Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dua kilang gagal urus sisa kena kompaun RM16,000

SHAH ALAM, 21 FEB: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mengeluarkan kompaun RM16,000 terhadap dua kilang di Petaling Jaya dan Sepang kelmarin, ekoran gagal menguruskan sisa dengan betul.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan tindakan itu diambil selepas penguat kuasa melakukan rondaan dan siasatan aduan di sekitar kawasan perindustrian Gombak, Petaling Jaya, Johan Setia dan Sepang.

“Premis dikompaun itu adalah kilang yang menghasilkan produk kecantikan dan membiarkan loji rawatan air sisa beroperasi tanpa pengawasan serta tidak melabelkan bekas buangan terjadual.

“Sebuah lagi di Sepang yang gagal menguruskan buangan terjadual dengan baik,” katanya menerusi kenyataan.

Pada masa sama, JAS Selangor turut menyiasat aktiviti pembakaran terbuka di Bukit Kemuning, di sini dan mendapati terdapat kesan kabel getah terbakar di kawasan perumahan terbabit.

Jelasnya, tindakan amaran dan kompaun sudah dikeluarkan kepada pelaku.

“Seterusnya, siasatan turut dijalankan terhadap kes pembakaran terbuka sampah haram di Jalan Bukit Kemuning dan mendapati terdapat pembakaran terbuka sisa sampah yang dibakar di atas tanah lapang,” ujarnya.

Justeru, JAS Selangor berharap orang ramai dapat melaporkan kes pencemaran kepada pihaknya di talian bebas tol :1-800-88-2727 atau melalui e-aduan di [email protected].

Orang ramai juga boleh melaporkan kes yang melibatkan pembakaran terbuka kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau talian bebas tol 1-800-88-994 dan SMS 03-88880964.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jerebu: Banting, Johan Setia ‘tidak sihat’

SHAH ALAM, 15 SEPT: Dua kawasan di Selangor mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di paras tidak sihat iaitu Banting dan Johan Setia.

Berdasarkan IPU di portal Jabatan Alam Sekitar, Banting merekodkan bacaan 114 manakala Johan Setia 107 setakat jam 2 petang tadi.

Sementara itu, empat kawasan di Selangor direkodkan pada paras sederhana antaranya Petaling Jaya (91), Klang (84), Shah Alam (81) dan Kuala Selangor (72).

Bacaan di Kuala Lumpur juga menunjukkan sederhana membabitkan kawasan Batu Muda (88), Cheras (93) dan pusat pentadbiran negara, Putrajaya pula pada paras tidak sihat iaitu 116.

Berdasarkan rekod, bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Orang ramai boleh merujuk laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) di http://apims.doe.gov.my/public_v2/api_table.html.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

JAS: Tiada stesen catat kualiti IPU tahap baik

PUTRAJAYA, 13 SEPT: Tiada stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik setakat pukul 11 pagi tadi, dengan satu stesen iaitu di Johan Setia, Klang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat iaitu 213, lapor Jabatan Alam Sekitar (JAS), hari ini.

JAS dalam kenyataan berkata, keadaan di Johan Setia itu disebabkan oleh jerebu merentas sempadan dan beberapa kejadian kebakaran di kawasan belukar dan kebun persendirian seperti di Jalan 4B, Johan Setia dan Jalan Sungai Tengkorak, Kg Teluk Gong, Klang.

Bandar raya Shah Alam masih ditahap tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 139 ketika dirakam pada 12 tengahari, pada 13 September 2019. Foto – HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Menurut JAS, sebanyak 29 sekolah di Selangor ditutup hari ini berikutan keadaan jerebu di Lembah Klang masih belum berkurangan.

“Kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat, selatan dan timur Semenanjung Malaysia dan bahagian barat Sarawak,” kata JAS.

Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura semalam, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 mengesan 221 titik panas di Sumatera, 1,307 titik panas di Kalimantan, dan 20 titik panas di Malaysia iaitu Johor (empat), Melaka (dua) dan Sarawak (14).

Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan ASMC semalam, menunjukkan terdapat lingkaran asap jerebu dari kawasan kebakaran di timur, barat, tengah dan selatan Kalimantan, Indonesia dan di Jambi, Riau, Sumatera Selatan dan Lampung di Sumatera.

