Categories
ADN AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB: PKNS mampu capai untung, kerugian rosot nilai hanya sementara

SHAH ALAM, 6 DIS: Kerugian Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang disebabkan rosot nilai hanya bersifat sementara dan ia boleh berbalik kepada keuntungan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keuntungan boleh dicapai apabila ‘net tangible assets’ (NTA) atau aset ketara bersih menunjukkan peningkatan.

Beliau menjelaskan rosot nilai dua syarikat iaitu Datum Corporation International Sdn Bhd dan De Palma Management Services Sdn Bhd itu adalah kesan langsung daripada kelembapan sektor hartanah dan pandemik Covid-19.

“Rosot nilai dibuat setelah mengambil kira pandangan Jabatan Audit Negara disebabkan NTA dalam anak-anak syarikat adalah lebih rendah berbanding nilai pelaburan yang dibuat PKNS.

“Ia bertujuan untuk menggambarkan keadaan sebenar sesuatu pelaburan,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), Jumaat lalu.

Amirudin berkata, pelaburan Datum International Corporation adalah bernilai RM715 juta manakala De Palma Management Services bernilai RM42 juta dalam bentuk saham keutamaan boleh tebus yang direkod sebagai liabiliti berbanding ekuiti.

Katanya, pentaksiran rosot nilai ke atas syarikat tersebut masing-masing bernilai RM589.9 juta dan RM34.5 juta.

“Bagaimanapun nilai rosot nilai ini boleh berbalik kepada keuntungan sekiranya nilai NTA menunjukkan peningkatan serta kedudukan kewangan syarikat yang kukuh dalam kata lain kerugian merupakan kerugian sementara,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Jelas beliau PKNS melakukan pelbagai kaedah bagi memastikan kerugian yang dialami dapat dikurangkan termasuk mengadakan siri jelajah di luar Selangor.

“PKNS bukan berdiam diri sahaja, kita laksana pelbagai langkah. Baru-baru ini kita buat jelajah di banyak negeri, sampai Kelantan kita juga jual.

“Kita dapat membuat jualan sampai RM11 juta dan juga di negeri-negeri lain untuk menyelesaikan aset-aset tertangguh,” katanya.

Amirudin berkata situasi yang dialami PKNS ini bukan perkara baharu kerana pada 2018, stok aset tertangguh pernah mencecah sehingga RM1.6 bilion ketika beliau mula menyandang jawatan Menteri Besar serta Pengerusi PKNS.

“Hasil daripada beberapa pelan untuk pelaburan, penjualan, promosi yang kita lakukan dalam tempoh 2018 hingga 2021, sekarang nilai aset tertangguh sekitar RM400 juta sahaja.

“Maknanya lebih RM1.2 bilion telah diusahakan oleh pegawai-pegawai kita di MTES (Majlis Tindakan Ekonomi Selangor) untuk menjual rumah,” katanya.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Potong dana Jabatan Audit Negara, kerajaan tidak serius bendung ketirisan

SHAH ALAM, 11 NOV: Ahli Parlimen Pandan mempersoal pemotongan dana berjumlah RM4 juta kepada Jabatan Audit Negara yang dibimbangi akan menjejaskan pemantauan perbelanjaan kerajaan.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tindakan itu memberi mesej salah sama ada kerajaan serius mengatasi isu ketirisan yang baru-baru ini dilaporkan membabitkan kehilangan peruntukan RM620 juta.

Jelasnya dana sebesar itu mampu menampung pelbagai perbelanjaan seperti projek tebatan banjir yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Sepatutnya kita perlu perkasakan pemantauan oleh Jabatan Audit Negara untuk menyemak perbelanjaan di setiap kementerian tetapi kenapa tahun ini peruntukan dipotong RM4 juta.

