Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

36 premis industri di Klang dikompaun RM414,000 cemar alam sekitar

SHAH ALAM, 20 FEB: Jabatan Alam Sekitar Negeri (JAS) Selangor mengeluarkan 207 kompaun berjumlah RM414,000 ke atas 36 premis perindustrian yang gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

JAS Selangor berkata ia merupakan hasil Op Gempur selama tiga hari bermula Selasa lepas yang dilaksanakan oleh 34 pegawai penguat kuasa yang membuat pemeriksaan ke atas 54 premis di kawasan perindustrian Klang Utara.

Selain itu, katanya JAS juga telah mengenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) ke atas dua kilang yang melakukan kesalahan serius mencemarkan alam sekitar.

“Tindakan memberhentikan sementara operasi kilang ini diambil bagi memastikan langkah kawalan dan pembaikan segera dapat dijalankan oleh pihak terbabit dalam usaha menangani kejadian pencemaran yang berlaku,” katanya.

JAS Selangor sentiasa komited dan memandang serius mengenai kesalahan membabitkan pencemaran alam sekitar dan orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2727 atau e-mel ke [email protected] atau ke portal https://[email protected] untuk melaporkan sebarang aduan berkaitan.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kilang cemar udara di Semenyih diarah tutup dua minggu

SHAH ALAM, 28 OGOS: Sebuah loji memproses bitumen diarah menutup sementara operasinya kerana menyebabkan pencemaran udara di Bandar Sunway Semenyih beberapa hari lalu.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor Nor Aziah Jaafar berkata loji itu dikesan melepaskan bau bitumen atau tar jalan dan tidak memasang alat kawalan sistem nyahbau sehingga mengakibatkan pencemaran.

Jelasnya, susulan itu satu notis penutupan operasi dikeluarkan di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Loji terbabit diarah tutup dua minggu bagi pemiliknya melaksanakan tindakan pembaikan segera,” katanya di sini, hari ini.

Katanya dalam serbuan bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) itu, lesen operasi sebuah lagi loji turut didapati telah tamat tempoh dan tindakan susulan sudah diambil pihak berkuasa tempatan terbabit.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Selangor Cadang Sekolah Tutup Pada IPU 150 – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 24062013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi beberapa kawasan di Selangor dan Lembah Klang.

2. Exco Alam Sekitar Elizabeth Wong mempersoalkan arahan pembukaan semula sekolah-sekolah di Selangor ketika negeri ini masih diselubungi jerebu yang pada paras yang sangat bahaya dan tidak sihat.

3. Jabatan Alam Sekitar Selangor mengeluarkan arahan agar kilang perindustrian yang terletak di daerah yang mempunyai bacaan IPU pada tahap merbahaya agar mengurangkan pengeluaran mereka sehingga 30 peratus.

4. Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) meminta Kerajaan Persekutuan turut mempertimbangkan keselamatan pekerja-pekerja bank di kawasan yang dilanda krisis jerebu.

Categories
SELANGOR

6,000 Pokok Bakau Bagi Memelihara Persisiran Pantai Selangor

PELABUHAN KLANG, 15 JULAI : Sebanyak 6,000 pokok bakau ditanam dalam tempoh tiga tahun dalam usaha menghijaukan bumi dan memelihara alam sekitar.

Usaha tersebut adalah sebahagian dari rancangan menanam 10,000 pokok bakau dalam masa lima tahun bermula dari 2010 di sekitar Selangor.

Ia dilakukan Persatuan Bulan Sabit Merah Selangor bersama Jabatan Alam Sekitar Selangor dan Jabatan Perhutanan Selangor.

Pengerusi Bulan Sabit Merah Selangor, Fatimah Sulaiman berkata, pihaknya berbangga kerana program tersebut berjaya dijalankan dalam masa tiga tahun dan berharap ia mencapai sasaran dalam dua tahun lagi.

“Program pertama pada 2010 kita jalankan di Kuala Selangor dan tahun lalu di kawasan timur Kampung Teluk Gong ini manakala tahun ini kita sambung di kawasan barat di kampung sama.

“Program ini melibatkan semua ahli masyarakat terutama ahli Bulan Sabit Merah Selangor dan pelajar demi memberi pendidikan dan pengetahuan mengenai penanaman pokok bakau dan penjagaan alam sekitar.

?Ia juga membawa banyak manfaat terutama kepada kawasan persisiran pantai sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi bencana alam seperti tsunami,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) di atas sokongan mereka.

Fatimah berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perasmian Program Menanam Pokok Bakau di Kampung Teluk Gong di sini hari ini.

Program tersebut dirasmikan Yang Dipertua Pekawanis yang juga isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Tunut.

Salbiah berkata, usaha penanaman itu wajar dicontohi pertubuhan lain kerana program menghijaukan bumi dan menjaga alam sekitar perlu melibatkan semua pihak.

“Program ini juga membantu mendidik anak-anak dan pelajar supaya berdisiplin dan faham tentang peranan memelihara alam sekitar terutama di kawasan persisiran pantai. Malah bukan saja persisiran pantai tetapi juga kawasan lain.

“Selain bakau, kita juga perlu mengenal pasti pokok lain untuk ditanam kembali,” katanya.

Seorang guru, Nik Suhaimi Nik Jaafaar berkata, program seperti itu patut diperbanyakkan demi memberi kesedaran kepada masyarakat demi menjaga alam sekitar.

“Penanaman pokok bakau di kawasan persisiran pantai ini banyak manfaatnya kepada alam semulajadi dan penduduk tempatan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Selangor Mahu Bangunkan Industri Air Bumi

SHAH ALAM 10 JULAI : Kerajaan Negeri sedang mengkaji projek perintis bagi membangunkan sumber air bumi Selangor bagi menyokong industri pembekalan air.

Projek itu dikendalikan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan kerjasama satu jawatankuasa khas dari Jabatan Mineral dan Geosains negeri (JMG) dan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) .

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr A. Xavier Jayakumar berkata kerajaan juga sedang mengkaji kaedah ‘river bank filtration’ serta beberapa cadangan telaga air bumi di Jenderam Hilir, Kampung Sungai Serai dan Bukit Badong.

“Bagaimanapun, pandangan teknikal berkenaan lokasi, kebolehlaksanaan projek, kos dan sebagainya sedang dalam penelitian dan perincian lanjut jawatankuasa khas tersebut,” katanya yang menjawab soalan Saari Sungib (Hulu Kelang-PAS).

Selain itu katanya, LUAS sudah menyediakan Peraturan-Peraturan Ekstraksi Sumber Air negeri yang sedang disemak di Kamar Undang-Undang negeri.

“LUAS juga mengarahkan semua pengekstrak sumber air bumi sedia ada untuk memasang meter bagi memastikan sumber air bumi yang diekstrak tidak melebihi kuantiti yang diluluskan dan ia dilaksanakan secara mampan.

“Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar berdasarkan peruntukan di dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 perlu dilaksanakan sekiranya ekstraksi sumber air bumi yang dicadangkan adalah melebihi 4,500 meter padu setiap hari.

?Perkara ini adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Alam Sekitar negeri,” jelasnya.

Beliau berkata pembangunan sumber air bumi perlu mengikut garis panduan teknikal seperti yang ditetapkan oleh JMG seperti ujian pengepaman, ujian analisis kualiti air bumi dan sebagainya.