat sementara dan pihaknya sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara secara berterusan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agensi bersepadu bermesyuarat Ahad bincang atasi pencemaran sungai

JOHOR BAHRU, 24 JUL: Usaha bersepadu berterusan antara agensi berkaitan dalam mengatasi isu pencemaran sungai di negeri ini adalah antara perkara yang akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar negeri yang dijadualkan Ahad ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, pihaknya memandang serius isu pencemaran sungai dan berharap agar mesyuarat itu dapat membincangkan langkah dan tindakan seterusnya untuk mengatasi masalah itu.

“Dalam mesyuarat jawatankuasa ini, antara perkara yang kita nak bincang, salah satu agendanya ialah pencemaran sungai. Apa yang penting ialah tindakan bersepadu daripada pelbagai agensi berkaitan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Mesyuarat 28 Julai ini yang akan disertai JAS dan pelbagai agensi lain akan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Tan Chen Choon.

Sementara itu, satu mesyuarat khas untuk membincangkan mengenai tapak pelupusan sampah termasuk yang haram, akan diadakan esok, kata Wan Abdul Latiff ketika diminta mengulas mengenai isu tahap pencemaran di sekurang-kurangnya 16 sungai di sekitar daerah Johor Bahru dan Pasir Gudang, yang dikesan semakin kritikal dan tindakan JAS mengenainya.

Mengenai status terkini usaha pendakwaan ke atas tiga kilang berasaskan bahan kimia di Pasir Gudang, beliau berkata pihaknya kini sedang menyiapkan kertas siasatan yang dijangka siap dalam masa dua minggu sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Kilang-kilang berkenaan dijangka didakwa di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, katanya.

Sebelum ini, tiga kilang berkenaan dilaporkan berpotensi tinggi sebagai punca kehadiran bau gas beracun methyl mercaptan di kawasan Pasir Gudang sejak 20 Jun lalu.

Tiga kilang itu disyaki sebagai punca selepas proses penyisihan ke atas 257 kilang bahan kimia di Pasir Gudang selain terletak dalam radius tiga kilometer dari Sekolah Agama Taman Mawar dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4.

Bau gas berkenaan disyaki boleh menyebabkan simptom muntah, loya dan sesak nafas, seperti yang dihadapi oleh pelajar-pelajar dan guru serta kakitangan sekolah-sekolah di Pasir Gudang sejak 20 Jun. – BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kualiti udara di Selangor bertambah baik

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 MAC: Kualiti udara di negeri ini didapati bertambah baik berbanding tiga hari lalu melalui bacaan tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang semakin rendah.

Pada 20 Mac lalu, SelangorKini melaporkan bacaan IPU tertinggi dicatatkan di Shah Alam dan Klang iaitu mencecah 107, berada pada paras kualiti udara tidak sihat.

Namun melalui laman web rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU di Shah Alam dan Klang sehingga jam 3 petang tadi ialah pada 60, sebelum itu pada jam 6 pagi, bacaan adalah pada 59, ia sekali gus menunjukkan tahap kualiti udara semakin baik.

Keadaan sama turut berlaku di lokasi lain termasuk Banting, Johan Setia, Petaling Jaya dan juga Putrajaya.

Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Untuk maklumat lanjut mengenai bacaan IPU terkini seluruh negara, orang ramai boleh layari laman web apims.doe.gov.my.

Categories
SELANGOR

Dua kilang berdepan tindakan saman, sita

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 21 JUN: Dua kilang disyaki terbabit pencemaran bahan kimia di Jalan Kling Batu 15, di sini bakal berdepan tindakan saman dan sita oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian berkata, Skuad Unit Pengurusan Bencana Negeri yang membuat pemantauan darat dan udara mendapati, pencemaran itu datang daripada kawasan perindustrian terbabit.

“Unit ini membuat pemantauan sekitar kawasan kilang dan pembuangan minyak mendapati terdapat dua penyewa iaitu penyewa kilang plastik dan kilang minyak hitam.