“Sekarang ini bukan sahaja pendapatan negara menguncup tetapi hutang pun dijangka mencecah RM1 trilion, jadi kita perlu pastikan setiap wang kita ada tidak diseleweng,” katanya pada sesi perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Bekas timbalan perdana menteri itu juga mempersoalkan mengapa peruntukan lebih besar dicadang kepada Kementerian Pertahanan berbanding Kementerian Kesihatan (KKM) yang lebih memerlukan ketika berdepan penularan Covid-19.

“Apakah kita hendak beli kereta kebal untuk lawan Covid-19? Saya minta menteri kewangan untuk semak semula dan beri fokus kepada KKM.

“Masa kita sakit baru kita tahu, ketika sihat kita bersyukur…janganlah potong peruntukan kepada KKM,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

99 penyata kewangan agensi kerajaan diberi pendapat tanpa teguran

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Jabatan Audit Negara (JAN) menjalankan pengauditan penyata kewangan ke atas 113 agensi Persekutuan bagi tahun kewangan 2018 setakat 30 Ogos lalu, kata Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid.

Daripada jumlah itu, 99 penyata kewangan diberi pendapat tanpa teguran, enam diberi pendapat tanpa teguran dengan perenggan ‘emphasis of matter’ (EOM) dan lapan diberi pendapat berteguran.

Sementara itu, 35 penyata kewangan masih belum dimuktamadkan manakala dua penyata kewangan agensi Persekutuan belum diterima.

“Pengauditan itu mengikut garis panduan yang ditetapkan termasuk penyediaan memorandum perancangan audit, penilaian risiko dan bukti audit, komunikasi dengan pihak pengurusan dan tadbir urus, pensampelan dan pelaporan,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Kenyataan akhbar itu merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 2 mengenai pengurusan syarikat, aktiviti kementerian, jabatan, agensi dan badan berkanun Persekutuan dan kerajaan negeri 2018 yang dibentangkan di Parlimen hari ini (Isnin).

Selain itu, beliau berkata sebanyak 12 pengauditan prestasi telah dilaksanakan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan 21 di peringkat​​​​​​ negeri merangkumi pelbagai bidang, antaranya pengurusan program, aktiviti, pembinaan, naik taraf, penyenggaraan dan pengurusan hasil.

Bagi pengauditan pengurusan syarikat pula, tujuh syarikat kerajaan telah dilaksanakan pengauditan dan sembilan melibatkan pengauditan di peringkat negeri merangkumi aspek tadbir urus korporat, pengurusan aktiviti dan kedudukan kewangan syarikat.

Bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil, JAN mengemukakan 57 syor terhadap aktiviti kementerian, jabatan dan badan berkanun Persekutuan, 43 syor terhadap pengurusan syarikat Kerajaan Persekutuan serta 132 syor terhadap pengurusan aktiviti kementerian, jabatan, agensi dan pengurusan syarikat kerajaan negeri untuk memperbaiki kelemahan yang dilaporkan.

Tiga jilid LKAN peringkat Kerajaan Persekutuan akan dimuat naik​​​​​​​ dalam laman web JAN selepas pembentangannya​​​​​​​ di Dewan Rakyat dan orang awam boleh melayarinya di http://www.audit.gov.my mulai 10 pagi hari ini.

LKAN peringkat negeri pula yang melibatkan 13 negeri hanya akan dimuat naik dalam laman web JAN​​​​​​​ selepas pembentangannya di Dewan Undangan Negeri masing-masing.

-BERNAMA

MBI teliti maklum balas Kamar Penasihat Undang-undang Negeri

MBI sedang meneliti maklum balas awal Kamar Penasihat Undang-undang Negeri bagi cadangan penambahbaikan tadbir urus korporat. Laporan secara tahunan itu juga akan dipaparkan secara online.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Pembongkaran audit ‘tersimpan bawah karpet’ kerana tiada pendakwaan

audit(KENYATAAN MEDIA) Saban tahun rakyat Malaysia akan memperolehi Laporan Ketua Audit Negara yang akan membongkarkan berlakunya ketirisan, penyelewengan, pembaziran dan salah guna tadbir wang negara yang sangat ketara yang melibatkan tanggungjawab kepada menteri dan penjawat awam daripada pelbagai Kementerian dan Jabatan samaada diperingkat nasional dan negeri.

