BANGI, 17 JUN: Karnival Hijau Alam Sekitar sempena sambutan Hari Alam Sekitar 2012 berlangsung meriah di Taman Tasik Cempaka meskipun dalam suasana hujan.
Acara tahunan yang disambut setiap 5 Jun ini memberikan peluang kepada ibu bapa dan anak-anak beriadah sambil menambah pengetahuan tentang kepentingan menjaga alam sekitar.
Tema tahun ini ‘Green Economy: Does It Include You?’ membawa mesej bahawa green economy boleh menambahbaik kehidupan manusia, mengimbangkan ekuiti sosial dan mengurangkan kepincangan ekologi.
Program hari ini bermula seawal jam 7.00 pagi dengan acara berbasikal sejauh 13 km mengelilingi Bandar Baru Bangi yang disertai lebih 30 peserta dari pelbagai peringkat.
Turut diadakan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, cabutan bertuah bagi peserta berbasikal, pameran hijau dan persembahan daripada pelajar sekolah.
Pembantu Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor, Lee Kim Sim hadir merasmikan Karnival Hijau Alam Sekitar mewakili Exco Selangor, Elizabeth Wong.
Hadir sama, Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor, Siti Zaleha Ibrahim dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kajang, Datuk Hassan Nawawi Abdul Rahman.