“JAS memaklumkan akan membuat tindakan saman pencemaran alam sekitar kepada penyewa kilang.

“Manakala, MDKL membawa kes pembuangan minyak itu ke bahagian perlesenan MDKL untuk membuat proses menyita kilang,” katanya kepada SelangorKini.

Loy Sian berkata, penyewa kilang itu akan dikenakan tindakan kompaun MDKL kerana didakwa melakukan pencemaran pembuangan minyak dapat dikesan di paip bawah tanah dari dalam kilang (inlet) dan dibuang ke anak sungai (outlet) berdekatan.

“Buat masa ini, MDKL sudah pun menutup kawasan kilang dengan barricade tape.

“Kita juga mendapati jarak kawasan kilang dan kawasan Sungai Langat adalah dianggarkan 200 meter serta jarak pencemaran ke kawasan rumah dianggarkan 100 meter,” katanya.

Terdahulu, Loy Sian menasihati orang ramai khususnya kawasan berhampiran supaya berwaspada akan pencemaran itu.

Katanya, orang ramai turut disarankan berkerjasama dan melaporkan kepada JAS sekiranya mempunyai maklumat berkenaan perkara itu.

Semalam, penduduk di sekitar kawasan perindustrian di Jalan Kling Batu 15, di sini cemas apabila terhidu bau bahan kimia di kawasan itu.

Pasukan bomba bergegas ke kawasan berkenaan dan mendapati cecair ammonia dilepaskan ke dalam parit berhampiran sebuah kilang.

Hasil siasatan, terdapat sebuah kilang dipercayai mengumpul minyak hitam melepaskan cecair berkenaan yang digunakan untuk mencuci peralatan.

Categories
SELANGOR

Pencemaran bau: Kerajaan Negeri tunggu laporan JAS

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 JUN: Kerajaan Negeri menunggu laporan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung pencemaran bau bahan kimia di Kuala Langat, semalam.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap kilang atau pihak tidak bertanggungjawab melakukan perkara itu.

“Saya sudah dimaklumkan berkenaan perkara itu dan ketika ini menunggu laporan daripada JAS.

“Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan tegas berhubung perkara ini termasuk menyita kilang atau mendakwa mereka,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, Loy Sian menasihati orang ramai khususnya kawasan berhampiran supaya berwaspada akan pencemaran itu.

Katanya, orang ramai turut disarankan berkerjasama dan melaporkan kepada JAS sekiranya mempunyai maklumat berkenaan perkara itu.

Semalam, penduduk di sekitar kawasan perindustrian di Jalan Kling Batu 15, di sini cemas apabila terhidu bau bahan kimia di kawasan itu.

Pasukan bomba bergegas ke kawasan berkenaan dan mendapati cecair ammonia dilepaskan ke dalam parit berhampiran sebuah kilang.

Hasil siasatan, terdapat sebuah kilang dipercayai mengumpul minyak hitam melepaskan cecair berkenaan yang digunakan untuk mencuci peralatan.

Categories
NASIONAL

Jerebu kembali, tujuh kawasan catat IPU tidak sihat

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 OKT: Sebanyak tujuh kawasan hari ini kembali mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat melebihi 100.

Semakan di laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), setakat jam 8 pagi ini, Kuching dan Samarahan di Sarawak kekal tidak sihat dengan bacaan masing-masing 102 dan 111.

Turut berada di zon tidak sihat ialah dua kawasan di Selangor iaitu Banting dengan bacaan 106 dan Pelabuhan Klang dengan 107.

Dua kawasan di Melaka juga kembali dihantui udara tidak sihat iaitu Bandaraya Melaka dengan bacaan 109 dan Bukit Rambai (102), selain Tawau, Sabah (106).

Pada masa sama, sebanyak 32 kawasan mencatatkan bacaan sederhana sementara 13 yang lain berada di zon sihat.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk menyemak bacaan IPU semasa.

-nR-