Kebakaran hutan tanah gambut di daerah Pelalawan sebuah wilayah di Pulau Sumatra yang menjadi jiran Singapura dan Malaysia pada 2 Ogos 2019. Foto AFP

“Arah pergerakan angin dari arah Barat Laut telah membawa asap jerebu dari kawasan Kalimantan dan Sumatera yang terjejas ke kawasan bahagian barat Sarawak dan seluruh Semenanjung Malaysia dan memberi peningkatan kepada bacaan IPU di kawasan-kawasan tersebut,” kata JAS.

Sebanyak 25 stesen mencatatkan IPU pada tahap tidak sihat sehingga pukul 11 pagi tadi manakala 42 stesen pula mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Stesen dengan IPU pada tahap tidak sihat ialah Sungai Petani, Kedah (111); Kulim Hi-Tech, Kedah (109); Seberang Jaya, Pulau Pinang (107); Minden, Pulau Pinang (114); Balik Pulau, Pulau Pinang (111) ; Tasek Ipoh, Perak (120); Pegoh Ipoh, Perak (103) ; Seri Manjung, Perak (126); Batu Muda, Kuala Lumpur (154); Cheras, Kuala Lumpur (146); Putrajaya, (142), Kuala Selangor, Selangor (103).

Petaling Jaya, Selangor mencatatkan IPU 141; Shah Alam, Selangor (136); Klang, Selangor (129); Banting, Selangor (126); Nilai, Negeri Sembilan (128); Seremban, Negeri Sembilan (107) ; Port Dickson, Negeri Sembilan (104); Bukit Rambai, Melaka (105); Bandaraya Melaka, Melaka (107); Segamat, Johor (107); Batu Pahat, Johor (102); Rompin, Pahang (168) dan Tangkak, Johor (134).

Proses membakar jerami adalah satu proses biasa yang dilakukan sebagai langkah memastikan tanah sawah kekal subur.
Selain itu, sisa pembakaran iaitu abu jerami dijadikan sebagai baja organik untuk kesuburan tanah tersebut.
– Foto BERNAMA

JAS menasihati orang ramai untuk tidak menjalankan aktiviti luar seperti sukan dan majlis perayaan yang mendedahkan orang awam kepada udara tidak sihat.

“Orang ramai diingatkan tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,” katanya.

Perintah larangan berhubung pembakaran terbuka telah dikeluarkan Ketua Pengarah JAS pada 11 September lalu.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Insiden sesak nafas: JAS tumpu tapak pelupusan sampah pula

JOHOR BAHRU, 23 JUN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan melakukan pemantauan agresif terhadap tapak pelupusan haram di Pasir Gudang esok, bagi mengenalpasti punca sebenar berlaku insiden sesak nafas di beberapa buah sekolah sejak Khamis.

Ini susulan JAS percaya tapak pelupusan itu turut berpotensi menyumbang kepada punca kejadian.

Pengarahnya Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata selain tapak pelupusan haram, pihaknya juga akan memeriksa semula kawasan Sungai Kim Kim yang terjejas akibat pembuangan sisa buangan kimia pada Mac lepas.

“Kita takut orang buang sesuatu somewhere, sebab itu kita akan buat rondaan (pemantauan) dengan menggunakan drone dan kaedah lain,” katanya yang dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata dijangkakan seramai 150 anggota penguatkuasa akan terbabit dalam operasi tersebut.

“Kita juga akan mendapatkan bantuan daripada syarikat konsesi JAS untuk menggunakan mobile unit mereka bagi memantau kualiti udara dengan parameter yang lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata buat masa ini, pemantauan pihaknya tertumpu di sekolah yang terjejas dan kilang berdekatan dengan kekerapan pemeriksaan adalah setiap empat jam menggunakan alat ‘multi gas detector’. – BERNAMA

Categories
SELANGOR

JAS tingkat rondaan, pantau pembakaran terbuka

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 20 MAC: Jabatan Alam Sekitar (JAS) meningkatkan bilangan rondaan dan pemantauan terhadap kawasan berisiko berlaku pembakaran terbuka, khususnya di Johan Setia dan Banting, kata Hee Loy Sian.

EXCO Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi & Hal Ehwal Pengguna itu berkata, pihak terbabit turut menjalankan waktu bekerja di luar waktu berperingkat iaitu dari 2 petang hingga 11 malam bagi membolehkan rondaan pemantauan aktiviti pembakaran terbuka dijalankan.

“Kita bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi mengawal kes kebakaran yang berlaku, selain meningkatkan penggunaan drone dalam memantau kejadian kebakaran terbuka.