Selepas segalanya didedahkan oleh Ketua Audit Negara tiada tindakan yang drastik diambil oleh pihak yang bertanggungjawab, malah pendedahan dan tindakan yang tahun sebelumnya melibatkan dana awam tiada sebarang kedengaran tindakan dan statusnya.

Sudah pasti Jabatan Audit Negara menggunakan dana awam yang cukup banyak dalam menjalankan tugasan mengaudit ke seluruh Kementerian dan Jabatan sektor awam terhadap penggunaan dana awam atau wang rakyat yang akhirnya hanya “gegak gempita” untuk beberapa hari dan semua kesalahan dan tindakan salah laku, penyelewengan, pembaziran “tersimpan bawah karpet” tanpa sebarang tindakan.

Malah lebih ketara memperlihatkan tidak ada sebarang hubungan antara Jabatan Audit Negara dengan agensi kerajaan lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Fungsi Jabatan Peguam Negara langsung tidak bertanggungjawab sedangkan segala siasatan dibuat oleh Jabatan Audit Negara dibuat untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab dalam kes-kes yang melibatkan penyelewengan dan penyalahgunaan wang rakyat.

Sepertimana yang diketahui umum Jabatan Audit Negara tidak mempunyai kuasa dan tanggungjawab bagi membawa kes-kes yang melibatkan ketirisan, penyelewengan, pembaziran dana awam selepas segala siasatan dan auditan yang dibuat.

Betapa telus dan profesionalnya Jabatan Audit Negara di bawah tanggungjawab Ketua Audit Negara tidak akan membawa apa-apa makna dan kesan sekiranya segala pelaku dan mereka yang bertanggungjawab tidak diambil sebarang tindakan undang-undang.

Agenda Tranformasi Datuk Seri Najib hanyalah retorik semata-mata kerana apa yang didedah dan dilaporkan oleh Ketua Audit Negara setiap tahun tidak menunjukkan keberhasilan yang baik tetapi terus memperlihatkan kegagalan beliau sebagai ketua kerajaan.

Jingga 13 Malaysia merasakan adalah wajar Jabatan Audit Negara dibubarkan kerana tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap segala pendedahan yang dibuat setiap tahun dan Jabatan Audit Negara sudah pasti juga turut membazirkan wang rakyat atau dana awam terhadap hasil audit yang tidak membawa apa-apa tindakan undang-undang.

Malah hasilnya saban tahun Berbillion Ringgit Malaysia dana awam ‘hangus’ begitu sahaja.

– Jingga 13 Malaysia

Categories
NASIONAL

Shamsul gesa kerajaan BN contohi pengurusan kewangan Selangor

shamsul-iskandar-pkr(1)

KUALA LUMPUR 2 OKT: Kerajaan Persekutuan patut menjadikan negeri Pakatan Rakyat sebagai contoh dari segi pengurusan kewangan supaya sistem perbelanjaan kerajaan tidak hilang kawalan.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mat Akin, berkata pengiktirafan Jabatan Audit Negara kepada negeri Pakatan sesuatu yang dibanggakan.

“Kerajaan harus telus dan mengawal perbelanjaan. Saya gembira dengan laporan audit dalam konteks negeri Selangor. Ini diberi penarafan baik oleh Jabatan Audit Negara,” katanya.

Shamsul berkata, pendedahan mengenai kehilangan pelbagai barangan milik kerajaan membabitkan penggunaan wang rakyat membimbangkan dan perlu diperbetul segera.

Katanya, ia seolah-olah menunjukkan perbelanjaan negara hilang kawalan ditambah dengan pembelian tidak munasabah pada nilai jutaan ringgit.