“Selain itu, kita memantau bacaan dan tren Indeks Pencemar Udara (IPU) stesen pengawasan udara dari semasa ke semasa untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Peningkatan Indeks Pencemar Udara (IPU) Ke Tahap Tidak Sihat Di Stesen Pemantauan Kualiti Udara JAS Iaitu Banting, di Dewan Annex, di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah JAS Selangor, Shafee Yasir.

Terdahulu, JAS mengaktifkan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka dan Prosedur Tetap Operasi (SOP), Program Pencegahan Kebakaran di Tanah Gambut, mulai 10 Januari lalu.

Manakala Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka bagi Johan Setia pula diaktifkan pada 15 Januari lalu sebagai usaha mencegah dan menangani isu pembakaran terbuka.

Pada masa sama, beliau menggesa orang ramai supaya tidak membiarkan tanah atau premis kepunyaan dimasuki dan dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka di tanah bagi tujuan tertentu.

“Tindakan undang-undang boleh dikenakan di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan mereka yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kompaun maksimum RM2,000 boleh dikenakan ke atas setiap kesalahan,” katanya.

Justeru, orang awam yang mahu menyalurkan maklumat berkaitan pembakaran terbuka boleh menghubungi JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau Ibu Pejabat JAS Malaysia di talian 03-8871-2000 serta Bilik Kawalan JAS Selangor di 03-5519-7233.

Categories
NASIONAL

Lagi kes buang sisa kimia, JAS diminta segera siasat

JOHOR BAHRU, 18 MAC: Jabatan Alam Sekitar (JAS) diminta menyiasat segera laporan berhubung beberapa lagi kes disyaki kesan pembuangan sisa kimia di kawasan Masai.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, beliau mengambil serius laporan dan aduan bahawa terdapat beberapa lagi kes yang disyaki kesan pembuangan sisa kimia.

“Sehingga laporan yang lengkap diperolehi daripada JAS, kawasan tersebut hendaklah ditutup sepenuhnya sehingga kerja-kerja pembersihan, kawalan dan penyiasatan telah dijalankan.

“Jika benar pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan pembuangan haram, tindakan tegas akan diambil,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Osman berkata, beliau tidak akan membiarkan bencana kimia itu berulang kerana nyawa dan keselamatan rakyat menjadi pertaruhan.

“Saya menyeru kepada semua rakyat untuk menjauhi kawasan tersebut dan mematuhi peraturan keselamatan yang disediakan,” katanya.

Terdahulu, beberapa tong biru dipercayai digunakan sebagai bekas pembuangan sisa kimia, dijumpai berdekatan Sungai Sembilang di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tanjung Puteri Resort.

Sekolah berkenaan adalah antara sekolah yang terkesan ekoran pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, 12 hari lalu.

– BERNAMA

– Foto Kredit : Facebook INFO BERITA SEMASA

Categories
SELANGOR

JAS: Udara di Banting, Rompin tidak sihat

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 18 MAC: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di dua kawasan, termasuk satu di Selangor, menunjukkan tidak sihat.

Bacaan IPU di Banting menunjukan 102, sementara di Rompin, Pahang pula 117 setakat 1 petang hari ini.

Menurut data di laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), 62 kawasan menunjukan bacaaan sederhana dan dua lagi baik.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Suruhanjaya Siasat PRU-13 Selangor Buka Ruang Aduan Orang Ramai – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 26062013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Bacaan Indeks Pencemaran Udara setakat jam 3 petang bagi Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

2. Penubuhan suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan penipuan dan pelanggaran peraturan pada PRU-13 akan memberikan peluang kepada rakyat bagi mengemukakan aduan tentang salahlaku pilihanraya di Selangor.

3. Sidang pendengaran SELCAT yang berjaya membongkar kelemahan dan kepincangan dalam urustadbir kerajaan negeri akan diteruskan.

4. Keluarga mendiang A Kugan, hari ini memenangi kes saman sivil yang dikemukakan mereka ke atas polis dan kerajaan.

5. Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mendakwa isu penutupan pasar Jonker Walk di Melaka mempunyai kaitan politik dan menunjukkan sikap ‘kecil hati’ Ketua Menterinya, Datuk Idris Haron terhadap kaum Cina di negeri itu.

6. Majlis Perbandaran Selayang bersama-sama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar menyerbu dan menyita sebuah kilang di Rawang yang telah mencabar undang-undang.