“Bukan kita tiada kewangan cukup untuk beri subsidi kepada rakyat tetapi kerana pengurusan wang lemah, banyak kebocoran berlaku,” katanya.

Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan beberapa agensi kerajaan termasuk polis berdepan masalah pengurusan kewangan dan aset hingga menimbulkan keraguan.

PDRM merekod 309 barangan dalam bentuk senjata api, gari dan kenderaan yang didapati hilang, melibatkan kerugian RM1.33 juta.

Categories
SELANGOR

Lebihan Pendapatan SSIC Meningkat Setiap Tahun

laporan auditSHAH ALAM 2 OKT: Jabatan Audit Negara berpuas hati dengan prestasi Selangor State Investment Centre Berhad (SSIC) yang memperoleh lebihan pendapatan tahunan dan lebihan pendapatan terkumpul yang meningkat setiap tahun, dari tahun 2009 hingga 2011.

Jabatan Audit Negara mengambil perhatian SSIC bukan entiti berorientasikan keuntungan tetapi berteraskan perkhidmatan, entiti itu menunjukkan lebihan RM1.08 juta bagi tahun 2011, meningkat dari RM0.11 juta pada 2010, dan RM0.54 pada 2009.

Lebihan pendapatan terkumpul pula mencatatkan peningkatan berterusan sehingga RM1.99 juta (2011), dari RM0.91 juta (2010) dan RM0.80 juta (2009).

“Selain itu, pengauditan yang dijalankan juga mendapati pengurusan aktiviti dan tadbir urus korporat SSIC adalah memuaskan,” menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Pada tahun 2012, SSIC dianggotai oleh 7 orang ahli Lembaga Pengarah yang dipengerusikan oleh Menteri Besar dan 6 orang ahli Lembaga Pengarah yang terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, EXCO Pelaburan, Perindustrian Dan Perdagangan, EXCO Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam Dan Pembangunan Usahawan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) serta Ketua Pegawai Eksekutif SSIC.

SSIC ditubuhkan untuk menjana ekonomi Negeri Selangor dengan meningkatkan kemasukan pelaburan sama ada dari dalam atau luar negara.

Berdasarkan Laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dari segi nilai, Selangor menerima jumlah terbesar dalam pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan pada tahun 2012 (RM11.7 bilion), lebih tinggi daripada tahun 2011 (RM8.7 bilion) dan 2009 (RM6.8 bilion).

Selangor terbukti negeri paling popular di kalangan pelabur dengan 252 projek yang diluluskan bagi tahun 2012, pertambahan keatas 263 projek pada 2011 dan 278 projek pada tahun 2009.

Bagi menambah baik prestasi pengurusan aktiviti khusus dalam mencatatkan jumlah pelaburan yang lebih memberangsangkan di Negeri Selangor dan meningkatkan tadbir urus korporat, pihak Audit mengesyorkan SSIC mempertingkatkan usaha dalam membawa industri lain antaranya sektor perkhidmatan dan asas tani sebagai pelaburan baru.

Pihak Audit juga mahu SSIC menyediakan repositori maklumat pelaburan yang lengkap dan kemas kini untuk memudahkan pelabur membuat keputusan pelaburan, dan memperketatkan kawalan dalaman terhadap pengurusan kewangan SSIC.

Rafizi : Mana Pergi Pinjaman RM 163 juta Untuk Projek NFC?

NFC- Shahrizat & Salleh

KUALA LUMPUR 9 JULAI : Kerajaan Persekutuan perlu menjelaskan bagaimana ia akan memungut kembali wang pembayar cukai yang disia-siakan oleh syarikat pengusaha Pusat Fidlot Nasional.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ismail berkata penjelasan ini perlu kerana masih ada bahagian yang belum dilangsaikan setelah syarikat National Feedlot Corporation berhenti beroperasi dan bakal muflis.

Rafizi berkata daripada pinjaman RM 250 juta, RM 163 juta telah diberikan kepada syarikat tersebut.

“Sebahagian dari dana itu sudah digunakan untuk menanggung perbelanjaan bukan aset. Termasuklah gaji, elaun perjalanan dan pelbagai belanja lain yang tidak boleh dikutip kerana tiada aset.

“Kerajaan juga tidak pernah mengenakan jaminan peribadi terhadap Pengarah NFC iaitu keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil dan tiada tindakan susulan diambil,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen, di sini.

Kontroversi NFC bermula apabila Jabatan Audit Negara dalam laporan 2010 berkata projek itu, yang bermula pada 2006, gagal mencapai sasaran pembekalan daging lembu yang telah ditetapkan.

Laporan itu berkata pengusaha NFC telah diberikan pinjaman RM 250 juta dengan faedah empat peratus.

Beliau yang juga Pengarah Strategi PKR berkata suatu laporan terkini menunjukkan bahawa kerajaan persekutuan bersetuju untuk melantik satu konsortium baru bagi mengambil alih operasi projek NFC itu.

“Dalam sidang Dewan Rakyat, saya sudah bertanyakan mengenai jumlah-jumlah aset yang disita dan diambil kembali dari NFC setakat ini.

“Tetapi Menteri Kewangan menjawab bahawa kedua-dua Kondominium di One Menerung, satu plot tanah di Bangi dan satu plot tanah di Putrajaya dirampas setakat ini.

?Beliau juga mengatakan bahawa operasi NFC sudah dihentikan sepenuhnya akhir tahun lepas,” katanya.

“Jadi saya beranggapan bahawa dana RM 163 juta yang dibelanjakan oleh NFC itu dikira hangus dan tidak dapat dikutip lagi,” katanya.

Tiga Tahun Kecemerlangan Kewangan Selangor

Sinopsis: Tiga tahun berturut-turut pengurusan kewangan Negeri Selangor mendapat pujian dari Ketua Audit Negara. Ini adalah hasil dasar cekap dan amanah yang anda pilih sebagai kerajaan.

Rekod berterusan ini tercapai ketika Kerajaan Negeri terus komited menyediakan pelbagai program hasil negeri untuk rakyat seperti diskaun cukai pintu rumah kos rendah, program kesihatan wanita,insentif untuk asuhan anak dan skim air 20 meter padu percuma.

Layari http://www.selangorkini.net

Categories
NASIONAL

Audit Negara Perlu Siasat Kontrak RM30.8 juta Kepada Anak Menteri

SHAH ALAM 21 JUN : PKR menggesa Jabatan Audit Negara menyiasat kontrak bernilai RM30.8 juta yang didakwa ditawar secara rundingan terus oleh Kementerian Belia dan Sukan kepada syarikat milik anak Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata projek bagi membekalkan kelengkapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar Johor itu diberikan kepada Istijuara Sdn Bhd yang dimiliki oleh anak Raja Nong Chik, Raja Farhana Raja Nong Chik yang berusia 26 tahun.

“Ketua Audit Negara juga wajar mengesahkan keadaan peralatan yang dibekalkan oleh Istijuara kepada IKBN Bandar Penawar,” katanya dalam kenyataan media.

Tambah Nik Nazmi, jawapan Raja Nong Chik bahawa kontrak ini dianugerahkan sebelum beliau menjadi menteri tidak menjawab persoalan berkenaan kontrak dimeterai pada tahun 2010 itu ketika beliau sudahpun menjadi menteri.

“Pendedahan ini sendiri tidak dinafikan Raja Nong Chik apabila berhadapan dengan media baru-baru ini,” ujar Nik Nazmi.

Jelas Nik Nazmi, sewajarnya Raja Nong Chik boleh menjadi contoh kepada anggota kabinet yang lain dengan tampil ke hadapan bagi mengisytiharkan asetnya.

“Dengan ini beliau dapat memulihkan kewibawaan imej pimpinan Umno yang mendapat projek-projek kerajaan secara terus selama ini,” katanya.